Rabu, Mac 02, 2011

HUKUM HISAP SYISYA ATAU HOGAH

Ramai bertanya tentang hukum syisya atau hoqah. Jawapan saya mudah, jika rokokpun sudah difatwakan haram oleh para ulama', maka syisya adalah lebih haram kerana mudharatnya lebih besar.

Dalilnya jelas, لا ضرر ولا ضرار. Maka setiap yang memudharatkan adalah haram. Membazir juga haram.


Jika ada yang mengatakan, "Kita kena meraikan khilaf," maka saya akan menjawab seperti jawapan Dr Yusuf Al Qardhawi, "Dahulu, ulama berkhilaf pandangan tentang hukum rokok kerana tiada kajian terperinci mengenai mudharatnya. Jika ulama' dahulu bertemu kajian saintifik tentang mudharatnya rokok, saya percaya semua mereka akan mengatakan rokok adalah haram."


Bagaimanapun, saya tertarik dengan sebuah artikal yang saya temui dalam sebuah blog berkenaan dengan kemudharatan syisya dan hukumnya. Berikut kita kongsikan bersama:

_____________________________________________________________


Syisya; satu kajian

Gabungan pena:

Amli bin Asenar

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah

Nik Abdullah Afif bin Nik Mohamed

Kuliah Perubatan Universiti Ain Shams

Mohd Nurul Hisyam Mohamed

Kuliah al-Quran Tanta Universiti al-Azhar

Etymology (asal-usul perkataan)

Syisya (juga dikenali dengan pelbagai nama yang lain) adalah sejenis alat yang digunakan untuk mengeluarkan asap (smoking) menggunakan penuras air dan haba tak langsung. Ia boleh digunakan bagi menghisap berbagai bahan seperti herba buah, tembakau, dan ganja.

Syisya turut dikenali dengan nama yang berbagai seperti paip panjang, nargeela, nargile, narghile, nargileh, argeela, arghileh, shisha, sheesha, okka, kalyan, atau ghelyoon, ghelyan. Bergantung kepada perbezaan geografi. Nama-nama ini berasal dari perkataan Arab, India, Turki, Uzbekistan, dan juga Parsi. Narghile (نارجيله) berasal dari perkataan Parsi ‘nargil’ bermakna kelapa dan dalam bahasa sanskrit; paip yang asal, datang dari India dan diperbuat daripada kulit kelapa.

Manakala syisya ( شيشة )pula berasal dari perkataan Parsi (maknanya gelas, bukan botol). Hashish(( حشيش pula adalah perkataan arab yang membawa makna ‘rumput’, yang diistilahkan sebagai satu panggilan kepada tembakau.

Terdapat sumber lain menyatakan, dalam teks awal Arab, perkataan ‘hashish’ tidak hanya merujuk kepada cannabis resin (damar ganja) tetapi juga bermakna daun kering atau bunga dan manisan yang dicampur dengannya.

Hookah (Arab = حقة, Urdu = حقه ) pula pada dasarnya adalah perkataan Arab yang bererti kotak kecil, pasu ataupun jag. Perkataan narghile banyak digunakan di Turki, Lubnan, Syria, Iraq, Jordan, Greece, Cyprus, Albania, Palestine, Israel dan Romania. Namun kita akan dapati huruf pertama ‘n’ dalam perkataan narghile selalunya tidak dibunyikan di negara-negara Arab. Seterusnya syisya pula lebih diguna pakai di Egypt, Morocco, Tunisia, Arab Saudi dan Somalia. Di Iran ia dikenali sebagai ghalyoun atau qalyan ( قليان ) dan di Pakistan juga India ia dipanggil ‘huqqa’. Walaubagaimanapun, perkataan hookah lebih banyak digunakan dalam Bahasa Inggeris memandangkan India sebagai negara asal aktiviti ini mempunyai ramai penduduk yang boleh berbahasa Inggeris.

Bentuk dan Fungsi

Terdapat empat komponen syisya yang asas :

1) Ruang asap : separuh ruangnya diisi dangan air.

2) Mangkuk atau kepala : mengandungi tembakau, alat yang digunakan untuk memanas, diletak di bahagian atas.

3) Paip dasar : menghubungkan mangkuk ke dasar

4) Paip : menghubungkan mangkuk ke dasar

Bahagian-bahagian asas ini tidak mempunyai fungsi yang bervariasi, namun mungkin terdapat perbezaan dari segi bentuk, seperti alat pemanas yang digunakan untuk membakar. Bahan yang selalu digunakan adalah arang, tetapi di Arab Saudi dan negara Teluk Parsi, pemanas elektrik adalah lebih popular.

Apabila seseorang menyedut udara dari tiub, satu tekanan berbeza akan memaksa udara dalam ruang asap arang, memanaskan tembakau, dan menghasilkan asap. Asap itu kemudiannya ditarik ke bawah dari tembakau, menyebabkan proses pembuihan dalam air (seperti menggelegak) dan keluar ke permukaan udara dalam ruang asap. Seterusnya ditarik melalui paip penyedut dan masuk ke tubuh penyedut. Tembakau yang digunakan (dikenali juga dengan tobamel atau ma’asal) diperbuat daripada siatan tembakau dan dicampur dengan pemanis seperti madu dan halwa atau buah separuh kering.

Pada asalnya tembakau yang dicampur dengan bahan pemanis tadi adalah untuk membentuk jurak; sejenis lembapan tembakau yang tidak berasa. Perasa tembakau buah yang popular pada hari ini bermula pada akhir 1980, apabila syarikat tembakau Mesir mencubanya sebagai satu cara untuk menjual produk mereka kepada golongan wanita. Pembuatan kontemporari pula telah mula menggunakan gliserin (sejenis cecair likat dan manis yang digunakan dalam perubatan) sebagai bahan utama pemanis memandangkan faktor kualiti pelembap dan pemanis, menjadikan tembakau mempunyai perisa yang pelbagai.

Pada hari ini tembakau syisya boleh didapati dalam perisa buah, ekstrat bahan neutral, dan perasa-perasa yang dibenarkan. Antara perisa tersebut: epal, strawberi, ros, mangga, cappucino, vanilla, kelapa, cherry, anggur, pisang, kiwi, blueberry, kopi arab, campuran buah-buahan, tembikai, oren, dan banyak lagi.

Keluasan Aktiviti

Aktiviti menghisap syisya pada hari ini boleh didapati tidak hanya di negara-negara Arab dan Timur Tengah, bahkan ia telah pun sampai ke Eropah, Asia, dan negara Afrika. Di Amerika terdapat ‘bar’ yang khusus menyediakan khidmat syisya ini. Kebanyakannya adalah berdekatan dengan kampus dan kolej-kolej pengajian. Aktiviti ini begitu popular di kalangan pelajar kolej muslim yang mencari alternatif lain untuk tidak minum arak. Di Sepanyol, aktiviti ini menjadi semakin popular. Syisya dan hookah ini boleh didapati di kedai-kedai kopi yang diusahakan oleh imigran muslim. Di Moscow dan bandar-bandar di Russia, khidmat ini tedapat di bar-bar yang menyediakan bahagian khas untuknya.

Jarang sekali dapat ditemui khidmat ini di restoren India di Britain. Ia banyak diusahakan oleh restoran Lubnan dan bar Mesir di sana.

Manakala di Jerman pula, aktiviti ini secara khususnya di Berlin, boleh didapati di kawasan-kawasan yang populasi penduduknya berasal dari Turki. Selain itu, Pakistan dan Afghanistan, dua negara Asia ini juga tidak terlepas dari terkena bahang hookah dan syisya. Di sini kita boleh lihat anak-anak muda boleh menghisap syisya secara meluas. Malaysia juga telah memperlihatkan peningkatan dalam penggunaan syisya dan kafe-kafe yang menyediakan perkhidmatan paip syisya.*

Dari sudut kesihatan

Apakah kandungannya?

  1. Tembakau
  2. Sirap pekat dari buah-buahan
  3. Arang

Adakah sama dengan rokok? Jika tidak, apa bezanya?

Kandungan asas bagi rokok dan sheesha adalah sama – tembakau. Perbezaan rokok dan sheesha ialah pada cara penyediaan(rawatan). Tembakau yg digunakan untuk rokok diasapkan terlebih dahulu sementara tembakau yang digunakan untuk sheesha diperam.

Apakah ia memberi kesan negatif kepada tubuh?

Soalan ini sudah diketahui umum jawapannya. Sesetengah jenis tembakau mempunyai kandungan nitrat serendah 0.9%(Neurath & Ehmke, 1964; Wynder & Hoffmann, 1967). Asap yang dihasilkan dari pembakaran menghasilkan nitrogen oksida yang bertindakbalas dengan arang dan lain-lain kandungan menghasilkan aromatic amines. Perokok menyedut aromatic amines seperti contoh N-nitrosodimethylamine, N-nitrosodiethyl-amine antara carcinogens (bahan yang menyebabkan kanser) dalam kuantiti yang banyak. Ini dapat menerangkan mengapa perokok (rokok, sheesha dll) mempunya risiko yang lebih tinggi untuk mendapat barah. Selain dari barah, perokok juga berisiko tinggi untuk mendapat penyakit-penyakit seperti sakit jantung, asthma,darah tinggi, katarak,sakit paru-paru, penyakit gusi dan 1001 penyakit lagi. Bagi lelaki, merokok dapat menjurus kearah kemandulan dan kegagalan alat kelamin untuk berfungsi.
 
Apakah simptomnya?
Secara ringkas perokok akan mengalami sesak nafas, mudah letih, berdebar-debar dan banyak lagi.
 
 
Adakah ia memberi kesan kepada psikofisiologi
Nikotin adalah sejenis perangsang sistem saraf yang digunakan secara meluas, kedua paling banyak digunakan selepas caffeine- kandungan dalam kopi. Dan kedua paling banyak disalahgunakan selepas alkohol.
 
Adakah kandungan syisya digunakan dalah perubatan?
 
Kandungan aktif tembakau- nikotin tidak digunakan di dalam perubatan kecuali dalam terapi bagi perokok untuk berhenti merokok.
 
Sesuaikah ia menjadi alternatif rokok?
Tidak. Cara terbaik untuk menggantikan rokok ialah tidak merokok.

Kesan negatif terhadap tubuh

Sebagaimana yang telah diterangkan, tembakau mengandungi nikotin. Nikotin ialah sejenis bahan yang boleh menyebabkan ketagihan (seperti heroin dan kokain). Ini dapat dibuktikan dengan 3 bukti kukuh:

· bila ia diambil dalam amaun yang sedikit, ia memberi rasa yang menyenangkan dan menyebabkan perokok mahu merokok lagi

· lama kelamaan perokok akan menjadi ketagihan dan bergantung kepada nikotin dan mengalami simptom (withdrawal symptom) seperti resah apabila tidak dapat merokok, sakit kepala, susah tidur

· disebabkan nikotin adalah sejenis dadah kepada sistem saraf, ia akan menjejaskan mood perokok

Dalam dos yang besar, nikotin adalah racun yang membunuh seseorang dengan menghentikan otot pernafasan. Bezanya, perokok biasanya mengambil nikotin dalam amaun yang sedikit dan tubuh masih mampu menyahkan nikotin dari tubuh.

Nikotin membuatkan seseorang yang baru mula merokok atau perokok yang merokok terlalu banyak menjadi loya dan pening. Degupan jantung bagi perokok yang muda akan meningkat sebanyak 2-3 degupan per minit. Nikotin juga menjadikan kulit menjadi sejuk dan mengurangkan pengaliran darah ke kaki. Ia juga dapat meningkatkan risiko sakit jantung dan strok. Nikotin ialah sejenis dadah yang menjadikan salur darah mengecut. Kebanyakan pakar bedah tidak mahu membedah pesakit yang mempunyai masalah pada salur darah periferi kecuali mereka berhenti merokok.

