Sabtu, Februari 27, 2010

TEMUI ISLAM MENERUSI SAINS

Pagi tadi, bersempena Karnival Maulidur Rasul, Masjid Tengku Sulaiman Ketari menjemput seorang doktor yang baru memeluk Islam, Dr Mohd Siv Azhar Merican Abdullah. Beliau yang berkhidmat sebagai seorang timbalan pengarah sebuah hospital menyampaikan kuliah subuh sebagai satu perkongsian pengalamannya menemui hidayah Allah.

Bapanya beragama Hindu dan ibunya Budha. Berusia awal 30-an, Dr Azhar mengaku beliau seorang yang kuat berpegang kepada agama Hindu suatu ketika dahulu. Setiap pagi, sebelum pergi ke hospital, beliau terlebih dahulu mengunjungi kuil untuk bersembahyang dan berdoa. "Saya memohon doa agar keputusan yang saya berikan dalam merawat pesakit menjadi keputusan yang dirahmati."

Beliau yang nama asalnya Siva Saravana Kumar pernah mengkaji agama Kristian dan kitab Bible, namun hatinya lebih tertarik dengan kebenaran Islam dan Al Quran. Ketika ditanya oleh Timbalan Qadhi, sebab yang mendorong beliau memeluk Islam, jawapannya ringkas sahaja, "Saya seorang doktor..."

Menerusi kuliah subuh pagi tadi, Dr Azhar menjelaskan, ketika mengkaji Al Quran, beliau mendapati di dalamnya terdapat fakta yang hampir sama ditemuinya dalam Bible. Namun Al Quran mengandungi ilmu yang lebih menakjubkan. Walaupun ia diturunkan lebih 14 kurun lampau, namun fakta sains di dalamnya sama seperti apa yang dipelajarinya di fakulti perubatan beberapa tahun sebelum menjadi doktor.

"Setelah kebenaran saya temui di dalam Al Quran, apa yang saya perlu tunggu lagi. Saya segera memeluk agama ini," ujar beliau yang menyebabkan hati-hati para hadirin tersentuh.

Suatu yang menakjubkan, walaupun baru beberapa hari memeluk Islam, namun setiap kali beliau singgah di mana-mana surau untuk bersolat, pasti ada hamba Allah yang mempelawanya menjadi imam. Dr Azhar kehairanan. Bagi saya ia tidak menghairankan. Mereka yang suci dan bersih di sisi Allah akan terpancar cahaya pada wajahnya. Setelah mengucapkan dua kalimah syahadah, segala dosanya yang lalu diampunkan Allah. Beliau bagaikan baru lahir semula tanpa menggendong sebarang dosa. Failnya adalah fail baru....

Kini beliau sangat memerlukan bimbingan, sokongan dan tunjuk ajar agar menjadi seorang Islam yang baik. Bersama kita doakan agar Dr Azhar istiqamah dan terus menjadi salah seorang ahli keluarga kita hingga ke hari qiamat.




Jumaat, Februari 26, 2010

SERUAN INTIFADHAH KE3

- MASJID AL AQSA CUBA DIROBOH
- MASJID NABI IBRAHIM DIRAMPAS
- MASJID BILAL BIN RABBAH DICEROBOH
- KOMANDER AL MABHUH DIBUNUH

Gerakan Kebangkitan Islam Palestin (HAMAS) menyeru supaya digerakkan kebangkitan besar (intifadhah) ke-3 berikutan tekanan rejim Zionis yang semakin meningkat.

Dalam perkembangan terkini, pihak penjajah (kerajaan dan rakyat pendatangnya) sedang menggerakkan dengan serius gerakan yang mereka namakan sebagai Pergerakan Mengembalikan Kesan-kesan Sejarah Yahudi'. Secara fizikal, mereka mula masuk dan menguasai beberapa tempat suci umat Islam dan Kristian yang mereka dakwa sebagai tempat sejarah Yahudi.

Gerakan yang berpusat di pejabat Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu itu menyenaraikan 150 tempat suci umat Islam yang bakal dirampas oleh mereka termasuk Masjidil Aqsa dan Gereja Al Qiamah milik Kristian.

Senarai berkenaan yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia bakal dikemukakan kepada UNESCO untuk mendapat pengiktirafan sebagai tempat bersejarah Yahudi.

Di bandar Al Khalil (Hebron) pendatang Yahudi masuk dan menguasai 70% bahagian dalam Masjid Nabi Ibrahim.

Dalam pada itu agensi berita Naba' mendedahkan satu projek mega fasa baru iaitu menggali di bawah Masjidil Aqsa. Dalam siaran berita pada 25 Februari lalu, wartawan Naba' menyaksikan kerja-kerja mengorek trowong, membina jambatan, laluan pejalan kaki dan membawa masuk kabel elektrik di bawah Masjidil Aqsa sebelah barat, iaitu di bahagian tembok Buraq.

Sejak sekian lama, Israel cuba membuat trowong berkenaan dengan tujuan untuk meruntuhkan Masjidil Aqsa dari bawah.

Perkembangan terbaru ini menyebabkan umat Islam di Tebing Barat bangkit menyatakan bantahan terutama selepas pembunuhan komander Hamas, Mahmud Abd Rauf Al Mabhuh 19 Januari lalu.

Apa yang mendukacitakan, dalam menghadapi pencerobohan Yahudi dan penguasaan mereka ke atas tempat suci umat Islam ini, pasukan keselamatan Fatah dilihat bukan sekadar tdak bertindak menghalang pengganas Yahudi, bahkan mereka sentiasa mengawal tempat-tempat berkenaan daripada dimasuki oleh orang Islam.

Mereka muncul di tempat-tempat bantahan umat Islam lantas menghalang umat Islam dan memukul para siswa yang terlibat membantah tindakan kejam Yahudi.

Keyakinan rakyat kepada Fatah untuk menangani masalah mereka kini terhakis dan mereka sedang bersedia melancarkan INTIFADHAH Ke3. Allahu Akbar.

Selasa, Februari 16, 2010

KAREKATOR 1001 MAKNA

Kadang-kadang, terasa terlalu sukar untuk menjelaskan sesuatu isu dengan mengungkapkan kata-kata. Namun menerusi gambar, ia menjelaskan 10o1 perkara. Beberapa orang karyawan Arab seperti Umiyyah Juha, Dr Ala' Al Laqtah dan lain-lain merupakan tokoh hebat dalam menjelaskan isu Palestin kepada dunia menerusi karekator mereka.

Ummayyah Juha menggambarkan betapa sukarnya rakyat Palestin (Gaza) hendak memperoleh bekalan makanan menerusi laluan bawah tanah yang mereka gali. Juga menggambarkan betapa zalimnya sakan sebangsa mereka, Mesir yang cuba menyekat dengan menanam cerucuk besi di sepanjang sempadan Gaza-Rafah.

... juga digambarkan sikap berpura-pura Mesir yang kononnya bersimpati terhadap nasib umat Islam Gaza, namun dalam masa yang sama, merekalah yang 'mengurung' rakyat Gaza...



... peranan negara Arab yang semakin hari semakin meningkatkan tekanan ke atas Palestin...

... satu negara, dua penjara... Gaza dipisahkan dari Tebing Barat...
... harapan rakyat Palestin agar rejim Zionis akan berkubur di bumi ini...

Dunia sering memandang serong... Yang jahat dikatakan baik, yang baik dikatakan jahat...

Perjuangan mempertahankan kedaulatan Masjidil Aqsa tetap diteruskan biarpun terpaksa mengorbankan nyawa...

"Nyawa dan darah kami korbankan untukmu Ghazzah."

Rabu, Februari 10, 2010

JANGAN ZALIM SEKALIPUN TERHADAP MUSUH

Surah Al Maidah dikenali sebagai salah satu surah yang banyak membicarakan soal hukum hakam. Malam ini saya menyampaikan kuliah tafsir ayat 7 hingga ayat 11. Ia membicarakan soal keadilan.

Allah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya menjadi pejuang dan penegak (qawwamin) keadilan. Allah juga mengingatkan kita supaya jangan berlaku zalim hanya disebabkan kita benci kepada sesuatu kaum.

Para mufassirin meriwayatkan bahawa ayat ini diturunkan bersempena peristiwa Bani Nadhir. Mereka diperentah keluar dari kota Madinah kerana cuba mengkhianati Nabi SAW. Setelah dikepung selama 6 malam akhirnya kaum Yahudi Bani Nadhir bersetuju keluar dari kota mereka dan meminta izin daripada Nabi SAW untuk membawa bersama harta mereka sekadar yang boleh muat di atas belakang unta.

Nabi mengizinkan. Namun ada sahabat yang merasa lebih baik mereka dibunuh sahaja. Ini kerana sebelum ini mereka cuba untuk membunuh Nabi dengan merancang melemparkan batu besar ke atas kepala baginda.

Namun Allah menegur mereka, "Janganlah disebabkan kebencian kamu kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kamu kerana ia lebih hampir kepada taqwa."

Ayat ini juga dikaitkan dengan peristiwa Hudaibiah. Dalam peristiwa ini umat Islam merasa tidak puas hati dengan tindakan kaum musyrikin menghalang mereka dari menunaikan ibadat umrah. Justeru ada di antara mereka yang berfikir ingin memerangi kaum musyrikin walaupun perjanjian Hudaibiah sudah dimetrai.

Maka ayat ini mengingatkan supaya jangan bertindak zalim disebabkan kebencian kepada golongan musyrikin.

Sejak dahulu hingga kini, kaum Yahudi sentiasa bimbang dengan keselamatan mereka. Maka di sepanjang sejarah, mereka hidup di dalam kota dan tembok yang didirikan kukuh.... (Biasalah, orang yang suka buat jahat pasti hidup tak tenang. Sentiasa rasa ada orang nak balas dendam...)

Selasa, Februari 02, 2010

PENTOMEN 250 USTAZ DAN 89 MASJID


Isnin lalu (1 Februari) semua guru agama yang berkhidmat di sekolah-sekolah kerajaan di daerah Bentong berhimpun di Dewan Besar SMK Seri Bentong, Karak bagi menghadiri majlis yang dimasyhurkan sebagai Multaqa Guru Agama Daerah Bentong anjuran Pekdis (Pertubuhan Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah-sekolah Malaysia Cawangan Pahang.

Rupa-rupanya ramai juga jumlah guru-guru agama di daerah ini. Ketua Unit Operasi Dakwah, Sektor Pendidikan Islam JPNP, Tuan Haji Ahmad Hamizi Abu Hasan di dalam ucapannya menyebut, jumlah guru-guru agama di daerah ini melebihi 170 orang.

Itu baru jumlah mereka yang bertugas di sekolah kerajaan pusat. Belum masuk sahabat-sahabat yang bertugas di sekolah menengah agama negeri, kelas KAFA, SAR dan yang berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah, Pusat Kutipan Zakat serta ustaz-ustazah yang bekerja sediri.dan yang sudah bersara. Jika bilangan mereka separuh dari bilangan ustaz ustazah di sekolah kerajaan, pastinya angka para ustaz ustazah mencecah 250 orang di daerah ini.

Ketika Ustaz Hamizi dan Ustaz Mohammad Awang Nit menyampaikan ucapan, fikiran saya menerawang ke seluruh pelusuk daerah ini. Betapa ramainya guru agama.... dan betapa sukarnya hendak mendapatkan khidmat mereka untuk membuat pengisian di masjid dan surau.

Saya teringat bagaimana seorang ajk masjid merajuk apabila saya tidak dapat memenuhi undangannya untuk menyampaikan kuliah maghrib secara mingguan di masjidnya. Alasan saya mudah, saya hanya ada 7 hari seminggu. Andaikata saya memiliki hari ke lapan, insya Allah saya akan penuhi jemputan berkenaan. Ertinya jadual saya terlalu padat. Namun bagi pihaknya, dia kecewa kerana sangat sukar untuk mencari ustaz yang boleh memberikan pengisian ilmu secara mingguan.

Saya segera menghantar SMS kepada rakan yang bertugas di Pejabat Agama Islam bertayakan bilangan masjid di daerah ini. Alhamdulillah, jawapan segera saya peroleh; 25 masjid, 64 surau. Ertinya sebanyak 89 buah rumah Allah didirikan dalam daerah Bentong. Kita genapkan sahaja kepada bilangan 90.

