Oleh: Aris Hazlan Haji Ismail
Setelah beberapa bulan merancang, akhirnya Allah memberikan laluan mudah kepada saya dan rakan-rakan untuk berkunjung ke Tanah Suci Makkah dan Madinah.
Rombongan kami pada 29 Mei lalu seramai 71 orang termasuk 7 orang kanak-kanak menaiki pesawat Sri Langkan. Beberapa rombongan lain turut serta bersama kami di dalam pesawat ini termasuk rombongan yang diketuai oleh Dato' Ismail Kamus.
Kami singgah di Colombo selama satu jam sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah dengan pesawat yang sama. Urusan imigresen di KAAIA Jeddah juga berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Kami seterusnya dibawa ke Madinah dengan menaiki bas. Perjalanan yang memakan masa selama 5 jam itu pastinya memberikan pengalaman baru kepada mereka yang baru kali pertama tiba di bumi Hijaz ini.
Ketika tiba di perkarangan Hotel Dallah Taibah, kedengaran azan subuh dilaungkan dari Masjid Nabawi yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari hotel berkenaan. Sungguh sayu hati kami mendengar laung azan berkenaan. Mahu rasanya kami terus ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Subuh bersama ribuan jamaah lain. Namun kami perlu menyelesaikan urusan check in hotel terlebih dahulu.
Pada hari pertama kami hanya menziarahi Masjid Nabawi dan sekitarnya sahaja. Ini termasuklah kubur Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar, menziarahi Raudhah, perkuburan Baqi' dan lain-lain.
Seorang sahabat saya dari Terengganu yang datang dengan pesawat Arab Saudi memberitahu, ada seorang peserta rombongannya telah meninggal dunia sebaik sahaja mendarat di Madinah. Beliau tidak sempat bersembahyang di Masjid Nabawi. Namun Allah yang Maha Penyayang telah mentakdirkan jasadnya diusung ke Masjid Nabawi untuk disembahyangkan oleh ribuan manusia, diimamkan oleh imam Masjid Nabawi dan seterusnya dikebumikan di perkuburan Baqi' menjadikannya 'berjiran' dengan ribuan para sahabat Rasulullah SAW, isteri-isteri dan anak-anak baginda. Subhanallah!
Kota Madinah yang telah 10 tahun saya tinggalkan telah banyak mengalami perubahan. Kepesatan pembangunan menjadikan hampir tiada lagi hotel bertaraf sederhana berhampiran Masjid Nabawi. Hotel yang 'berbintang-bintang' mencakar langit bagaikan memagari masjid Rasulullah itu. Di sebelah timur masjid, iaitu berhampiran pintu bahagian muslimat, kerja-kerja pembangunan giat dijalankan hingga ke sempadan Baqi'. Kerajaan Arab Saudi merobohkan semua binaan di kawasan itu untuk meluaskan lagi lapang luar Masjid Nabawi di samping membina tempat letak kereta bawah tanah dan stesen bas.
Ketika pulang dari masjid selepas menunaikan solat Fardhu Subuh hari kedua, saya terserempak dengan Dr Badrul Amin di lobi hotel. Kami bersalaman dan berpelukan kerana sudah lama tidak bertemu. Suatu ketika dahulu kami pernah beberapa kali duduk di atas pentas yang sama menyampaikan ceramah dan forum perdana.
Dr Badrul memberi tahu saya bahawa antara mereka yang turut serta bersama rombongannya ialah penyanyi rock terkenal, Amy Search. Sedang kami berbual-bual, muncul Amy yang baru sahaja pulang dari Masjid Nabawi. Kami bersalaman dan bertanya khabar.
Bertemu artis, selebriti dan orang kenamaan di tanah suci bukanlah suatu yang baru bagi saya. Ketika bertugas di Makkah sekitar tahun 1996-1997 yang lalu saya pernah menguruskan rombongan beberapa orang kenamaan termasuk Ratu Jazz Sheila Majid. Menguruskan orang kenamaan bukanlah satu kehebatan dan kemuliaan bagi saya. Kerana semua manusia adalah sama di sisi Allah. Yang paling mulia adalah yang paling bertaqwa.
Pagi itu, kami di bawa menunaikan solat 2 rakaat di Masjid Quba' seperti yang digalakkan oleh Rasulullah SAW. Di dalam sepotong hadith, baginda menyatakan bahawa sesiapa yang keluar rumah dalam keadaan berwudhuk dan menuju ke Masjid Quba' untuk menunaikan solat 2 rakaat, maka bagi pahala seolah-olah melaksanakan satu umrah... Inilah masjid yang diiktiraf oleh Allah sebagai masjid yang didirikan atas dasar taqwa.
Kemudian kami dibawa ke ladang Kurma, Jabal Uhud, Masjid Qiblatain dan Masjid Tujuh. Masjid Tujuh ialah kawasan perkhemahan para sahabat yang menyertai peperangan Khandak/Ahzab. Namun bilangan masjid yang tinggal hanya dua buah sahaja. Kunjungan kami pada hari berkenaan menyaksikan pihak berkuasa Arab Saudi sedang membina sebuah masjid besar di kawasan itu yang dijangka dapat digunakan tidak lama lagi.
Seterusnya kami di bawa ke kilang mencetak Mashaf Al Quran. Di kilang itulah mashaf Al Quran dicetak dengan kaedah Rasm Othmani dan disebarkan ke seluruh pelusuk dunia sejak zaman pemerintahan Al malik Fahad bin Abd Aziz. Malangnya kami tidak dapat masuk ke kilang berkenaan kerana hari itu (Khamis) adalah hari cuti bagi kakitangan kilang tersebut.
Masa bagaikan begitu cepat berlalu. Pada hari ketiga, kami perlu meninggalkan Madinah Al Munawarah. Kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Rasulullah SAW, Abu Bakar dan Umar. Kekangan waktu dan tugas menyebabkan kami terpaksa meninggalkan Raudhah dan Baqi'. Lantas selepas solat Jumaat pada hari ketiga, kamipun bergerak meninggalkan kota Madinah dengan penuh kesayuan. Ketika bas bergerak meninggalkan Madinah, masing-masing tidak berkata apa-apa. Lidah menjadi kelu. Mata masing-masing memandang ke arah Masjid Nabawi yang semakin lama semakin jauh ditinggalkan.
Beberapa kilometer dari Madinah, kami singgah di Zul Hulaifah (Biir Ali) untuk berniat umrah dan seterusnya meneruskan perjalanan menuju ke Kota Suci Makkah Al Mukarramah.
Di dalam perjalanan, kami cuba membayangkan betapa sukarnya perjuangan Rasulullah SAW yang terpaksa meredah padang pasir dengan berjalan kaki semata-mata untuk menyampaikan Islam kepada umat manusia. Kami tidak dapat menggambarkan betapa sukarnya para sahabat berjalan kaki di padang pasir menuju ke Makkah bagi menunaikan umrah.
Kami juga tidak dapat menyelami betapa peritnya penderitaan Rasulullah SAW ketika baginda berjalan kaki meredah padang pasir untuk berhijrah dari Makkah ke Madinah. Namun kami yang sedang bergerak menuju ke Makkah hanya memakan masa 5 jam sahaja perjalanan dengan menaiki bas berhawa dingin.
Di Makkah, kami ditempatkan di Hotel Bilal di Syamiah berhampiran pintu Babul Fath. Setelah menyimpan beg masing-masing, saya memimpin para jamaah untuk menyempurnakan tawaf dan sa'ie.
Ketika binaan Kaabah sudah tersergam di hadapan mata, saya dapat saksikan bagaimana masing-masing menitiskan air mata kegembiraan dan kesyukuran dapat berkunjung ke rumah Allah. Lantas kami melaungkan Kalimah Tauhid, LAILAHAILLALLAH dan bertakbir tiga kali.