Pembakaran tembakau juga menghasilkan gas beracun seperti nitrogen oksida dan karbon monoksida.

Bagaimana kesan sheesha atau rokok kepada paru-paru?

Kerosakan paru-paru adalah antara perkara yang mula-mula terjadi kepada perokok, dan kesemua paru-paru perokok berfungsi dengan kurang baik berbanding orang yang tidak merokok. Merokok dapat menyebabkan beberapa penyakit paru-paru sebagai penambahan kepada kanser paru-paru. Radang paru-paru kronik– satu penyakit di mana salur udara menghasilkan mucus (kahak) yang berlebihan, menyebabkan perokok batuk lebih kerap – perkara yang biasa terjadi kepada perokok.

Merokok, tidak kira sheesha atau rokok biasa adalah sebab utama sejenis penyakit yang dinamakan emphysema – sejenis penyakit yang secara perlahan-lahan memusnahkan kebolehan seseorang untuk bernafas. Oksigen perlu melalui permukaan dalam paru-paru yang luas. Secara normal, terdapat beribu-ribu ‘pundi’ atau ‘kantung’ dalam paru-paru seseorang. Dalam pesakit yang menghidapi emphysema, ‘kantung’ ini akan bersatu – menjadikan kantung itu semakin besar, tetapi mungurangkan bilangan ‘kantung’ yang ada. Lama kelamaan luas permukaan dalam paru-paru menjadi semakin kecil dan menyebabkan seseorang itu tercungap-cungap semasa bernafas.

Simpton awal emphysema ialah sukar bernafas (terutamanya bila berbaring), batuk ringan yang kronik, cepat berasa letih, dan turun berat badan bagi sesetengah orang. Seseorang yang menghidap emphysema mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat pelbagai komplikasi, kesan dari paru-paru yang gagal berfungsi dengan baik. Sebagai contoh – Pneumonia. Lama kelamaan, pesakit yang mendapat emphysema perlu bernafas menggunakan tiub yang dipasang pada hidung. Proses ini tidak dapat diubati kembali kepada normal, tetapi dapat diperlahankan dengan berhenti merokok. Berhentilah merokok dari sekarang.

Bagi mereka yang menghisap sheesha dirumah, merokok dapat memberi kesan kepada isteri dan anak-anak mereka. Isteri dan anak-anak yang tidak merokok secara terus dikenali sebagai perokok pasif. Kesan asap sheesha atau rokok ini amat berbahaya kepada wanita terutamanya wanita mengandung. Kesan asap rokok terhadap wanita mengandung dapat menyebabkan keguguran, lahir tidak cukup bulan, bayi tidak cukup berat dan sindrom kematian bayi mengejut (sudden infant death syndrome).

Bila wanita mengandung terdedah kepada asap rokok, bahaya ini bukan sahaja kepada si ibu, bahkan memberi kesan kepada bayi. Nikotin dan karbon monoksida masuk ke dalam darah si ibu, memberi kesan secara terus kepada bayi, menghalang bayi dari mendapat zat dan oksigen yang mencukupi yang diperlukan dalam proses pembesaran.

Susu badan ibu adalah pilihan terbaik untuk bayi. Namun bagi wanita yang menyusukan bayi, yang terdedah kepada asap rokok, susu badan yang dihasilkan oleh mereka turut mengandungi racun. Nikotin dalam susu badan ibu boleh menyebabkan pelbagai simptom kepada bayi seperti gelisah, degupan jantung yang laju, muntah, atau cirit birit.

Sheesha dapat memberi kesan jangkamasa pendek dan jangkamasa panjang. Antara kesan jangkamasa panjang, merokok adalah punca utama bagi penyakit-pemyakit seperti: Jantung, aneurysms, emphysema, radang paru-paru, strok, menjadikan asthma dan pneumonia lebih teruk. Kesan jangkamasa pendek pula ialah kegagalan paru-paru untuk berfungsi dengan baik. Maka dapat diperhatikan perokok sering menghadapi masalah semput, batuk dan mudah letih bila melakukan aktiviti fizikal. Selain itu, juga dapat diperhatikan dari perokok, mereka mengalami masalah-masalah lain seperti kurang deria rasa dan bau, kulit berkedut pada usia muda, nafas berbau, gigi kuning, dan yang paling penting bagi lelaki, dapat menyebabkan kemandulan dan kegagalan alat kelamin untuk berfungsi dengan baik.

Ada yang mengatakan sheesha lebih selamat berbanding rokok. Ini tidak benar, malahan sheesha lebih bahaya berbanding rokok dari pelbagai segi termasuk dari segi penyediaannya. Air dalam sheesha tidak dapat menapis banyak jenis toksin yang terkandung dalam asap sheesha. Sheesha juga mengandungi nikotin, karbon monoksida dan lain-lain bahan seperti rokok biasa. Bahkan arang yang digunakan mendap dalam salur pernafasan dan meningkatkan masalah paru-paru kepada lebih teruk berbanding rokok biasa yang juga berbahaya dari segi bahan pengawet yang digunakan untuk mengawet dan merawat tembakau dalam rokok. Bagi mereka yang menghisap sheesha dikedai kopi, perkongsian paip sheesha juga mendedahkan mereka kepada bahaya lain. Mereka akan terdedah kepada pelbagai jenis penyakit yang merebak melalui air liur. Penyakit yang biasa kita dengar, berjangkit akibat berkongsi sheesha adalah TB. Tidak hairanlah jika kes TB di Mesir menjadi satu kebiasaan di semua hospital.

Adakah dengan berhenti merokok dapat membantu anda? Ya. Dan ia masih belum terlambat. Kesan-kesan berhenti merokok:

  • 20 minit selepas berhenti: kadar degupan jantung dan tekanan darah turun kembali. (“Effect of Smoking on Arterial Stiffness and Pulse Pressure Amplification”, Mahmud, A, Feely, J. 2003. Hypertension:41:183.)
  • 12 jam selepas berhenti : kadar karbon monoksida dalam darah turun ke paras normal. (US Surgeon General’s Report, 1988, p. 202)
  • 2 minggu ke 3 bulan selepas berhenti : kitaran darah dan fungsi paru-paru meningkat. (US Surgeon General’s Report, 1990, pp.193, 194,196, 285, 323)
  • 1 hingga 9 bulan selepas berhenti : batuk dan semput berkurangan; cilia (struktur seperti rambut halus dalam salur pernafasan yang menolak kahak keluar dari paru-paru) kembali berfungsi secara normal, meningkatkan keupayaan untuk mengawal kahak, membersihkan paru-paru, dan mengurangkan risiko jangkitan pada paru-paru. (US Surgeon General’s Report, 1990, pp. 285-287, 304)
  • 1 tahun selepas berhenti : risiko sakit jantung separuh berbanding mereka yang masih merokok. (US Surgeon General’s Report, 1990, p. vi)
  • 5 tahun selepas berhenti : risiko mendapat strok berkurang kepada kadar yg sama seperti mereka yg tidak merokok selepas 5 hingga 15 tahun berhenti merokok. (US Surgeon General’s Report, 1990, p. vi)
  • 10 tahun selepas berhenti : kadar kematian akibat kanser paru² berkurang kepada separuh berbanding mereka yg masih lagi merokok. Risiko kanser mulut, tekak, esofagus, pundi, serviks dan pancreas menurun. (US Surgeon General’s Report, 1990, pp. vi, 131, 148, 152, 155, 164,166)
  • 15 tahun selepas berhenti : risiko seseorang itu mendapat sakit jantung sama seperti mereka yang tidak merokok. (US Surgeon General’s Report, 1990, p. vi)

Terdapat juga kesan yang dapat dilihat dan kesan segera. Berhenti merokok membantu menghentikan kesan tembakau ke atas penampilan kita termasuk:

  • Kedutan kulit pada usia muda
  • Nafas berbau
  • Gigi kuning
  • Penyakit gusi
  • Rambut dan pakaian berbau
  • Kuning pada kuku

Dengan membuang tabiat merokok, anda dapat melihat kesan ketara dalam hidup anda seharian :

  • Makanan dirasakan lebih enak
  • Deria bau kembali kepada normal
  • Aktiviti seharian tidak lagi menyebabkan anda semput (seperti contoh, naik tangga, atau kerja ringan di rumah)

Terdapat mitos mengatakan bahawa menghisap sheesha dapat menjadikan suara lebih merdu. Ini tidak benar sama sekali. Kebanyakan penyakit pita suara berpunca dari merokok. Selain dari kanser, merokok dapat menyebabkan pita suara membengkak. Bengkak pada pita suara ini dikenali sebagai Reinke’s oedema. Ia juga dapat menyebabkan tompokan putih pada pita suara (leukoplakia). Suara menjadi garau, serak, dan pastinya tidak merdu.

Sheesha ; Suatu Pengenalan Hukum

Pengamalan merokok oleh masyarakat dunia hari ini bukanlah lagi suatu perkara yang baru seperti mana ketika ia mula-mula diperkenalkan di penghujung kurun ke 10. Budaya menghisap asap ini telah dipelbagaikan dengan aneka bentuk dan cara bagi memenuhi citarasa golongan penghisap asap ini. Antara bentuk yang tidak asing lagi adalah dengan menggulung. Bentuk lain lagi adalah dengan menggunakan paip penyedut bersama dengan makanisma air yang dikenali dengan Sheesha atau Narjilah dalam masyarakat Arab. Di sesetengah negara lain terkenal dengan penggunaan ‘pipe’ dan curut.

Apapun bentuk dan cara yang diperkenal dan diamalkan oleh golongan merokok ini namun perbahasan kepada hukum perbuatan ini bukanlah kepada bentuknya tetapi kepada kesannya. Oleh itu kita mendapati bahawa perbuatan menghisap sheesha seolah-olahtidak sama dengan perbuatan menghisap rokok gulung yang biasa kedapatan. Lantaran kemungkinan ada yang menyangka bahawa tidak ada masalah menghisap sheesha tersebut.

Perlulah diketahui bahawa sheesha ini sudah menjadi pengamalan dan budaya yang tidak baik bagi masyarakat di Mesir yang sukar dikikis. Budaya ini menjalar dan membiak dengan subur dengan pembukaan terlalu banyak kedai-kedai kopi yang menyediakan perkhidmatan menghisap sheesha ini kepada pelanggan. Tidak cukup dengan kedai kopi, kegiatan menghisap sheesha ini diamalkan di rumah-rumah oleh si suami yang menghisap di hadapan ahli keluarga mereka tanpa memikirkan kesan baik dan buruknya.

Oleh itu, apakah hukum menghisap sheesha ini?

Hukum menghisap sheesha ini adalah sama dengan hukum merokok yang telah dibahaskan oleh para ulama’ secara panjang lebar dalam masalah merokok ini. Ini kerana perbezaan hanyalah kepada rupa tetapi kemudaratan yang dibawa menatijahkan hukum yang sama yang telah dipastikan oleh kajian perubatan pada hari ini.

Kajian yang telah dibuat berkenaan sheesha menurut Dr, Husam dalam artikelnya di dalam web Islamonline menyatakan bahawa kesemua penggunaan sheesha membawa kemudaratan kepada kesihatan sama ada menggunakan tembakau atau yang menggunakan bahan-bahan daripada buah-buahan yang telah dirawat dengan cara-cara tertentu.

Selain itu banyak kajian telah dilakukan seperti kajian yang telah dilakukan di Kuliah Pergigian di Universiti Al Azhar, kajian di Geneva 2001, kajian di Kuliah Kesihatan di Universiti Amerika di Beirut. Kemudaratan yang dinatijahkan oleh pengamalan sheesha ini juga diperakui oleh Dr. Abdul Hakim Mahmud Ketua Bahagian Sakit Dada di Perubatan Qasrul Ain, Dr. Toriq Ketua Bahagian Sakit Dada di Perubatan Ain Syams dan Dr. Maisah di Bahagian Sakit Dada di Perubatan Qasrul Ain.

