Khamis, Mac 04, 2010

FILEM KITA MAKIN 'KURANG AJAR'

Sebelum ini, “Di Bawah Ketiak Isteri.” Kemudian, “Halimah Jongang.” Dan kini muncul yang terbaru, “Fatimah Juling.”

Apa pandangan masyarakat? Ada yang seronok dengan filem-filem seumpama ini. Sebab? Kelakar giler… Yang lain pula kata, cerita best, tapi tajuknya tak wajar la macam tu. Nanti terguris hati makcik-makcik yang bernama Halimah dan Fatimah.

Pada saya ia bukan sekadar tak wajar, tapi kurang ajar. Dunia artis penuh dengan kepura-puraan dengan agama. Telinga saya bagaikan masih terdengar-dengar ungkapan kurang ajar Rosnah Aris dalam TV3 beberapa tahun lalu yang menggunakan ungkapan, “Dah tua nak mampus,” kepada isteri Rasulullah yang agong, Saidatina Khadijah.

Apa reaksi? TV hanya gam seketika. Artis berkenaan hanya minta maaf. Lepas tu teruskan lakonan dan lawak bodohnya tanpa menampakkan sebarang keinsafan. Mungkin agak kasar bahasa saya kali ini. Tetapi tidak sebiadap bahasa artis berkenaan yang berani menghina isteri Rasulullah SAW.

Mungkin ramai yang tak perasan bahawa jodol-jodol drama bersiri kini mempermainkan nama anak Rasulullah SAW. Nama ibu susu baginda juga disindir secara tidak langsung. Penonton hanya tertawa mendengar tajuk drama Halimah Jongang dan kini Fatimah Juling. Siapa Fatimah dan siapa Halimah.

Halimah As Sa’diyyah adalah ibu mulia yang dipilih Allah untuk menyusukan dan membesarkan manusia paling mulia di atas muka bumi di perkampungan Bani Saad. Alangkah tingginya kedudukan wanita itu.

Fatimah pula merupakan anak kesayangan Rasulullah SAW. Isteri kepada Saidina Ali bin Abi Talib. Fatimah anak yang paling menyayangi dan paling rapat dengan ayahandanya. Hinggakan riwayat mengatakan bahawa Fatimah hanya sempat hidup 6 bulan sahaja selepas kewafatan Rasulullah SAW. Beliau seterusnya meninggal dunia, menuruti jejak bapanya.

Adakah nama-nama sebegini boleh dipermain-main dan digurau sendakan?

‘Alah ustaz, bukannya Halimah dan Fatimah zaman nabi, ini yang zaman sekarang…’ Mungkin ada yang beralasan begini.

Jawapan ini mengingatkan saya kepada guru saya Syeikh Abu Ahmad Al Iraqi, warga Iraq yang menjadi pengerusi Rabitah Alami Islami suatu ketika dahulu. Beliau mengajar saya Bahasa Arab. Salah satu teks yang terdapat di dalam buku yang diajar ialah teks cerita lawak (fukkahah) bertajuk Abul Qasim At Tanburi. Tajuk ini mengisahkan seorang yang malang dan pandir bernama Abul Qasim. Nasibnya sentiasa malang disebabkan memiliki sepasang kasut yang besar. Kasut itu sangat menyusahkannya, mencederakan orang, merosakkan harta benda orang dan dengan sebab kasut itu juga Abul Qasim dipenjarakan. Kiranya, Abul Qasim ini lebih kurang Pak Pandir di alam Melayu.

Ketika mengajar teks berkenaan, guru saya Syeikh Abu Ahmad berkata, “Amat tidak wajar nama ini digunakan untuk mengisahkan seorang yang pandir dan malang. Nama ini adalah nama gelaran bagi Rasulullah SAW.”

Perlu diingat, sejak zaman berzaman penghinaan ke atas tokoh agama telah berlaku. Versi lama, kisah Lebai Malang, Haji Bakhil Lebai Kedekut dan sebagainya. Dalam masyarakat Melayu, ungkapan Lebai merujuk kepada orang yang wara’, tinggi ilmu agamanya dan menjadi rujukan kepada orang lain. Haji pula gelaran kepada golongan yang telang menyempurnakan ibadat dan rukun Islam kelima. Zaman dahulu, orang yang menunaikan haji dipandang mulia. Dalam 10 buah kampung, hendak mencari seorang pun susah yang telah menunaikan haji. Justeru sesiapa yang berpeluang menunaikannya dikira sangat bertuah dan dihormati.

Namun tangan-tangan nakal penerbit filem tahun 50an-60an memasyhurkan istilah biadap ini. Secara tidak disedari, para lebai dan tok-tok haji tidak lagi dipandang baik seperti sebelumnya.

Ini antara jarum halus yang perlu di buang.