Ketika di Makkah, para peserta rombongan bebas melakukan ibadat sebanyak yang mungkin. Mereka digalakkan memperbanyakkan solat, tawaf dan membaca Al Quran. Di dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW menjanjikan pahala beribadah di dalam masjid ini 100,000 kali ganda berbanding beribadah di dalam masjid-masjid lain.
Tempoh seminggu berada di kota Makkah ini juga diambil kesempatan oleh kami untuk menziarahi tempat-tempat bersejarah termasuk Jabal Thur, Padang Arafah, Jabal Rahmah, Muzdalifah, Wadi Muhassir, Mina, Jaaranah, Jabal Nur, Muzium Haramain, ladang unta, Hudaibiah dan lain-lain lagi.
Di samping itu, pada beberapa hari terakhir, kami sering mengadakan pertemuan dan majlis ilmu (tazkirah) selepas solat Asar.
Pada hari Rabu 6 Jun, saya bersama ibu dan anak saya pergi ke Tan'im untuk menunaikan umrah. Setelah selesai solat sunat di Masjid Saidatina Aisyah itu, saya sekali lagi bertemu dengan Amy Search. Tetapi pertemuan kali ini agak berbeza kerana 'rambut panjangnya' sudah tiada. Kepalanya botak. Kami sempat berbual seketika.
Saya bertanya tentang rambutnya, "Rambut panjang tu berapa lama simpan?"
"Tak de la... Ini bukan kali pertama saya botak. Dulu pernah dah sekali... Tapi kali ini... Inilah pengorbanan saya yang terakhir."
Saya tidak pasti apa maksud jawapan beliau itu. Tetapi saya secara spontan saya terus berkata, "OK la tu, insya Allah... Moga-moga Allah terima." Secara husnuz-zan, saya beranggapan beliau sedang berusaha untuk memperbaiki diri, meningkatkan taqwanya dan mendekatkan dirinya dengan Allah.
Tanggal 8 Jun adalah saat yang paling memilukan bagi semua peserta rombongan. Pagi Jumaat itu kami terpaksa meninggalkan Kaabah dan Masjidil Haram. Kami perlu pulang ke tanah air untuk meneruskan tugas masing-masing. Dengan linangan air mata, semua peserta mengerjakan Tawaf Wada’ (tawaf selamat tinggal). Ketika melangkahkan kaki untuk keluar daripada Masjidil Haram, beberapa kali kami menoleh ke belakang untuk melihat kaabah buat kali terakhir. Saat yang sangat menghibakan.
Ketika menaiki tangga menuju ke jalan raya, saya tidak dapat menahan sebak di dada dan air mata saya bercucuran. Sedang anak saya terus bertanya berkali-kali, "Abah, kenapa abah menangis. Abah kenapa menangis..." Saya membiarkan sahaja pertanyaan itu tanpa jawapan. Di dalam hati, saya berdoa, "Ya Allah, jangan Kau jadikan kunjungan ku kali ini sebagai kunjungan terakhir..."
Sampai di perkarangan hotel, kami dapati bas sudah sedia menunggu dan beg-beg kami sudah dimuatkan ke perut bas. Kami terus berangkat ke Jeddah.
Di Jeddah kami singgah di Masjid At Taubah (Masjid Terapung) di pinggir Laut Merah untuk makan tengahari dan solat Jumaat. Sementara menunggu masuknya waktu solat Jumaat, peserta kanak-kanak bergembira bermain layang-layang di pinggir Laut Merah.
Mereka kemudiannya dibawa ke Lapangan terbang King Abd Aziz Jeddah untuk berangkat pulang. Penerbangan pulang berlepas dari landasan pada jam 9.30 malam (2.30 pagi waktu Malaysia).
Pesawat berhenti di Colombo hampir satu jam dan para peserta mengambil kesempatan untuk menunaikan solat Subuh. Perjalanan kemudiannya diteruskan ke destinasi terakhir dan pada jam 12.30 tengahari 9 Jun 2007 pesawat kami mendarat dengan selamatnya di KLIA.
Ya Allah, jemputlah lagi kami berkunjung ke rumah-Mu....