Khamis, Jun 19, 2008

ANTARA CINTA KAABAH DAN JIHAD

Ketika menapak meninggalkan kaabah selepas tawaf wada' pada hari terakhir, sekelian mata ahli rombongan bergenang air mata. Masing-masing merasa berat hati untuk meninggalkan kaabah.

Tempoh seminggu berada di Makkah telah menyebabkan hati masing-masing jatuh cinta kepada Baitullah. Cinta yang bermula dan berputik sejak pandang pertama. Masing-masing terasa hiba dan sayu untuk meninggalkan rumah Allah itu.

Entah bila akan berpeluang lagi untuk menatap, menyentuh dan mendakap Baitullah....

Beberapa orang jemaah berkata, "Ustaz, kalau boleh saya nak lanjutkan lagi penginapan saya di sini dalam dua tiga hari lagi."

Secara bergurau saya katakan, kalau beritahu saya dalam dua tiga hari yang lalu, mungkin saya boleh tolong 'ejas'. Semua orang terasa ingin terus berada di Makkah. Terasa seronok beribadah di dalam Masjidil Haram. Terasa khusyuk solat dalam keadaan kaabah tersergam indah di hadapan mata. Alangkah indahnya pengalaman, meminum air zam-zam setiap kali masuk ke Masjidil Haram. Subhanallah.

Kalau boleh mahu rasanya memohon kerakyatan Arab Saudi supaya boleh terus tinggal berjiran dengan Masjidil haram.

Sebenarnya jeritan hati ini adalah satu konflik dalam diri seorang muslim sejak zaman berzaman. Suatu ketika dahulu seorang ulama' dan 'abid cuba memenuhi jeritan hati ini. Tokoh besar yang dikenali sebagai Fudhail bin 'Iyadh menyangka beribadat di Masjidil Haram adalah sebesar-besar ibadat.

Lantas beliau memperhambakan dirinya di sana dengan penuh khusyuk. Beliau mahu menghabiskan usianya di kota suci Makkah. Beliau mahu membolot tawaran Allah 100,000 ganjaran bagi setiap kali solat di Masjidil Haram.

Namun seorang sahabatnya yang juga merupakan tokoh ulama' besar, Abdullah bin Al Mubarak merasakan fahaman Fudhail itu kurang tepat. Mengakui keikhlasan sahabatnya, Al Mubarak berpendapat ramai orang yang tertipu dengan keikhlasan masing-masing.

Bagi Al Mubarak, beribadat sepanjang masa di Masjidil Haram tidak ada apa-apa makna apabila membiarkan umat Islam ditindas dan diperangi. Pada zaman yang menyaksikan ribuan umat islam dibunuh di Iraq, Syam dan lain-lain, adalah tidak wajar bagi para ulama' hanya sibuk dengan tikar sembahyang di Masjidil Haram. Mereka perlu bangun berjihad dan menentang kuasa kuffar yang menceroboh.

Itu adalah lebih utama, lebih penting dan lebih besar ganjarannya di sisi Allah.

Abdullah Al Mubarak lantas menghantar untuk menyelamatkan rakannya Fudhail daripada terus hanyut dengan fahamannya. Suratnya ringkas dan diungkap dengan bait-bait syair yang dikarangnya:
"Wahai abid di 2 tanah suci, andai kau perhatikan kami, kamu akan ketahui bahawa kamu bermain dengan ibadat... Kamu adalah manusia yang membasahkan pipi dengan air mata, sedang kami membasahkan tengkuk kami dengan darah-darah... Kamu meletihkan kuda kamu pada jalan yang batil, sedangkan kuda-kuda kami sejak pagi hari letih (di medan jihad)... Haruman minyak wangi bagi kamu, sedangkan bagi kami hanyalah debu-debu yang berterbangan...."

