Isnin, Mei 30, 2011

KETERLIBATANKU DALAM PILIHANRAYA UMUM 1982

Mungkin ada yang terkejut atau hairan dengan tajuk di atas sedangkan ketika itu aku baru berusia 10 tahun. Apa perananku selaku budak darjah 4 dalam pilihanraya itu?

Tiada lain, aku hanya penjual kuih di pintu masuk sekolahku, SK (LKTP) Jengka 16. Ia menjadi santapan istimewa bagi perayu undi di bawah terik mentari.

Aku tak peduli siapa yang bertanding, parti mana yang lawan. Yang penting bagiku kuih seraga buatan ibuku yang ku bimbit dari rumah seawal pagi perlu dihabiskan. Aku hanya menjual dua jenis kuih di pintu pagar itu. Polis tak halau. Mereka tahu, ini budak miskin nak cari duit sempena pilihanraya.

Setiap orang yang lalu lalang keluar masuk aku perhatikan. Aku perhatikan kereta mengangkut pengundi mundar mandir. Hampir kesemuanya mengusung bendera dacing biru bertulis jawi. Sesetengahnya melekatkan gambar lelaki comel yang baru setahun menjadi Perdana Menteri.

Dalam banyak-banyak kereta itu, aku lihat ada sebuah kereta mengusung bendera lain. Benderanya berwarna hijau, di tengahnya ada bentuk bulat berwarna putih. Kereta itu gayanya, tidak mengenal penat dari pagi hingga petang. Pemandunya bagaikan buta istilah letih ke hulu dan ke hilir mengangkut pengundi.

Aku amat mengenali pemandu itu. Dialah yang menghidupkan aktiviti masjid. Dialah yang sama-sama dengan para guru menyinsing lengan memasak jamuan berbuka puasa. Dia memperkenalkan kalimah usrah kepada >800 peneroka dan penerokawati Felda itu. Akhirnya ia menjadi budaya, setiap minggu usrah untuk kaum ibu diadakan di setiap blok. Setiap malam khamis usrah tafsir diadakan di masjid utk kaum bapa.

Jasa pemandu itulah juga yang mendorong ibu bapa memakaikan tudung kepala anak-anak ke sekolah. Dalam ucapannya di hadapan ibu bapa, beliau berkata, "Walaupun tiada dalam peraturan sekolah, saya mohon tuan-tuan pakaikanlah tudung kepala kepada anak-anak perempuan tuan-tuan."

Pemandu ini jugalah yg menyedarkan wanita-wanita supaya menutup aurat. Seingat aku ketika mula pindah ke Jengka (1977) tiada seorangpun isteri peneroka yg memakai tudung. Dengan hidayah Allah menerusi usaha lelaki ini, akhirnya hari ini, hampir tiada penerokawati yang tidak bertudung.

Anda tahu siapa pemandu itu? Dialah guru besar sekolahku, al marhum Cikgu Muhammad Daud.

Setelah beberapa tahun menabur bakti kepada Sekolah Kebangsaan LKTP Jengka 16 dan memberikan kesedaran Islam kepada penduduk Jengka 16, akhirnya beliau diturunkan pangkat menjadi guru biasa dan ditukarkan ke SK Felda Purun.

Beliau meninggal dunia 'dalam buangan'. Aku sempat menziarahi keluarganya di Temin selepas kematian tragis itu.

Beliau meninggal dunia setelah diturunkan pangkat. Tiada nilai Cikgu Daud pada mata 'mereka'. Tetapi beliau meninggalkan zuriat yg berjasa kepada agama. Anak sulungnya Hj Halidan menjadi orang penting dalam penubuhan Pusat Kutipan Zakat Pahang. Ustaz Zuridan yang bertugas di UMP kini seorang pendakwah tersohor di negeri ini. Suaranya sering berkumandang dalam ruangan ceramah pilihan Pahang.FM.

Yang paling penting, Cikgu Daud telah meninggalkan jasa membuka pintu kefahaman Islam kepada penduduk Jengka 16.

Balik kepada cerita pilihanraya 1982. Alhamdulillah, semua kuih yang aku bawa habis licin. Aku tak tahu orang mana yang paling banyak membeli. Rasa aku orang umnolah sebab masa tu berapa kerat sangatlah orang PAS di Jengka. Hanya guru besar, tok imam dan beberapa orang yang bergerak secara sirr.

Gembira dengan keuntungan besar perniagaan siang hari itu aku pulang dan meminta ibu menyediakan lagi juadah untuk aku jual pada malam hari berkenaan. Seperti semua maklum, hiburan adalah gula-gula dan umpan kekal dulu kini dan selamanya bagi umno dan bn. Maka malam itu aku terlibat dengan aktiviti politik umno. Aku menjual kacang kuda rebus untuk hadirin yang menyaksikan 'pentas bergerak' (sekarang dipanggil konsert).

Aku tak pasti adakah umno minta izin dengan guru besar untuk menggunakan padang sekolah bagi aktiviti hiburan itu.

Tapi malam itu agak malang bagiku. Aku hanya menjual kacang kuda yang sudah dimasak di rumah dan sudah dibungkus. Sedangkan di sebelahku ada seorang peniaga menjaulnya dengan memasak di situ. Yang dia lagi fresh. So, aku punya kacang kuda tak laku daa....

Esoknya, di dalam kelas, seorang cikguku, kalau tak silap Cikgu Sani Abdullah, seorang India Muslim membuka bual bicara berkaitan pilihanraya.

Katanya, semalam sekolah ini menjadi pusat mengundi. Tahukah kamu, apa itu mengundi? Masing-masing kamu menjawab bahawa kami tidak tahu.

Lantas cikgu Sanipun menjelaskan apa maksud politik, pilihanraya dan parti politik.

Katanya, dalam Malaysia ini banyak parti politik. Ada parti MCA yang memperjuangkan kebajikan kaum Cina. Ada parti MIC, parti bagi kaum India. Dan ada parti umno, yang memperjuangkan bangsa Melayu.

Sebaik saja beliau sebut tentang umno yang memperjuangkan bangsa Melayu, rakan-rakan sekelasku serentak berkata, "OK, kita sokong parti umno!"

Cikgu Sani meneruskan penerangannya. "Ada satu lagi parti, namanya parti PAS. Parti ini memperjuangkan Islam."

Sekali lagi kelas bergema dengan suara murid-murid yang mula beralih 'sokongan' kepada parti PAS.

Walaupun ia hanya sorakan-sorakan nakal rakan-rakanku, namun penerangan cikgu Sani sangat memberi kesan kepadaku. Itulah saat mula aku mengenali parti politik. Bagiku, perjuangan Islamlah seagong-agong perjuangan di atas muka bumi ini.

Dalam diam aku mengelamun, aku berfikir, kenapa manusia perlu berjuang menegak bangsa, sedangkan bangsa telah ditetapkan Allah sejak lahir. Bangsa tidak menentukan nasib seseorang sesudah mati. Bangsa bukan jaminan ke syurga.

Yang menguntungkan ialah agama. Apa bangsa sekalipun, jika beragama Islam ia akan beruntung. Itulah kesimpulanku di dalam kelas itu.

Bermula dari saat itu aku hanya menyokong perjuangan Islam dan aku tidak pernah memadamkan sokonganku ini. Terima kasih Cikgu Sani, biarpun aku tak tahu dia sokong parti apa. Terima kasih Cikgu Daud. Selamat Hari Guru.

Isnin, Mei 02, 2011

SUMPAH LAKNAT MENURUT PANDANGAN ISLAM

Ramai yg bertanya saya tentang status sumpah Eskay Jumaat lalu. Adakah sumpah itu valid di sisi Islam? Jika tidak, apa risiko yg terpaksa ditanggung oleh Eskay dan Anwar di sudut Islam? Apa pula respons yang sepatutnya diberikan oleh Anwar? Perlukah dia membalas dengan sumpah bara'ah (melepaskan diri)?

Terlalu banyak persoalan. Menyebabkan saya terpaksa menggarap sebuah tulisan secara ilmiah jauh dari pengaruh dan sentimen kepartian. Namun setelah meneliti tulisan saudara Zaharudin, saya dapati ia amat baik dan hampir sama dengan keputusan penelitian dan kajian saya. Justeru, berikut saya paparkan tulisan beliau untuk dikongsi bersama:

 
WUJUDKAH SUMPAH LAKNAT DALAM HAL TUDUH ZINA?

Kembali kepada isu terkini iaitu ‘sumpah laknat’ yang dilakukan oleh Dato’ Eskay di dalam masjid tempohari sambil memegang dan mencium Al-Quran. Oleh kerana sumpah tersebut dilakukan atas dasar dan prinsip hukum agama, bagi dianggap sah dan mempunyai nilai, cara ia dilakukan mestilah disandarkan kepada dalil khusus dari Al-Quran atau Al-Hadis. Oleh itu, menjadi satu KEMESTIAN bagi memastikan sumbernya dalam hukum Islam dan betul pula cara pelaksanaannya. 

