Jumaat, Oktober 28, 2005

AQIDAH ASAS PERJUANGAN ISLAM

AQIDAH ASAS PERJUANGAN ISLAM
Oleh: Ibnu Ismail (ibnuismail@yahoo.com)

Dunia hari ini mempamerkan berbagai-bagai bentuk, corak, dasar dan asas perjuangan. Ada yang berjuang untuk membela kaum atau bangsa tertentu. Ada yang berjuang untuk memperoleh pembangunan material. Ada juga perjuangan yang sekadar untuk menjatuhkan pemimpin tertentu daripada tampuk kekuasaan.

Perjuangan Islam adalah:

Perjuangan yang meletakkan keredaan Allah sebagai matlamat utama.
Visinya ialah:

untuk mendaulatkan Islam sebagai agama yang dianuti dan diamalkan oleh masyarakat
menjadikan Islam rujukan dan panduan berpolitik, bernegara, berekonomi dan bersosial
juga dibina atas dasar untuk menentang sebarang unsur yang menghalang pelaksanaan syariat Allah dan menentang musuh-musuh yang cuba menghina, menindas dan menzalimi umat Islam.

Dengan matlamat dan wawasan yang begitu besar, maka perjuangan ini perlu di bina di atas tapak (asas) yang kukuh. Tidak ada satu tapak yang lebih kukuh berbanding tapak AQIDAH. Atas asas aqidah inilah Sayidina Bilal merelakan dirinya diheret di padang pasir di bawah terik mentari serta dihempap batu besar. Atas asas ini jugalah Ammar bin Yasir tidak mengubah pengakuan syahadahnya walaupun dipertontonkan pembunuhan bapa (Yasir) dan ibunya (Sumaiyah) di hadapan matanya.

Mereka yang berjuang tanpa asas yang kukuh, tidak akan istiqamah di atas jalan perjuangannya. Tiba waktunya, mereka akan bertempiaran melarikan diri daripada perjuangan.

APA ITU AQIDAH ISLAM?

Aqidah Islam ialah simpulan, ikatan dan tambatan hati yang terhasil daripada keyakinan yang mantap kepada Allah, yakin akan ketuhanan Allah dan menerima secara total perkhabaran dan ajaran Nabi Muhammad SAW tanpa sebarang keraguan serta menolak sebarang unsur syirik dan kufur.

Aqidah Islam dibina berdasarkan Al Qur’an dan Sunah. Firman Allah di dalam Surah Al Baqarah ayat 256:

فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىَ لاَ انفِصَامَ لَهَا وَاللّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ {256}
“Maka barang siapa yang kufur (tidak percaya dan menolak) kepada taghut dan beriman dengan Allah maka sesungguhnya dia telah berpegang dengan simpulan tali yang kukuh yang tidak akan putus, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”


AQIDAH MEMELIHARA PERJUANGAN

Sejarah mencatatkan bahawa di peringkat awal dakwah Rasulullah SAW, baginda menekankan persoalan aqidah. Bahkan ayat-ayat Al Qur’an yang turun pada ketika itu kebanyakannya membincangkan persoalan aqidah. Ayat-ayat Makkiyyah (مكية) menekankan tentang keesaan Allah, menafikan ketuhanan batu berhala, perkhabaran mengenai kehidupan semula sesudah mati, huru-hara, kedahsyatan dan pembalasan pada hari qiamat. Ia juga menyeru manusia supaya memerhatikan makhluk ciptaan Allah, keindahan alam dan cakerawala, nikmat yang terhasil daripada hujan, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan sebagainya. Lihatlah firman Allah dalam membina asas aqidah:

أَلَمْ نَجْعَلِ الْأَرْضَ مِهَادًا {6} وَالْجِبَالَ أَوْتَادًا {7} وَخَلَقْنَاكُمْ أَزْوَاجًا {8}
وَجَعَلْنَا نَوْمَكُمْ سُبَاتًا {9} وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ لِبَاسًا {10} وَجَعَلْنَا النَّهَارَ مَعَاشًا {11}

“Bukankah Kami menjadikan bumi ini terbentang luas sebagai hamparan, dan gunung ganang sebagai pancang pasaknya, dan Kami telah ciptakan kamu berpasang-pasangan. Dan Kami jadikan tidurmu sebagai kerehatan, dan Kami jadikan malam sebagai pakaian (yang melindungi) dan Kami jadikan siang (dengan cahaya terangnya) masa untuk mencari rezeki?” (Surah An Naba’ ayat 6-11)

Benih aqidah yang disemai dan ditanam selama 13 tahun di Makkah, menjadikan para sahabat yang berjumlah 313 orang tidak gentar berhadapan dengan musuh di medan Badar pada tahun ke 2 Hijriyyah walaupun bilangan musuh jauh lebih besar (>1,000 orang) dan mempunyai kelengkapan perang yang lengkap.

