Khamis, Oktober 05, 2006

KHUTBAH RAYA 1427H

خطبة فرتام

IDUL FITRI MEMBINA KEKUATAN UMMAH

اوليه: حاج اريس حزلان بن حاج إسماعيل

اللهُ أكبر اللهُ أكبر اللهُ أكبر - اللهُ أكبر اللهُ أكبر اللهُ أكبر - اللهُ أكبر اللهُ أكبر اللهُ أكبر وللهِ الْحَمْدُ. اللهُ أكبر كبيرا و الْحَمْدُ للهِ كثيرا وسبحان الله بكرة وأصيلا لا إله إلا الله ولا نعبد إلا إياه مخلصين له الدين ولو كره الكافرون لا إله إلا الله وحده صدق وعده ونصر عبده وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده لا إله إلا الله و اللهُ أكبر اللهُ أكبر وللهِ الْحَمْدُ. نَشهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ, لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ. وَنَشْهَدُ أَنَّ محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا وَحَبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَقُدْوَتِنَا محمدٍ أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ, وَعَلَى آَلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ.

فَيَا عِبَادَ اللهِ اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ, وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah, BERTAQWALAH kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang Islam.

Saudaraku kaum Muslimin sekalian,

Hari ini 1hb Syawal 1427H, seluruh umat Islam di dunia menyambut hari raya Aidil Fitri dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Aidilfitri melambangkan satu kejayaan. Aidilfitri melambangkan satu amanah. Aidilfitri mengajar kita supaya bersatu padu. Dengan kata lain, Aidilfitri memberi seribu erti kepada umat Islam.

Aidilfitri menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mulia. Bulan yang yang dipenuhi dengan rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka. Bulan yang padanya diwajibkan berpuasa. Bulan yang padanya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan yang diwajibkan umat Islam membayar zakat fitrah kepada fakir dan miskin. Bulan yang digandakan pahala amalan sehingga 700 kali ganda. Lantas berebut-rebut dan berlumba-lumbalah umat Islam, dahulu dan kini untuk mendapatkan segala kelebihan dan fadhilat Ramadhan.

Saudaraku muslimin dan muslimat sekalian.

Betapa besarnya ganjaran yang disediakan oleh Allah di dalam bulan Ramadhan dapat kita lihat menerusi sebuah hadith yang panjang, yang diriwayatkan oleh Imam Al Baihaqi yang bermaksud:

“Di dalam bulan Ramadhan, umatku dianugerahkan lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada (umat) nabi terdahulu:

Pertama: Pada malam pertama Ramadhan, Allah memandang mereka (dengan pandangan rahmat). Dan barangsiapa yang Allah memandang mereka (dengan pandangan rahmat) maka Allah tidak akan mengazab mereka selama-lamanya.

Kedua: Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa di siang hari amat harum di sisi Allah daripada haruman kasturi.

Ketiga: Sesungguhnya malaikat memohon ampun untuk mereka setiap hari dan malam.

Keempat: Allah memerintahkan syurga dengan berfirman: “Bersiap sedialah kamu dan berhiaslah untuk menyambut ketibaan hamba-hamba-Ku yang akan berehat setelah mereka penat di dunia...

Kelima: Pada malam terakhir Ramadhan, Allah mengampunkan mereka kesemuanya.”[1]

اللهُ أكبر اللهُ أكبر اللهُ أكبر

Kaum muslimin sekalian,

Dalam melaksanakan ibadah puasa, ada manusia manusia yang melaksanakannya kerana hendak menguruskan badan, ada yang berpuasa kerana budaya masyarakat dan adat setempat. Bahkan ada yang berpuasa hanya sebagai ikut-ikutan sahaja.

Sebenarnya puasa adalah satu ibadah yang diwajibkan oleh Allah untuk melahirkan manusia-manusia yang bertaqwa kepada Allah. Dengan kata lain, jika ditanya mengapa anda berpuasa, maka jawablah, “Saya berpuasa kerana menunaikan perintah Allah. Saya berpuasa kerana hendak menjadi orang yang bertaqwa.”

Firman Allah surah Al Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ {183}

“Wahai orang2 yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkannya ke atas orang2 sebelum daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.”

