Isnin, Oktober 02, 2006

PENYAKIT JAHIL DI BULAN RAMADHAN

Beberapa hari lalu saya ditemui oleh beberapa rang wanita mengadukan hal masing-masing di bulan Ramadhan.

Wanita pertama berkata, "Saya geram betul dengan sikap ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke masjid. Anak-anak mereka bermain dan bising. Mengganggu orang yang hendak solat Tarawih. Sembahyang saya jadi tak khusyu' disebabkan oleh karenah kanak-kanak ini."

"Sepatutnya, hari orang nak buat ibadah, jangan bawa kanak-kanak ke masjid. Mengganggu!"

Wanita kedua pula berkata, "Saya seronok sembahyang Tarawih kat surau berhampiran rumah saya. Imam tu 'stedi' je baca. Laju. Takde la macam imam Masjid 'K' tu. Lambat sangat. Dia baca panjang pulak tu. Tak seronok sembahyang."

Wanita ketiga menyampuk, "Kat surau saya lain pula halnya. Tok imam tu buat ragam. Ada ke patut, tengah-tengah orang seronok sembahyang Tarawih, tiba-tiba dia berhenti dan buat ceramah (tazkirah) pulak.

Saudara,
Ketiga-tiga watak di atak mewakili sebilangan besar masyarakat kita yang kurang pengetahuan dan penghayatan agama.

Wanita pertama sibuk menyalahkan kanak-kanak yang DATANG ke masjid dan buat bising. Sebenarnya kanak-kanak itu adalah lebih mulia daripada orang dewasa yang TIDAK DATANG ke masjid! Ibu bapa yang membawa mereka ke masjid itu pula telah bertindak bijak mendidik anak-anak dengan memperkenalkan masjid kepada mereka sejak DI AWAL USIA.

Wanita pertama langsung tidak menampakkan kebimbangan kepada masalah utama umat Islam iaitu masalah remaja enggan datang ke masjid. Jika kanak-kanak di larang datang ke masjid hanya disebabkan mereka bising, maka kanak-kanak ini akan jauh dengan masjid. Akan timbul fobia kepada masjid. Dan akan lahirlah generasi akan datang yang renggang dengan masjid, tidak suka solat berjamaah, jauh daripada menghadiri kuliah dan ceramah agama dan dengan itu juga akan timbullah pelbagai gejala sosial yang sukar diubati.

Jika kanak2 bising, itu adalah masalah kecil. Mereka tidak berdosa. Tak kanlah nak suruh ibu bapa tunggu dan perhatikan mereka sepanjang tempuh solat Tarawih itu. Jawabnya ibu bapa langsung tak dapat sembahyang.

Seorang pakar motivasi berkata, jika hendak suruh kanak2 duduk diam macam orang tua, boleh atau tidak? Jawapannya boleh. Tetapi bila? 30 tahun akan datang. Iaitu ketika kanak-kanak itu sudah menjadi dewasa. Selagi namanya kanak-kanak maka selagi itulah mereka akan berperangai seperti kanak-kanak.

Dengan kata lain, orang yang sibuk dengan hal ini sebenarnya tidak tahu fiqh keutamaan (priority).

Masalah wanita kedua pula merujuk kepada soal sembahyang. Dia merasa seronok apabila imam membaca Al Quran di dalam sembahyang secara ekspres. Sebaliknya dia susah hati dan gelisah apabila imam membaca 'panjang'. Saya pergi ke masjid 'K' yang dikatakan imam membaca panjang itu. Rupa-rupanya imam bukan membaca panjang. Tetapi beliau tertib di dalam bacaannya dengan memelihara hukum tajwid, sebutan huruf (makhraj) dan sebagainya.

Setiap rakaat imam hanya membaca dua tiga ayat sahaja dari surah Al Baqarah. Adakalanya jika ayat itu panjang, beliau hanya membaca satu ayat sahaja bagi setiap rakaat. Adakah dengan membaca satu, dua atau tiga ayat itu boleh dikatakan imam membaca panjang?

Hakikatnya, iman umat akhir zaman ini terlalu rapuh. Solah menyembah Allah terlalu berkira. Terlebih masa sikit pun tak boleh. Tetapi jika menonton movie, dua tiga jam boleh stay depan TV.

Masalah perempuan ketiga ialah masalah tidak dapat membezakan mana utama di dalam amalan Islam. Dia menganggap solat Tarawih adalah segala-galanya baginya. Tidak boleh diselang selikan dengan amalan lain.

Tarawih bagaikan amalan wajib. Sedangkan ia adalah sunat. Bahkan diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah sengaja tidak pergi ke masjid untuk Tarawih. Apabila ditanya kenapa baginda tidak hadir, baginda menjawab bahawa baginda sengaja meninggalkan Tarawih pada malam berkenaan kerana bimbang dianggap wajib oleh umatnya.

Tetapi dalam soal tazkirah, kuliah, ceramah dan lain-lain, ia adalah berkaitan dengan menuntut ilmu. Menuntut ilmu hukumnya wajib. Apatah lagi ilmu agama. Nabi SAW menyatakan:
طلب العلم فريضة على كل مسلم
"Menuntut ilmu itu fardhu bagi setiap orang Islam."

Seterusnya, tazkirah amat perlu diadakan pada bulan Ramadhan kerana di bulan ini ramai yang tidak biasa datang ke masjid pun datang juga untuk sembahyang Tarawih sedangkan mereka tidak ada ilmu. Puncanya kerana selama ini mereka tidak menjenguk masjid. Jarang dengar kuliah dan ceramah. Maka alangkah baiknya para ustaz memanfaatkan kedatangan mereka ini untuk diberi peringatan dan tazkirah supaya timbul kesedaran dan minat untuk terus berkunjung ke masjid di bulan-bulan yang lain.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: