Selasa, Jun 29, 2010

SOLAT JUMAAT WANITA: PRO & KONTRA


1. Beberapa minggu kebelakangan ini muncul perbincangan berkaitan saranan dan galakan supaya wanita / muslimah datang ke masjid pada hari Jumaat untuk menunaikan solat Jumaat. Umum mengetahui, tiada suatu laranganpun untuk wanita menghadirkan diri menghadiri solat Jumaat. Walaubagaimanapun ia bukanlah satu kewajipan. Solat Jumaat hanya wajib kepada kaum lelaki / muslimin.

2. Cadangan ini mungkin bertitik tolak dari rasa ingin merapatkan jurang perbezaan antara wanita dan lelaki dalam Islam di sudut pengetahuan dan pengalaman, khususnya kesan apabila hanya orang lelaki sahaja yang mendengar khutbah, sedangkan wanita tidak mendapat kelebihan itu lantas melahirkan golongan wanita yang berpemikiran berbeza dengan kaum lelaki. Sebagai contoh, khutbah sering menyentuh persoalan aurat wanita, namun golongan berkenaan tidak mendengar khutbah itu, bagaimana ia akan berkesan?

3. Di satu sudut saya bersetuju supaya wanita yang berkelapangan hadir solat Jumaat. Tetapi di sudut yang lain saya kurang setuju. Saya setuju berdasarkan alasan-alasan di atas. Bukan sekadar khutbah Jumaat, bahkan kuliah Maghrib, ceramah agama dan sebagainya seharusnya dihadiri oleh lelaki dan perempuan. Untuk menyelesaikan sesuatu penyakit masyarakat, semua pihak perlu menjalani 'treatment' yang disediakan. Jika satu pasangan tidak mendapat anak, maka doktor akan memanggil dan merawat kedua-dua pasangan. Begitu jugalah soal agama.

4. Namun saya kurang bersetuju dalam keadaan-keadaan tertentu untuk wanita hadir solat Jumaat. Khususnya jika masjid yang tidak menyediakan kemudahan dan tempat yang sesuai untuk wanita. Begitu juga masjid yang dikenal pasti tidak dapat menampung bilangan jemaah yang ramai, terutamanya masjid-masjid di bandar>

5. Hampir semua masjid di kasan bandar di Malaysia tidak mampu memuatkan kesemua jemaah pada waktu solat Jumaat. Lihat sahaja masjid Jamek Kuala Lumpur. Setiap hari jumaat, ratusan orang lelaki terpaksa bersembahyang di atas jalan raya dan di perkarangan pejabat guaman berdekatan. Begitu juga dengan Masjid India. Mereka terpaksa menunaikan sembahyang di kaki lima kedai tekstail hingga ada juga yang bersembahyang berkiblatkan kios money changer! Bayangkan jika wanita dibenarkan menunaikan sembahyang Jumaat di masjid-masjid sebegini.

6. Penulis juga sering melihat puluhan pelajar sekolah menengah yang hadir ke Masjid Tengku Sulaiman Bentong pada hari Jumaat, tetapi tidak menunaikan sembahyang dengan alasan, 'masjid tak muat!' Jika wanita dibenarkan bersembahyang Jumaat di situ, mungkin akan lebih ramai lagi pelajar yang tidak akan bersembahyang (khususnya yang memang culas dalam menunaikan sembahyang).

7. Seterusnya, penulis juga tidak menggalakkan wanita yang berkunjung ke tanah suci untuk menunaikan solat Jumaat, walaupun ulama' di sana tidak melarang. Bayangkan setiap hari Jumaat para muslimin terpaksa bersesak-sesak hingga ke tengah panas untuk mencari ruang solat. Mereka terpaksa berdiri di tengah panas sehingga mencecah 50 darjah celcius dek kerana tiada ruang lain bagi mereka. Maka wanita yang tidak dihukumkan wajib menunaikan solat Jumaat perlulah memberi ruang yang secukupnya kepada kaum lelaki yang sememangnya wajib menunaikan solat Jumaat.

8. Oleh yang demikian, dalam kita memberikan sokongan kepada usaha menggalakkan wanita mendengar khutbah dan menunaikan solat Jumaat ini, maka sewajarnyalah pihak berkuasa, pentadbir masjid dan seluruh umat Islam berusaha menaik taraf masjid-masjid yang ada dalam nengara ini khususnya. Tempat wudhuk yang mencukupi dan sesuai untuk wanita hendaklah disediakan. Ruang solat wanita yang mudah diakses juga perlu disediakan. Kawasan parkir yang praktikal perlu diusahakan. Untuk menjayakan pembinaan sesebuah pasar raya, pihak berkenaan boleh membina kawasan parkir di bawah atau di atas pasar raya berkenaan. Kenapa dalam pembinaan masjid pihak berkenaan tidak berfikir seperti itu.