Lantaran itu setiap umat Islam sewajarnya memperbetulkan niat berpuasa supaya ia benar-benar dapat menjadikan diri masing-masing bertaqwa kepada Allah. Sejauh mana benar atau tidak niat seseorang itu berpuasa, akan dapat dilihat hasilnya setelah berlalu bulan Ramadhan. Jika di dalam bulan Ramadhan seseorang itu tidak berkata dusta, maka seharusnya di luar bulan Ramadhan juga dia tidak akan berkata dusta. Di bulan Ramadhan dia sentiasa berkunjung ke masjid untuk solat Tarawih dan solat berjamaah yang lain, maka di luar Ramadhan juga seharusnya dia terus istiqamah dengan solat berjamaah. Jika di bulan Ramadhan dia sentiasa memelihara aurat, maka di luar Ramadhan aurat tetap dipelihara.

Nabi SAW bersabda:

مَن صَامَ رَمَضَانَ إيمَاناً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تـَقـَدَّمَ مِن ذَنْبِهِ

رواه البخارى

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan pahala (keredhaan) Allah maka diampunkan dosanya yang telah lalu.”

(Hadith riwayat Imam Al Bukhari)

اللهُ أكبر اللهُ أكبر اللهُ أكبر

Muslimin dan Muslimat sekalian.

Aidilfitri mengajarkan kita bahawa umat Islam mempunyai kekuatan sendiri. Bahkan Ramdhan itu sendiri digelar sebagai Bulan Kemenangan. Kemenangan hanya boleh dikecapi oleh mereka yang mempunyai kekuatan.

Orang yang sanggup bangun di waktu dinihari untuk bersahur adalah orang yang kuat. Orang yang sanggup berlapar dan berdahaga sepanjang siang juga adalah orang yang kuat. Orang yang membayar zakat fitrah adalah orang yang kukuh di sudut kewangannya. Orang yang sanggup berdiri sembahyang malam sehingga 8 atau 20 rakaat juga adalah orang yang mempunyai kekuatan.

Bahkan kesepaduan hati seluruh umat Islam untuk berpuasa pada satu masa yang sama dan dengan mematuhi peraturan hukum yang sama, menunjukkan bahawa umat Islam mempunyai kekuatannya yang tersendiri iaitu kekuatan wahdatul amal, kekuatan kesepaduan tindakan.

Justeru kita melihat sejarah telah merakamkan pelbagai kejayaan dan kemenangan kepada umat Islam di dalam bulan Ramadhan. Lihatlah, seawal tahun kedua hijriyyah, negara Islam yang dibina oleh Rasulullah SAW cuba diserang oleh 1,000 orang bala tentera Musyrikin. Namun dengan kuasa dan pertolongan daripada Allah, umat Islam yang berjumlah 313 orang berjaya mengalahkan dan menghalau tentera musyrikin. Peristiwa ini berlaku di dalam bulan Ramadhan.

Lapan tahun kemudian, kita melihat bagaimana Rasulullah SAW dan umat Islam berjaya kembali ke Makkah dan membebaskan kota suci itu daripada kekuasaan kaum Musyrikin. Peristiwa ini juga berlaku dalam bulan Ramadhan. Atau dengan lebih tepat lagi pada 20 Ramadhan tahun ke 8 Hijriyyah.

Kemenangan di dalam bulan Ramadhan terus diperolehi umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Pada tahun 92 Hijriyyah, panglima tentera Islam Tariq bin Ziyad yang baru berusia 15 tahun berjaya mengerahkan balatenteranya menyeberangi Laut Mediterranean untuk membebaskan bumi Andalus atau Spanyol dari cengkaman musuh-musuh Islam.

Apabila pasukan tentera Islam berjaya mendarat di pantai Jabal Tariq atau Gibraltar, Tariq memberikan motivasi terhebat kepada tenteranya iaitu dengan membakar kesemua kapal mereka. Tariq lantas menyampaikan ucapan penuh semangat meminta tentera Islam berjuang hingga sehingga memperoleh kemenangan atau mati syahid. Antara lain beliau berkata:

البَحـْرُ مِن وَرَاءِكـُمْ وَالـْعَدُوُّ مِنْ أمَامِكـُمْ

“Laut di belakang kamu, musuh di hadapan kamu... (maka berjuanglah kamu bersungguh-sungguh)”[2]

Dengan semangat yang tiupkan oleh Tariq, akhirnya tentera Islam berjaya mendapat pertolongan Alah mengalahkan tentera musuh. Peristiwa yang menjadi permulaan sampainya Islam ke benua Eropah ini berlaku dua hari sebelum Aidilfitri iaitu pada 28 Ramadhan tahun 92 Hijriyyah.