Kedua hal tersebut mesti disemak sebelum inti sesuatu sumpah itu diterima oleh orang ramai dan pihak berkuasa sebagai mempunyai ‘sesuatu kekuatan’ untuk menyokong kes individu yang melakukan bersumpah.

Secara ringkasnya, membaca pandangan beberapa tokoh ilmuan tanahair dalam hal sumpah laknat ini, saya bersetuju dengan pandangan beberapa mereka yang secara ringkasnya berkata, sumpah yang dilakukan itu :-

1. TIDAK PERLU; disebabkan proses mahkamah perlu dinantikan bagi menjamin keadilan bagi semua pihak. Maruah adalah isu besar dalam Islam, justeru, setiap kes yang boleh memalukan dan tidak lagi dipastikan benar atau salah, mestilah dibicarakan secara adil di tempat perbicaraan yang tertutup.

2. TIDAK TERPAKAI; sumpah laknat dengan nama Allah itu tidak dikira terpakai atau sah, kerana sumpah laknat atau li’an hanya wujud untuk urusan suami isteri yang menuduh isteri pasangan mereka berzina, sebagaimana wujud peruntukan di dalam Al-Quran dalam surah an-Nur ayat 6-8. Ertinya :

“Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima: bahwa laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta.” (An-Nur 6-7)

Justeru, sebarang tindakan mewujudkan sumpah laknat dalam hal menuduh zina individu lain adalah SATU TINDAKAN SALAH atau REKA CIPTA DALAM URUSAN AGAMA yang tidak dibenarkan oleh Islam. Ia ditegah oleh seluruh para ulama berdasarkan dalil-dalil yang sangat banyak, disebabkan ia memungkinkan individu secara bebas mencipta peruntukan baru tanpa sebarang basis atau sandaran dalil.

3. MENGELIRUKAN; Protokol sumpah tersebut dilaksanakan secara sangat mengelirukan dan ada juga yang kurang tepat, ini kerana bersumpah sambil memegang al-Quran bukanlah satu keperluan. Nabi bersabda :-

فمن كان حالفاً فليحلف بالله أو ليصمت

Ertinya : Barangsiapa yang ingin bersumpah, hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah atau (jika tidak), hendaklah dia diam sahaja (tidak bersumpah) (Riwayat Al-Bukhari)

 

Melakukannya di dalam masjid adalah HARUS menurut mazhab Hanafi dan Hanbali berdasarkan hadis nabi bahawa pernah kes kehakiman dan pertelingkahan serta sumpah laknat antara suami isteri dijalankan di masjid pada zaman Nabi s.a.w. ( rujuk Fath Al-Bari, 3/133 ; Syarah sohih Muslim An-Nawawi, 1/121 ).

Bagaimanapun mazhab Syafie menganggap melakukan urusan sumpah dan perbincangan pertikaian hak serta tuduh menuduh di dalam masjid adalah MAKRUH. (Fath al-Aziz, Al-Rafi’e, 8/165 ; Al-Muhazzab, Al-Shirazi, 2/293)

Apapun, kita tidak mahu, kaedah dan cara khususnya memegang Al-Quran ketika bersumpah dan dibuat di dalam masjid sedang telah wujud mahkamah, menjadi syarat dan kebiasaan masyarakat kita, hingga disalahfahami oleh ramai sehingga merasakan ia adalah kaedah dan cara sebenar pelaksanaan sumpah li’an. Sumpah laknat yang sebenarnya, perlu dilakukan di dalam proses mahkamah dengan empat kali, DIIKUTI yang kelima sumpah laknat dan IA TIDAK untuk tontonan dan sebaran awam.

4. Sumpah mubahalah juga tidak perlu dan tidak terpakai, kerana sumpah mubahalah memerlukan kedua-dua belah pihak untuk bertemu dan sama-sama bersetuju.

 
WALAUPUN BEGITU, SUMPAH BIASA MASIH SAH

Pun begitu, sumpah yang dikira terpakai dan sah dalam kes yang dirujuk adalah hanya sumpah biasa, bukan sumpah laknat. Sumpah biasa boleh dianggap sah apabila dimulakan dengan lafaz “wabillahi, wattallahi” atau salah satu antara lafaz tersebut juga sudah mencukupi.