"Telah datang kepada kami sabda Nabi kami. Sabda yang benar, jujur dan tidak bohong. Tidak sama debu kuda-kuda Allah di hidung seseorang dan asap api yang menyala-nyala; Inilah kitab Allah yang berbicara kepada kami, bahawa orang yang mati syahid tidak diragukan lagi tidak sama dengan orang yang mati biasa."
Fudhail membaca surat Al Mubarak dan mengamat-amati bait-bait syairnya. Selesai membaca, air matanya menitis dan beliau mengakui bahawa Al Mubarak cuba menyelamat dan menasihatinya. Lantas Fudhail keluar dari Masjidil Haram dan turun ke medan jihad bersama-sama Al Mubarak.
Kini beliau tahu dan sedar bahawa mereka yang berjihad adalah lebih mulia daripada mereka yang hanya duduk di dalam Masjidil haram dengan membiarkan apa sahaja yang berlaku di luar.
Di zaman Rasulullah SAW, persoalan ini juga pernah berlaku. Saidina Abbas (sebelum memeluk Islam) ditawan oleh tentera Islam dalam peperangan Badar. Ketika berada dalam tahanan, Abbas membebel:

"Wahai orang Islam, kamu memerangi kami dan menghina kami sedangkan kami lebih mulia dari kamu. Kamu tinggal di Madinah. Kami tinggal di Makkah, tanah yang lebih mulia. Kamu sentiasa mengimarahkan Masjidil haram. Kami memberikan pelbagai kemudahan kepada jemaah haji. Kami juga yang memberi minum air zam-zam kepada mereka."
Bebelan Abbas lantas dijawab oleh Allah menerusi ayat 19 Surah At Taubah yang bermaksud:
"Adakah kamu menyangka perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji dan memakmurkan Masjidil Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan hidayat petunjuk kepada kaum yang zalim."

Bersambung

Rabu, Jun 18, 2008

UJIAN BESAR UNTUK PAHALA BESAR

Alhamdulillah, dua tahun berturut-turut Allah memberi peluang kepada saya untuk mengunjungi rumah-Nya, Baitullah. Mei 2007 saya memimpin 40 orang jemaah dari Pahang mengerjakan ibadah umrah. Pada hari terakhir berada di Makkah, saya berdoa kepada Allah, "Ya Allah, janganlah Kau jadikan kedatanganku pada kali ini sebagai kunjungan terakhir. Jemputlah lagi aku di tahun-tahun hadapan."

Ketika memasuki Kota Makkah 31 Mei 2008 yang lalu, saya teringat kembali doa yang saya bacakan pada tahun lepas. Alhamdulillah, Allah perkenankan permohonan saya.
Dari Pahang, seramai 28 orang ahli rombongan turut serta bersama saya. Ketika tiba di KLIA, kakitangan Andalusia Travel meminta saya memimpin semua jemaahnya yang bertolak hari itu seramai 93 orang. Walaupun agak keberatan kerana terpaksa mengubah rencana awal, namun saya bersyukur kerana sekali lagi berpeluang memenuhkan ruang cuti sekolah dengan aktiviti ibadat di Tanah Suci.

Cuma suasananya pada kali ini jauh berbeza dengan suasana pada tahun lalu. Sebenarnya sejak dari malaysia lagi, wakil syarikat travel telah beritahu kepada saya, pada tahun ini ujiannya agak berat.

Hotel-hotel banyak yang dirobohkan. Hotel Dar Bilal di Syubaikah tempat saya menginap pada tahun lalu, kini sudah ranap menyembah bumi. Bahkan semua bangunan di Syubaikah dan Jabal Umar sudah hancur.

Perobohan besar-besaran ini memberikan impak yang sangat besar kepada aktiviti jemaah umrah. Apatah lagi bangunan Masjidil Haram turut sedang direnovasi di bahagian mas'a (tempat sa'ie).

Suasana berdebu menyelubungi seluruh Kota Makkah. Hotel-hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram sudah tiada lagi. Syarikat-syarikat pengurusan umrah terpaksa mencari alternatif lain. Ada di antaranya terpaksa berundur jauh ke belakang di kawasan Misfalah.

Ada juga yang terpaksa menempatkan jemaah masing-masing di hotel yang sangat dhaif dan kurang kemudahan asas serta jauh daripada Masjidil Haram. Perpindahan hotel ini sudah pasti menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan jamaah, khususnya bagi mereka yang pernah berkunjung ke Makkah sebelum ini dan mendapat layanan yang selesa.

Suasana bertambah rumit apabila berlaku kesesakan setiap kali pergi dan pulang dari Masjidil Haram, khususnya di kawasan antara Hilton dan Misfalah. Ini kerana kebanyakan jemaah bertumpu hanya di kawasan berkenaan berikutan di sebelah Syubaikah sudah tidak ada lagi hotel dan tempat penginapan.

Ditambah pula dengan cuaca yang agak panas, sekitar 43 darjah celcius (tengahari) menambahkan lagi keperitannya.

Ramai yang mengeluh. Tidak kurang juga dengan rungutan sesetengah jemaah yang mendakwa, "makanan tak sedap," dan sebagainya.

Namun di tengah-tengah keributan manusia yang tidak berpuas hati itu, saya tertarik dengan dua individu, En Zul dan En Hasim dari Bentong.

Suatu hari saya melihat En Hasim sedang makan buah epal yang masak ranum. Terpantul dari mulutnya, "Tak sedap buah ni!" Belum sempat saya memberi respons, tiba-tiba En Hasim bersuara kembali, "Eh, tak. Sedap, sedap buah ni!"

Saya hairan. Mula-mula tak sedap. Tiba-tiba jadi sedap. Kata En Hasim, beliau tersilap cakap. Di Makkah ini, kita hendaklah sentiasa tawadhuk. Perlu berhati-hati dalam bercakap. Jangan banyak mengeluh. Kata-kata kita ibarat doa. Bila kita 'dok' ulang-ulang kata tak sedap, maka dia akan jadi terus tak sedap.

Kata En Hasim lagi, beberapa hari lalu, beliau makan nasi. Suapan pertama boleh dikunyah dan ditelan. Kemudian beliau mendengus, "Heh tak sedap nasi ni!" Selepas berkata begitu, beliau terus menyuap lagi. Kali ini beliau rasa semakin tidak sedap. Beliau hairan kenapalah nasi ni tak sedap sangat.

Kali ketiga beliau menyuap makanan itu, mulut sudah tidak boleh menerima. En Hasim hairan, kenapa suapan ketiga langsung tak boleh masuk mulut. Beliau terpaksa berhenti makan. Padahal orang lain biasa je boleh makan.

Lantas En Hassim buat kesimpulan bahawa kata-katanya tadi menjadi doa. Bila dia sudah kata tak sedap, maka makanan itu semakin tak sedap buatnya. Sebab itu apabila beliau rasa buah epal itu tak sedap, beliau kata sedap... dan alhamdulillah, En Hasim boleh makan sampai habis sebiji buah epal yang besar itu!

En Zul juga serang yang saya sangat kagumi. Penyabar, ceria dan sentiasa redha dengan apa yang diterimanya. Beliau seorang peniaga kedai runcit. Beliau baru sahaja kehilangan anak yang disayangi. Menurutnya, anak lelaki yang baru meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Nilai itu adalah anak yang paling baik. Anak yang sangat taat kepada ibu bapa.

Kehilangan anak yang sedang belajar agama di KUIS itu menjadikan isteri En Zul trauma berminggu-minggu lamanya. Namun mereka berdua pasrah di atas pemergian anak mereka. Mereka daftarkan nama untuk turut serta bersama rombongan umrah bagi menyatakan kepasrahan mereka di atas ketentuan takdir Ilahi.

Semasa memberikan kursus umrah saya sudahpun ingatkan para jemaah supaya banyak bersabar ketika sampai di Makkah nanti. Saya juga nyatakan bahawa pada tahun ini, barangkali ujiannya lebih besar disebabkan perubahan yang berlaku di Kota Makkah. En Zul dan isteri, faham perkara ini dan mereka bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Ketika tiba di Makkah, kebetulan kumpulan kami ditempatkan di sebuah hotel yang agak jauh dan kurang selesa. Ketika ramai yang menyuarakan ketidakpuasan hati masing-masing, saya pergi bertemu En Zul. Beliau dan isteri ditempatkan di sebuah bilik yang mungkin tidak layak dipanggil bilik hotel.