Muslimin sekalian,

Peristiwa Ain Jalut yang menyaksikan kemenangan umat Islam pimpinan Saifuddin Qutuz (سيف الدين قطز) mengalahkan tentera Tatar di Palestin juga berlaku di dalam bulan Ramadhan. Peristiwa Ain Jalut juga memberikan kemenangan kepada umat Islam apabila negara-negara Islam yang terdiri daripada Mesir dan negeri-negeri Syam berjaya disatukan. Peristiwa kemenangan gilang gemilang ini berlaku pada 15 Ramadhan tahun 658 Hijriyyah.

Pada tahun 1973, dunia digemparkan dengan kemenangan umat Islam di Mesir ke atas tentera Zionis Israel yang menjajah Semenanjung Sinai selama 7 tahun. Peperangan yang dikenali sebagai Ma’rakah ‘Abur (معركة العبور) itu menyaksikan tentera Mesir berjaya menyeberangi Terusan Suez dan membebaskan Kem Berlif serta akhirnya menghalau tentera Rejim Israel dari Semenanjung Sinai hingga ke Sempadan Taba. Kemenangan yang membebaskan tempat-tempat bersejarah peninggalan Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Syuaib, Nabi Saleh, Nabi Ilyas dan lain-lain itu berlaku pada 10 Ramadhan tahun 1393 Hijriyyah.

Saudaraku kaum Muslimin sekalian,

Kemenangan demi kemenangan yang diperolehi oleh umat Islam terdahulu di dalam bulan Ramadhan menjadikan mereka manusia yang sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah. Lantas apabila tibanya hari raya, mereka melaungkan takbir membesarkan Allah. Laungan Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar, bergema di setiap lorong, rumah dan masjid. Takbir mereka mengiringi kemenangan. Takbir mereka mengiringi kejayaan menewaskan musuh.

Malangnya kita di akhir zaman ini, walaupun setiap tahun kita melaungkan takbir hari raya, namun umat Islam terus di tindas dan diperhina. Kita melaungkan takbir di masjid-masjid, sedangkan umat Islam di Palestin, di Iraq, di Lubnan, di Afghanistan terus disembelih dan diratah oleh musuh-musuh Islam.

Setiap hari raya kita bertakbir, tetapi umat Islam terus hidup dalam kehinaan, merempat dan kebuluran di beberapa buah negara.

Setiap kali datangnya Aidilfitri dan Aidil Adha kita melaungkan takbir, tetapi semakin hari samakin ramai umat Islam bertindak keluar daripada agama Islam. Suatu ketika dahulu kita hanya mendengar murtad berlaku di negara luar, tetapi hari ini kita menyaksikan sudah ada anak Melayu di negara kita yang mengisytihar diri keluar daripada agama Islam. Lebih biadap lagi apabila ada yang sanggup mengemukakan saman ke atas pihak berkuasa agama kerana tidak mengeluarkan surat membenarkannya murtad. Bahkan mereka turut mengheret Jabatan Pendaftaran ke mahkamah kerana enggan menuruti kehendak mereka memadamkan kalimah ISLAM pada kad pengenalan.

Kita juga merasa dukacita kerana sejak akhir-akhir ini muncul pelbagai fahaman baru di kalangan umat Islam yang boleh merosakkan akidah mereka. Jika umat Islam dahulu terpaksa berhempas pulas menentang golongan Muktazilah, Jabariah, Qadariah dan sebagainya, maka pada hari ini kita terpaksa pula berhadapan dengan golongan Pluralisma, golongan Liberalisma dan remaja yang membawa budaya Hedonisme.

Golongan Pluralisma ini menganggap semua agama itu sama. Semua agama membawa kebaikan. Tidak ada agama yang mengajak kepada kejahatan. Justeru mereka tidak menganggap salah jika ada umat Islam yang ingin murtad dan menukar agamanya.

