Rabu, April 25, 2007

ISU YIN: JANGAN CEPAT MELATAH

Pelbagai andaian dibuat terhadap isu kehilangan Yin @ Muhamad Nazrin Shamsul Ghazali @ Yusuf. Ada yang cepat-cepat menuduh pasangan Burma (Myanmar), Abdul Rahman Dolli Rahman dan isterinya, Nur Shidah Nur Islam sebagai penculik. Ada yang mengandaikan mereka terlibat dengan sendiket penculikan kanak-kanak untuk tujuan mengemis.

Ada pula yang mendakwa bapa dan ibu Yin sebagai ibu bapa yang tidak bertanggung-jawab, tidak pandai jaga anak, tidak mengenang budi dan sebagainya. Bahkan ada yang menuduh mereka sebagi mungkir janji.
Sebagai orang Islam, kita tidak seharusnya cepat melatah dan membuat berbagai-bagai telahan dan andaian terhadap sesuatu yang kita tidak pasti. Kita perlu memahami perasaan orang yang kehilangan anak. Dalam keadaan yang kelam kabut, wartawan datang menyerbu dan bertanyakan berbagai-bagai soalan. Pastinya mereka tidak dapat memberikan jawapan yang tepat (qaulan sadida).
Di satu sudut pula, janganlah kita cepat menuduh orang yang kita anggap sebagai orang asing atau pendatang sebagai orang yang suka melakukan jenayah dan kejahatan.
Tahukah kita siapa pelarian Burma (Myanmar)? Di Malaysia, rakyat Burma terbahagi kepada 2, satu Islam satu lagi bukan Islam. Yang beragama Islam, kebanyakannya datang dari Semenanjung Arakan.
Perlu kita ketahui, umat Islam Arakan (Selatan Burma) tidak diiktiraf oleh kerajaan Junta Myanmar sebagai rakyat. Justeru mereka diburu dan dibunuh. Tidak ada dosa dan kesalahan yang mereka lakukan selain dari kerana mereka 'beragama Islam'.
Mereka terpaksa menyelamatkan diri. Ada yang lari ke Bangladesh. Ada yang menyusup masuk ke Thailand. Lebih dari itu, ada yang terpaksa meredah lautan, merempuh gelombang mencari negara yang dapat menyelamatkan mereka.
Apabila tiba di negara yang mereka kunjungi, sebahagian mereka ditangkap dan dipenjarakan. Jika dipenjarakan, mereka merasa lebih aman daripada tinggal di Arakan yang setiap hari mereka diburu. Tetapi yang lebih malang, setelah ditangkap, mereka dihantar pulang ke Burma. Tiba di Burma, mereka akan 'disambut' oleh Junta Burma dengan tali gantung ataupun peluru.
Malaysia menjadi destinasi kerana pada tanggapan mereka rakyat Malaysia pasti akan menolong mereka kerana mempunyai persamaan di sudut agama. Biar mereka hidup merempat di negara orang, asalkan nyawa mereka selamat.
Justeru, kedatangan mereka bukan seperti pendatang lain yang bermotifkan duit. Mereka datang untuk menyelamatkan aqidah, agama dan nyawa mereka. Sebab itu tidak ramai di antara mereka yang melakukan kerja-kerja jahat seperti pendatang lain.
Biar mereka dipandang hina mengutip besi buruk, asalkan mereka mendapat rezeki yang halal. Abdul Rahman Dolli Rahman tidak malu hidup di rumah buruk dan tidak malu bekerja mengutip besi buruk. Keringatnya diperah untuk mendapatkan sesuap nasi untuk 5 orang anak dan seorang isteri.
Bayangkan, jika anda berada di tempat mereka. Tinggal di negara orang. Tidak faham bahasa rakyat tempatan. Terjumpa kanak-kanak. Cuba selamatkan. Tak tahu apa nak buat. Bawa balik ke rumah. Beri makan minum. Jaga dia. Terjumpa poster budak hilang lalu serahkan budak itu ke balai polis. Tiba-tiba anda dituduh menculik, mengemis dan pelbagai tuduhan lain...
Justeru, sebelum menuduh, selidiklah dahulu. Dalam Al Quran Allah menegaskan, jika kita mendapat satu khabar berita maka selidikilah terlebih dahulu agar tidak teraniaya orang-orang tertentu...
Abd Rahman dan Nur Shidah bukan pelarian biasa. Mereka datang untuk menyelamatkan agama, aqidah dan nyawa mereka. Mereka datang sebagai tetamu umat Islam Malaysia.

Tiada ulasan: