Jabatan Agama Islam Selangor
"KEKEJAMAN YAHUDI"
Saudaraku kaum muslimin sekalian,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.
Pada hari ini, marilah kita merenung sejenak kepada firman Allah s.w.t. yang memberi peringatan kepada umat Islam supaya berhati-hati dengan rancangan jahat musuh-musuh Islam. Firman Allah s.w.t:
لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا
"Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yahudi dan orang-orang Musyrik....".
- Al-Maidah ayat 82 -
Sidang Jumaat sekalian,
Sesungguhnya Islam adalah agama yang menganjurkan kedamaian, keamanan dan perpaduan. Islam tidak membeza-bezakan manusia berdasarkan warna kulit, kedudukan, pangkat dan kasta. Islam menganggap semua manusia adalah sama. Yang membezakan mereka hanyalah ketinggian takwa seseorang itu sahaja.
Bahkan di dalam sistem pemerintahan Islam, orang-orang kafir yang menjadi rakyat di dalam negara Islam hendaklah dilayan adil. Harta mereka tidak boleh dirampas, maruah mereka tidak boleh dicemari. Hak-hak mereka hendaklah ditunaikan. Sesiapa yang membunuh atau mencuri harta mereka hendaklah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman.
Inilah ajaran Islam, malangnya sejarah membuktikan, bahawa ketika Islam berkuasa orang-orang kafir diberikan hak mereka, sebaliknya apabila orang-orang kafir yang berkuasa, hak-hak umat Islam dinafikan, bahkan umat Islam ditindas, dipenjarakan dan dibunuh.
Ketika tentera salib menyerang dan manakluki Baitul Maqdis pada tahun 492 Hijrah, mereka telah melakukan kekejaman melampau dengan membunuh lebih 70,000 orang Islam di Masjid Al-Aqsa. Mereka turut merampas harta milik Masjid Al-Aqsa dan Masjid Sakhrah yang terdiri daripada emas dan perak yang bernilai berjuta-juta ringgit. Mereka bagaikan terlupa kepada layanan baik yang diberikan oleh pemerintah Islam selama hampir 5 kurun, sejak Baitul Maqdis dibebaskan oleh Saidina Umar Al-Khatab pada tahun ke-15 Hijrah. Inilah sikap sebenar orang-orang kafir terhadap umat Islam. Sejarah sentiasa berulang dan umat Islam sering menjadi mangsanya.
Sidang hadirin yang dihormati Allah s.w.t,
Dalam surah Al-Anfal ayat 60, Allah s.w.t. memerintahkan umat Islam supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi musuh. Persoalannya ialah, siapakah yang dikatakan musuh Islam itu? Sebenarnya Islam mempunyai banyak musuh. Bermula daripada iblis laknatullah hinggalah kepada manusia yang kufur dan munafik.
Allah s.w.t memberitahu umat Islam bahawa di kalangan manusia, mereka yang paling kuat memusuhi Islam ialah orang-orang Yahudi.
Siapakah orang-orang yahudi itu? Mereka sebenarnya adalah dari keturunan yang mulia, bahkan sebahagian besar para nabi dan rasul diutuskan dari kalangan bangsa ini. Kaum Yahudi atau pun Bani Israel adalah merupakan anak cucu Asbat iaitu dua belas orang anak Nabi Yaakob a.s. Nabi Yaakob yang digelar sebagai Israel itu pula adalah anak kepada Nabi Ishak dan anak saudara kepada Nabi Ismail serta cucu kepada Nabi Ibrahim a.s. Ini menunjukkan bahawa kaum yahudi adalah dari keturunan manusia-manusia yang terpilih di sisi Allah s.w.t.
Malangnya salasilah keturunan ini menjadikan mereka angkuh dan sombong serta memandang bangsa lain dengan pandangan yang hina dan jijik. Mereka menganggap bangsa lain lebih hina daripada anjing dan babi, bahkan membunuh bangsa lain khasnya umat Islam, tidak menjadi satu kesalahan dan tidak berdosa di sisi mereka.
Sejarah mencatatkan, bahawa kebanyakkan Nabi dari kalangan Bani Israel ditentang oleh bangsanya sendiri. Nabi Musa dan Harun berkali-kali dikhianati oleh bangsa Yahudi. Nabi Zakaria dan Yahya dibunuh oleh mereka. Nabi Isa juga cuba dibunuh, tetapi diselamatkan oleh Allah s.w.t, bahkan kaum Yahudi juga pernah menumpahkan darah 300 orang Nabi dari kalangan bangsa mereka sendiri. Setiap kali diutuskan para Nabi, hanya segelintir sahaja dari kalangan mereka yang beriman.
Begitu juga dengan apa yang berlaku terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Sejarah juga meriwayatkan bahawa kaum Yahudi sebenarnya telah berusaha membunuh Nabi sejak baginda belum dilantik menjadi Rasul lagi. Namun usaha mereka tidak berhasil.