Golongan Liberalisma pula menuntut supaya ajaran Islam disesuaikan dengan kehendak semasa. Hukum-hukum yang dianggap tidak relevan dan dituduh menzalimi sesetengah kaum hendaklah dipinda. Golongan ini menolak hukum jihad, hukum faraidh dan sebagainya. Mereka lebih suka mengamalkan Islam menurut tafsiran sendiri dan membelakangkan penerangan Al Quran dan hadith Rasulullah SAW.

Manakala budaya Hedonisma pula dianuti oleh para remaja yang tidak pedulikan batas-batas agama. Yang penting bagi mereka ialah keseronokan. Mereka bebas bergaul lelaki perempuan, minum arak, berzina dan sebagainya.

Semua fenomena yang berlaku ini mengajar kita supaya kembali membina kekuatan Islam yang telah hilang. Dan kekuatan Islam berbeza dengan kekuatan pihak lain. Kekuatan pihak lain terletak kepada kekuatan kebendaan zahir mereka. Tetapi kekuatan Islam terletak pada ajaran Islam itu sendiri.

Seandainya umat Islam berpegang teguh dengan ajaran Islam, maka akan datanglah kekuatan yang tidak dapat dikalahkan oleh sesiapapun di dunia ini. Perdana Menteri Britain, Glade Stone pernah memegang Mushaf Al Quran di dalam Parlimen Britain dan berkata: “Sekiranya buku ini (Al Quran) terus menjadi pegangan kepada umat Islam maka selagi itulah Barat tidak dapat mengalahkan umat Islam. Oleh itu buku ini perlu dipisahkan daripada umat Islam.”

Syeikh Yahya Muhd Ilyas di dalam bukunya Al Qhazwul Fikri (الغزو الفكرى) menceritakan, ketika Raja Perancis, King Lois ke 9 dibebaskan dari penjara Mansurah, Mesir, beliau pulang ke Perancis dan berucap di hadapan rakyatnya: “Untuk mengalahkan umat Islam, kalian tidak boleh menggunakan pedang. Kerana terbukti kita telah tewas sejak ratusan tahun ketika kita berhadapan dengan umat Islam di dalam peperangan bersenjata. Tetapi untuk mengalahkan mereka, perangilah mereka di sudut aqidah Islam mereka, kerana di situlah terletaknya punca kekuatan Umat Islam.”

Kaum Muslimin sekalian,

Sesungguhnya musuh-musuh Islam sentiasa memerhati dan mengkaji kekuatan umat Islam. Mereka tahu bahawa Islam menjadi kuat apabila umatnya berpegang teguh dengan ajaran Islam, hidup berpandukan Al Quran, amalan berdasarkan Sunnah Rasulullah SAW.

Justeru, marilah sama-sama kita menggali mutiara-mutiara yang terkandung di dalam Al Quran untuk dijadikan panduan dan amalan hidup. Sepanjang bulan Ramadhan yang lalu, kita bertadarus membaca Kitab Allah ini. Maka setelah tamat bulan Ramadhan ini, seharusnya kita meningkatkan bacaan kita dengan mengkaji dan mempelajari serta mengamalkan isi kandungan Al Quran.

Al Quran bukan sekadar kitab yang diturunkan untuk dibaca dan dilagukan sahaja, bahkan ia berperanan jauh lebih besar, membimbing manusia ke jalan yang diredhai Allah. Al Qur’an mengandungi segala panduan hidup, peraturan dan hukum hakam serta perkhabaran perkara yang telah, sedang dan akan berlaku. Al Quran juga merupakan sumber segala ilmu pengetahuan. Firman Allah di dalam Surah Al Baqarah ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Ertinya:

“Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al Quran (sebagai) petunjuk bagi sekalian manusia dan keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan yang benar dan yang salah.”

Kaum Muslimin sekalian,

Ketahuilah bahawa sesungguhnya umat Islam berada di kemuncak kejayaan apabila mereka berpegang teguh dengan ajaran Islam. Sebaliknya mereka dikalahkan oleh musuh apabila meninggalkan ajaran Islam.

