Selasa, Mac 24, 2009

RIBUT AJAIB DI BENTONG

Ribut ajaib! Mungkin itu yang boleh ditafsirkan kejadian rebut yang melanda Bentong senja 24 Mac lalu. Hamba-hamba Allah yang bernama angin, petir dan hujan itu hanya memakan masa sekitar 20 minit sahaja untuk memusnahkan berpuluh-puluh buah rumah di Benus dan Ketari.

Beberapa buah taman menyaksikan banyak rumah rosak terutamanya atap. Rumah saya tak ketinggalan terkena palitan ibtila’ Allah ini. Ia bermula pada sebelah petang yang menyaksikan hujan turun sekitar 10 minit. Kemudian berhenti. Namun langit sentiasa mengeluarkan bunyinya.

Guruh yang memekik kadangkala perlahan dan ada waktunya kuat hingga memeranjatkan anak bungsu saya, Aula Al Husna.Sedang saya menatap kitab Riadhus Solihin sebagai persediaan untuk menyampaikan kuliah maghrib di Masjid Bukit Piatu malam berkenaan, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Seketika kemudian kedengaran bunyi kuat air mencurah di atas syiling rumah.

Di dalam kepala saya tidak ada lain. Pasti atap rumah sudah diterbangkan angin.Saya bingkas bangun menyimpan kitab. Tarik tikar getah dan selimuti computer dan barang elektronik yang lain, bimbang air akan turun dari syiling. Ternyata selepas beberapa minit. Air mula turun dari syiling membasahi seluruh rumah dari dapur hingga ke ruang tamu. Saya menyelak langsir untuk membuka pintu cermin. Melihat suasana di luar saya merasa sangat bimbang untuk keluar.

Suasana di luar sangat dahsyat. Saya tidak tahu apa berlaku di atas bumbung rumah saya. Yang pasti mata saya sedang melihat suasana yang sangat menggerunkan di atas bumbung rumuh jiran di hadapan rumah saya iaitu rumah Puan Hamidah, En Aseri dan En Samsuddin. Angin bergulung-gulung di atas atap memusnahkan arial TV. Kepingan atap berterbangan dibawa angin. Pokok di sebelah rumah En Samsuddin tumbang ke atas jalanraya. Deretan parkir kereta penduduk musnah.

Ketika itu tiada yang dapat saya ucapkan selain, “اللهم حوالينا ولا علينا”. Jadual kuliah saya selepas maghrib perlu dibatalkan…. Namun saya terfikir kembali, mengapa perlu saya batalkan. Teruskan juga kuliah itu dan ajak para jemaah bermunajat kepada Allah memohon keampunan.Mungkin ibtila’ ini satu amaran Allah disebabkan (mungkin) ada yang berbuat dosa. Mungkin saya, mungkin juga orang lain. Wallahua’lam.

Saya memandu kereta ke masjid. Selesai solat Maghrib, isteri saya menelefon mengatakan bekalan elektrik rumah saya terputus. Saya bergegas pulang. Setelah memperbaikinya saya kembali ke masjid semula.

Kuliah berjalan seperti biasa. Solat Isya’. Solat Taubat dan seterusnya solat Hajat. Agak panjang solat hajat yang diimamkan oleh Haji Yusuf, imam Masjid Bukit Piatu. Beliau meminta kami membaca di dalam sujud doa nabi Yunus sebanyak 40 kali.

Kami memohon kepada Allah agar diampunkan segala dosa andai ia menjadi punca kemurkaan Allah kepada penduduk di sini. Kami merayu kepada Allah agar menjadikan bencana kali ini sebagai bencana terakhir yang menimpa kami di sini.

Setelah pulang ke rumah, saya dapati suasana kecoh di Taman Melati. Semua penduduk keluar rumah untuk memeriksa kerosakan rumah masing-masing. Berada di tempat kejadian ialah Pengerusi JKKK Kg Bukit Piatu (Tok Empat), Ustaz Mohd Ali dan S/U-nya, En Rashid. Seketika kemudian sampai pula Adun Ketari dan wartawan Sinar, Farhah. Kemudian DO Bentong, Dato’ Tantawi pula tiba.

