Khamis, Oktober 09, 2008

AL GHAZALI DAN IBNU TAIMIYAH

LAYAKKAH KITA 'MELANYAK' MEREKA...
Sudah agak lama saya tak update blog ini.... Sepanjang Ramadhan langsung tak diusik. Hinggalah ketika menyambut Aidilfitri baru-baru ini, tergerak hati untuk menulis. Ia gara-gara satu mesej dari seorang hamba Allah bernama Abdullah yang dihantar ke hp saya berbunyi:

“Salam ust. ana bru je baca buku tulisn ust ‘nostalgia syuhda palestin’. tahniah sungguh hebat. tp kenapa ust puji ibn taimiyah mujassimah tu (m/s 36). imam syafie kata mujassimah kafir – kitab najm almuhtady nukilan a’lim qurasyi. tk yah la ust agongkn dial g yg tlh rosakn aqidah org islam-abdullah”

Pertama, terima kasih kerana sudi membaca hasil tulisan saya yang kelima dalam bentuk buku. Moga memberi manfaat kepada pembaca.

Kedua, tentang persoalan Ibnu Taimiyah itu, memang saya ada sebut namanya dalam halaman 36 edisi Malaysia. Edisi Mesir dalam halaman lain. Halaman itu memaparkan pandangan tokoh-tokoh Islam mengenai amaliyyah istisyhadiyyah. Saya petik pandangan ramai tokoh silam dan tokoh semasa untuk dibuat perbandingan.

Dalam hal ini, saya tertarik dengan pendekatan universiti terulung dunia, Al Azhar. Dalam setiap kajian, Al Azhar mengutamakan kajian pendapat pelbagai pihak. Adakalanya pendapat Zahiriyah, Zaidiyah dan Imamiyyah juga dimasukkan dalam silibus, walaupun ketiga-tiga firqah ini ditolak oleh kebanyakan ulama’ kini (Zaidiyah dan Imamiyyah adalah 2 kumpulan Syiah yang masyhur). Lebih cantik lagi, biasanya Al Azhar menyenaraikan pandangan ulama’ dan penghujahan mereka mengikut senioriti. Umpamanya dalam membentangkan pandangan imam-imam mazhab, maka susunannya adalah mengikut senioriti imam-imam itu iaitu pertama, Imam Abu Hanifah, kemudian Imam Malik, kemudian Imam Syafie dan akhir sekali Imam Ahmad.

Semua ini didedahkan supaya umat Islam mendapat penjelasan lengkap tentang hujah, dalil, wajah istidlal dan kaedah yang diguna pakai oleh mazhab dan firqah tertentu dalam proses istinbat hukum lantas dapat membantu para ulama' mutaakhirin mentarjihkan pandangan yang paling tepat. Lebih dari itu, ada kalanya Al Azhar memasukkan juga pandangan dan hujah Nasara dan Yahudi untuk dibuat perbandingan.

Tulisan saya dalam Nostalgia Syuhada’ Palestin, tidaklah sampai ke tahap itu. Saya cuma menaqalkan pendapat tokoh-tokoh yang memberikan pandangan mereka tentang istisyhadiyyah. Itu sahaja. Dan saya tidakpun mentarjihkan mana-mana pendapat. Bahkan saya agak ‘terlupa’ untuk memasukkan sekali pandangan pemimpin-pemimpin Barat terhadap operasi itu. Sekadar perbandingan. Jadi tidak timbul soal memuji atau mengagongkan Ibnu Taimiyyah.

Ketiga, melabelkan Ibnu Taimiyyah dengan gelaran ‘mujassimah’ adalah sesuatu yang keterlaluan. Samalah dengan gelaran ‘berhala Quraisy’ yang diberikan oleh pengikut Syiah kepada Abu Bakar dan Umar (rujuk kitab Kasyful Asrar – Imam Khomeini).

Saya bukanlah pengikut setia Imam Ibnu Taimiyyah dan bukan juga penentangnya, walaupun para ulama’ mempunyai pelbagai pandangan tentang tokoh ini. Tetapi kita perlu beradab dengan manusia lain. Jangan cepat melabel hanya dengan kita baca satu dua buku yang penulisnya memang tak bersetuju dengan tokoh berkenaan.

