Rabu, Julai 27, 2011

WARKAH BUAT SAUDARAKU ANGGOTA POLIS

WARKAH BUAT SAUDARAKU ANGGOTA POLIS


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin




Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuhu,

Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja. Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.

Tugas Mulia
Saudaraku anggota polis,


Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas. Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.

Saudaraku anggota polis,
Tugas seorang anggota polis -sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu ‘Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran’. Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu ‘Mencegah Kemungkaran’. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum. Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya):

“Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

Nabi s.a.w pula bersabda:
“Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya”
(Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).

Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.

Bahaya Kuasa

Saudaraku anggota polis,
Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya. Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya. Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.

Saudaraku anggota polis,
Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara. Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri. Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.

Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan. Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi s.a.w:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam riwayat Ahmad yang lain:

“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya)." (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Allah Tidak Lupa

Saudaraku anggota polis,
Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu. Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa. Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya ‘apakah salah saya?’. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.

Dunia Sementara

Saudaraku anggota polis,
Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan. Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya):

“Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)”. (Surah Ibrahim 42-43).

Saudaraku anggota polis,
Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil. Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya. Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w:

“Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk.” (Riwayat Muslim).

Sabda baginda juga :

“Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya” (Riwayat al-Bukhari).



Nasihat Hasan al-Basri


Saudaraku anggota polis,
Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan ‘atasan’. Maka, mungkin ada yang berkata ‘kami hanya menjalankan tugas’. Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu ‘Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik. Kata ‘Umar bin Hubairah:

“Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi agama? Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.

Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit. Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid.
Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat. Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai ‘Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta”. Maka menangislah Gabenor ‘Umar bin Hubairah”. (rujukan: Mir at al-Jinan wa ‘Ibrah al-Yaqzan)

Saudaraku anggota polis,
Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat. Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.

Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: “Benar adalah amanah, bohong adalah khianat”. Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.

Saudaraku anggota polis,
Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak. Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil. Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas!

Mohd Asri Zainul Abidin



Ahad, Julai 24, 2011

Bahaya Kanser Paru-Paru




Khabarnya YB Dr Lo' Lo' Ghazali meninggal dunia disebabkan kanser paru-paru. Tahukah anda, kanser paru-paru adalah pembunuh nombor satu di Amerika. Sebanyak 157 000 kematian di Amerika Syarikat pada tahun 2003 adalah disebabkan oleh kanser paru-paru.



Perokok adalah kelompok manusia yang tertinggi menghidap kanser paru-paru. 87% dari pesakit kanser paru-paru adalah perokok. Tetapi para perokok mungkin merasa agak selesa dengan angka 1 daripada 9 perokok berisiko kanser paru-paru.


Sesetengah pencemaran lebih bahaya daripada asap dari perokok.Untuk membuat penjelasan, jalankan pemeriksaan yang teliti, seperti Ujian Biomarkers C12 dinasihatkan. Lakukannya, nyawa anda di dalam taruhan.




1) Epidemiologi:


Kanser paru-paru adalah "pembunuh nombor satu": kanser yang bersebar luas di seluruh dunia. Ia masih meningkat. Namun demikian, tidak dapat dinafikan kemajuan telah dicapai tahun kebelakangan ini sejauh mana rawatan berkenaan. Kanser ini disebabkan oleh penggunaan tobako, ia bermula di negara barat sejak perang dunia kedua. Ia mewakili 20% dari kesemua kanser di Amerika Utara, dibanding 1 ke 2% di Afrika. Sila perhatikan bahawa penyakit ini berlaku agak umum di kalangan wanita, sebab tabiat merokok mereka.


Kanser paru-paru menjadi masalah yang semakin besar pada wanita setiap tahun. Jika kecenderungan sekarang berlanjutan, dalam masa 10 ke 15 tahun, kes kanser paru-paru pada lelaki dan wanita akan muncul : kejadian ini akan menjadi sama, bila 3.5:1 (3 kali lebih bagi lelaki) pada tahun 1975, dan 1.5:1 pada tahun 1999.


Umur yang sesuai untuk diagnosa ialah 66 tahun. Rawatan kanser paru-paru adalah susah, sebab ia sudah terlewat apabila membuat rawatan: bila membuat diagnosa pada peringkat lewat, 50% daripada kes-kes menunjukkan metastasis. Semakin ramai kematian yang disebabkan oleh kanser paru-paru dibanding dengan pergabungan kanser kolon, payudara dan prostat.Dalam tahun 2004, anggaran kes-kes baru kanser paru-paru di Amerika Syarikat adalah 173,770 : 93,110 kes-kes antara lelaki dan 80,660 antara wanita, menurut kepada Persatuan Kanser Amerika. menaksir 160,400 kematian, lebih kurang 30% daripada semua kematian yang disebabkan oleh kanser, akan berlaku dalam tahun 2004.



2) Faktor risiko:


- Merokok atau pendedahan ke asap rokok. Risiko yang lebih tinggi jikalau menghisap rokok dibanding dengan menghisap cerut atau paip . - Pendedahan ke bahan kimia industri : Asbestos adalah satu dari bahan kimia yang diketahui, gas radon, kadmium, nikel, bahan kimia industri, tar dan habuk karbon.