9. Masjid-masjid di kawasan bandar kebanyakannya mempunyai kewangan yang agak kukuh. Berbanding masjid kampung yang hanya memperoleh sumbangan derma Jumaat sekitar RM50 ke RM60, masjid bandar mampu meraih antara RM5000 hingga RM10 000 seminggu. Malangnya banyak jawatankuasa masjid yang hanya berbangga dengan rekod simpanan mereka tetapi tidak memanfaatkan wang berkenaan untuk aktiviti mengimarahkan masjid.

10. Jika wang itu tidak digunakan, bererti ia disimpan di dalam bank. Jika disimpan dalam bank, bererti wang masjid itu akan digunakan oleh kontraktor-kontraktor dan usahawan yang akan membuat pinjaman bank untuk membiayai projek dan kerja mereka. Justeru, tidak mustahil jika dikatakan, "Ada masjid yang wangnya digunakan untuk membina pusat hibuan, pusat snooker, disko, kedai judi dan lain-lain..."

(Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang mungkin boleh diterima atau ditolak... al-Mu'allif)



Selasa, Jun 15, 2010

BERTAHUN MENANTI SYEIKH SUDAIS


Telah 14 tahun saya tidak berpeluang menunaikan solat di belakang Syeikh Abdul Rahman Abd Aziz Ali Sudais. Dalam tempuh ini beberapa kali saya berkunjung ke Makkah. Selain menunaikan umrah, saya berharap agar dapat menunaikan solat dengan berimamkan Syeikh Sudais.

Namun hampa, Sudais tidak muncul setiap kali saya berkunjung ke Makkah.

Tahun 1997 lalu, saya sempat sebulan bertarawih di belakang beliau. Para jemaah dengan penuh semangat setia di belakangnya dek kerana pengaruh suaranya yang lantang dan sangat lunak ketika membaca Al Quran.

Sudais membaca dengan penuh penghayatan. Beliau sering mengulang beberapa kali ayat-ayat tertentu yang difikirkannya sangat memberi kesan kepada jiwanya. Sudais juga didapati sering menangis dalam bacaannya terutama ayat-ayat yang menceritakan azab Allah.

Namun segala-galanya terubat.... Ketika menunaikan solat maghrib tadi, apabila mendengar lafaz takbiratul ihram, "Allahu Akbar!" Saya terkejut. Suara ini begitu familiar. Biasa sangat saya dengar suara ini. "Alhamdulillahirabbil alamin..." sebaik sahaja mendengar bacaan-bacaan imam Masjidil Haram pada hari ini, hati saya terus berkata, "Inilah suara yang saya tunggu-tunggu sejak 14 tahun lalu."

Benar, inilah suara imam Sudais. Rakaat pertama beliau membaca surah Al Baiyyinah. Tiba pada ayat 7 beliau menguatkan bacaannya dan suaranya bergetar dek kerana tangisannya. Pada rakaat kedua juga tangisannya berulang apabila membaca surah Az Zalzalah ayat 7 dan 8.

Seorang sahabat berkata, "Saya terharu dengan bacaan imam hari ini. Walaupun saya tak faham Bahasa Arab, tapi saya dapat menghayati bacaannya."

Lantas saya membuat kesimpulan, bahawa bacaan imam sangat penting dan memberikan kesan kepada solat para makmum.

Isnin, Jun 14, 2010

MELEPAS RINDU PADA HARAMAIN


Perjalanan dari KL ke Amman berjalan tanpa masalah. Sampai Amman kami dibawa melawat ke Laut Mati. Dari tebing / pantainya kami dapat melihat dengan jelas bumi Palestin yang dijajah di seberang sana.

Sebelum itu kami dibawa menziarahi gua Ashabul Kahfi di perkampongan Ar Raqim. Kami juga dibawa ke kubur Nabi Syuaib, Masjid Malik Husain dan lain-lain.

Dari Amman kami dibawa ke Jeddah. Tiba di Jeddah jam 8.00 malam. Terus dibawa ke Madinah. Sampai Madinah lebih kurang jam 3.15 pagi. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Pagi berkenaan kami sempat solat fardhu Subuh pertama di Masjid Nabawi. (Subuh masuk jam 3.58 pagi). Kebetulan hari itu Jumaat, maka kami berpeluang menunaikan solat Fardhu Jumaat di sisi pusara Rasulullah SAW. Petang itu saya berkunjung ke pusara Rasulullah SAW yang sudah dua tahun saya tinggalkan. Di dalam kesesakan lautan manusia yang cintakan baginda saya sampai juga di sisi kubur baginda dan sempat menunaikan solat di Raudhah (kawasan antara rumah dan mimbar baginda yang disifatkan oleh baginda sebagai satu taman dari taman2 syurga).

