Rabu, April 27, 2011

NAK TUNGGU KENA ROGOL, KENA ROMPAK BARU NAK TERIMA HUKUM

(Dari: Facebook Dr Lo'Lo')

"Kalau aku dapat pencuri kereta aku, aku akan kerat empat!” Begitu luahan marah seorang kenalan sewaktu kami bertemu minggu lalu.

”Begitu geram, marah?”

”Yalah, dengan kereta itulah aku mencari rezeki, menghantar anak ke sekolah dan balik kampung. Ia seolah-olah nyawa kepada keluarga kami.”

“Sampai nak kerat empat?”

“Confirm! Kalau dapat aku tak lepas,” akuinya terus terang.

Melihat dia marah-marah begitu saya “tersenyum” dalam hati. Betapa tidak, saya memang mengenalinya sejak di IPT lagi. Masih segar dalam ingatan saya perbualan kami lima tahun yang lalu. Ketika itu beliau begitu sinis dengan hukum hudud.
“Bagi aku ayat Quran tentang Hudud perlu tafsiran semula. Realiti dunia berubah.”

Saya terdiam, berfikir bagaimana siswa jurusan Sains dan Matematik itu begitu “arif” dalam ilmu tafsir.

“Mengapa begitu. Syariat itu sesuatu yang evergreen, sesuai untuk setiap zaman dan masa,” balas saya.
“Kejam sangat. Curi sahaja, potong tangan. Habis macam mana pencuri itu nak meneruskan kehidupan?”
Begitulah besarnya simpati beliau kepada pencuri.
 
Walaupun saya telah cuba jelaskan bahawa sebagai hamba Allah kita perlu patuh dengan segala yang diperintahkan-Nya, namun dia tetap berkeras. Ketika saya bermati-matian menyedarkan bahawa ilmu manusia yang terbatas tidak mampu menjangkau ilmu Allah yang Maha Luas, dia membalasnya dengan berkata:

“Tuhan juga memberi kita akal, kita gunakanlah akal untuk menghasilkan kreativiti dan inovasi bagi menyesuaikan hukum-Nya mengikut peredaran keadaan dan masa.”
 
Saya masih ingat juga bagaimana reaksinya ketika saya menegaskan bahawa kitalah yang harus tunduk dengan menyesuaikan keadaan dan masa menurut hukum Allah, bukannya hukum Allah yang diubah mengikut keadaan dan masa. Dia begitu marah. Ketika muzakarah itu hampir menjadi mujadalah dan ada riak-riak yang kami hendak berbalah, maka saya menukar tajuk perbualan. Dalam hati terdetik, mudah-mudahan saatnya tiba juga untuk dia memahami hakikat sebenarnya.
 
Ya, detik itulah yang tiba kini. Saya tidak akan melepaskan peluang untuk memberi pen-jelasan walaupun kekusutan itu telah berusia lima tahun.

“Kau berubah,” kata saya tiba-tiba.

“Berubah apanya?”

“Kau dah menyokong hudud sekarang,” tusuk saya tanpa berselindung lagi.
 
Dia terdiam. Mungkin fikiran dan ingatannya mula terusik oleh imbasan “muzakarah” kami tentang hudud lima tahun yang lalu. Saya tidak gusar kalau dia menerima hudud tetapi sekadar berbeza pandangan tentang kaedah penjelasan dan proses pelaksanaannya (yang tentunya menagih kebijaksanaan dan tempoh masa), tetapi dia menolak secara total. Itu yang bahaya.
Dia masih diam.
 
“Tak simpati dengan pencuri kereta kau?”

“Bukan tak simpati tapi…”

“Tapi geram? Marah? Kau terasa dizalimi, dikhianati bukan?”

Sebenarnya bukan sahaja saya simpati bahkan empati dengan kecurian keretanya. Saya sendiri pernah kecurian telefon bimbit begitu banyak data, maklumat, gambar kenangan serta pesanan ringkas yang menjadi nostalgia hilang bersamanya. Saya dapat merasakan kegeramannya walaupun tidaklah sampai berazam untuk mengerat empat si pencurinya.
 
“Hudud tak sampailah kerat empat. Hanya setakat kerat sebelah pergelangan tangan. Itu pun dengan syarat yang begitu ketat, teliti dan rapi. Bukan untuk menyeksa tetapi sekadar mendidik pencuri dan menegakkan keadilan buat masyarakat.”

Bila terkena batang hidung sendiri, barulah ramai manusia yang sedar betapa relevannya hukum Allah.

Melihat dia diam, saya menambah lagi:

“Jangan apabila hak Allah dicabar kita diam. Tetapi apabila hak kita sendiri tercabar, barulah kita marah. Jangan hanya apa¬bila kita atau keluarga kita jadi mangsa curi, rompak, ragut, zina dan rogol… barulah kita jadi menyokong hukum Allah!”