Biliknya terletak di atas bumbung hotel kecil berkenaan. Sebuah bilik kecil yang tidak ada bilik-bilik lain di sebelahnya. Saya bertanya En Zul samada dia tak puas hati atau mahu berpindah ke bilik lain atau hotel lain.

En Zul dengan penuh keyakinan menjawab, "Ustaz, bagi saya inilah bilik paling selesa buat saya dan isteri."

Saya terkejut dengan jawapan En Zul. Beliau enggan berpindah ke hotel lain yang lebih selesa. Katanya, "Kita datang untuk buat ibadat. Bukan untuk bermewah-mewah. Bagi saya ini sudah cukup selesa."

Lebih dari itu, pada hari keberangkatan pulang, En Zul berkata kalau boleh beliau nak duduk lagi di situ buat beberapa hari lagi.
Dari kedua-dua insan ini, saya mendapat banyak pengajaran. Peratama, setiap orang yang hendak berkunjung ke Makkah perlulah membuat persediaan yang mantap. Bukan sekadar persediaan fizikal dan kewangan sahaja. Bahkan persediaan ilmu dan iman.

Kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ujian Allah. Allah menjanjikan pahala yang sangat besar untuk mereka yang beribadat di dalam Masjidil Haram. Oleh kerana ganjarannya sangat besar, maka ujiannya juga pasti besar.

Rabu, Jun 11, 2008

NOSTALGIA UMRAH MEI-JUN 2008

'Bulan madu' di tanah suci....

Saudara Amy serius menceritakan bisnesnya kepada saya... Sesiapa yang nak cuba rasa menu Chinese Muslim Food, silalah berkunjung ke Restoren Cheng Ho di Wangsa Maju, berdekatan dengan pasaraya Carrefour. Abg Amy, saya tolong promot ni, takde persen ke.... kurang2 pun makan free semangkuk....

Jemaah saya dari Bentong dan rombongan Andalusia yang lain bergambar kenangan sebelum meninggalkan Kota Madinah


Amy turut mengiyakan laporan akhbar yang menyatakan beliau akan membuka sebuah pusat tahfiz Al Quran di Johor. Semoga Allah permudahkan laluannya...


Bersama keluarga Amy di sebuah kedai kurma bersebelahan Masjid Quba'. Nabila hairan kenapa korma yang dimakannya rasa kelat. Nak buat macam mana, itu kurma muda da....

Ada sahabat tanya kenapa tak letak gambar makan kambing di Madinah dan gambar Tok Guru Nik Aziz. Sebenarnya saya kebetulan bertemu dengan Tok Guru ketika pulang dari solat Isyak di Masjid Nabawi. Tapi tak sempat bergambar dengan beliau.


* Bagi sesiapa yang ada gambar-gambar kenangan umrah yang bagus-bagus, boleh kirimkan kepada saya menerusi email: ibnuismail@yahoo.com





Selasa, Jun 10, 2008

QATAR YANG KEHILANGAN IDENTITI


Menaiki pesawat Qatar Airway ketika mengunjungi Kota Suci Makkah baru-baru ini memberikan satu pengalaman baru bagi saya. Inilah kali pertama saya menaiki pesawat negara Arab kecil itu.

Tahun lalu saya menaiki pesawat SriLankan Airlines dan singgah di Colombo selama satu jam. Pesawat dari Sri Lanka itu terlewat memulakan perjalanan dari KLIA selama lebih 4 jam. Perjalanan pulang dari Jeddah juga lewat 5 jam.

Namun pesawat Qatar berlepas dan tiba tepat pada waktu yang dijadualkan. Semuanya adalah ditentukan Allah.

Selepas hamper 8 jam berada di dalam pesawat, kami singgah di Doha, ibu Negara Qatar. Jam menunujukkan pukul 6 pagi (11 pagi waktu Malaysia). Saya merasa beruntung dapat menjejakkan kaki ke ibu kota yang terkenal dengan stesen TV Al Jazeerah.

Selama 6 jam berlegar di ruang Lapangan Terbang Antarabangsa itu, banyak perkara telah menarik perhatian saya.