Seperti biasa, esoknya kami dibawa menziarahi tempat-tempat bersejarah sekitar Madinah, Masjid Quba' (masjid pertama dibina selepas hijrah), Masjid Qiblatain, Jabal Uhud, kebun kurma dan pasar kurma. Hari ke3 kami dibawa menziarahi kilang percetakan Al Quran dan kawasan Jabal Baidha'. Kawasan ini dikatakan mempunyai tarikan magnet yang sangat kuat hingga boleh menjalankan bas tanpa ditekan padel minyak selaju 120kmj. Bagaimanapun seoran profesor yang membuat kajian di sini berkata ia bukan magnetik, tetapi ia lebih bersifat ilusi optik di mana mata kita terkeliru dengan bentuk muka bumi yang hakikatnya menurun- wallahu a'lam.

Namun hakikatnya yang kami saksikan, driver bas mem'free'kan gearnya dan kakinya diletakkan di atas stering dan beliau memandu melebihi 120kmj tanpa menekan minyak. Subhanallah.

Petang semalam kami menziarahi kubur Rasulullah SAW bagi kali terakhir sebelum meninggalkan bumi suci Madinah Al Munawwarah.

Kami bergerak menuju ke Bir Ali (Zul Hulaifah) dan berniat ihram umrah di sana. Seterusnya kami menaiki bas meneruskan perjalanan untuk menyempurnakan ibadah umrah di Makkah Al Mukarramah.

Dalam perjalanan, kami berhenti untuk makan dan solat Maghrib dan Isyak di Qudhaid. Di situ saya ditegur oleh seorang kanak-kanak, "Assalamualaikum ustaz, ustaz tak kenal saya?" Saya perhatikan muka budak itu lantas menjawab, "Tak kenal, siapa awak?"

"Saya anak cikgu Hazri. Ustaz mesti kenal, cikgu Hazritauding."

Rupa-rupanya Hazri yang pernah mengikuti saya menunaikan umrah pada 2007 lalu pergi lagi kali ini. Beliau mengikuti rombongan umrah yang transit di Bahrain. Dan ajaibnya, beliau tinggal satu hotel dengan saya di Madinah sedangkan saya tidak pernah bertemunya selama berada di Madinah. Insya Allah di Makkah juga kami akan menginap di hotel yang sama.


Alhamdulillah, jam 10 malam tadi kami tiba di kota tertua di dunia dan termulia ini. Setelah check in di hotel Hijaz, kami terus menuju ke Masjidil Haram bagi menyempurnakan tawaf dan saie. Manusia sangat ramai. Tiada ruang masjid yang tiada manusia. Kami saksikan masing-masing berzikir, solat, tawaf, bertakbir dan bertahmid memuji dan memuja Allah SWT.

Laungan talbiah kami terhenti apabila binaan kaabah tersergam indah di hadapan kami. Laungan LAILAHAILLALLAH kami jeritkan 3 kali. Kami bertakbir 3 kali membesarkan Allah. Kami bacakan doa memuliakan ka'bah baitullah. Seterusnya kami turun ke lapangan untuk tawaf 7 kali mengelilingi kaabah. Mata mana yang tidak bergenang dengan airnya dikala kaabah berada hanya beberapa meter sahaja dari tubuh. Sepanjang bertawaf, kami laungkan kalimah-kalimah memuji Allah dan kami berdoa kepada Allah. Suara 35 orang jemaah ini bergema di setiap penjuru lapangan tawaf. Subhanallah... satu ibadat berbentuk demonstrasi kami lakukan.

Selesai tawaf kami menunaikan solat sunat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim. Ia merupakan dua bongkah batu yang Allah turunkan bagi memudahkan kerja-kerja membina kaabah oleh Ibrahim dan anaknya Ismail.

Kami meneruskan aktiviti umrah dengan bergerak menuju ke Bukit Safa. Bukit itu kini telah dipagar dengan pagar cermin. Dahulu, ramai orang bertenggek dan 'lepak' di atas bongkah-bongkah batu besar itu. Namun kini tidak boleh lagi. Kenapa dipagar, wallahu a'lam.

Dari atas bukit itu kami bertakbir lagi tiga kali bagi memulakan saie. Biarpun penat, letih dan sakit kaki kami gagahi juga perjalanan menuju ke bukit Marwah. Seketika apabila kaki terasa sangat sakit, mahu rasanya berhenti seketika. Namun niat itu terpadam apabila mengenangkan betapa letih dan betapa sakitnya Hajar berlari mencari air untuk anaknya Ismail. Sedang ketika itu tiada lantai cantik seperti sekarang, tiada kipas, tiada bekalan air di kiri dan di kanan jalan.

Alhamdulillah, jam 2.10 pagi kami selesai saie lantas beramai-ramai kami berdoa memanjatkan rasa syukur kepada Allah disamping memohon agar diterima amalan kami yang sedikit ini.

Masing-masing puas hati. Sempurnalah sudah satu ibadah umrah. Hari ini kami berehat. Insya Allah, esok lusa dan seterusnya... kami akan terus di bumi mulia ini untuk aktiviti-aktiviti ibadat yang lain. Semoga Allah membantu kami melaksanakan tuntutan agamanya. Moga Allah memberkati dan menerima apa yang kami lakukan sebagai satu amalan soleh.

Wallahu a'lam.
ARIS HAZLAN
Hijaz Hotel, Makkah Al Mukarramah.
8.40 pagi (1.40 ptg waktu Malaysia)
14 Jun 2010


Isnin, Jun 07, 2010

TERLALU LEWATNYA MENYOKONG PALESTIN

Sejak seminggu lalu, semua pihak rancak bincangkan isu Palestin. Stesen tv, pemimpin kerajaan, NGO, pembangkang dan semua pihak melepaskan geram kepada rejim Zionis Israel.

Cukup unik apabila radio Ikim.fm dan Astro Awani memberi promosi percuma himpunan aman 4 Jun di Kedutaan Amerika Syarikat (yang suatu waktu dahulu dikenali sebagai demonstrasi jalanan).

Hari ini pula sejak awal pagi kebanyakan chanel membuat siaran langsung kepulangan 12 orang sukarelawan Gaza. Bahkan jamuan sarapan pagi untuk mereka juga disiar secara langsung.

Belum sempat mereka berehat dan melepaskan kerinduan kepada keluarga, ada pula rangkaian-rangkaian tv tertentu yang menjemput mereka ke rancangan bual bicara yang disiarkan secara langsung bagi membincangkan tentang kekejaman Zionis.

Satu situasi yang cukup meriah. Situasi yang mempamerkan semua pihak bersemangat untuk menentang keganasan rejim Israel. Pak-pak menteripun sudah mula bercakap soal boikot barangan Israel dan Amerika.

Dahulu orang yang berbicara tentang Palestin sangatlah gharib. Orang yang bercakap tentang 'boikot' disindir dengan pelbagai kata-kata jijik. Bahkan ketika itu pak menteri yang menjaga hal ehwal agama pun turut menyindir usaha memboikot barangan Israel dan Amerika. Ucapan beliau di hadapan seribu orang pelajar Al Azhar di Kaherah menempelak pihak yang bersungguh-sungguh berkempen untuk memboikot barangan Israel dan Amerika.

Seorang ketua pengarang sebuah majalah agama pula telah menolak tulisan saya berkaitan dengan isu boikot kerana katanya isu boikot yang saya cuba ketengahkan bercanggah dengan usaha kerajaan.

Dahulu orang yang berdemonstrasi menentang kemasukan pasukan kriket Israel dan menentang hubungan dagang antara tokoh-tokoh perniagaan Malaysia dengan Israel dianggap melakukan tindakan bodoh. Lebih dari itu ramai yang terlibat dengan bantahan itu ditangkap dan didakwa di mahkamah dengan tuduhan terlibat dengan perhimpunan haram.

Warga UM pasti masih ingat peristiwa pada April 1997 apabila pasukan FRU menyerbu masuk ke masjid Ar Rahman dengan memakai kasut untuk menangkap orang-orang yang terlibat dengan tunjuk perasaan menentang rejim Zionis Israel. Mereka ditembak dengan gas pemedih mata dan air asid. 150 orang ditahan dan kemudiannya didakwa di mahkamah.

Tetapi kini segala-galanya berubah. Demonstrasi anti Zionis dikawal dengan baik oleh pihak polis. Mereka bukan sahaja tidak menembak gas pemedih mata, bahkan turut membuat sekatan di laluan tertentu bagi memberi laluan kepada para demonstran. Di akhir majlis, mereka kelihatan bersalaman dengan anggota polis yang bertugas.

Walaupun ada acara membakar bendera Israel namub demonstrasi kali ini berlangsung aman dan damai kerana tiada gangguan dari pihak polis.

Dari semua yang saya paparkan di atas, timbul satu persoalan; kenapa terlalu lewat kita memberi sokongan kepada Palestin. Adakah kemarahan kita kini meletus hanya disebabkan adanya orang Melayu yang kena tangkap dengan rejim Zinis.