Utusan Raja Farisi merasa hairan bagaimana Saidina Umar, seorang pemimpin negara Islam yang besar dan kuat, boleh tidur dan berehat di bawah pohon kurma. Mereka membayangkan sebagai seorang ketua negara yang sentiasa menang di dalam peperangan, pastinya Saidina Omar seorang raja yang gagah perkasa, tinggal di dalam istana yang besar di kelilingi tembuk yang kukuh dan dikawal oleh pahlawan-pahlawan yang gagah perkasa. Rupa-rupanya saidina Umar yang begitu digeruni oleh kuasa dunia ketika itu hanya tinggal di dalam sebuah rumah yang dibuat daripada tanah liat dan masih berkesempatan berehat di bawah pokok tanpa sebarang kawalan.

Saidina Umar mengajar kaumnya, jika mahukan kekuatan, binalah Islam di dalam diri masing-masing dan bukannya bergantung kepada kekuatan material semata-mata. Beliau pernah berkata:

نـَحْنُ قـَوْمٌ أعَزَّنـَا اللهُ بـِالإسْـلامِ

فـَمَهْمَا نـَبْتـَغِ الـْعِزَّ بـِغـَيْرِهِ أذ َلـَّنـَا اللهُ

“Kita adalah kaum yang mulia dengan sebab kita beragama Islam. Kalaulah kita mencari kemuliaan melalui jalan yang lain daripada Islam, nescaya kita akan menjadi hina.”

اللهُ أكبر اللهُ أكبر اللهُ أكبر

Saudaraku Kaum Muslimin dan Muslimat sekalian,

Pada hari ini, kita diwajibkan melaksanakan satu lagi kewajipan sebagai umat Islam iaitu kewajipan membayar zakat fitrah. Zakat fitrah diwajibkan kepada umat Islam dengan tujuan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. Zakat Fitrah juga mengjar manusia supaya sentiasa mengamalkan sikap tolong menolong dan berukhuwwah sesama Islam. Islam tidak membenarkan umatnya bersikap individualkistik.

Dalam hal ini Islam terbukti menjadi agama yang paling rasional, relevan dan sederhana. Dari segi pemilikan harta, sistem kapitalis menganggap harta itu milik mutlak tuannya dan dia berhak untuk menggunakan harta itu semahunya. Manakala komunis pula menganggap harta itu milik mutlak kerajaan dan tuan punya harta tidak ada hak ke atas hartanya. Maka Islam sebagai agama yang sederhana, meletakkan harta sebagai milik Allah, manakala manusia diamanahkan untuk menguruskannya mengikut arahan Allah. Allah yang Maha Pemurah mengizinkan manusia menggunakan harta berkenaan, tetapi manusia perlu menyedari bahawa di dalam hartanya itu ada hak orang miskin, ada hak si fakir dan ada hak fi sabilillah yang mesti ditunaikan. Justeru menunaikan zakat adalah salah satu cara untuk membersihkan harta daripada bercampur dengan hak-hak orang lain.

Saudaraku sekalian,

اللهُ أكبر اللهُ أكبر اللهُ أكبر

Dalam suasana kita berseronok menyambut hari raya ini, janganlah kita lupa kepada Allah dan janganlah kita melanggar batas-batas akhlak yang ditetapkan oleh Islam. Hari raya adalah perayaan agama, perayaan yang ada hubung kaitnya dengan ibadat. Maka jayakanlah ia sebagai satu ibadat dan jangan jadikannya sebagai pesta maksiat.

Isilah ruang hari raya ini dengan aktiviti yang berguna seperti bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, bersedekah, mengeratkan hubungan silaturrahim dan persahabatan dan lain-lain.

Dalam kegembiraan ini juga janganlah hendaknya ada yang menyambut hari raya sehingga meninggalkan ibadah sembahyang yang difardhukan oleh Allah SWT. Sesungguhnya sembahyang membezakan di antara seseorang yang beragama Islam dan bukan Islam. Solat juga adalah amalan yang membuktikan seseorang itu bertaqwa kepada Allah. Firman Allah:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ {3}

“(Orang yang bertaqwa itu ialah) orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara ghaib dan mendirikan sembahyang dan menafqahkan sebahagian rezeki yang kami berikan kepada mereka.” (Surah Al Baqarah ayat 3)

بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ بِالقُرْاَنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِما فيه من الآَيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهَ , إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمَ . أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِى وَلَكُمْ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

خطبة كدوا

اللهُ أكبر اللهُ أكبر اللهُ أكبر اللهُ أكبر اللهُ أكبر , اللهُ أكبر , اللهُ أكبر, اللهُ أكبر , اللهُ أكبر . وللهِ الْحَمْدُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ. أَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ اللهِ, أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّاىَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى.

Muslimin dan muslimat sekalian,

Marilah pada hari raya yang penuh barakah ini kita merasakan betapa besarnya nikmat iman dan Islam yang dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT. Hanya kematian di dalam iman dan Islam sahajalah yang diredhai oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آَمَنُوا اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

“Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan beragama Islam.”

Saudaraku Kaum Muslimin sekalian,

Kita bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang yang memilih masjid sebagai tempat pertama yang dikunjungi pada hari raya ini. Kita datang ke sini dengan tujuan untuk menunaikan solat Aidilfitri. Sesungguhnya kita memilih masjid sebagai tempat kunjungan pertama kerana ia adalah rumah Allah yang mulia dan mempunyai kedudukan yang tinggi.

Masjid melambangkan perpaduan umat Islam. Masjid tempat umat Islam berkumpul untuk beribadat, berbincang, menuntut ilmu dan berbagai perkara lagi. Seorang ulama’ terkenal, Dr Fadzlur Rahman menulis di dalam bukunya ISLAM: THE WAY OF LIFE mencatatkan di dalam bab Social Benefit bahawa masjid di zaman Rasulullah SAW bukan sahaja berfungsi sebagai tempat sembahyang, bahkan masjid digunakan sebagai pusat pentadbiran kerajaan, sebagai pusat pendidikan, tempat mengisytiharkan peperangan, tempat berlatih seni mempertahankan diri dan sebagainya.

Dengan kata lain, masjid adalah pusat segala aktiviti kebaikan bagi umat Islam. Lantaran itu pada hari yang bertuah ini saya menyeru diri saya dan tuan-tuan sekalian supaya kita memelihara kesucian dan ketinggian masjid. Marilah sama-sama kita mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti yang berguna. Jika pada bulan Ramadhan yang lalu, kita sering berkunjung ke masjid untuk menunaikan sembahyang yang hukumnya sunnat, maka selepas Ramadhan ini marilah kita memenuhkan masjid untuk menunaikan sembahyang yang hukumnya wajib.

اللهُ أكبر اللهُ أكبر اللهُ أكبر

Kaum muslimin sekalian,

Dalam bulan Syawal ini, kita digalakkan melakukan satu lagi ibadah iaitu berpuasa selama enam hari. Nabi SAW menggalakkan kita berpuasa selama enam hari dalam bulan Syawal seperti mana sabda baginda:

مَن صَامَ رَمَضَانَ ثـُمَّ أتْبَعَهُ بِسِتٍّ مِن شـَوَّالَ فـَكـَأنَّمَا صَامَ الدَّهْرَ كـُلـَّهُ (رواه مسلم)

“Barang siapa berpuasa (penuh) di bulan Ramadhan lalu diikuti dengan berpuasa selama enam hari dalam bulan Syawal maka dia seolah-olah berpuasa seumur hidup.”

(Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Kaum muslimin sekalian,

Dunia hari ini gempar dengan pelbagai bala bencana. Semua itu tidak akan berlaku dengan sendiri jika tidak dengan izin Allah. Justeru, bersegeralah bertaubat kepada Allah. Hindarilah sebarang bentuk kemungkaran. Didiklah isteri dan anak-anak dengan didikan Islam. Pastikan mereka menunaikan sembahyang, menutup aurat, hormat kepada orang tua, beradab di dalam muamalah seharian. Galakkan mereka menuntut ilmu agama dan mengimarahkan masjid Allah dengan ibadah dan solah. Semoga kita dilindungi Allah daripada sebarang bala bencana di dunia dan seterusnya diselamatkan daripada azab di hari akhirat kelak.

Kaum Muslimin sekalian,

Pada hari ini juga marilah kita memperbanyakkan ucapan salawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad SAW yang telah menyampaikan Islam kepada kita melalui berbagai-bagai bentuk jihad dan pengorbanan. Tanda kasih kita kepada baginda hendaklah dirakamkan dalam bentuk ucapan salawat dan salam sebagai mematuhi perintah Allah di dalam Al Quran:

إِنَّ اللهَ وَمَلآَئِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلَى النَّبِىِّ يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آَمَنُوْا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا { الأحزاب 56}

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya sentiasa bersalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

Oleh itu marilah kita mengucapkan salawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW bersama-sama dengan lafaz:

اَللَّهُمَّ صَلِّ وسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى محمدٍ وَعَلَى آَلِ محمدٍ, كَمَا صَلَّيْتَ وَسَلَّمْتَ وَ بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آَلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

Pada hari ini juga, marilah kita berdoa kepada Allah semoga kita diselamatkan di dunia dan di akhirat, diampunkan dosa, diselamatkan saudara-saudara kita yang sedang dizalimi di seluruh dunia dan diberikan keamanan kepada umat ini.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ الأَحْيَآءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ.

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوْبَنَا وَذُنُوْبَ وَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا.

رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاَّ لِلَّذِيْنَ آَمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَّحِيْمٌ.

اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ, وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ, وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ وَالظُّلْمَ وَالظَّالِمِيْنَ. اَللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِى نُحُوْرِ أَعْدَآئِنَا وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ. اَللَّهُمَّ رُدَّ كَيْدَهُمْ عَلَى نُحُوْرِهِمْ. اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ, وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ.

اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا الْمُجَاهِدِيْنَ وَالْمُسْتَضْعَفِيْنَ فِى فَلَسْطِيْنَ, وَفِى لُبْـنَان, وَفِى شِيْشَانْ, وَفِى العِرَاقِ, وَفِى كَشْمِيْر, وَفِى جَنُوْبِ تَايْلَنْد وَفِى كُلِّ مَكَانٍ وزمان. اَللَّهُمَّ قَوِّ عَزَائِمَهُمْ, وَاجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ, وَثَبِّتْ أَقْدَامَهُمْ, وَانْصُرْهُمْ عَلَى أَعْدَآئِهِمْ.

اَللَّهُمَّ آَتِ أَنْفُسَنَا تَقْوَاهَا, وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا, أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهاَ.

اَللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ, وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ.

اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا, وَأَئِمَّتَنَا وَوُلاَةَ أُمُوْرِنَا, وَاجْعَلْ وِلاَيَتَنَا فِى مَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ .

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا.

رَبَّنَا آَتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.


رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

سبحان ربك رب العزة عما يصفون وسلام على المرسلين والحمد لله رب العالمين



[1] الرياض الندية في الخطب المنبرية - لمحمد حلمى محمد خضر - مكتبة الإرشاد 1992 - جدة ص 195

[2] الفقه لبإسلامى وأدلته ج1

Isnin, Oktober 02, 2006

PENYAKIT JAHIL DI BULAN RAMADHAN

Beberapa hari lalu saya ditemui oleh beberapa rang wanita mengadukan hal masing-masing di bulan Ramadhan.

Wanita pertama berkata, "Saya geram betul dengan sikap ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke masjid. Anak-anak mereka bermain dan bising. Mengganggu orang yang hendak solat Tarawih. Sembahyang saya jadi tak khusyu' disebabkan oleh karenah kanak-kanak ini."

"Sepatutnya, hari orang nak buat ibadah, jangan bawa kanak-kanak ke masjid. Mengganggu!"

Wanita kedua pula berkata, "Saya seronok sembahyang Tarawih kat surau berhampiran rumah saya. Imam tu 'stedi' je baca. Laju. Takde la macam imam Masjid 'K' tu. Lambat sangat. Dia baca panjang pulak tu. Tak seronok sembahyang."

Wanita ketiga menyampuk, "Kat surau saya lain pula halnya. Tok imam tu buat ragam. Ada ke patut, tengah-tengah orang seronok sembahyang Tarawih, tiba-tiba dia berhenti dan buat ceramah (tazkirah) pulak.

Saudara,
Ketiga-tiga watak di atak mewakili sebilangan besar masyarakat kita yang kurang pengetahuan dan penghayatan agama.

Wanita pertama sibuk menyalahkan kanak-kanak yang DATANG ke masjid dan buat bising. Sebenarnya kanak-kanak itu adalah lebih mulia daripada orang dewasa yang TIDAK DATANG ke masjid! Ibu bapa yang membawa mereka ke masjid itu pula telah bertindak bijak mendidik anak-anak dengan memperkenalkan masjid kepada mereka sejak DI AWAL USIA.