Selepas kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, kaum Yahudi pernah cuba menghempapkan batu besar ke atas kepala baginda, menghadiahkan daging beracun untuk dimakan oleh baginda dan menggunakan khidmat tukang sihir semata-mata untuk membunuh utusan Allah s.w.t. Semua kerja jahat yang mereka lakukan itu menjadi bukti jelas bahawa mereka sebenarnya sangat memusuhi Islam, walaupun mereka tahu kebenarannya.
Sidang hadirin yang dihormati Allah,
Kejahatan kaum Yahudi tidak terhenti di zaman Rasulullah s.a.w sahaja, bahkan ia berterusan dari zaman ke zaman hingga ke hari ini.
Pada tahun 1897, satu persidangan diadakan di Basle, Switzeland dengan tujuan untuk menubuhkan sebuah negara bagi kaum Yahudi di Palestin. Untuk merealisasikan impian itu, mereka telah menubuhkan sebuah gerakan yang dinamakan sebagai gerakan Zionis dan melantik Teodor Hertzle sebagai ketuanya yang pertama.
Langkah pertama yang dilakukan oleh Teodor Hertzle ialah menubuhkan tabung kewangan bagi membina negara Israel yang dicadangkan di bumi Palestin. Seterusnya Teodor Hertzle mengadap Sultan Abdul Hamid di Turkey untuk memohon kebenaran membuka penempatan di Palestin bagi kaum Yahudi.
Sebagai balasannya, Teodor Hertzle berjanji kepada Sultan Abdul Hamid untuk memberikan rasuah 150 juta wang emas Inggeris, melangsaikan semua hutang kerajaan Khalifah Usmaniah, menubuhkan satu pasukan armada tentera laut untuk kerajaan Khalifah Usmaniah, membina Universiti Uthmaniah di Baitul Maqdis dan memberikan sokongan politik kepada Sultan Abdul Hamid di Eropah dan Amerika.
Walaupun kerajaan Islam Usmaniah berada dalam keadaan tenat ketika itu, namun secebis keimanan yang masih kental di dalam hati Khalifah mendorong Sultan Abdul Hamid menolak tawaran yang dikemukakan dengan kata-katanya yang masyhur:
"Saya tidak boleh bertolak ansur walaupun sejengkal daripada bumi Palestin, kerana ia bukan milik saya, tetapi ia adalah milik umat Islam yang telah berperang dan mengorbankan darah untuk mendapatkannya... sekiranya kamu membayar kepada saya dengan seluruh emas yang ada di atas muka bumi ini sekalipun, saya tidak akan benarkan kamu mengambil bumi Palestin".
Sidang hadirin yang berbahagia,
Gerakan Zionis tidak berputus asa. Mereka cuba menjalin kerjasama dengan British yang masuk ke Palestin dengan jalan penjajahan. Dalam tempoh penjajahan itu, British membuka laluan kemasukan beramai-ramai pendatang Yahudi dan membuka penempatan haram untuk mereka.
Akhirnya pada 29 November 1947, (iaitu 50 tahun selepas penubuhan gerakan zionis), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu PBB mengistiharkan pembahagian Palestin kepada dua bahagian. Satu untuk orang Arab dan satu lagi untuk dibina negara haram Israel.
Walaupun sudah dapat membentuk kerajaan bagi kaum Yahudi, mereka masih tidak berpuas hati, mereka terus bertindak ganas menghalau dan membunuh umat Islam. Pada tahun 1948, pengganas Yahudi yang diketui oleh Perdana Menteri Menachem Begin membunuh umat Islam di Dir Yasin, kebanyakkan daripada mereka adalah wanita. Penduduk yang masih hidup diangkut dengan trak dan diarak dihadapan penduduk Yahudi untuk dilontar dengan batu.
Sidang hadirin yang berbahagia,
Keganasan Ariel Sharon tidak terhenti setakat itu sahaja, ketika menjadi Menteri Pertahanan, belau telah mengarahkan bala tentera ke selatan Lubnan untuk membunuh umat Islam Palestin yang menjadi pelarian di Sabra dan Syatilla. Selama tiga hari berturut-turut mereka membunuh umat Islam tanpa mengira orang tua, wanita mahu pun kanak-kanak.
Pihak media melaporkan sermai 3,000 orang Islam dibunuh dalam peristiwa Sabra dan Syatilla. Namun ada juga suara yang mengatakan bahawa jumlah kematian jauh lebih besar iaitu menjangkau 7,000 orang.
Kekejaman demi kekejaman yang telah dilakukan oleh Sharon sehinggalah dunia dikejutkan dengan pembunuhan kejam terhadap Syeikh Ahmad Yasin pada tahun 2004.
