Khamis, Disember 29, 2005

ALLAH SELAMATKAN JENAZAH MOHAMAD (Moorthy)

Kes Mohamad Moorthy:
Keputusan Mahkamah Syariah kekal
Jenazah selamat dikebumikan di Danau Kota dengan kawalan ketat polis dan tentera

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Hrkh dan Utusan)- Mahkamah Tinggi (Rayuan Khas) memutuskan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah terhadap kes Mohamad Abdullah (M Moorthy) tidak boleh dipertikaikan dan hendaklah dipatuhi. Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Mohd Raus Sharif yang membaca keputusan menyatakan, Mahkamah Tinggi tidak boleh campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berdasarkan kepada Perkara 121A (Perlembagaan Persekutuan).

"Hanya Mahkamah Tinggi Syariah yang ada kuasa untuk menentukan simati terkeluar dari Islam atau tidak," katanya ketika membuat hujah penghakiman.

Sehubungan dengan keputusan Mahkamah itu, jenazah Mohamad dikeluarkan dari bilik mayat Hospital Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang tadi.

Jenazah itu kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Danau Kota kira-kira jam 3 petang dengan kawalan ketat.

Dalam keputusannya, Mohd Raus menyatakan pihak Mahkamah Tinggi hanya meluluskan satu permohonan iaitu dalam perkara pertama permohonan keluarga simati, balu (Kaliammal) adalah sah sebagai seorang isteri kepada simati.

Sementara tuntutan menghalang mana-mana pihak menuntut mayat simati untuk dikebumikan secara Islam ditolak.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) diwakil peguam persekutuan, Fakhroul Azman Abu Hassan dan Hassan Abdul Rahman, sementara balu Allahyarham Mohammad, Kaliammal Sinnasamy diwakili peguam, M.Manokaran dan S.Sivanesan.

Begitupun, peguam yang mewakili Kaliammal, M.Manokaran dan S.Sivanesan menyatakan akan membuat satu lagi rayuan kepada Mahkamah Rayuan bagi menyemak semula perintah Mahkamah Tinggi Syariah.

Rayuan itu akan difailkan di Mahkamah Rayuan Putrajaya petang ini, kata Manokaran.

Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembagunan Komuniti (Impak), Haji Mahfuz Omar yang hadir dalam perbicaraan itu berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun beliau mempertikaikan ruang yang diberi untuk pihak pemohon membuat rayuan di Mahkamah Rayuan yang akan menjejaskan kredibiliti Mahkamah Tinggi Syariah.

Seharusnya dalam kes ini semua pihak patuh kepada keputusan yang dibuat berdasarkan Poerkara 121A (Perlembagaan Persekutuan).

"Meskipun pihak Maiwp kini boleh mengkebumikan jenazah, tetapi jika rayuan pihak pemohon diterima Mahkamah Rayuan, maknanya kubur akan digali semula.Ini merumitkan keadaan," katanya.

Suasana tegang ketika mahkamah mengumumkan keputusan tersebut.Malah ketika Kaliammal dibawa keluar dari mahkamah, wartawan tidak dibenarkan untuk mendekati beliau. Bagaimanapun suara berbentuk provokasi atau perkauman sedikitpun tidak kedengaran.

Sejurus perintah Mahkamah Tinggi hari ini, jenazah Moorthy dimandi dan disembahyangkan di HKL kira-kira pukul 2 petang.

Jenazah itu kemudian diiringi ke Taman Ibukota dengan kawalan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta selamat dikebumikan pada pukul 2.55 petang.

Urusan pengebumian dilakukan oleh JAWI dengan bantuan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) manakala majlis talkin dan tahlil diketuai oleh Imam Surau Al-Muhajirin Taman Selasih II, Bakri Abdul Rahman.

Kira-kira 200 umat Islam dan penduduk sekitar turut menghadiri pengkebumian itu.

Abang kandung Moorthy, Mohd. Hussin, 46, yang memeluk Islam bersyukur isu tuntutan mayat adiknya selesai secara baik. Beliau meminta keluarga isteri Moorthy supaya tidak membuat tuntutan lagi kerana jenazah adiknya telah selamat dikebumikan.

``Perkara ini sudah selesai. Tidak perlu buat tuntutan lagi kerana jenazah adik saya sudah selamat dikebumikan. Saya harap semua pihak akur kerana mahkamah sudah buat keputusan. Jika ada lagi tuntutan, ia sia-sia sahaja,'' kata Mohd. Hussin yang tinggal di Sabah, ketika ditemui selepas pengebumian adiknya di sini.

Mohd. Hussin yang nama sebelum Islam M. Sugumaran adalah satu-satunya keluarga terdekat Moorthy yang hadir dan sama-sama menyempurnakan jenazah berkenaan.

TAZKIRAH BUMI KEPADA MANUSIA

``Sesungguhnya setiap hari bumi menyerukepada manusia sepuluh perkara:

1. Wahai anak Adam! Berjalanlah di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimasukkan ke dalamnya kelak.

2. Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan diazab di dalam perutku.

3. Engkau ketawa di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan menangis di dalam perutku.

4. Engkau bergembira di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan kecewa di dalam perutku.

5. Engkau mengumpul harta di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan menyesal di dalam perutku.

6. Engkau makan benda yang haram di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimakan oleh ulat di dalam perutku.

7. Engkau angkuh di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dihina di dalam perutku.

8. Engkau berlari dengan riang di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan jatuh di dalam perutku dalam keadaan dukacita.

9. Engkau hidup di dunia bersiramkan cahaya matahari, bulan dan bintang di belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan tinggal dalam kegelapan di dalam perutku.

10. Engkau hidup di atas belakangku beramai-ramai, tetapi ingatlah! Engkau akan keseorangan di dalam perutku."