Sesungguhnya kekejaman Yahudi bukan baru seharu dua ini berlakunya. Sudah terlalu lama.

Menerusi buku Nostalgia Syuhada' Palestin yang saya tulis pada tahun 2002, saya ada merekodkan rentetan kekejaman Yahudi sejak mula ditubuhkan gerakan Zionis pada tahun 1879.

Antara yang dahsyat, pembunuhan 426 orang Islam di Kg Lad oleh komando YAhudi pimpinan Moshi Dayan (11/7/1948), pembunuhan lebih 3000 penduduk Sabra dan Syatila oleh tertera pimpinan Ariel Sharon (16-18/9/1982) dan banyak lagi.

Sudah lebih 60 tahun penduduk Palestin menderita. Sudah bertahun-tahun mereka merebus rumput untuk dijadikan sayuran. Sudah lama mereka dikhianati oleh kawan dan lawan.

Sepatutnya sudah setengah abad negara-negara umat Islam perlu membantu Palestin.
.. Saya sangat berharap moga cahaya intifadhah rakyat sekarang tidak akan dipadam dengan kemunculan isu-isu yang mendatang.

Saya sangat berharap agar kerajaan-kerajaan Islam dapat bersatu tenaga dan bergabung bagi menentang dan menghalau rejim ganas Yahudi dari bumi suci Palestin (bukan hanya Gaza).

Walaupun terlewat, namun saya menaruh keyakinan bahawa akan muncul di kalangan pemimpin-pemimpin Islam ini seorang Salahuddin Al Ayyubi kedua yang bakal membawa panji-panji keamanan untuk palestin dan seluruh dunia.

Khamis, Jun 03, 2010

DEMONSTRASI TAK ADA FAEDAH?

Story 1:
Seorang lelaki menunjukkan gambar sukarelawan Gaza lalu berkata, "Dia orang ni buat tindakan buat tindakan tak ada faedah."

"Apa dia?" Rakannya bertanya. "Ye la, yang dok buat piket macam ni, bukannya ada apa-apa kesan kepada Israel. Dia gelak je tengok orang Islam piket. Patutnya orang Islam kena berpakat betul hantar tentera ke Israel," tegasnya.

Story 2:
Seorang lelaki menonton berita tv yang menyiarkan gambar pejuang-pejuang Palestin bertempur dengan tentera Rejim Israel lantas berkata, "Depa ni berjuang apa macam tu, macam main-main je. Main baling-baling batu pulak. Kalau betul nak berjuang, gunalah senapang. Baru padan nak lawan Israel."

Story 3:
Seorang tokoh terkenal berkata, "Buat apa orang Islam tiru budaya luar. Buat tunjuk perasaan dan demonstrasi kat tangga-tangga masjid dan. Kalau betul nak lawan, pergilah ke sasarannya yang betul."


KOMENTAR
Memang kalau boleh kita mahu terus ke sasaran. Kalau boleh kita mahu bertempur terus dengan tentera pengganas Yahudi. Kalau boleh kita mahu pejuang Palestin berperang menggunakan senjata-senjata automatik, kapal selam, jet pejuang sukoi dan helikopter apache.

Kalau boleh kita mahu kapal Mavi Marmara bukan sekadar membawa ubat-ubatan dan bahan binaan, tetapi memenuhkan ruang kapal dengan bekalan senjata canggih dan meriam-meriam jarak jauh yang bakal membedil kapal dan bot komando pengganas Yahudi.

Juga kalau boleh kita mahu semua negara umat Islam berpakat menubuhkan gabungan tentera lalu dihantar ke Palestin untuk memadamkan api kedurjanaan yang dinyalakan Yahudi sejak 60 tahun lalu. Kalau boleh kita mahu setiap negara Arab terutama yang bersempadan dengan Palestin (Lubnan, Syria, Jordan dan Mesir) membuka pintu sempadan masing-masing dan memberi laluan kepada mujahidin seluruh dunia masuk membantu umat Islam Palestin. Lebih dari itu kalau boleh kita mahu Mesir sebagai negara Arab yang memiliki kekuatan tentera paling besar di dunia Arab mengepalai bala tentera yang bakal menenggelamkan kebengisan Tel Aviv.

Namun semua yang penulis nyatakan di atas hanya bersandarkan kalimah, "Kalau boleh.... Kalau boleh..." Kalau tak boleh, macam mana? Sememangnya apa yang dinyatakan di atas buat masa ini masih belum boleh...

Jadi bila tak boleh, macam mana nak buat? Adakah hanya sekadar melepaskan geram di hadapan peti televisyen, menghentam Yahudi di kedai kopi dan meludah kertas surat khabar yang menyiarkan berita kekejaman Zionis sahaja?