Wanita pertama langsung tidak menampakkan kebimbangan kepada masalah utama umat Islam iaitu masalah remaja enggan datang ke masjid. Jika kanak-kanak di larang datang ke masjid hanya disebabkan mereka bising, maka kanak-kanak ini akan jauh dengan masjid. Akan timbul fobia kepada masjid. Dan akan lahirlah generasi akan datang yang renggang dengan masjid, tidak suka solat berjamaah, jauh daripada menghadiri kuliah dan ceramah agama dan dengan itu juga akan timbullah pelbagai gejala sosial yang sukar diubati.

Jika kanak2 bising, itu adalah masalah kecil. Mereka tidak berdosa. Tak kanlah nak suruh ibu bapa tunggu dan perhatikan mereka sepanjang tempuh solat Tarawih itu. Jawabnya ibu bapa langsung tak dapat sembahyang.

Seorang pakar motivasi berkata, jika hendak suruh kanak2 duduk diam macam orang tua, boleh atau tidak? Jawapannya boleh. Tetapi bila? 30 tahun akan datang. Iaitu ketika kanak-kanak itu sudah menjadi dewasa. Selagi namanya kanak-kanak maka selagi itulah mereka akan berperangai seperti kanak-kanak.

Dengan kata lain, orang yang sibuk dengan hal ini sebenarnya tidak tahu fiqh keutamaan (priority).

Masalah wanita kedua pula merujuk kepada soal sembahyang. Dia merasa seronok apabila imam membaca Al Quran di dalam sembahyang secara ekspres. Sebaliknya dia susah hati dan gelisah apabila imam membaca 'panjang'. Saya pergi ke masjid 'K' yang dikatakan imam membaca panjang itu. Rupa-rupanya imam bukan membaca panjang. Tetapi beliau tertib di dalam bacaannya dengan memelihara hukum tajwid, sebutan huruf (makhraj) dan sebagainya.

Setiap rakaat imam hanya membaca dua tiga ayat sahaja dari surah Al Baqarah. Adakalanya jika ayat itu panjang, beliau hanya membaca satu ayat sahaja bagi setiap rakaat. Adakah dengan membaca satu, dua atau tiga ayat itu boleh dikatakan imam membaca panjang?

Hakikatnya, iman umat akhir zaman ini terlalu rapuh. Solah menyembah Allah terlalu berkira. Terlebih masa sikit pun tak boleh. Tetapi jika menonton movie, dua tiga jam boleh stay depan TV.

Masalah perempuan ketiga ialah masalah tidak dapat membezakan mana utama di dalam amalan Islam. Dia menganggap solat Tarawih adalah segala-galanya baginya. Tidak boleh diselang selikan dengan amalan lain.

Tarawih bagaikan amalan wajib. Sedangkan ia adalah sunat. Bahkan diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah sengaja tidak pergi ke masjid untuk Tarawih. Apabila ditanya kenapa baginda tidak hadir, baginda menjawab bahawa baginda sengaja meninggalkan Tarawih pada malam berkenaan kerana bimbang dianggap wajib oleh umatnya.

Tetapi dalam soal tazkirah, kuliah, ceramah dan lain-lain, ia adalah berkaitan dengan menuntut ilmu. Menuntut ilmu hukumnya wajib. Apatah lagi ilmu agama. Nabi SAW menyatakan:
طلب العلم فريضة على كل مسلم
"Menuntut ilmu itu fardhu bagi setiap orang Islam."

Seterusnya, tazkirah amat perlu diadakan pada bulan Ramadhan kerana di bulan ini ramai yang tidak biasa datang ke masjid pun datang juga untuk sembahyang Tarawih sedangkan mereka tidak ada ilmu. Puncanya kerana selama ini mereka tidak menjenguk masjid. Jarang dengar kuliah dan ceramah. Maka alangkah baiknya para ustaz memanfaatkan kedatangan mereka ini untuk diberi peringatan dan tazkirah supaya timbul kesedaran dan minat untuk terus berkunjung ke masjid di bulan-bulan yang lain.

Wallahu a'lam.