Jangan cepat kita mengkafirkan Ali atau Mu’awiyyah. Kalaupun mereka ada silap dalam catatan sejarah, tetapi mereka adalah penulis wahyu, mereka sahabat Rasulullah SAW. Begitu juga dengan Ibnu Taimiyyah. Kalaupun ada pandangannya yang bercanggah dengan jumhur, tidakkah beliau juga ada jasa dalam menyebarkan ilmu-ilmu Islam dan dalam jihad mempertahankan tanah air umat Islam dari penjajahan Tatar.

Seterusnya untuk menilai seseorang itu, kita hendaklah menilai dari dirinya sendiri, bukan dari musuhnya. Menilai Ibnu Taimiyyah daripada tulisan Al Qurasyi adalah tidak tepat kerana Al Qurasyi sememangnya tidak bersetuju dan memberikan gambaran yang negatif tentang Ibnu Taimiyyah. Sudahkan anda membaca kitab-kitab besar Ibnu Taimiyah? Sudahkah diteliti kitab Majmuk Fatawa, Minhajus Sunnah, Fiqhun Nisa’ dan pelbagai kitab aqidahnya? Janganlah menilai PAS menerusi media milik Umno. Atau menilai Umno menerusi Harakah.

Persoalan seterusnya adakah benar Ibnu Taimiyyah bawa fahaman mujassimah. Mujassimah merujuk kepada fahaman mengatakan Allah mempunyai jisim dan tubuh yang sama dengan makhluk. Bertangan dua, bermata dua, berhidung, berkaki, bertangan dan sebagainya. Adakah terdapat ayat seperti itu dalam kitab-kitab Ibnu Taimiyyah. (Sekali lagi diingat, jangan rujuk buku orang yang memusuhi Ibnu Taimiyyah).

Apa yang dimasyhurkan oleh Ibnu Taimiyyah ialah, “Kita beriman kepada Allah dan sifat-sifatNya sepertimana yang Dia khabarkan sendiri di dalam Al Quran tanpa sebarang tasybih, takyif, ta’wil, ta’til...”

Dengan kata lain, jika Allah menyebut YAD (Tangan) ertinya Allah itu memang ada tangan, kerana Allah sendiri yang sebut begitu. Tetapi tidak boleh di tasybih (diserupakan dengan tangan makhluk), tidak boleh takyif (menentukan bagaimana rupanya tangan itu), tidak boleh ta’wil (dengan mengatakan tangan itu maksudnya benda lain) dan tidak boleh ta’til (iaitu menafikan terus kewujudannya).

Jika adanya tasybih dan takyif, maka barangkali itu boleh dikatakan sebagai fahaman mujassimah. Jika tiada, maka itulah caranya salafussoleh beriman kepada Allah. Cuma di zaman mutaakhir sedikit, para ulama’ banyak menta’wilkan ayat-ayat mutasyabihat ini guna untuk mempermudahkan berhujah dengan golongan zindiq dan free thinker di zaman mereka.

Sememangnya sejak dahulu para ulama’ berkhilaf tentang maksud YAD sama ada ia sememangnya bermaksud ‘tangan’ atau boleh dita’wilkan dengan maksud ‘kuasa’. Begitu jugalah dengan ayat-ayat berkaitan istiwa’, nuzul, wajah dan sebagainya. Maka selama mana ia menjadi masalah khilafiyah, maka janganlah kita terlalu taasub dengan sesuatu pendapat hingga menafikan pendapat orang lain dan menuduh orang lain sebagai mujassimah, kafir dan sebagainya.

Sememangnya ramai ulama’ yang mengeluarkan fatwa yang agak gharib dan janggal berbanding pendapat jumhur. Tetapi janganlah ulama’ itu dihina dan dipersenda. Hatta sahabat juga ada yang mengeluarkan fatwa yang ditolak oleh jumhur. Termasuklah Ibnu Abbas sendiri. Banyak pendapatnya tidak dipersetujui oleh Jumhur. Tetapi Jumhur tetap menjadikan Ibnu Abbas sebagai rujukan meeka dalam kes-kes lain dan mereka tidak menghentam Ibnu Abbas.