Kaedah Fiqh menyebut, 'Perkara yang tak dapat disempurnakan keseluruhannya, janganlah ditinggalkan keseluruhannya.' Dengan kata lain, kalau tak mampu buat semua, jangan sampai tinggal semua.

Berbalik kepada isu demonstrasi anti-Zionis dan konvoi sukarelawan ke Ghaza. Kenapa konvoi melalui jalan laut? Jawapannya semua orang tahu, Mesir tutup pintu sempadan. Jordan tutup sempadan. Jangankan nak hantar senjata, nak hantar penselpun tak dibenarkan. Tahun lalu, berminggu-minggu para sukarelawan berkampung di pelabuhan Nuwaiba'. Namun pintu sempadan Ghaza terus ditutup oleh pemerintah Mesir.

Dengan itu mereka boleh pulang ke rumah masing-masing dan berehat. Mereka boleh buat alasan, dah orang tak buka pintu kita balik lah. Tetapi mereka adalah manusia yang gigih. Tak boleh plan A, mereka pergi ke plan B. Begitulah seterusnya.
Begitu juga dengan isu demonstrasi. Mereka menjerit, laungkan kalimah kemarahan, bakar bendera Zionis dan sebagainya. Memang Israel tak terbakar langsung. Tetapi kita perlu faham kenapa Israel tidak 'terbakar'. Ia tidak terbakar kerana masih ramai umat Islam tidak sensitif dan tidak buat apa-apa. Masih ramai pemerintah Islam yang tak berani membuat pendirian tegas terhadap Israel. Dunia juga terus membisu tanpa sebarang tindakan. Justeru demo dan konvoi ini diperlukan untuk memberi satu kejutan kepada semua pihak supaya bertindak segera. Ia dilakukan dengan beberapa hadaf. Antaranya:
1. Ia dilakukan untuk menyedarkan orang ramai yang masih belum sedar tentang kepentingan cakna terhadap isu Palestin.
2. Ia untuk mengejutkan pemimpin-pemimpin Islam supaya bangun dari lena yang panjang dengan mesej, kalian telah terlalu lama membiarkan Palestin dijajah. Bila kalian mahu bergerak bersama negara-negara Islam lain untuk membantu Palestin.
3. Mungkin ada yang kata, ia umpama anjing menyalak bukit, bukit tak terkesan. Tetapi sekurang-kurangnya perompak di sebalik bukit itu tahu bahawa mereka terpaksa melalui jalan sukar untuk melakukan rompakan seterusnya.

Alhamdulillah, walaupun Mavi Marmara tidak membawa senjata, namun mereka berjaya menjadikan isu ini sebagai senjata untuk mengejut ummah dari lena yang panjang.....

Rabu, Jun 02, 2010

ERDOGAN JANJI BANTU PALESTIN BIARPUN BERSENDIRIAN




Perdana Menteri Turkey Rajab Toyyib Erdogan (Recep Tayyip Erdogan) menegaskan bahawa beliau dan kerajaannya akan terus membantu kerajaan Palestin di Semenanjung Ghaza walau terpaksa membayar berapa harga sekalipun. Demikian ditegaskan dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Ghaza Ismail Haniah petang semalam (1/6).

Menurut Erdogan, serangan Israel ke atas konvoi NGO yang ingin menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Ghaza bukan sekadar isu dalaman, bahkan Israel sebenarnya bertindak memerangi dunia. Ini kerana konvoi berkenaan disertai oleh pelbagai kumpulan NGO dari 33 buah negara.
Justeru, beliau akan terus berjuang untuk memastikan sekatan ke atas Ghaza dihentikan. Beliau berkata, "Kami akan terus membantu kamu (Palestin) biarpun kami hanya bersendirian."

Di pihak Palestin, Ismail mewakili kerajaannya di Ghaza dan Hamas mengucapkan takziah kepada Turkey di atas pembunuhan kejam Yahudi ke atas rombongan konvoi dari Turkey di perairan laut Mediterranean Isnin lalu.

Dalam pada itu Presiden Mahmud Abbas dari gerakan Fatah menyatakan kesediaannya untuk meneruskan perbincangan damai dengan Israel.

Ketika Erdogan dan Ismail saling berhubungan menerusi telefon bagi mengucapkan takziah dan menyatakan kesediaan untuk meneruskan perjuangan membebaskan Palestin, Abbas pula dilaporkan oleh agensi berita AP menghubungi Setiausaha Agong PBB menerusi telefon untuk menyatakan kesediaannya mengadakan perbincangan damai dengan Israel.