Setelah jelas bahawa kedudukan menghisap sheesha adalah sama dengan merokok secara menggulung yang telah menjadi kebiasaan maka hukum sheesha ini adalah sama dengan hukum golongan perokok biasa.

Perbahasan merokok telah diketahui umum bahawa terdapat perselisihan pendapat di kalangan ulama’. Pendapat yang diterima oleh Dr. Yusuf Qaradawi di dalam fatwanya adalah haram hukumnya dan Bekas Mufti Mesir iaitu Dr. Nasr Farid juga telah mewartakan bahawa hukum menghisap rokok ini adalah haram. Fatwa ini telah ditampal di semua masjid dan tempat diseluruh Mesir dan telah diketahui umum akan perkara ini. Fatwa ini juga telah disokong oleh Mufti selepas itu seperti Dr. Ahmad Toyyib dan Mufti hari ini Dr. Ali Jum’ah. Pandangan mengatakan bahawa menghisap rokok itu haram adalah pandangan yang amat kuat berdasarkan dalil, kajian perubatan kesihatan hari ini dan kemudaratan lain seperti harta dan sebagainya.

Adakah sewajarnya kita masih berkhilaf?

Dr. Yusuf Qaradawi menyatakan bahawa khilaf di kalangan ulama’ dalam masalah rokok ini pada suatu ketika dahulu adalah kerana tiada kajian yang kukuh kepada akibat merokok ini. Tambah beliau lagi jika ulama’ dahulu mendapati kajian yang kukuh berkenaan ‘darar’ atau mudarat yang ada sudah pasti mereka tidak khilaf dalam masalah ini.

Beliau berkata :

” Dalam zaman kita hari ini, para ulama’ sewajarnya bersepakat dalam hukum kerana hukum yang dikeluarkan seorang faqih adalah berdasarkan kepada pandangan doktor. Jika doktor mendapati merokok ini membahayakan manusia maka seorang faqih semestinya mengatakan ianya haram kerana apa yang memudaratkan kesihatan manusia semestinya diharamkan oleh syara’”.

Dengan ini jelaslah bagi kita bahawa perbuatan merokok ini dengan apa bentuk dan caranya mesti ditolak oleh seorang muslim kerana perbuatan ini hanyalah sia-sia dan hanya mendatangkan kemudaratan kepada agama, diri, akal, keturunan dan harta.

Berkenaan dengan alat Sheesha yang beraneka bentuk dan warna yang dijual hari ini jika ada yang hanya hendak membeli sekadar dijadikan perhiasan maka sewajarnya juga dihindarkan kerana alat seperti sheesha ini bukanlah sesuatu yang dijadikan perhiasan dan menyimpannya adalah sia-sia. Berdasarkan kepada sabda Rasulullah :

عن أبى هريرة رضى الله عنه عن النبى صلى الله عليه و سلم قال : من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه

رواه الترميذى وغيره

Maksudnya : ” Daripada kebaikan Islam seseorang itu dia meninggalkan perkara yang tidak ada kaitan dengan dirinya sebagai seorang muslim daripada perkataannya dan perbuatannya”.

Berdasarkan kepada perkara di atas, pengamalan merokok mesti dibenteras agar tidak terus melalaikan generasi Islam yang ada pada hari ini dan yang akan datang. Merokok ini merupakan senjata halus yang memakan diri secara perlahan-lahan yang akhirnya melumpuhkan jatidiri dan pembinaan peribadi seorang muslim yang sepatutnya. Umat Islam sewajarnya menumpukan diri kepada kerja amal Islami yang terlalu banyak pada hari ini. Para ulama’ hari ini tidak sewajarnya lagi berkhilaf pada hukum merokok sekadar menurut pendapat ulama’ terdahulu yang khilaf dalam perkara ini tetapi lebih melihat kepada kesannya kepada umat Islam pada hari ini berdasarkan dalil dan kajian-kajian terbaru yang ada.


(Sumber: http://bicara4negara.wordpress.com/2007/03/26/syisya-satu-kajian/)

Isnin, Februari 21, 2011

CATATAN KEINSAFAN BOB LOKMAN


Assalamualaikum.

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI PENYAYANG.

Maha Suci Engkau, tiadalah kami berilmu, melainkan dengan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha mengetahui dan Maha Bijaksana. Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan kehendak ALLAH yang Maha Berkuasa.

ALHAMDULILLAH. Aku amat bersyukur kepada ALLAH kerana memberikan aku peluang untuk kembali ke ruangan ini setelah 2 tahun aku tercari-cari jawapan untuk sebuah kebenaran. Hampir sekali aku membenarkan kebatilan menjadi sebuah haq dalam aliran pemikiran. Hanya ALLAH yang berkuasa memberikan petunjuk diatas jalannya yang lurus.

Setelah aku melalui takabbur demi takabbur, ujub demi ujub, sum'ah demi sum'ah begitu juga kesenangan demi kesenangan, ketakutan demi ketakutan dan setelah 2 kali menghampiri sempadan kematian, akhirnya aku sedar segala yg aku lalui itu sepatutnya ia berlaku dengan penuh kesedaran bahawasa itu semua DEMI ALLAH.

Maka aku kembali mencari jalan yang benar bermula dengan TAUBAT NASUHA kepada setiap perlakuan yang SYIRIK kepada ALLAH. Betapa terlalu lama aku bertuhankan dunia demi menyelamatkan kehidupan dunia dari soal kelaparan hinggalah kepada kemewahan yang melupakan aku kepada tujuan ALLAH menjadikan manusia dan jin di muka bumi ini.

Mengapa aku terpengaruh untuk mengejar dunia yang memang telah diberitahu oleh Almarhum Ayah semasa aku kecil, bahawa dunia ini adalah bala, setan, iblis, yahudi dan nasara, adalah kerana dunia ini telah dibentuk acuannya oleh mereka yang bernafsu besar untuk menjadi hebat pada mata dunia.

