Rabu, Julai 11, 2012
RINTIHAN OREN ANAK PENEROKA
Suatu dinihari pada tahun 1977, aku dikejutkan ibu. Dipimpin dan dimandikan di bawah pokok kabung, di celah rimbunan rumbia. Di sebuah kampong bernama Temelong, dalam daerah kecil Lenggong. Dalam negeri Perak yang belum berdarul ketika itu.
Semua orang sibuk dinihari itu. Sebuah lori, dua buah kereta sedang dimuatkan bebarang. Lantas kami sekeluarga bergerak meninggalkan Temelong. Atok dah opah melinangkan air di mata. Seusia 5 tahun aku tidak mengerti erti tangisan itu. Ah pedulikan, dah tua2pun nak nangis lagi, bentak hatiku.
Kereta ku naiki membelah kedinginan subuh. Good by Perak. Tanjung Malim menggamit. Kuala Kubu mengalu. Bukit Freser didaki. Menerobos hutan Pahang. Singgah di Masjid Ketari (yang kini aku berkuliah di dalamnya).
Jalan berliku menuju ke daerah Maran. Mencari di mana terlantarnya dada Sena Jengka 16. Di kiri dan kanan jalan tiada yang lain selain hutan belantara dan tapak-tapak semaian sawit dan getah. Hampir senja, kami tiba di Felda Sena Jengka 16.
“Abah kata kita nak ke ‘Kolumpo’. Bila nak sampai,” tanyaku. Abah menjawab, “Ni kolumpo la ni.” Abah memang suka bergurau dengan anak-anak. Aku bongsu tika itu. Abang dua tahun atas daripadaku. Kakak dua tahun atas daripada abang.
Rumah Felda tersergam di hadapan mata. Sekelilingnya penuh semak dan samun. Celahan lantai dimasuki pokok tutup bumi. Paip air tiada. Elektrik tiangpun tak nampak. Telefon jauh panggang dari bara. Di situ aku dibesarkan. Bermula dengan elaun (pinjaman) sara hidup sekitar RM60. Abah cuba berniaga kecil-kecilan. Namun semua orang tiada berpendapatan tika itu, menyebabkan perniagaan abah tak ke mana.
Abah mengayuh basikal lebih 30km ke Sg Tekam mencari pokok getah untuk ditoreh buat menyara 5 perut. Beberapa lama mengambil upah menorah, tiba-tiba tuan kebun menuduh abah mencuri getahnya. Abah berhenti. Merayap pula ke kilang rotan di Bandar Jengka (dulu Bandar Pusat Jengka, kini dinamakan pula dengan nama bapa Najib, Bandar Tun Razak Jengka). Entah berapa upahnya aku tak pasti. Tapi aku pernah mengikuti abah dan mak bekerja di situ. Dari pagi hingga senja. Suasana panas, berhabuk.
Setelah pokok getah boleh ditoreh, abah menoreh pokok sendiri. Pendapatan tak seberapa. Tolak hutang kantin Felda (kemudian dipanggil kedai PNF dan kemudian dinamakan D-Mart). Tolak hutang ladang, hutang tanah tapak rumah, kos baja, kos jalan ladang (walaupun tak ada sebatang jalanpun masuk ke ladang abah), kos macam-macam. Yang tinggal hanya beberapa ringgit.
Orang sawit lagi teruk. Sawit dihantar sampai selori dua lori. Duit yang dapat hanya seringgit dua ringgit. Selebihnya semua masuk kantong Felda, dengan pelbagai nama hutang yang diadakan. Ada peneroka yang terpaksa beli beras di kantin Felda dan menjualnya di pasaran gelap dengan harga lebih rendah semata-mata untuk mendapatkan tunai buat membayar yuran anak.
