Ahad, Mei 24, 2009

MEMBACA BAHASA ALAM


Antara keistimewaan orang yang berilmu dan beriman ialah mereka bijak membaca bahasa alam. Bahasa ini memang sukar untuk dibaca.

Ia tidak semudah membaca tulisan rumi dan jawi. Ia memerlukan renungan, pengamatan, keinsafan dan rujukan kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya. Allah menyebut di dalam surah Ali Imran ayat 190:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لأوْلِي الألْبَابِ

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang menggunakan akal fikiran."

Setiap hari manusia melihat pelbagai fenomena alam. Manusia sentiasa melihat bukit bukau, langit, laut, sungai, lembah dan lurah. Manusia sentiasa mengalami dan merasai cuaca sejuk dan panas, tiupan angin yang adakalanya kencang, pada waktu yang lain pula sepoi-sepoi bahasa.

Sesekali, Allah memberikan pengalaman kepada manusia menyaksikan ribut, taufan, puting beliaung, gempa bumi, banjir, tsunami dan berbagai-bagai bentuk bencana alam.

Kesemuanya itu memberi pelbagai mesej dan maklumat yang sangat berguna kepada manusia. Namun manusia jarang mahu 'membacanya' dengan baik. Mereka sering kali mengabaikan mesej berkenaan. Lantas menjadikan mereka, manusia yang tidak mengambil pengajaran dan tidak bertindak ke arah yang lebih baik.

Justeru, manusia terus dilanda pelbagai masalah yang tidak ada penghujungnya. Masalah moral dan akhlak, masalah kemiskinan, masalah jenayah, curi, ragut, rompak, bunuh dan sebagainya. Undang-undang semakin 'dikeraskan', namun masalah semakin menjadi 'kebal'.

Allah mengingatkan manusia dalam surah Taha ayat 124:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا

"Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka Sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit..."

Apa maksud مَعِيشَةً ضَنكًا (kehidupan yang sempit)? Ada yang mengatakan mereka akan berhadapan dengan kesukaran hidup di dunia dan akhirat. Satu tafsiran yang agak menarik mengatakan mereka akan berhadapan dengan pelbagai masalah hidup di dunia ini; belum selesai satu masalah, datang pula masalah lain dan begitulah seterusnya.

Dalam dunia hari ini, ianya sememangnya berlaku.

Lepas satu, satu. Lepas satu, satu.
Fikir-fikirkan....



Burung hereng sedang menanti saat kematian seorang kanak-kanak Afrika.....
Selepas menghembuskan nafas terakhir, kanak-kanak ini menjadi santapan burung yang sememangnya menanti sejak sekian lama....

Sabtu, Mei 23, 2009

AL QURAN DIJUNJUNG ILMU DISANJUNG

FORUM BICARA AD DEEN

23 MEI 2009 (Sabtu)
Jam 9.00 malam

Radio IKIM.fm akan menyiarkan rakaman Forum Bicara Ad Deen yang membicarakan keluasan ilmu Allah dalam Al Quran di bawah tajuk:AL QURAN DIJUNJUNG, ILMU DISANJUNG

Ahli Panel:
Ustaz Nik Roskiman Abd Samad
(Felow Pusat Latihan Ikim)

Ustaz Aris Hazlan Ismail
(Guru SK Sulaiman)

Moderator:
Ustaz Mahathir Shaharuddin
(Radio Ikim)

Forum diadakan di Masjid Tengku Sulaiman Ketari, Bentong pada 22 Mei 2009 (Jumaat)