Bermulanya Malaysia ini dengan nafsu Tunku Abdul Rahman untuk membuktikan bahawa dia boleh melakukan lebih baik dari orang inggeris hinggalah sampai kezaman Mahathir yang bernafsu besar untuk menyatakan kepada bangsa lain di dunia bahawa orang melayu lebih hebat dari mereka.

Maka aku pun terperangkap di dalam kehendak nafsu besar pemimpin yang berbuat sesuatu kerana sesuatu yang aku kurang faham tetapi yang pastinya bukan KERANA ALLAH.

Disambung pula oleh pemimpin selepasnya dengan niat "kerana mu Malaysia", "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" maka kita telah menyimpang jauh dari kehendak ALLAH menjadikan kita sebagai hambanya yang sepatutnya berbuat sesuatu "KERANA MU ALLAH" & 'ALLAH DIDAHULUKAN, TAQWA DIUTAMAKAN".

Kalau dahulu aku bersama-sama membenarkan kemungkaran dan aku berstatuskan munafiq, hari ini ALLAH telah memberikan aku hidayah dan menguasakan aku untuk beriktikad dengan AKIDAH "LA ILA HA ILLALLAH, MUHAMMADURASULULALLAH".

Bersama dengan Ahlussunnahwaljamaah aku akan meneruskan sisa perjalanan mencari dan menyampaikan kebenaran kerana aku insaf ramai manusia tidak mahu menjadi jahat, tetapi kerana mahalnya harga nafsu yang perlu dibayar untuk dipuaskan, maka mereka terpaksa memilih jalan yang telah disediakan oleh yahudi dan nasara.

Langkah demi langkah aku akan meninggalkan yang haram dan syubhat hingga aku dipertemukan dengan jalan yang benar sebagaimana permohonan aku ketika aku membacakan "IH DINAS SIRA TAL MUSTAQIM" didalam surah ALFATIHAH.

Semoga langkah awal ini akan dipermudahkan oleh ALLAH untuk aku mencari teman yang sealiran dan mengajak seramai mungkin umat manusia kembali kepada ALLAH.

Kepada Ibu Bapa, Guru-Guru dan para sahabat, doakan semoga aku sentiasa beristiqamah diatas jalan yang benar dan sentiasa bermujahadah DEMI ALLAH.

Kepada Umat Malaysia, marilah kita sama-sama mencari perubahan kearah kebenaran dengan menyatakan "TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH" dengan menegah perkara yang boleh menjadikan kita SYIRIK kepada ALLAH


(Dari blog: boblokman.blogspot.com)

Rabu, Februari 09, 2011

KENALI PENGGANTI MUBARAK


30 tahun memerintah, 8 orang silih berganti menjadi perdana menteri, tetapi jawatan timbalan presiden yang biasanya akan menggantikan presiden tidak pernah diisi. Sekonyong-konyong, bila Maidan Tahrir dipenuhi jutaan manusia yang mendesak presiden supaya berundur, tiba-tiba Mubarak menamakan Omar Sulaiman sebagai penggantinya yang kini diberi jawatan timbalan presiden Mesir.

Omar, tokoh yang tidak begitu dikenali, tidak semasyhur Amru Musa dan tidak seglamour Ahmad Baradei. Tetapi rupa-rupanya tokoh ini sangat hebat di sisi Mubarak dan sangat 'mulia' kepada Amerika dan Israel.

Omar Sulaiman lahir pada 2/7/1936, seorang yang bertubuh tinggi lampai, tegap, tiada siapa menyangka dia sudah berusia 75 tahun. Hanya 8 tahun beza usia dengan bossnya, Mubarak yang lahir pada 4/5/1928.

Omar mula menerima pendidikan ketenteraan pada 1954 di Akedemi Tentera di Kaherah dan seterusnya menuruti jejak langkah idolanya, Mubarak melanjutkan latihan di Akedemi Ketenteraan Frunze, Moskow. Dia memiliki dua ijazah sarjana, satu dalam bidang sains politik dari Universiti Kaherah dan satu lagi sains ketenteraan.

Dalam tentera dia naik dari satu tangga ke satu tangga hingga memegang jawatan ketua perisikan tentera dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Agensi Perisikan Awam Mesir. Ketika memegang jawatan inilah, dia disifatkan oleh Daily Telegraph sebagai ketua perisik paling berkuasa di dunia 2009.

Omar sangat sinonim dengan Amerika dan Israel. Bagi menggambarkan kenyataan ini, Wikipedia menyebut: "Suleiman has been implicated as directly involved in the controversial CIA "rendition" program. Journalist Stephen Grey in his work, "Ghost Plane", states that after taking over as intelligence director, Suleiman oversaw an agreement with the US in 1995 that allowed for suspected militants to be secretly transferred to Egypt for questioning."

Dalam isu Palestin, presiden Mubarak memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi pengantara dalam usaha membebaskan tentera Zionis Gilad Shalit yang ditawan oleh Hamas.

Omar juga dikatakan orang yang bertanggung jawab ke atas penyiksaan tahanan khususnya kumpulan yang ditawan oleh Amerika Syarikat di Afghanistan dan kemudiannya dihantar ke Mesir.

Penyiksaan ke atas tahanan bukan lagi suatu rahsia. Sejak puluhan tahun, penjara Mesir dikenali sebagai antara penjara paling azab di dunia.

Apabila anda berjalan di kota Kaherah dan menyusuri taman-taman bunganya, anda pasti tidak menyangka, di bawah taman bunga itu terdapat penjara yang luas yang menyaksikan tahanannya disiksa saban hari.

Justeru jika Mubarak seorang pemimpin yang dilabel sebagai zalim dan jahat, maka adakah Omar seorang yang layak menggantikan penjahat ini? Adakah pencuri wajar digantikan dengan penyamun dan perompak?