Ada yang ‘menonjol’ atau ‘mengombet’ getah mereka untuk dijual di luar. Tengah malam, mereka membawa guni getah menerusi ‘jalan tikus’ untuk dijual kepada pembeli getah swasta. Tujuannya tidak lain, untuk mendapatkan wang tunai buat belanja dapur. Seringkali juga mereka terpaksa berhambat dengan Felsco (polis bantuan Felda) dan tidak sedikit juga yang jatuh longkang, getah berterabur di atas jalan.
Felda memaksa peneroka menjual hasil ladang kepadanya bagi membolehkan ia membuat seribu satu jenis potongan. Sejenis aqad yang fasid. Dengan bahasa beradabnya, “Tanah itu bapak aku punya. Bukan Felda punya. Ikut aku la aku nak jual kepada siapa.”
Walhasilnya, Felda jadi kaya. Felda boleh beli dan bina bangunan besar-besar. Boleh bayar gaji dan elaun ribu-ribu kepada pegawai tingginya. Felda boleh belanjakan 370 ribu ringgit untuk jamuan hari raya bossnya. Felda tubuh 47 anak syarikat. Dalam negara ada, di luar negarapun banyak. Bahkan Felda ada restoren di hadapan Masjidil Haram. Jun lalu, aku minum teh O ais di sana. RM4 segelas.
Ketika aku bertugas di Seremban, aku berkenalan dengan seorang rakan yang bekerja sebagai eksekutif Felda. Dia letak jawatan dan berniaga sendiri. Aku Tanya, kenapa berhenti? Dia jawab, “Aku tak sampai hati makan duit Felda. Peneroka berhempas pulas mengusahakan ladang dan hasilnya diberi kepada Felda. Tiba-tiba kami yang duduk kat atas, sewenang-wenangnya guna duit itu dengan mewah. Adakalanya kami para eksekutif hendak bermesyuarat satu jam, pihak pengurusan buat keputusan mesyuarat akan diadakan di sebuah hotel 5 bintang di Johor Bharu. Masing-masing bawa anak bini pi joli 2 minggu di sana. Semua kos selama 2 minggu itu Felda tanggung sedangkan mesyuarat hanya satu jam sahaja.”
Penghujung tahun 80an, Felda menghentikan pembukaan tanah rancangan Felda yang baru. Tanah-tanah yang diperuntukkan kerajaan-kerajaan negeri menerusi Akta GSA itu tidak lagi dibuka kepada para peneroka baru. Felda ingin tanah itu menghasilkan RM yang hanya akan mengalir kepada Felda sahaja, tidak kepada yang lain. Maka tanah-tanah itu dijadikan ladang Felda. Pekerja diimport dari Indonesia. Digajikan. Cukup tempoh mereka dihantar pulang. Dan hasil ladang itu masuk ke kantong Felda kesemuanya. Itulah dia Felda Plantation.
Bukan sedikit jumlahnya. 367,710 hektar. Jika diagihkan kepada anak-anak peneroka satu hektar seorang, 0.368 juta anak-anak peneroka yang merempat di tanah rancangan sekarang ini akan dapat tanah dan mampu membina kehidupan sendiri. Tidak perlu lagi menumpang di rumah orang tua yang sudah uzur.
Kini apabila Isa mengambil alih ‘tampuk pemerintahan’ Felda, semua harta Felda ini disatukan di bawah kangkangnya. Lembaga pengarah anak-anak syarikat ini dibubarkan. Isa melantik dirinya sendiri menjadi taukeh bagi tiap syarikat. Dilantik beberapa orang pengurus dan kerani dari kalangan suku sakatnya untuk menguruskan syarikat itu. Bahkan koperasi milik para peneroka yang dikenali sebagai KPF, turut dijajah Isa. Pengerusi KPF, Datuk Dzul disingkir. Datuk Dzul bukan orang luar. Dia Pengarah Besar Felda. Isa kemudian melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi KPF. Isa bukan peneroka Felda. Dia bukan kakitangan Felda. Dia tak layak jadi ahli koperasi Felda. Tetapi Isa rakus. Dia melantik dirinya sendiri jadi ketua koperasi ini.