Pegangan aqidah yang kukuh juga menjadikan Nabi Yusuf berjaya menolak godaan kemewahan dan wanita cantik. Asas aqidah yang mantap mendorong baginda untuk lebih rela dikurung di dalam penjara bertahun-tahun lamanya. Ia juga adalah punca ketabahan Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad bin Hanbal yang dipenjara hingga ke hujung usia. Kerana yakin janji Allah, Hasan Al Banna rela dibunuh di Kaherah, Syed Qutub rela mati di tali gantung, Tok Janggut rela dadanya ditembusi peluru Inggeris.

Dengan pegangan aqidah ini juga, para sarjana Islam telah berjaya mencetuskan satu tamadun baru yang mantap dan terbaik. Ibnu Sina melakukan revolusi dalam bidang perubatan. Al Khawarizmi membuka mata dunia terhadap kepentingan matematik serta mencetuskan teori binari yang menghasilkan penciptaan komputer.

Semua ini berpunca daripada keyakinan mereka kepada asas utama aqidah Islam. Antara motivasi aqidah kepada pejuang-pejuang Islam ialah:

Iman Kepada Allah

Pejuang Islam yakin bahawa perjuangan mereka adalah perjuangan yang diperintahkan oleh Allah. Mereka sedar walau apa pun natijah yang mendatang, mereka tetap meneruskan perjuangan kerana ia adalah satu kewajipan daripada Allah. Keyakinan terhadap Allah menjadikan mereka tidak gentar berhadapan dengan musuh yang kuat dan gagah kerana mereka ‘ada’ Allah yang Maha Perkasa.

Adapun musuh-musuh Islam pula, mereka hanya bergantung pada kekuatan material semata-mata. Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 257:

اللّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُواْ يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّوُرِ وَالَّذِينَ كَفَرُواْ أَوْلِيَآؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُم مِّنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ أُوْلَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ {257}

“Allah adalah pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman, Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Adapun orang-orang kafir pula, penolong mereka ialah taghut (syaitan dan semua makhluk yang disembah dan dipatuhi selain Allah), yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur); mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al Baqarah 257)

Iman Kepada Malaikat
Pejuang Islam tidak akan ‘ponteng’ dalam perjuangan kerana mereka yakin bahawa ke mana sahaja mereka pergi dan apa sahaja yang mereka lakukan, ada malaikat yang memerhati dan mencatat. Pejuang Islam juga yakin bahawa mereka tidak keseorangan dalam perjuangan, bahkan makhluk Allah di kalangan para malaikat tetap bersama mereka memberikan pertolongan.

إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلآئِكَةِ مُرْدِفِينَ {9}

“Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan dari Tuhanmu, lalu Dia perkenannkan permohonan kamu (dengan firmanNya) Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.” (Al Anfal 9)

Iman Kepada Kitab

Pejuang Islam tidak akan merasa terhina kerana mereka memiliki ‘buku panduan’ paling baik, paling tepat, paling lengkap dan paling benar iaitu Al Qur’an. Bahkan apa sahaja persoalan yang timbul akan terjawab apabila mereka merujuk kepada Al Qur’an.

Iman Kepada Para Rasul
Sebarang cabaran dan ujian akan ditempuh oleh pejuang Islam dengan penuh kesabaran kerana mereka tahu bahawa para Rasul AS yang lebih mulia telah berhadapan dengan ujian yang lebih besar dan hebat.

Iman Kepada Hari Qiamat
Perjuangan Islam akan menghasilkan dua natijah; sama ada menang, atau mati syahid. Pejuang Islam yang beriman kepada hari akhirat yakin bahawa andai kata mereka tidak berjaya dalam perjuangan di dunia ini, mereka pasti akan berjaya di akhirat kelak. Kejayaan bagi mereka di dunia ini ialah kejayaan melaksanakan agenda perjuangan.

Iman Kepada Qadha’ Dan Qadar

Setelah berusaha dan berhempas pulas di medan perjuangan, pejuang Islam menyerahkan urusan seterusnya kepada Allah SWT. Apa sahaja natijah yang diberikan oleh Allah terserahlah kepada-Nya, Tuhan yang mengetahui segala rahsia dan hikmah. Pejuang Islam tidak akan merasa kecewa dan patah semangat apabila berhadapan dengan kekalahan dan mereka juga tidak akan lupa diri apabila dianugerahkan kemenangan. Firman Allah SWT:

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ * إِذَا جَاء نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ {1}
وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا {2} فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا {3}

“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (berjaya membebaskan kota Makkah). Dan engkau lihat manusia masuk ke dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih memuji Tuhanmu dan istighfarlah (mohonlah keampunan) daripadaNya (kerana) sesungguhnya Dia sangat menerima taubat.” (An Nasr 1-3)

PENUTUP

Pejuang Islam tidak seharusnya tertipu dengan mainan musuh. Adakalanya musuh melancarkan serangan dalam bentuk الـغــــزو الـفــكـــري (serangan pemikiran). Kemenangan dan kekalahan sengaja diatur untuk mengelirukan pejuang Islam. Tanpa iman yang mantap dan aqidah yang sahihah, pejuang mungkin akan tertewas di hadapan ‘serangan’ ini.

Islam adalah ibarat sepohon pokok yang tidak mungkin tumbuh subur melainkan di atas tapak yang kukuh dan sentiasa dibajai supaya ia terus hidup subur.