Masing-masing menjanjikan bantuan tertentu yang akan dihulurkan.Ketika berbual dengan Tok Empat, Ustaz Mustafa dan Encik Rashid di hadapan rumah saya, saya kata, “Agaknya angin tadi datang dan turun dari sana tu...” saya menuding jari ke arah cahaya dari atas Banjaran Titiwangsa yang jelas kelihatan dari situ (Genting Highland). Encik Rashid menyapa, “Itulah masalahnya ustaz, orang kita nak tak mboh sedar-sedar.... Datang le malapetaka macam mana pun tak nak sedar juga...”

"Yang saya hairan," kata En Rashid lagi, "bagaimana petir tadi boleh datang dari arah bawah. Angin pula datang dari segenap penjuru. Sungguh ajaib ribut kali ini!"

Isnin, Mac 23, 2009

DARI SERENTI KE PUSPEN

Tanggal 20 Mac lalu saya dijemput menyampaikan ceramah bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1430 di PUSPEN Karak. Barangkali masih ramai yang belum tahu apa itu PUSPEN.

Dahulu ia dikenali sebagai Pusat Serenti. Sejak Februari lalu AADK melakukan ‘re-branding’ ke atas pusat berkenaan dengan memasyhurkan nama baru, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN). Namun pada hari saya mengunjungi pusat berkenaan, papan tanda di Lebuhraya Karak-KL masih mengekalkan nama ‘Pusat Serenti Karak’. Mungkin mereka perlukan sedikit masa untuk menukar papan tanda berkenaan.

Ini bukan kali pertama saya dijemput berceramah dan menyampaikan motivasi di PUSPEN/Serenti. Bahkan saya pernah beberapa kali diundang ke Serenti Cheroh dan Serenti Ulu Gali Raub. Bahkan Serenti Karak juga sudah dua kali saya masuk.

Jadual ceramah saya bermula jam 8.30 pagi. Ketika tiba di pusat berkenaan saya dapati kesemua ahli keluarga (gelaran kepada tahanan/pelatih) sedang membaca Surah Yasin bersama para juru latih, warder dan kakitangan PUSPEN.

Agak luas kawasan PUSPEN Karak yang terletak dikemuncak bukit itu. Sekitar 164 ekar. Ia menempatkan beberapa bangunan asrama, masjid, pejabat pentadbiran, dewan makan, dewan besar (terbuka) dan berbagai-bagai bangunan lain. Ia turut disuburkan dengan kawasan latihan pertanian dan penternakan yang diwujudkan untuk melatih ‘ahli keluarga’ berdikari mencari rezeki setelah keluar dari pusat tahanan/latihan berkenaan. Harapan negara tidak lain, agar mereka tidak lagi kembali ke lubuk kehinaan di masa hadapan.

Seusai bacaan Yasin, majlis ceramahpun dimulakan. Pegawai Unit Agama PUSPEN Karak, Ustaz Mohd Nor Hidayat yang mempengerusikan majlis menjemput Timbalan Komandan, Tuan Mat Yusof Abd Rahman menyampaikan ucapan. Beliau adalah anak peneroka Felda Jengka 11 yang sebelum ini pernah berkhidmat di Sekolah Semarak Jengka.

Sebaik sahaja nama saya dipanggil untuk menyampaikan syarahan, saya bingkas bangun dan terus melangkah. Sebaik berdiri di hadapan pentas, saya melemparkan pandangan ke hadapan. Di hadapan saya sekitar 345 orang manusia, 80% daripada mereka berbangsa Melayu, beragama Islam. Beberapa orang di bahagian belakang kelihatan seperti manusia berbangsa selain Melayu. Alangkah sedih dan sayunya hati melihat bangsaku. Alangkah pilunya melihat umat ini dalam waktu seluruh dunia menyambut Maulidur Rasul.