Berita lanjut: http://palestine-info.info/ar

Rabu, Mei 26, 2010

HARI JURURAWAT DAN ASRI MENGINGATKANKU KEPADA AL AMIR


Pagi tadi sahabat saya Ustaz Asri Gazi, guru j-QAF dari Pulau Pinang menelefon dan menyatakan beliau dijemput berceramah di sebuah hospital sempena sambutan Hari Jururawat. Tajuk ceramahnya ialah Kerja Sebagai Ibadah.

Dalam kepala saya terus teringat bahawa saya juga pernah dijemput menyampaikan ceramah atas tajuk yang sama, sempena sambutan yang sama di Hospital Bentong dua tahun lalu (14 Mei 2008). Seingat-ingat saya, itulah kali terakhir saya dijemput berceramah di hospital itu. Sebelum itu agak kerap juga saya dijemput.

Saya tertanya-tanya kenapa agaknya orang hospital dah tak jemput saya. Bukanlah saya ni kecil hati, cuma tertanya-tanya apakah gerangan sebabnya.

Saya lantas teringat, dahulu orang yang sering mengikuti kuliah saya Encik Bahari, kini sudah pencen. Tuan Haji Paha, sudah ditukarkan ke Raub... Dan saya baru teringat, orang yang paling berperanan menjemput saya ialah saudara Al Amir.

Al Amirlah orang yang bertanggung-jawab mengatur aktiviti keagamaan di Hospital Bentong. Dia jugalah yang sering menelefon dan menghantar SMS kepada saya untuk menjemput ceramah/kuliah, yang kebanyakan jemputannya tidak dapat saya penuhi.

Rupa-rupanya Al Amir yang sama-sama menghadiri sesi temuduga jawatan imam qaryah dengan saya pada November 2007 itu ditimpa malang selepas sambutan Hari Jururawat 2008 itu. Beliau menghidap barah hati dan seterusnya meninggal dunia. Al Fatihah. Moga Allah meramaikan insan sepertinya.

Mengenai penyakit Al Amir ini ada saya sentuh sikit dalam entry saya berkaitan sambutan Hari Jururawat 2008, sila klik di sini: http://ibnu-ismail.blogspot.com/2008/05/kerja-sebagai-ibadah.html

TIADA WELCOME, TIADA AHLAN BUAT ABBAS!


Hari ini Mahmud Abbas dijangka tiba di KL untuk lawatan rasminya. Dunia mengenali Abbas sebagai tokoh yang menyusuri kepimpinan Yasir Arafat. Dunia juga mengenali tokoh ini sebagai seorang pemimpin Arab di Palestin yang sentiasa menjadi 'yes-man' kepada Israel dan Amerika Syarikat.

Tindakan Abbas seringkali dilihat membelakangkan kepentingan rakyat Palestin dan umat Islam. Bahkan ia lebih bertujuan untuk menjaga hati rejim Zionis itu.

Ketika Ghaza sedang menghadapi bedilan dahsyat Israel tahun lalu, Abbas menunjukkan sikap menyalahkan Hamas dan rakyat Ghaza di atas penutupan sempadan Ghaza - Mesir.

Terdahulu, ketika Israel menyekat kemasukan dana ke Ghaza, Abbas hanya menyalahkan penduduk Ghaza yang memilih Hamas dalam pilihanraya yang diadakan. Bahkan beliau mendesak Hamas supaya akur dan tunduk kepada tuntutan Israel bagi membolehkan dana itu dipulangkan kepada pihak berkuasa Ghaza.

Dalam aspek keselamatan pula, majoriti rakyat Palestin berpendapat bahawa kumpulan Fatah pimpinan Abbas sering menjadi musuh kepada rakyat. Banyak kes dilaporkan Fatah menangkap pejuang Islam Hamas dan memenjarakan mereka sebelum menyerahkannya kepada Israel.

Tidak keterlaluan juga dikatakan bahawa penjara Abbas sentiasa menanti pejuang Islam Palestin yang baru dibebaskan dari tahanan Israel. 'Keluar mulut naga, masuk mulut buaya...'

Pernah suatu ketika (di bawah kuasa Arafat) Fatah memenjarakan ramai pejuang Islam khususnya dari Hamas dan Jihad Islami dalam sebuah penjara. Sama ada dirancang atau sebaliknya, tentera udara Israel terbang di atas penjara berkenaan dan melepaskan bom-bom yang membunuh para pejuang yang pastinya tidak dapat lari ke mana-mana.

Terkini, ketika Abbas sibuk dengan lawatan mewahnya di Vietnam semalam (25.5.2010), pasokan militianya menceroboh dan mencolek Syeikh Jamal At Tawil, seorang pejuang Islam Hammas yang baru sahaja dibebaskan dari penjara Israel penghujung tahun lalu.

Ini hanya satu dari ratusan operasi gerakan Fatah pimpinan Abbas dalam memerangi pejuang Islam.