- Perokok lebih berisiko jika didedahkan ke bahan kimia industri tersebut dan pencemaran atmosfera.


- Fakta genetik pun memainkan peranan kerana hanya seorang dari sepuluh perokok yang menghidap penyakit ini.






3) Perkembangan kanser:


Kanser paru-paru dibahagikan kepada 2 jenis, iaitu “small cells lung cancer” (SCLC), dan “non-small cells lung cancers” (NSCLC) mewakili 25% dan 75% masing-masing. Sel-sel paru-paru menukar menjadi sel-sel kanser apabila berlaku ketidakseimbangan fakta-fakta perkembangan sel tersebut. Barah ini boleh melarat ke tulang, hati dan otak.



4) Simptom:


- Batuk berdarah;

- batuk yang berlarutan;

- jangkitan kuman saluran pernafasan dan paru-paru yang susah diubati;

- Suara kasar, lemah lesu dan susut berat badan;

- Sakit-sakit tulang, air dalam pelura para-paru dan sakit tulang belakang.



5) Diagnosa:


- X-ray paru-paru penting tetapi menggunakan pancaran CT Skan digalakkan. Cara MSCT 64-kepingan skan tubuh dan menggunakan petanda protin 'Biomaker C12' adalah strategi yang sungguh berkesan.

- Bronkoskopi boleh mendapat cebisan biopsi;

- Skan dada, abdomen, tulang dan otak adalah sebahagian dari kaedah skan yang digunakan sekarang selain dari 'Petscan';

- Kalau terdapat bengkak tumor yang senang dihampiri, kaedah menggunakan CT- Skan 'guided needle aspiration';

- Sitologi kahak;

- Petanda tumor iaitu CEA, NSE untuk 'Small cell barah paru” dan Cyfra 21-1 untuk barah paru-paru jenis 'epidermoidis'.




6) Rawatan:


- surgeri: spesifik ke lokasi tumor;

- terapi radiasi: bantuan rawatan yang dijalankan bila surgeri tidak dapat dilakukan dengan sepenuh, dan juga pada tumor kecil yang tidak dapat disembuhkan;

- kemoterapi: bantuan rawatan yang dijalankan sebelum atau selepas surgeri, terutamanya pada peringkat metastatik, sebab perkembangan metastasis pesakit ;

- kemoradiasi: bentuk yang tidak dapat dibuangkan;

- dos petanda tumor: amat perlu: menjalani rawatan susulan yang mudah, terutamanya semasa kemoterapi dan mengisyaratkan keperluan untuk mengubahsuai rawatan ini bila klon sel baru ditemui. Beberapa jenis sel tumor boleh muncul bersama dalam satu tumor dalam kes kanser paru-paru : kemoterapi berkesan ke atas sel-sel utama boleh menghapuskan kanser jenis ini, tetapi mungkin sel lain dikuasai: semasa rawatan petanda tumor memainkan peranan yang penting: NSE dan Cyfra 21-1 adalah yang paling penting.



7) Rawatan susulan:


- Kajian radiografik; - dos petanda tumor : peningkatan nilai satu atau beberapa petanda tumor boleh terjadi beberapa bulan sebelum ia muncul semula. Rawatan susulan ini perlu dilakukan setiap bulan, kemudian setiap tiga bulan..




8) Pencegahan:


DILARANG MEROKOK.


Berhenti merokok mengurangkan risiko kanser paru-paru selepas 10 tahun. Pemeriksaan CT dengan dos rendah / resolusi tinggi, bergabung dengan ujian petanda tumor, akan memperbaiki keadaan kanser paru-paru. Petanda tumor yang disebut di atas adalah sebahagian daripada ujian Biomarkers C12; anda dinasihatkan menjalani ujian ini sekali setiap tahun.



Kanser dapat dikesan : lakukannya SEKARANG.

MAHASISWA MESIR BANGKIT



KUALA LUMPUR, 23 Julai: Penyerahan Memorandum Bantahan Pencabulan Hak Mahasiswa di Mesir kelmarin telah menjadi detik sejarah bagi memastikan hak mahasiswa tidak dicabul oleh mana-mana pihak.
Pengerusi Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (Desak), Nuruddin Zanki memaklumkan bahawa sejarah pencabulan hak mahasiswa telah banyak dilakukan oleh beberapa pihak terutamanya Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK), lapor laman web Media Mesir.


"Sebelum ini kita dikejutkan dengan tindakan salah seorang Pegawai Atase bernama Encik Khairi Jalalluddin. Beliau telah banyak bertindak menyusahkan pelajar ketika berurusan dengan pihak mereka.

"Sebelum ini juga Encik Zulkifli bin Din yang merupakan pegawai JPMK turut telah menghina mahasiswa yang tidak mempunyai kewangan, dari negeri Kedah dan Kelantan,” katanya lagi.
Selain itu terdapat juga usaha serius untuk menyekat zakat dan dermasiswa terhadap mahasiswa, antara yang terbabit ialah Negeri Perak, Terengganu dan lain-lain yang disekat zakat mereka.