Pertama, soal keselamatan. Saya melihat kawalan keselamatan agak longgar. Hampir semua petugas di pintu masuk negara berkenaan bukan rakyat Qatar dan bukan berbangsa Arab. Saya hairan bagaimana Qatar memelihara kedaulatan negaranya apabila membiarkan ‘orang luar’ menjaga pintu masuknya.

Berbeza dengan Arab Saudi, meskipun ramai pekerja asing wujud di negara berkenaan, namun soal keselamatan tetap dikendalikan oleh warganegaranya sendiri.

Lebih menghairankan apabila negara yang mempunyai penduduk seratus peratus berbangsa Arab itu, pekerja airportnya tidak tahu berbahasa Arab. Ketika menguruskan boarding pass seorang jemaah, saya bercakap menggunakan bahasa Arab.

Pegawai Qatar Airway yang bertugas ketika itu terpinga-pinga dan meminta saya bercakap menggunakan Bahasa Inggeris. Saya tidak pasti pegawai berkenaan berasal dari negara mana.

Sudah tidak adakah warga Qatar yang mampu bekerja di sektor berkanaan. Hinggakan isteri saya tertanya-tanya, yang mana satu orang Qatar?

Seterusnya dalam kajian saya, keseluruhan penduduk Qatar yang berjumlah 1.4 juta orang adalah beragama Islam dan berbangsa Arab. Namun pemandangan pertama sebaika sahaja memasuki lapangan terbeang berkenaan ialah kedai-kedai bebas cukai yang menjual minuman keras pelbagai jenama.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah sekali lagi di Doha. Walaupun hanya satu jam transit di situ, saya sempat ‘merayau-rayau’ sekitar kewasan lapangan terbang.

Oleh kerana agak kurang sihat, saya turun ke pusat membeli-belahnya untuk mencari ubat batuk. Namun sebaik sahaja saya memasuki ruang jualan, terpampang dihadapan saya gambar wanita yang mengiklankan arak.

Botol-botol arak pelbagai jenama di susun kemas di atas rak-rak yang disediakan. Begitu juga dengan rokok.

Adakah pentadbir Qatar terlupa di negara berkenaan ada seorang ulama’ yang disegani di seluruh dunia, Dr Yusuf Al Qardhawi. Dimanakah identiti Qatar yang sebenarnya. Qatar berbangsa Arab. Qatar beragama Islam. Pemimpinnya beragama Islam. Tanahnya tidak bersempadan dengan mana-mana negara bukan Islam. Ia hanya bersempadan dengan Arab Saudi yang juga sebuah negara umat Islam dan berbangsa Arab. Waktunya sama dengan waktu Makkah Al Mukarramah. Matawangnya sama dengan Arab Saudi (riyal). Merdeka sudah lama (3.9.1971). Jadi, terlalu sukarkah bagi Qatar untuk membina identitinya sendiri?

Dalam terfikir-fikir itu, saya teringat negara saya tercinta. Buruk-buruk Malaysiapun, pekerja-pekerjanya ramai yang menutup aurat. Rakyat Malaysia bukan berbangsa Arab. Mereka tak faham Bahasa Arab. Mereka pandai baca Al Quran, tapi tak faham apa yang dibaca.

Namun mereka tetap berpegang dengan ajaran Al Quran. Menutup aurat menjadi satu amalan yang sudah diamalkan dengan begitu meluas.

Kami meneruskan perjalanan ke KLIA dengan pesawat Airbus Qatar Airway. Tepat jam 9.10 pagi, kami tiba di KLIA. Alhamdulillah, saya bersyukur kami tiba dengan selamat.

Keluar sahaja dari pesawat, saya menarik nafas sedalam-dalamnya menyedut udara segar tanah air tercinta.

Saya berjalan laju menuju ke platform untuk menaiki keretapi ke terminal. Hampir sahaja ke pintu keretapi, kelihatan kedai pertama yang menyambut pengunjung yang baru tiba ke Malaysia.

Kedai apa? Rupa-rupanya sama juga dengan Qatar, kedai arak. Sayang sekali, Malaysia diwar-warkan sebagai negara Islam contoh. Namun apabila pengunjung tiba ke negara ini, kedai pertama yang mengalu-alukan kedatangan mereka ialah kedai minuman keras!

Fikir-fikirkanlah.