Isnin, Februari 07, 2011

SUCI DALAM DEBU INTIFADHAH

SUCI DALAM DEBU INTIFADHAH

Bumi itu bumi perjuangan
Sekebal Firaun, menggelupur kelemasan...
Apa lah sgt seangkuh Mubarak.
Dengan hidayah
ahli sihirnya berubah menjadi syuhada'
Ketika Tatar merebah khilafah Abbasiyyah
di bumi itu Mamalik bangkit..
namun Islam padam, tidak sekali!
Allahuakbar!!!

Bumi itu bumi perjuangan.
Debu-debu suci berterbangan
Pengganti alir air hidayah
Buat mengangkat hadas ummah
Najis sekularisme jahiliyyah
Suci dalam debu...

(Petikan dari FB Ustaz Hazmi Dibok)

Ahad, Februari 06, 2011

Tokoh Islam: USTAZ MUSTAFA MASYHUR


(Artikel ini saya tulis di Mesir beberapa hari selepas kematian tokoh ini 2002 lalu)

Bulan November menyaksikan ramai tokoh gerakan Islam meninggal dunia. Lebih kurang 70 tahun yang lalu, bumi Palestin menyaksikan Syeikh Izzuddin Al Qassam dibunuh syahid oleh penjajah Britain.

Pada 1985, Ustaz Ibrahim Libya dan 13 anak muridnya dibunuh di Kampung Memali. Empat tahun kemudian (1989) Dr Abdullah Azzam pula di bunuh syahid di Peshawar, Pakistan. Semua ini berlaku pada bulan November.

Tetapi kematian tokoh Islam ini agak berbeza dengan tokoh-tokoh sebelumnya. Ini kerana tokoh ini menghembuskan nafasnya dalam bulan November yang juga bulan Ramadhan yang penuh barakah. Lebih dari itu, tokoh ini meninggal dunia ketika umat Islam sedang bersiap-siap untuk mempertingkatkan ibadat di malam Jumaat.

Jika orang lain meninggalkan wasiat berkaitan harta kepada anak-anak, maka tokoh ini sempat menulis wasiat kepada seluruh umat Islam supaya berjuang membebaskan Baitul Maqdis dan Palestin daripada penjajahan Yahudi.

Tokoh yang dimaksudkan ini ialah Ustaz Mustafa Masyhur, Mursyidul-Am Ikhwanul Muslimin yang kelima.

Setelah enam tahun memimpin gerakan Islam yang tertua dan terbesar di dunia ini, beliau dipanggil ilahi dengan penuh kemuliaan.
Ustaz Mustafa, 81, dilahirkan pada 15 September 1921 di Kampung Saadiyyin, Muhafazah Syarqiyyah, Mesir. Beliau terdidik di dalam suasana keluarga yang berpegang teguh dengan agama.

SERTAI IKHWANUL MUSLIMIN

Al-Marhum menyertai jamaah Ikhwanul Muslimin lapan tahun selepas penubuhannya iaitu pada tahun 1936. Kisah penyertaannya ke dalam jamaah berkenaan agak menarik. Ketika berhijrah ke Kaherah, beliau sering mengunjungi sebuah masjid berhampiran kediamannya. Suatu hari, ketika di masjid, beliau melihat seorang lelaki sedang menyebarkan risalah yang mengiklankan ceramah agama di sebuah masjid.

Atas sifatnya yang sangat cintakan ilmu dan majlis pengajian agama, beliau menghadirkan diri ke majlis berkenaan. Di penghujung pengajian, penceramah berkenaan mengumumkan bahawa seorang tokoh ulamak ternama, Ustaz Hasan Al Banna akan berkunjung ke situ untuk menyampaikan ceramah. Sekali lagi timbul perasaan di hati Ustaz Mustafa untuk menghadiri majlis berkenaan.

Di pendekkan cerita, disebabkan kagum dengan kedua-dua ceramah inilah beliau membuat keputusan untuk menyertai gerakan Ikhwanul Muslimin.

Ikhwan Muslimin ditubuhkan oleh Mursyidul Amnya yang pertama, Hasan Al Bana empat tahun selepas kejatuhan Khilafah Othmaniyyah Turki (1924) iaitu pada tahun 1928.

Pengaruh Ikhwan tersebar ke seluruh dunia Arab dan sebahagian negara umat Islam.

Matlamat perjuangan Ikhwan ialah berjuang untuk menegakkan negara Islam tanpa kekerasan. Di samping itu mereka berjuang untuk melakukan perubahan dan pembaikan politik dan ekonomi secara berperingkat. Ikhwan turut mementingkan sudut tarbiyyah bagi memastikan ahli-ahlinya berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar.

Pengaruh Ikhwan sangat besar. Bahkan penubuhan jamaah, parti dan gerakan Islam di seluruh dunia adalah rentetan daripada penubuhan Ikhwan. Kini Ikhwan Muslimin menguasai 17 daripada 454 kerusi parlimen Mesir di samping banyak kerusi lain di beberapa negara Arab.

Ustaz Mustafa sangat kagum dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh Ikhwan. Daripada sebagai ahli biasa, hinggalah akhirnya dipilih sebagai pemimpin tertinggi. Beliau menjalankan amanah memegang jawatan Mursyidul Am yang disandangnya sejak 1996 hinggalah keadaannya yang sudah tidak berdaya lagi pada 29 Oktober lalu. Sejak itu, jawatan berkenaan dipangku oleh Ustaz Makmun Hudhaibi. Berkemungkinan beliau akan dipilih sebagai Mursyidul Am dalam pemilihan yang akan diadakan beberapa hari lagi.

Makmun, 83, ialah anak kepada Mursyidul Am Kedua selepas Hasan AlBanna, Hasan Hudhaibi (1950-1973). Makmun pernah menjadi ketua hakim di Kaherah serta pernah mengetuai 37 calon Ikhwanul Muslimin menyertai pilihanraya Dewan Rakyat (Parlimen) pada tahun 1973.