Namun SUMPAH BIASA ini sepatutnya hanya dilakukan sesudahkan ‘bayyinah’ atau bukti yang diiktiraf oleh syarak dikemukan di mahkamah. Apakah bayyinah ini?

 

KEPERLUAN 'BAYYINAH' SEBELUM BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH

Di dalam Islam, setiap individu adalah dianggap TIDAK BERSALAH selagi belum dibuktikan bersalah.  Prinsip ini datang dari pelbagai dalil dan disimpulkan oleh para ulama dalam kaedah dan dalil berikut :-

 

Hadis Nabi :-

 

لو يعطى الناس بدعواهم؛ لادعى رجال أموال قوم ودماءهم، ولكن البينة على المدعي، واليمين على من أنكر

 

Ertinya : Kalaulah diberikan (kebebasan) kepada manusia untuk mendakwa; nescaya akan akan individu yang mendakwa milikya harta satu kaum yang lain dan darah mereka, oleh itu (dalam Islam), Pembuktian menjadi tanggungjawab pertama ke atas pendakwa, dan (apabila telah sabit bukti), sumpah menolak adalah bagi mereka yang mengingkari (bukti tadi). ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

 

Kaedah Fiqh :

الأصل برآءة الذمة

Ertinya : Hukum asal (bagi semua individu) adalah bebas dirinya dari tanggungan.

 

Dan satu lagi kaedahnya :

اليقين لا يزول بالشك

Ertinya : Yakin ( iaitu asal semua individu sebagai tidak bersalah), tidak akan dapat dihilangkan oleh bukti-bukti yang bertaraf syak.

 

Juga satu prinsip yang berbunyi

ان الشك يفسر لمصلحة المتهم

Ertinya : Sesungguhnya sebarang keraguan ( tidak kukuh bukti dakwaan), akan ditafsirkan sebagai menyebelahi pihak tertuduh (untuk membuktikannya tidak bersalah)

 

Berkata Az-Zubaydi

قاعدة أصولية مفادها أن الأصل براءة ذمة المكلف عن التكليف المشكوك

Ertinya : Kaedah di atas adalah kaedah usul yang kandungannya menyatakan bahawa asal bagi semua individu yang mukallaf adalah bebas dari dakwaan & tuduhan yang diragukan. (Az-Zubaydi,  Taj Al-Urus)

 

AL-BAYYINAH yang disebut di dalam hadis nabi di atas AMAT diperlukan bagi mewajibkan sumpah ingkar dan bantah dari tertuduh, tanpanya, sumpah tertuduh TIDAK WAJIB sama sekali.

 

Imam Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni (10/139) dan para ulama menjelaskan ringkasan bahawa untuk mendapatkan bayyinah, ia bergantung kepada kes yang dibawa seperti berikut :

 

1. Zina dan liwat

Syarat untuk penuhi bayyinah : Empat saksi adil atau pengakuan pelaku.

2. Hukum hudud yang lain seperti bunuh, qazaf, murtad dan lainnya.

Syarat untuk penuhi bayyinah : saksi dua lelaki adil dan sumpah dibenarkan.

3. Jual beli, dan lain-lain pertikaian melibatkan isu harta dan pemilikan kewangan

Syarat untuk penuhi bayyinah : dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua orang wanita ( sebagaimana disebut di dalam Al-Quran) dan sumpah dibenarkan.

4. Penyusuan, kelahiran, dara dan tamat iddah

Syarat untuk penuhi bayyinah : Seorang wanita yang adil.

Justeru, perlu ditegaskan dalam hal zina dan liwat, bagi menganggap bersalah, salah satu antara dua cara ini mestilah menjadi jalannya, iaitu :-

 

IQRAR ATAU PENGAKUAN SUKARELA secara insaf oleh pelaku bahwa dia melakukan sesuatu kesalahan itu, sama ada mencuri, berzina, liwat, membunuh dan sebagainya. Sebagaimana yang dilakukan oleh pemuda bernama Ma’iz bin Malik Al-Aslami di zaman Nabi Muhammad s.a.w

 

EMPAT SAKSI LELAKI YANG ADIL; Khusus bagi kes zina dan liwat, sesiapa yang menuduh mestilah membawakan empat orang saksi yang adil lelaki bagi mensabitkan kesalahan pada hukum Islam. Selagi tiada saksi sebegitu, kes MASIH BOLEH diadili tetapi IA BUKAN LAGI TERMASUK DALAM KES HUDUD BAGI SI TERTUDUH. Manakala yang menuduh tanpa empat saksi pula BAKAL DISABITKAN KESALAHAN QAZAF, penuduh hanya boleh terselamat dari hukuman qazaf (yang perlu dilaksanakan di dunia, jika tiada, hukumannya menanti di akhirat amat berat) apabila membawakan 4 saksi seperti di atas atau membawa kes tanpa 4 saksi secara senyap dan tertutup untuk perbicaraan di mahkamah. Di sana, hakim mahkamah akan menyemak semua bukti-bukti tambahan sama ada video, DNA, gambar dan sebagainya untuk beliau menjatuhkan sebarang keputusan di bawah peruntukan ta’zir.