Sudah terlalu banyak tindakan Abbas yang mengguris hati ummah. Sudah terlalu kerap Abbas melambatkan kemenangan umat ini. Sudah terlalu ramai pejuang dan rakyat Palestin yang disakiti. Bahkan sudah ramai yang terbunuh dimuncung senapang Fatah.

Justeru, untuk apa Abbas diraikan di Malaysia! Ingin saya katakan, "Tiada AHLAN WA SAHLAN buat mu wahai Abbas... Tiada WELLCOME untukmu..."

Khamis, Mei 06, 2010

TIPU TERANG-TERANG

20 J.Awal lalu saya menyampaikan kuliah di Masjid Ketari tafsir surah Al Maidah ayat 41-43. Antara yang menarik, kisah Ibnu Surayya, tok alim Yahudi yang cuba 'menipu di siang hari.'

Ketika pasangan penzina Yahudi dihukum conteng muka dan sebat, baginda SAW mencabar kaum )ahudi mendedahkan hukum sebenar yang Allah turunkan di dalam Taurat. Kaum Yahudi menampilkan Ibnu Surayya sebagai orang yang alim dan mahir tentang kitab Taurat.

Ketika asyik membaca Taurat, tiba-tiba Ibnu Surayya bertemu dengan ayat berkaitan hukuman ke atas orang berzina (Hudud). Dengan segera dia menutup tulisan ayat berkenaan dengan tangannya. Dia tidak mahu Rasulullah SAW melihat ayat berkenaan, meskipun dia tahu bahawa baginda tidak tahu membaca.

Melihat tindakan Ibnu Surayya itu, Abdullah bin Salam segera bersuara dan mengadu kepada. Baginda bahawa Ibnu Surayya cuba menyembunyikan hukum Allah. Baginda mengarahkan supaya diangkat tangan. Sebaik sahaja dibaca, ternyata Taurat menetapkan hukuman rejam dan bukannya hukuman conteng muka.

Dengan sebab keingkaran mereka kepada hukum Allah maka mereka ditimpa kehinaan dan ditimpa dengan peningkatan kadar pelbagai jenis jenayah.

Dengan kenyataan ini, saya teringat kata-kata seorang penceramah, "Membaca akhbar hari ini bagaikab membelek fail-fail jenayah."

Adakah peningkatan kes-kes jenayah kini juga berpunca dari keengganan melaksanakan hukum Allah...

Rabu, Mei 05, 2010

SUNNAH BERHIKMAH

Malam tadi saya menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Karak Setia. Kehadiran tak berapa ramai. Dari kitab Riadhus Solihin, saya membaca bab Wajib Berpegang Kepada Sunnah Nabi SAW.

Sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al Asy'ari bahawa Nabi SAW menyifatkan petunjuk Allah yang dibawanya ini bagaikan air hujan yang menimpa bumi/tanah. Ada tanah yang terus menjadi subur, menumbuhkan pokok, rumput dan pelbagai tanaman yang memberi manfaat kepada sekalian makhluk. Ada juga tanah yang agak liat, tetapi mampu menakung air untuk kebaikan manusia. Namun di sana terdapat tanah yang tidak subur, tidak mampu menumbuhkan sebarang tanaman dan tidak bersedia pula untuk menakung dan menyimpan air.

Maka jadilah kita seperti tanah yang subur. Datang sahaja ajaran Islam, terus kita terima dan manfaatkan. Datang sahaja mutiara hikmah dari Nabi SAW, segera kita nikmatinya dengan kefahaman dan amalan.

Di dalam bab ini juga, Nabi SAW menganjurkan supaya menjilat (kulum) jari dan menjilat pinggan selepas makan. Mungkin kita memandang jijik perbuatan itu. Tetapi yakinlah, setiap yang dibawa oleh nabi SAW itu pasti ada hikmahnya.

Sebaik sahaja saya bersedia untuk menamatkan kuliah, tiba-tiba seorang tua menyapa dan ingin berkongsi pengalaman. Katanya, ada seorang sahabatnya yang mengidap penyakit buasir. Beliau bertanya tentang ubat yang paling mujarrab untuk menyembuhkan penyakit berkenaan. Sekonyong-konyong, seorang hamba Allah memberitahunya, "Sebaik sahaja kamu selesai makan, basuhlah tangan di dalam pingganmu dan bersihkan pinggan itu dengan air tadi dan minum semua sisa air itu."

Sahabat berkenaan terus mengamalkannya. Setiap hari dilakukan sepertimana yang dicadangkan itu. Hinggalah beliau tidak perasan, bilakah penyakit buasirnya sudahpun sembuh... Subhanallah!