Saya teringat peristiwa 18 tahun lalu, ketika mula menjejakkan kaki di Pakistan dalam perantauan mencari ilmu. Pelajar Malaysia di Karachi ketika itu berbalah sesama mereka kerana muncul dua golongan. Satu menyeru supaya tidak berpegang kepada mazhab dan satu lagi berpegang kepada mazhab.

Satu golongan mengagongkan Ibnu Taimiyah dan satu lagi mengagongkan Imam Al Ghazali. Yang mengagongkan Al Ghazali, menghentam Ibnu Taimiyah. Yang mengagongkan Ibnu Taimiyah menghentam Al Ghazali. Hinggakan ada yang sanggup membakar kitab Ihya Ulumiddin kerana mendakwa Al Ghazali banyak meriwayatkan hadith dhaif di dalamnya. Maka kitab itu perlu dibakar.

Sememangnya para ulama yang mentahqiq kitab berkenaan menemui banyak hadith dhaif dan sebahagiannya mencapai taraf maudhu. Namun adakah hanya disebabkan itu, maka keseluruhan isi kitab yang amat besar jasanya itu perlu ditolak dan dibakar?

Kita tak pernah tengak wajah Ibnu Taimiyyah dan Al Ghazali. Jangan hina mereka. Kalaupun ada silap mereka, Al Quran mengajarkan supaya kita berdoa keampunan untuk mereka. "Ya Allah, ampunilah kami dan saudar-saudara kami yang lebih dahulu beriman sebelum kami dan janganlah jadikan di dalam hati kami perasaan tidak baik terhadap orang-orang yang beriman..."

Samalah halnya dengan Ibnu Taimiyyah. Janganlah disebabkan satu dua fatwanya yang kita tidak setuju menyebabkan kita lupa kepada jasanya menghidupkan sunnah jihad menentang kuffar yang ketika itu sudah dilupakan oleh umat Islam, gelaran Syaikhul Islam yang diberikan oleh ulama sezamannya. Janganlah kita lupa fitnah-fitnah golongan munafiqin di zamannya, janganlah lupa hukuman penjara 2 tahun 3 bulan yang dikenakan ke atasnya sebelum meninggal dunia di situ dan sempat mengkhatamkan bacaan Al Quran 81 kali dalam tempoh berkenaan.

Bandingkan pula dengan jihad kita, jasa kita, berapa banyak kitab yang kita tulis, sudah berapa lama kita kena penjara kerana perjuangan Islam dan sudah berapa banyak dosa yang kita buat.

Perlu diingat, para ulama' muktabar zaman inipun menjadikan Al Ghazali dan Ibnu Taimiyah sebagai rujukan mereka walaupun ada perkara yang mereka tidak setuju dengan kedua-dua tokoh ini. Syeikh Yusuf Al Qardhawi, Dr Wahbah Az Zuhaili, Dr Abdullah Azzam, Abul Hasan Ali An Nadawi dan lain-lain semuanya merendah diri terhadap AL Ghazali dan Ibnu Taimiyyah. Bahkan Ali An Nadawi turut menulis sebuah buku tentang biografi Ibnu Taimiyah.


Hatta Ibnu Taimiyyah sendiri yang dituduh kononnya anti-mazhab, kalau benar sekalipun tuduhan itu, beliau tidak menghina imam-imam mazhab. Bahkan beliau berkali-kali mengkhatamkan bacaan kitab Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, pengasas bagi mazhab Hanbali.

Belajarlah beradab dengan ulamaè dan ingatlah sepotong hadith Nabi SAW yang diiwayatkan oleh Imam At Tarmizi bahawa antara 15 perkara yang bakal mengundang bala Allah ialah, apabila umat akhir zaman mencela ulama' terdahulu...
Islam mempunyai lebih banyak musuh yang nyata, yang hidup dan yang perlu dihalakan muncung senjata ke arah mereka. Bukannya dihunuskan keris kepada mereka yang sudah mati.

2 ulasan:

Akademikians berkata...

Sangat2 setuju...tulisan yg bermanfaat...

Unknown berkata...

tulisan berbentuk nasihat dan penuh adap dlm menghormati ulama2