Saya cuba bahagikan 250 orang guru agama dari pelbagai sektor dengan 90 buah masjid dan surau. Jawapannya ialah 2.7. Ertinya dengan bilangan guru agama seramai ini, jika diagih-agihkan, setiap masjid akan mendapat antara dua dan tiga orang guru yang boleh menghidupkan kelas fardhu ain, kuliah Maghrib, kuliah subuh dan sebagainya.

Andai ini terjadi, maka semua masjid dan surau akan hidup ceria dengan majlis ilmu. Kejahilan masyarakat terhadap hukum hakam agama akan berjaya di atasi insya Allah. Malangnya, ini hanya teori.

Ke mana perginya angka 250 orang ini pada musim-musim sambutan Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Isra' Mi'raj dan sebagainya. Ustaz dan ustazah yang sama berulang kali dijemput. Ada masjid yang terpaksa menghubungi pejabat agama untuk mendapatkan khidmat penceramah.

Mungkin ada yang berkata, "Kome takde bakat. Tak reti ceramah..." Kalaulah ini alasan yang sebenar, ke mana mereka menghilangkan diri sewaktu majlis ilmu diadakan di masjid. Dengan ungkapan mudahnya, kalau tak tahu mengajar, belajarlah.

Kalaupun tak mahir menyampaikan ceramah/kuliah, takkan tak boleh bantu jadi imam, megepalai bacaan Yasin dan tahlil, atau setidak-tidaknya tolong tok siak sapu taik cicak! Ini sesetengahnya, langsung tak nampak muka kecuali tengahari Jumaat.

Ada juga yang memberi alasan, "Koi malas ngat gi masjid ni... Tok imam baca tak betul langsung. Makhraj tak kena. Dengung tak menjadi... bla.. bla..." Subhanallah, kalau itulah alasan, ayuh tampilkan diri anda ke masjid. Anda orang yang bijak, bacaan anda 'mantop'. Silakan ke hadapan. Jangan jadi orang yang hanya pandai komplain, tapi tidak mahu bertindak.

Sesekali, sedih juga melihat masjid dipenuhi orang-orang jahil yang cintakan ilmu Islam, sedangkan si alim rela melepak di warung tomyam pada waktu Maghrib.

Apapun, di sini suka saya merakamkan ucapan tahniah kepada rakan-rakan di Bentong yang istiqamah dalam aktiviti dakwah di samping ada yang turut memegang amanah besar menguruskan masjid dan surau.

Tahniah saya ucapkan kepada Ustaz Shahrum (SMK Sulaiman) yang terjun ke dalam masyarakat dan diamanahkan sebagai pengerusi surau berhampiran rumahnya. Tahniah sahabat saya Ustaz Mustapha Faidzul Hamli (SKTF) yang ke hulu ke hilir setiap malam menggalas kitab menyampaikan kuliah di masjid-masjid. Begitu juga dengan rakan saya Ustaz Zubir (SMTTAA) yang turut aktif menyampaikan kuliah. Tahniah buat junior saya (zaman sekolah dulu), Ustaz Mokhtarudin (SMA Pelangai) dan Ustaz Shahrul Nizam (SMK Seri Bentong) yang sentiasa memberikan komitmen yang baik dalam aktiviti dakwah.

Tidak dilupakan, boss saya, Ustaz Haji Amad Hamizi Abu Hasan (Ketua UOD). Walaupun kini berada di kerusi empuk JPNP, namun masih berkesempatan membimbing masyarakat di luar sana menerusi aktiviti forum, ceramah dan sebagainya. Juga sahabat-sahabat lain yang tidak sempat saya catatkan nama mereka di ruangan ini. Tahniah buat semua! Siiru 'ala barakatillah.

Kepada yang lain.... Renung dan bayangkan andai semua anda bergerak seperti sahabat-sahabat kita ini, menghidupkan masjid sebagai pusat ibadah dan pusat ilmu serta memberikan kesedaran kepada masyarakat supaya kembali menghidupkan suasana kehidupan Islam, alangkah berutungnya orang Bentong!

Guru-guru agama perlu bertindak segera. Ubah paradigma. Pekdis yang baru saya kenali perlu memantapkan aktivitinya. Jangan hanya jadi seperti koperasi kampungan. Jadikan ia sebagai platform serius untuk melatih guru-guru agama terjun ke tengah masyarakat.