 

LEPAS ‘BAYYINAH’, BARU KITA NANTIKAN BANTAHAN

 

Kerana asal setiap indiivdu TIDAK BERSALAH sehingga dibuktikan sebaliknya, setelah bayyinah dipersembahkan, barulah tindakan menjawab bayyinah perlu dilakukan oleh tertuduh.

 

Bantahan dan keingkaran hanya diperlukan apabila pihak pendakwa berjaya membawakan bukti yang sah dan diterima oleh pihak qadhi atau hakim. Pihak hakim pula perlu memberikan masa yang sesuai untuk tertuduh membela diri. Namun tertuduh tidak boleh sengaja senyap sunyi tanpa membawakan hujjah balas, bantahan dan ingkaran terhadap bukti yang dibawa. ( Al-Mabsut, Al-Sarakhsi, 16/63; As-Syarh Al-Kabir, Ad-Dardir, 4/151)

BAGI KES DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM (DSAI)

Melihat perkembangan dalam kes DSAI, menurut pandangan Fiqh Islam tanpa campur tangan politik kepartian adalah seperti berikut :-

a. DSAI TIDAK WAJIB membalas dengan bersumpah bersihnya diri beliau kerana sumpah laknat yang dijalankan itu tidak sah.

b. DSAI juga TIDAK WAJIB menjawab atau respon kepada sumpah laknat yang dilakukan kerana ‘bayyinah’ belum dikemukan oleh pendakwa.

c. NAMUN, sumpah yang dilakukan dengan nama Allah dengan lafaz yang betul ( wabillah, wattallah) oleh Dato’ Eskay adalah sah di sisi hukum Islam. Sama ada sumpah itu datang dari fakta yang benar atau tidak, tiadalah kita perlu menolaknya secara mutlaq. Namun umat ISLAM masih TETAP TIDAK BOLEH MEMPERCAYAINYA kerana ia tidak dilakukan di dalam proses kehakiman mahkamah dan ia juga tidak menyeratkan saksi empat orang yang adil. Sesiapa yang menyebarkan tuduhan zina itu akan tertanggung ke atasnya hukuman qazaf, yang walaupun tidak dilaksana di dunia, bakal amat menyusahkan di akhirat.

d. Jika individu yang dituduh adalah orang kebanyakan yang TIDAK DIKENAL OLEH RAMAI, PASTINYA SUMPAH YANG DITUJUKAN KEPADANYA TIDAK PERLU DILAYAN SAMA SEKALI. Kerana itu semua tidak memberi kesan kepada keputusan hakim di dunia dan Allah. Itulah hokum asal dalam kes seperti ini.

e. NAMUN, hukum asal boleh berubah mengikut zaman dan situasi sehingga menghasilkan hukum pengecualian tertentu. Sebagaimana Rasulullah pernah membatalkan hasratnya untuk mengubah bentuk Ka''bah kepada asas yang didirikan oleh Nabi Ismail a.s disebabkan desakan keadaan masyarakat, iaitu kejahilan mereka, masih barunya dengan Islam dan belum bersedia untuk Ka’abah diperlakukan sedemikian. Rasulullah bersabda kepada Aisyah:

لو لا أن قومك حديثو عهد بشرك لبنيت الكعبة على قواعد إبراهيم

Ertinya : Sekiranya tidaklah kaummu itu baru-baru sahaja (keluar) dari zaman syirik (menyembah berhala) nescaya sudah tentu akan ku bina semula Kaabah di atas binaan asal nabi Ibrahim ( Al-Bukhari & Muslim)