Pada tahun lepas, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah melancarkan Borang Aduan Hak Mahasiswa.

Usaha tersebut bagi membuka ruang kepada mahasiswa untuk membuat aduan tentang pencabulan hak mahasiswa.

Seterusnya segala aduan tersebut telah dihantar secara bertulis kepada Encik Saiful, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) ketika itu.
"Saya mengingatkan bahawa mahasiswa bukanlah bahan mainan. Mahasiswa akan bangkit sekiranya hak mereka dicabul,” kata Nuruddin mengakhiri perbualan.

Pada 19 Julai lalu, Desak telah menganjurkan solat hajat dan penerangan isu semasa.
Program yang menghimpunkan lebih 2,000 orang mahasiswa tersebut telah didukungi oleh beberapa persatuan pelajar, iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Persatuan Perubatan dan ABIM Mesir.

Di dalam program tersebut, para mahasiswa telah didedahkan dengan beberapa kes pencabulan hak mahasiswa yang dilakukan oleh Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK) dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

Antara kes pencabulan hak mahasiswa yang disenaraikan ialah 3 orang mahasiswa yang dihalau daripada Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) tanpa sebarang notis, 40 senarai nama hitam dari negeri Perak yang terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0, beberapa orang yang menerima ugutan dari Negeri Terengganu dan seorang mahasiswa yang telah dibatalkan pengajiannya.

Selain itu beberapa aduan yang diterima, pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) banyak menyusahkan mahasiswa ketika berurusan dengan mereka.

Antaranya, pegawai JPMK akan merujuk album-album gambar Bersih 2.0 terlebih dahulu bagi menjalankan sesi soal siasatke atas mahasiswa dan mahasiswi yang ingin membuat urusan sebagai rakyat Malaysia.






Ahad, Julai 10, 2011

RINTIHAN TOK GURU DI SISI BAITULLAH



Saat ini saya sedang berada di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah menunggu waktu solat zohor dan menghadap wajah saya ke Kaabah. Insya-allah selepas Asar, saya akan bertawaf wida’ dan akan meninggalkan Tanah Suci. Baru sebentar tadi saya dimaklumkan tentang penahanan Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS. Saya juga dimaklumkan bahawa Timbalan Presiden Pas dan beberapa orang pimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat adalah antara beratus-ratus orang yang telah ditangkap oleh polis kerana menyertai Bersih pada hari ini.

Hati saya cukup remuk mendengar nasib yang sedang dihadapi oleh sahabat-sahabat pimpinan pada saat ini. Saya menuntut agar dibebaskan segera pimpinan-pimpinan yang ditangkap oleh polis. Jangan menyangka gari dan peluru boleh menakutkan semua orang. Saya tegas untuk menyatakan bahawa tindakan yang dilakukan ini hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap UMNO.

Sekalipun yang bertindak ialah polis, tetapi semua pihak mengetahui bahawa alat kawalan jauhnya dipegang oleh Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan yang juga merupakan Presiden UMNO. Padahal, apa masalahnya dengan berhimpun? Bukankah Presiden UMNO baru saja mengumpulkan sejuta belia beberapa minggu yang lalu tanpa ada sedikitpun halangan? Sejuta belia yang dikhabarkan hadir dengan penuh layanan mesra oleh pihak berkuasa tiba-tiba hari ini hanya untuk mengumpulkan 300 ribu orang dibalas dengan gari dan semburan gas? Bukankah orang yang sama juga pernah menjanjikan bahawa himpunan akan dibenarkan jika dibuat di dalam stadium bahkan diberikan keizinan untuk ‘melalak sampai pagi’?

Saya yakin, apa yang berlaku pada hari ini hanya akan menaikkan kemarahan rakyat kepada UMNO. Buatlah setakat mana yang boleh dibuat, sesungguhnya kezaliman yang boleh dilakukan ini hanya setakat kehidupan di dunia sahaja. Di akhirat, setiap tangan yang digari, tubuh yang disakiti dan maruah yang dicalari akan dituntut bayar di hadapan Allah SWT. Kepada mereka yang dizalimi hari ini, jangan lupa menuntut balasannya di hadapan Allah SWT nanti.

UMNO barangkali tidak tahu bahawa orang yang dizalimi mempunyai senjata yang ampuh iaitu doa. Saya menyeru kepada semua umat Islam agar marilah bersama-sama berdoa di dalam sujud kita kepada Allah SWT agar dilaknat kezaliman UMNO yang dilakukan pada hari ini.

Yakinlah, perjuangan menuntut keadilan ini pasti akan berjaya. UMNO pasti akan jatuh tersemban juga akhirnya. Tentangan dan penindasan ini hanyalah tanda perjuangan keadilan akan berjaya. Umpama layang-layang yang tidak akan terbang melainkan dengan melawan angin, begitu juga dengan perjuangan, tidak akan berjaya melainkan dengan menghadapi tentangan!

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah.
Dicatat pada : 12.00 tengah hari (5.00 petang waktu tempatan), 9 Julai 2011.