Ditubuhnya FGVH (Felda Global Venture Holding). Dijemput orang yang telah merugikan ratusan juta RM beberapa syarikat gergasi sebelum ini untuk mengemudi FGVH. Semua anak syarikat Felda duduk bawah FGVH. Ladang-ladang juga di bawah FGVH.
Lalu FGVH itu diletak di atas meja lelongan di Bursa Malaysia. “Lelong lelong! Sapa mau beli. Sapa mau beli. Mai mai. Satu unit empat ringgit lima kupang lima duit.”
Kenapa nak jual? Kata mereka, untuk meningkatkan taraf hidup warga Felda. Ya kah? Betul ke? Siapa yang akan kaya memperdagangkan titik peluh peneroka ini? Penerokakah? Atau pak-pak menteri?
Modalnya dari titik peluh peneroka.
Pemegang sahamnya siapa?
Isa Samad dapat 180,000 unit.
Ahmad Sabri dapat 180,000 unit.
Dato’-dato’ dan tan sri para pemimpin umno dapat puluhan ribu unit.
Peneroka dapat berapa? Hanya 800 unit. Itupun dipaksakan berhutang dengan bank yang cagarannya adalah tanah peneroka itu sendiri.
Letih, lelah, penat abah dan peneroka-peneroka Felda, yang dapat hasil ialah Dato’ Tan Sri yang tak ada kena mengena dengan Felda. Yang bakal memiliki segala aset ini ialah kapitalis-kapitalis yang rakus dari kalangan Yahudi, Nasara, komunis dan lain-lain yang mempunyai wang.
Adapun peneroka seperti abah…. Hanya memandang dan melihat. Menghitung hari tua. Memetik biji tasbih. Menunggu Malakul Maut sambil memerhati hasil titik peluh mereka diratah oleh Isa Samad dan konco-konconya….
Dan hari ini aku terbaca satu entry FB dari sahabatku saudara Mazlan Aliman:
“Terdapat 112,635 peneroka Felda seluruh negara,
Ada 23,000 kakitangan Kumpulan Felda
Ada 45,000 pekerja Ladang Felda Plantation,
Terdapat 537,738 hektar tanah kebun peneroka,
Terdapat 367,710 hektar tanah Felda Plantation. . .
Ada 317 Tanah Rancangan Felda seluruh negara,
Ada 150 Ladang Felda Plantation,
Ada 47 Anak2 Sykt Felda,
97 peratus peneroka Felda adalah orang melayu,
FELDA adalah Institusi yang diwujudkan pada 1 Julai 1956
Ia sedang dipertaruhkan oleh Najib dan kuncu2nya....
Penyenaraian FGVH ke Bursa Msia membuka ruang kepada pemilikan asing
Sykt Yahudi, Bonge Limited dan Louis Dreyfus telah menjadi Rakan Strategik kpd FGVH
melabur dalam FGVH.
Yahudi dan Komunis telah menjadi sahabat akrab FGVH?
Adakah kita tergamak membiarkan Felda lingkup akibat pengkhianatan pemimpin Umno?
Adakah kita lupa nasib peneroka Felda Cahaya Baru, Sg Buaya, Labu Johnson, Sendayan dan Bukit Cherakah?
Menang sorak kampung tergadai....
Jom ke Himpunan Oren Selamatkan Felda 14 julai ini,
Tunjukkan sokongan dan dokongan melalui Himpunan terbesar warga Felda,
Jangan pentingkan diri sendiri;
Bersama kita mengiringi memo kepada Yang Di Pertuan Agong di Istana Negara
Hentikan penyenaraian FGVH di Bursa Msia,
Kembalikan hak peneroka Felda,
Gabungkan kekuatan menentang penkhianat dan petualang negara,
Najib, Ahmad Maslan dan Isa Samad adalah perompak harta rakyat,
Nyahkan mereka dlm PRU 13 ini,
Mulakan melalui,...Himpunan Oren Selamatkan Felda!”
Langgan:
Catatan (Atom)