
Umat Islam sekarang sedang berada dalam zaman fitnah. Berbagai kumpulan baru muncul membawa ideologi masing-masing. Hanya dengan sebab sedikit perbezaan dalam masalah furu', ada pihak yang sanggup membuka pintu perpecahan di kalangan umat Islam.
Perbezaan pendapat yang kecil, kadang-kadang menyebabkan berlaku pergaduhan dan pertempuran yang besar hingga sanggup berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Di Palestin contohnya, ketika dunia Islam berdukacita di atas pertembungan yang sering berlaku di antara kumpulan pejuang Islam Hamas dan golongan sosialis Fatah, tiba-tiba muncul kumpulan Abdul Latif yang lengkap bersenjata mengisytiharkan sebuah negara Islam.
Puncanya hanya kerana tidak puas hati Hamas masih membuka ruang perbincangan dengan Rejim Israel. Hasilnya berlakulah pertempuran sesama kaum muslimin yang menyebabkan 22 kematian pada Jumaat, 7 Ogos lalu.
Jika masing-masing faham soal ikhtilaf dalam Islam, faham mana perkara yang perlu kita bertegas dan mana perkara yang ada ruang toleransi, maka insya Allah perkara ini boleh dielakkan.
Imam As Syafie Rahimahullah, bercanggah pendapat dengan Imam Abu Hanifah dalam banyak perkara khususnya dalam masalah fiqh. Namun perselisihan ini terbina atas dasar ilmiah Ia tidak sampai menyebabkan berlakunya permusuhan di antara ke dua-dua orang tokoh ini.
Justeru, ketika berkunjung ke Iraq yang rata-rata penduduknya bermazhab Hanafi, Imam As Syafie menunaikan solat mengikut cara yang diajar oleh Abu Hanifah. Apabila ditanya, beliau menjawab, "Aku buat begini sebagai satu penghormati kepada penghuni kubur ini (Abu Hanifah)."
Ada juga masalah ikhtilaf fiqh ini yang memberikan kebaikan kepada ummah. Contohnya dalam bab melontar Jamrah Aqabah. Ada yang mengatakan boleh melontar selepas tergelincir matahari hari ke 10. Ada yang kata selepas subuh dan ada juga yang mengatakan kalau melontar pada sebelah malamnyapun tidak mengapa. Hikmahnya berlaku khilaf di sini ialah, cuba bayangkan apa akan jadi jika semua mazhab mengatakan hanya boleh melontar selepas tergelincir matahari. Apa akan terhadi? Sudah pasti berlaku pertembungan, tolok menolak dan sebagainya yang akan menyebabkan berlakunya kematian di kalangan umat Islam.
Justeru, bukan semua ikhtilaf itu buruk, jika ia digarap dengan betul.