Saya alihkan pandangan ke kanan. Tersergam sebuah bangunan satu tingkat yang saya kurang pasti fungsi dan peranannya. Kelihatan dinding batu bangunan itu dicorakkan dengan gambar pemandangan yang sungguh indah dan mempersonakan. Alangkah mahirnya si pelukis itu! Andai dikomersilkan, ia bakal menghasilkan puluhan ribu ringgit untuknya. Namun saya hampir pasti, pelukisnya adalah salah seorang yang pernah ditahan disitu atas kesalahan penyalahgunaan dadah. Perjalanan hidup pelukis mural ini pernah tergendala selama 2 tahun atau 14 bulan apabila dia ditahan di sini.

Lidah saya kelu. Tak tahu apa yang hendak dikatakan. Bagaimana hendak mengungkapkan. Dari mana perlu saya mulakan bait-bait kalimah ini. Saya perlu kembali kepada asal. Tema dan tajuk ceramah pagi Jumaat itu ialah berkaitan Maulidur Rasul.

Saya mula bercerita tentang kelahiran junjungan besar Nabi SAW. Saya beritahu mereka peristiwa yang berlaku kepada baginda. Saya perkenalkan kepada mereka sifat fizikal nabi Muhammad tercinta. Saya khabarkan betapa mulianya akhlak baginda. Betapa benarnya baginda dalam setiap tindak tanduk dan pertuturan. Betapa baginda sangat amanah dalam kehidpan di samping menyampaikan seruan kebenaran. Betapa bijak dan cerdiknya nabi akhir zaman.

Saya dedahkan bagaimana nabi SAW pernah bersumpah bahawa baginda sentiasa beristighfar dan bertaubat lebih daripada 70 kali sehari. Lantas saya lontarkan persoalan untuk difikirkan oleh ‘ahli keluarga’ PUSPEN, bagaimana seorang yang tidak pernah melakukan dosa bertaubat lebih dari 70 kali sehari. Apa perlunya seorang yang maksum beristighfar setiap hari.

Andai nabi yang tiada dosa itu beristighfar saban hari, maka kita yang bergelumang dengan dosa ini lebih wajar bertaubat dan beristighfar. Bukan sekadar setiap hari, bahkan tiap waktu dan saat.

Seterusnya saya jelaskan betapa sayangnya Allah kepada hamba-hambaNya, pantang ada saja yang bertaubat, maka Allah pasti akan menerimanya. Sejarah telah merakamkan menerusi perantaraan lidah Saidina Muhammad SAW bahawa suatu waktu dahulu Allah telah mengampunkan dosa seorang lelaki yang telah membunuh 99 nyawa dan menggenapkan seratus. Semuanya hanya kerana keazaman yang tinggi dalam taubat lelaki berkenaan.

Justeru bekas penagih dadah tidak boleh berputus asa daripada bertaubat dan mengharapkan pengampunan Allah.

“Anda jangan kalah dengan cercaan masyarakat. Biar mereka mengejek anda sebagai sampah masyarakat. Tetapi ingat, di zaman moden ini sampah juga mempunyai nilai komersial yang tinggi. Dahulu sampah dibuang dan dibakar. Namun kini sampah dikutip kembali dan dibeli untuk diproses menjadi bahan yang berguna kepada manusia.”

“Anda bukan orang bodoh. Anda punya kelebihan. Anda ada kemahiran. Saya sendiri tak pandai melukis mural ini. Tapi anda boleh! Maka anda sebenarnya adalah manusia yang hebat,”
ujar saya membakar semangat. Semua mata 345 orang ‘ahli keluarga’ bulat memandang tepat ke arah saya, menanti bicara seterusnya.

“Anda orang yang hebat. Bukan orang keparat. Anda tahu siapa tokoh Maulidur Rasul tahun ini?” Saya ajukan soalan. Dewan senyap sepi... “Salah seorang daripada yang menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul tahun ini ialah Yunus, yang dahulunya pernah menghuni pusat Serenti. Yunus keluar dari Serenti dengan keazaman baru, dengan tekad baru untuk merubah hidupnya. Dia benar-benar bertaubat dan insaf. Dia bina kembali kehidupannya. Dan tahun ini, kesungguhan Yunus mendapat pengiktirafan bertaraf negara.”