UJIAN

Dalam menjalankan amanah jamaah dan amanah agama, Ustaz Mustafa pernah dipenjarakan beberapa kali pada zaman pemerintahan Jamal Abdun Nasir dan kali terakhir ialah pada tahun 1965 hingga 1971 (enam tahun). Sebaik sahaja Anwar Sadat mengambil-alih pemerintahan, beliau memberikan keampunan kepada ramai anggota Ikhwan yang dipenjara. Mustafa termasuk di kalangan mereka yang dibebaskan.

Walaubagaimanapun, Sadat cuba menangkapnya kembali. Untuk menyelamatkan diri, beliau berhijrah ke Kuwait beberapa ketika sebelum operasi penangkapan beramai-ramai dilakukan pada tahun 1971. Beliau kemudian tinggal di Jermen selama lima tahun dan di sana beliau mengatur gerakan menyebarkan pengaruh Ikhwan ke seluruh dunia.

Beliau pulang ke Mesir beberapa ketika sebelum Mursyidul Am ketika itu, Syeikh Umar Tilmisani meninggal dunia. Jawatan Mursyidul Am kemudiannya diambil-alih oleh Syeikh Hamid Abun Nasr dan Mustafa menjadi timbalannya.

Setelah Syeikh Hamid meninggal dunia pada tahun 1996, Syeikh Mustafa Masyhur dilantik sebagai penggantinya. Februari lalu (2002) beliau sekali lagi dipilih untuk meneruskan khidmatnya sebagai Mursyidul Am. Pemilihan tersebut dibuat selepas Ikhwan membuat pindaan tempuh khidmat Mursyidul Am kepada enam tahun.

Ustaz Mustafa turut diundang menyampaikan ceramah di serata dunia. Bahkan ketika permulaan krisis selepas kemenangan mujahidin di Afghanistan, beliau mengetuai delegasi pemimpin-pemimpin gerakan Islam seluruh dunia pergi kek Kabul untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan mujahidin.

Turut serta dalam rombongan berkenaan ialah Al Marhum Ustaz Fadhil Noor dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Beberapa tahun lalu, PAS pernah menjemputnya menghadiri satu majlis di Malaysia dan beliau menyatakan persetujuan untuk menghadirkan diri. Malangnya sebelum berlepas ke Malaysia, pasportnya dirampas dan dikoyak.

Walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan, Ustaz Mustafa tetap berada di dalam saf perjuangannya dan tidak meninggalkan jamaah sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

KISAH KEMATIAN

Pada 29 Oktober 2002, selepas pulang dari pejabatnya, beliau berehat seketika. Apabila azan Asar dilaungkan, anak perempuannya cuba mengejutkannya daripada tidur. Sebaik terjaga daripada tidur, didapati dirinya begitu tidak bermaya sekali. Beliau diserang sakit yang melibatkan otaknya.

Melihatkan keadaan bapanya, si anak menasihati Ustaz Mustafa supaya menunaikan solat di rumah sahaja. Namun tarbiyyah mantap yang diterimanya menghalang beliau untuk menunaikan sembahyang di tempat selain daripada masjid. Apatah lagi beliau adalah pemimpin tertinggi bagi jamaah Islam yang tertua dan terbesar. Beliau terus mempersiapkan diri dan pergi menunaikan sembahyang di masjid berdekatan kediamannya. Selepas menunaikan sembahyang, beliau sudah tidak mampu melakukan apa-apa lagi. Orang ramai menghantarkannya ke hospital dan beliau berada di sana selama lebih kurang dua minggu. Pada petang Khamis lalu, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Keesokan harinya, orang ramai berkumpul di Masjid Rabaah Adawiyyah di Madinat Nasr untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum beliau dikebumikan. Jalan-jalan sekitar menjadi sesak. Setelah jenazah disembahyangkan, orang ramai berarak menuju ke tanah perkuburan yang terletak 10 km dari masjid berkenaan.

Suasana sepi, sedih dan pilu menyelubungi perjalanan ke tanah perkuburan. Tidak ada sebarang laungan atau slogan-slogan seperti perhimpunan yang biasa di anjurkan oleh Ikhwan. Masing-masing hanya berdoa di dalam hati memohon kesejahteraan ke atas pemimpin yang pergi. Sebahagian daripada mereka mengangkat mashaf Al Quran sebagai lambang kepada syiar perjuangan mereka.

Perarakan yang dianggarkan disertai oleh 20,000 orang itu turut disertai oleh pemimpin-pemimpin politik termasuk ketua Parti Buruh (pembangkang), Ibrahim Shukri. Walau bagaimanapun Al Jazeerah melaporkan bahawa tidak kelihatan seorangpun pemimpin kerajaan dan pemimpin parti yang memerintah, Parti Negara.

Dari Allah kita datang, kepadanya jua kita kembali....

Sabtu, Februari 05, 2011

10 WASIAT HASAN AL-BANNA


1. Apabila kamu mendengar azan, segeralah bangun sembahyang serta-merta walau bagaimana keadaan kamu sekalipun.

2. Bacalah Al-Quran atau tatapilah ilmu atau pergilah mendengar perkara yang baik atau berzikir. Janganlah sama sekali membuang masa dalam perkara sia-sia.

3. Berusahalah sedaya-upaya untuk bertutur dengan Bahasa Arab Fushohah kerana ia merupakan satu satu syiar islam.

4. Janganlah banyak berdebat dalam apa perkara pun kerana pertengkaran kosong tidak membawa kepada sebarang kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Jangan banyak bergurau kerana umat yang berjihad sentiasa bersungguh dan serius dalam setiap perkara.

7. Jangan bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar.

8. Jauhi daripada mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan dan jangan bercakap melainkan perkara yang mendatang kebaikan.

9. Berkenalanlah dengan setiap rakan yang saudara tidak di minta berbuat demikian kerana asas-asas dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenalan.

10. Kewajipan lebih banyak dari waktu, oleh itu bantulah rakanmu untuk memanfaatkan waktunya dan jika saudara berurusan, maka singkatkanlah masa perlaksanaannya.