JUSTERU, MENURUT PANDANGAN PERIBADI SAYA, disebabkan DSAI adalah seorang pimpinan politik tanahair yang besar, menggalas beban tanggungjawab gerakan perjuangan politik yang besar, dicampur dek kejahilan majoriti umat Islam dalam persekitaran Malaysia serta momokan media yang sentiasa memburukan lagi suasana, saya cenderung kepada DSAI PERLU BERSUMPAH dengan NAMA ALLAH MENAFIKAN BELIAU ADALAH INDIVIDU DI DALAM VIDEO SEKS YANG DIDAKWA, itu penting untuk menangkis sangka buruk masyarakat, bukan hanya terbeban ke atas dirinya selaku individu tertuduh, malah menjadi beban terhadap kepada seluruh ahli gerakan pakatan rakyat yang bersamanya serta masyarakat Malaysia lain yang melihatnya sebagai ketua pembangkang. yang terlibat dalam membentuk  minda dan masa hadapan masyarakat Malaysia. Sebagaimana pertimbangan dalam bab Maqasid Shariah menyatakan :-

درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Ertinya : Menolak keburukan didahulukan dari tindakan mensasarkan membawa kebaikan

Justeru, pada hemat saya, jika DSAI bersumpah dengan nama Allah, paling kurang ia mampu menyelamatkan keburukan yang lebih besar dalam masyarakat seperti bertambahnya individu yang di hukum qazaf di sisi hukum Islam, semakin melemahkan keyakinan terhadap gerakan Pakatan Rakyat di samping mampu meleraikan syak wasangka rakyat ‘atas pagar’.

Walau apa jua keputusan mahkamah, itu adalah suatu isu terasing dan boleh dihujjah atas lain-lain platform dan politik. Namun untuk membiarkan sumpah dengan nama Allah iu dibiar beredar di dalam masyarakat tanpa sebarang respon, bagi saya mudaratnya lebih besar, tanpa menafikan melayaninya dengan melakukan sumpah juga ada mudaratnya.

KESIMPULAN

Saya sedar, ahli politik yang melingkungi DSAI pastinya mempunyai pandangan pelbagai, memikirkan strategi, maruah yang mungkin dirasakan jatuh kerana seolah telah berjaya dipaksa untuk turut bersumpah dan sebagainya. Namun tulisan saya ini, benar-benar dari rasa hati sebagai seorang yang neutral, ahli akademik yang melihat perkembangan isu-isu semasa.

Saya berasa amat senang sekali selaku rakyat Malaysia jika DSAI boleh menyahut cabaran sumpah biasa tadi, tiada sebarang malu ditanggung walau terpaksa melakukan itu.

Perkara kedua, kita tidak mahu umat Islam mengambil cara bersumpah ini apabila sahaja ingin mendakwa sesuatu, kerana ia bukanlah cara yang betul dalam masyarakat Islam yang sepatutnya bediri di atas sifat kekuatan amanah dan jatidiri, tiada memerlukan kepada sumpah untuk menagih kepercayaan dan keyakinan.

Bahkan, kita bimbang teknik ini bakal digunakan oleh ramai penipu di luar sana untuk bersumpah bagi mendapatkan perhatian dan mencuri hak orang lain serta mengaibkan. Dari tiga jenis sumpah di dalam Fiqh Islam, sumpah dari penipu dan pencuri ini dinamakan ‘al-Yamin al-Ghamus’. Ditanya kepada Nabi apakah ‘Al-Yamin Al-Ghamus’ itu, baginda menjawab :

وما اليمين الغموس ؟ قال : الذي يقتطع مال امرئٍ مسلم هو فيها كاذب

Ertinya : Orang yang mengambil harta (hak, termasuk maruah dengan mengaibkan melalui qazaf) orang Islam lain (melalui sumpah) sedangkan dia adalah pembohong ( Riwayat Al-Bukhari)

Imam Az-Zahabi, Ibn Hajar Al-Asqalani  menghuraikan sumpah dari pendusta (yamin ghamus) ini merupakan salah satu dari dosa besar. Ghamus ertinya tenggelam dan Imam An-Nawawi menyatakan dalam 'Tahzib Al-Asma wa al-Lughaat', sumpah tersebut dinamakan ghamus kerana penyumpah tenggelam dalam dosa dan bakal ditenggelamkan di dalam neraka Allah di akhirat kelak. Di dalam Al-Quran, pendusta bersumpah dan menagih habuan dunia ini disebutkan sebagai:

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلاً أُوْلَـئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Ertinya : Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan menyucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih (Al-Imran : 77).

Justeru, penyumpah dusta ini perlu segera bertaubat dan jika ia telah mengambil hak orang lain melalui sumpahnya, WAJIBlah atasnya untuk memulangkannya.

 

Sekian

 

Zaharuddin Abd Rahman


www.zaharuddin.net

2 Mei 2011