“Jadi tidak mustahil suatu hari nanti salah seorang daripada kalian di sini bakal menjawat jawatan menteri dalam Malaysia!” Sebaik sahaja menghabiskan ayat itu kedengaran gemuruh tepukan dari semua hadirin. “Mustahilkah apa yang saya katakan ini?” Saya menduga. “Tidaaaaaak!” Serentak 'ahli keluarga' menjawab.

Kelihatan mereka mendapat sesuatu pagi itu. Semangat mereka muka menampakkan bara. Saya gembira. Namun kepanasan itu tidak cukup dengan hanya sekali dua ceramah dan motivasi. Semua pihak perlu membimbing golongan ini.

Khamis, Mac 12, 2009

ANTARA QARDHAWI DAN TANTAWI

IKHTILAF ISU DERMA ORGAN

Sama ada disedari atau tidak, minggu lalu berlangsung satu sidang para ulama' dalam muktamar ke 13 Majma' Buhuth Islamiah (badan tertinggi Al Azhar) di Kaherah. Muktamar selama tiga hari itu bermula pada 10 Mac lalu dan berakhir pada 12 Mac.

Antara isu menarik yang dibahaskan ialah isu derma organ bagi orang yang dijatuhkan hukuman mati. Syeikhul Azhar, Dr Mohd Syed Tantawi melontarkan pandangan bahawa orang yang telah dijatuhkan hukuman mati boleh diambil anggota badannya untuk dimanfaatkan oleh mereka yang masih hidup tanpa perlu mendapatkan keizinannya terlebih dahulu.

Ini kerana katanya, mereka yang dihukum mati itu telah hilang hak ke atas tubuh badan mereka dan mereka juga tidak layak untuk mendapat kasihan belas (kerana telah melakukan kesalahan yang melayakkan mereka dijatuhi hukuman mati).

Pandangan ini dipersetujui bersama oleh Dr Abd Rahman Al Adawi, ahli Majma' Buhuth Ismaliah. Katanya, orang yang dijatuhkan hukuman mati telah dihilangkan kemanusiaannya dan kehormatannya. Dia tidak ada hak lagi ke atas anggota tubuh badannya.

Walaubagaimanapun, pandangan kedua-dua tokoh ini dibantah oleh beberapa orang ulama lain termasuk ulama' terkenal, Dr Yusuf Al Qardhawi. Menurutnya, anggota badan mereka boleh diambil jika mereka mewasiatkan untuk menderma atau dengan arahan daripada hakim. Selain daripada dua alasan berkenaan, jika perbuatan ini dilakukan, bermakna dia dihukum bagi kali kedua setelah menjalani hukuman mati.

Seorang profesor dari Universiti Ummul Qura, Makkah, Dr Mustafa Abd Wahid Ibrahim turut menyanggah pendapat Tantawi yang mengharuskan mengambil anggota tubuh orang yang telah dijatuhkan hukuman mati. Menurutnya, memelihara kehormatan mayat adalah satu kefarduan di sisi syarak. Justeru mengambil anggota mereka tanpa keizinan mereka adalah satu perbuatan menghina dan menyiksa mayat.

Presiden Majlis Doktor Perubatan Mesir, Dr Hamdi As Sayyid pula berkata, amalan mengambil anggota mereka yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati telah diamalkan sejak 15 tahun lalu. Namun setelah menerima lima bantahan dari beberapa pertubuhan Eropah, maka amalan itu dihentikan sama sekali.

Dalam pada itu, Muktamar bersetuju mengharuskan perbuatan menderma organ sesama orang yang masih hidup bagi tujuan merawat beberapa penyakit kronik. Tantawi sendiri secara terus terang mengisytiharkan,

أنا أوصي أمام الجميع أنه عند مفارقتي الحياة فأنا متبرع بجسدي لكل ما ينفع الناس كما يقول الأطباء

"Saya berwasiat di hadapan kalian semua, apabila saya meninggal dunia nanti maka saya mendermakan anggota tubuh badan saya yang memberi manfaat kepada manusia seperti yang disyorkan oleh ahli perubatan."

http://www.islamonline.net/arabic/news/2009-03/11/18.shtml