Adakah fenomena ini menunjukkan umat Islam Palestin hanya diam berpeluk tubuh dan tidak melawan? Sebenarnya sejak tahun dua puluhan lagi umat Islam di Palestin telah berjuang menentang penjajahan British dan Yahudi. Ramai yang gugur Syahid kerana mempertahankan bumi tercinta dan maruah agama yang ternoda.
Mereka tidak bersendirian, bahkan umat Islam dari negara-negara Arab yang lain turut memberikan bantuan dan turun ke medan perang menentang pengganas Yahudi.
Ternyata kesatuan yang terbina di antara umat Islam ketika itu berjaya mematahkan kemaraan tentera Yahudi. Namun kemenangan tidak kekal lama apabila pemimpin-pemimpin Arab mula merasa bimbang dengan keupayaan pasukan-pasukan sukarelawan yang telah dibentuk.
Mereka merasa kedudukan mereka semakin terancam dengan kemunculan pejuang-pejuang Islam ini. Mereka bimbang golongan ini akan menggulingkan mereka apabila pulang ke negara masing-masing. Kesemua mereka dipanggil pulang, mereka kemudiannya dipenjarakan. Ada juga yang dibunuh seperti Hassan Al-Banna, Abdul Kadir Audah dan lain-lain lagi.
Pemimpin Arab seterusnya menutup pintu sempadan bagi menghalang pejuang-pejuang Islam menyeberang ke Palestin untuk membantu umat Islam yang tertindas, sehingga ke hari ini sempadan Palestin dengan negara-negara Arab yang lain ditutup dan tiada siapa pun dibenarkan membawa masuk bantuan kepada umat Islam menerusi sempadan itu. Umat Islam Palestin kini terpaksa berjuang bersendirian. Tidak ada senjata yang mereka perolehi melainkan anak-anak yang dilontar.
Sidang Jumaat sekalian,
Sebagai manusia yang bertuhankan Allah s,w,t, bernabikan Muhammad s.a.w dan bersaudarakan umat Islam, maka sepatutnya kita merasa sensitif di atas perkembangan yang berlaku. Kita bakal ditanya oleh Allah s.w.t di akhirat kelak, apakah sumbangan yang telah kita lakukan untuk membantu umat Islam Palestin, jika berdoa pun tiada, derma pun tidak dihulurkan, maka bagaimanakah kita akan menjawab di hadapan Allah pada hari akhirat kelak?.
Justeru, marilah kita bersama-sama menyusun sof, memperkukuhkan kesatuan, meningkatkan semangat persaudaraan Islam, meningkatkan ilmu pengetahuan bagi menghadapi ancaman musuh di masa-masa yang akan datang. Sesungguhnya perpaduan adalah ubat yang sangat mujarab untuk mengalahkan musuh. Di samping itu, marilah sama-sama kita menghulurkan sumbangan derma kepada umat Islam Palestin menerusi tabung-tabung kutipan derma yang diyakini derma itu akan disampaikan kepada umat Islam Palestin dan Lubnan.
Sesungguhnya umat Islam di Palestin kini sedang kelaparan dan kehausan. Mereka tidak ada wang untuk membeli makanan dan minuman. Mereka tidak ada wang untuk menghidupkan api didapur. Saluran air dan ubat-ubatan untuk anak-anak mereka disekat. Hospital dan jambatan dibom oleh tentera Yahudi . Kerajaan yang dipilih oleh rakyat dinafikan kuasa dan kedaulatannya. Kutipan cukai daripada rakyat Palestin sebelum ini berjumlah 55 juta dolar sebulan tidak dipulangkan kepada pemerintah tempatan, menyebabkan kerajaan tidak dapat membayar gaji dan elaun kepada pegawai kerajaan, bahkan ahli-ahli parlimen Palestin juga terpaksa berlapar kerana wang yang ada perlu didahulukan kepada kepentingan rakyat.
Sehingga kini, sebahagian pemimpin mereka telah ditawan oleh tentera Yahudi.
Kita sekarang sedang berada di dalam negara yang mempunyai nikmat melimpah ruah. Jika bukan kita yang membantu mereka, maka siapa lagi yang kita harapkan? Jika bukan sekarang, maka bilakah kita akan membantu mereka? Adakah kita menanti sehingga kita pula yang akan dimiskinkan oleh Allah s.w.t?. Ataukah kita hendak menunggu sehingga malaikat Izrail datang berkunjung?
Firman Allah di dalam Surah Al Maidah ayat kedua:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُواْ اللّهَ
إِنَّ اللّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ {2}
Ertinya: “Bertolong bantulah kami dalam perkara kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat dahsyat balasan-Nya.”
Tarikh bacaan 18 Ogos 2006
- http://www.jais.net.my/khutbah/2006/ogos/180806.php
- Turut disiarkan di dalam akhbar Berita Harian pada 26/8/06 (halaman 15)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan