Rabu, Januari 27, 2010

SISA USIA TOK GURU


Dah agak lama saya tidak mengikuti kuliah Tuan Guru Haji Baqi Osman. Malam tadi alhamdulillah, saya berkesempatan meluangkan waktu mendengar mutiara hikmat dari beliau.

Seingat saya, saya mengenali beliau sejak bersekolah di Chenor pada tahun 1985. Pada cuti hujung minggu, saya 'curi-curi' keluar dari asrama untuk mengikuti kuliah mingguan beliau di Pondok Darul Ridzuan, Kg Lanting, Chenor. Suasana ketika itu memang suasana pondok.

Kalau tak silap saya sekitar 150 ke 200 orang pelajar dari seluruh negara belajar di situ. Mereka tinggal di dalam pondok yang dibina sendiri ataupun di asrama panjang yang dibina dari kayu. Setiap pagi Ahad, Tuan Guru akan menyampaikan kuliah mingguannya dengan membaca beberapa buah kitab berkaitan tafsir Al Quran, Fiqah dan sebagainya. Kuliah berkenaan diadakan hingga masuk waktu zohor.

Bermula dari situ saya mengenali kehebatan dan ketinggian ilmu 'orang tua' itu. Para hadirin datang dari segenap penjuru negeri Pahang. Kebanyakan mereka datang dari Jengka. Ada yang berkereta dan ada yang hanya menaiki motosikal dan basikal. Ada yang memboncengkan isteri dan anak-anak. Ramai juga yang menaiki bas. Mereka turun di simpang Kg Lanting dan berjalan kaki hampir 1km ke tempat kuliah. Saya juga pernah berjalan kaki dari asrama yang terletak sekitar 3 km dari situ.

Khemah terpaksa dipasang di hadapan surau kerana ruangnya yang tidak mampu menampung kehadiran anak muridnya yang begitu ramai. Mereka hadir tanpa mengira dari kabilah mana dan dari parti mana. Ketinggian ilmu Tuan Guru diakui oleh semua pihak. Tidak hairanlah ketika baru pulang dari Makkah penghujung 70-an yang lalu, beliau ditawarkan jawatan mufti.

Pertengahan tahun 80-an, muncul beberapa orang anak muda yang sering berulang alik ke pondok Haji Baqi. Mereka terdiri dari lepasan universiti, guru-guru, kakitangan awam di samping beberapa orang ustaz dan anak muda kampung yang cintakan perjuangan Islam. Anak-anak muda ini sering mengadakan pertemuan dan merancang kerja-kerja dakwah yang berpusat di pondok itu. Kehadiran kumpulan ini sangat menggembirakan tok guru. Pondoknya semakin meriah dengan pelbagai aktiviti keagamaan yang melibatkan remaja dan anak-anak muda.

Kemuncak kepada peranan kumpulan ini, berlangsungnya tamrin pelajar pada tahun 1986. Ketika itu saya termasuk antara 200 orang pelajar yang menyertai tamrin yang kemudiannya lebih dikenali sebagai kursus kefahaman Islam. Biasanya kursus seumpama ini dianjurkan oleh kumpulan Al Arqam. Namun keperihatinan anak-anak muda ini dalam bidang dakwah mendorong mereka menganjurkan di kawasan pedalaman ini.

Saya masih ingat abang-abang dan kakak-kakak fasi yang memberikan kesedaran kepada kami para peserta tentang kesyumulan dan kesempurnaan Islam. Nama-nama seperti Jaafar Mat Tam, Ghazali Keria, Zaki Yahya, Rahim Latif, Mokhtar Senik, Jamaliah Mat Tam, Siti dan suaminya Azman, Wahab Saleh dan lain-lain lagi memberikan sumbangan yang besar dalam aktiviti dakwah di Pondok Darul Ridzuan.

Saya masih ingat ucapan tok guru pada majlis penutup tamrin berkenaan di mana beliau memuji dan merasa sangat gembira dengan kemunculan anak-anak muda ini.

Alhamdulillah, setelah 25 tahun saya mengenali Tuan Guru Haji Baqi, kini saya masih berpeluang mengikuti kuliah bulanan beliau. Dahulu saya menghadiri kuliah mingguannya di tempatnya sendiri. Kini dalam usia 70 tahun, beliau datang ke Bentong (lebih kurang 120km) setiap bulan untuk menyampaikan kuliahnya.

Jika beliau sanggup mengharungi kedinginan malam sejauh 120km untuk menurunkan ilmunya kepada kami, mengapa saya yang sememangnya berada di sini tidak meluangkan waktu untuk mendengar mutiara-mutiara hikmatnya....

Saya tidak pasti berapa hari lagikah usia beliau yang berbaki. Namun, apabila tiba saat itu, pastinya media akan menulis, "Seorang ulama' yang tinggi ilmunya telah kembali ke rahmatullah..." atau, "Negara / Negeri Pahang kehilangan seorang tokoh ilmuan yang hebat..." dan berbagai-bagai lagi tajuk yang menggambarkan kesedihan.

Saya tidak mahu menjadi orang yang merintih dan menyesal selepas ketiadaannya...

Selasa, Januari 12, 2010

PINJAMAN PERIBADI: MANA SATU YANG ISLAMIK

Oleh: Aris Hazlan Ismail

Sambungan dari cerita produk bank ini, saya sering ditanya oleh sesetengah orang, “Ustaz, saya tak nampak apa-apa perbezaan antara sistem Islam dan sistem konvensional di bank sekarang. Dua-dua sama. Dua-dua ada interest. Dua-dua jenis pinjam sekian banyak dan bayar pula dengan jumlah yang lebih dari jumlah pinjaman….

Dalam Islam hanya ada satu jenis pinjaman iaitu Qardhul Hasan. Pinjam 1000, bayar balik 1000. Jika kena bayar balik 1100, maka 100 itu riba’. Masalahnya, mungkin tak ada institusi kewangan yang bersedia untuk menawarkan pinjaman Qardhul Hasan. Tak untung, kata mereka. Maka sistem ekonomi Islam memberi penyelesaian. Ia dibuat atas nama Bai’ul Inah.

S
ebanyakan ulama’ berpendapat jual beli Bai’ul Inah adalah haram. Hanya Mazhab As Syafie yang memfatwakan halal. Kalaupun kita bukan bermazhab Syafie, kita boleh menggunakan sistem Baiul Inah ini sebagai satu alternatif kepada pinjaman yang secara terang2ngan melibatkan amalan ribawi.

Konsepnya berasal dari kisah seorang sahabat yang memerlukan wang sebanyak 6000 dinar. Untuk meminjam wang sebanyak itu adalah sangat sukar baginya. Lalu dia membeli seekor unta dengan harga 8000 dinar secara HUTANG yang akan dibayar setiap bulan dengan kadar tertentu. Selepas membelinya, dia menjual kembali unta berkenaan kepada pemilik asalnya dengan harga 6000 dinar secara TUNAI.

Dalam kes ini, walaupun dia sudah rugi sebanyak 2000, namun niatnya yang asal untuk mendapatkan tunai 6000 dinar tercapai. Kes ini, seolah-olah dia berhutang 6000 dan perlu membayar sebanyak 8000. Justeru sebahagian sahabat menolak amalan ini kerana menganggapnya riba yang berselindung disebalik seekor unta. Namun setengah sahabat yang lain pula mengharuskannya kerana telah berlaku akad pertama, lantas ia berhak untuk menjualkannya kepada sesiapa sekalipun, hatta kepada tuan asalnya.

M
azhab As Syafie cenderung kepada pendapat yang mengharuskannya, namun dengan syarat-syarat yang ketat. Jika tidak memenuhi syaratnya, dibimbangi ia menjadi satu permainan untuk menghalalkan riba.

Antara syarat yang ditetapkan ialah, sebelum berlaku akad pertama tidak boleh wujud perjanjian untuk menjual semula kepada pemilik asal selepas itu. Akad jual yang kedua itu hendaklah dilakukan dengan sukarela dan tidak dengan bersyarat dari awal.

Antaranya lagi ialah, barang yang dijual beli itu hendaklah barang sebenar yang menepati syarat-syarat sah jual beli. Andai kata diakad jual beli burung diudara, maka tidak sah. Atau menjual barang yang tidak sempurna milik (mulku tam), barang yang tidak bermanfaat dan sebagainya.

Persoalannya, dalam konteks amalan Baiul Inah di bank-bank Malaysia hari ini, adakah syarat-syarat ini dipenuhi. Ramai yang belum tahu konsep ini. Hatta sesetengah pegawai bank juga tidak tahu.

Apabila permohonan pinjaman peribadi ‘I’ anda diluluskan, maka anda akan dipanggil ke bank untuk menandatangani perjanjian dan melafazkan akad. Pertama pegawai bank akan akad jual, anda beli. Kemudian anda pula jual, pegawai bank beli. Lalu andapun menurunkan tandatangan. Cuba anda tanya pegawai berkenaan, “Saya nak pinjam duit, bukan nak jual beli macam ni.” Agak-agaknya apa pegawai bank tu akan jawab?

Barangkali dia akan kata, “Ini prosedur yang perlu diikuti…” Bahkan ada juga yang menjawab, “Ini tak ada apa-apa, syarat je ni…” Contoh-contoh jawapan ini adalah berdasarkan pengalaman penulis berurusan dengan bank-bank yang mendakwa mengamalkan kaedah perbankan Islam.

Sepatutnya pegawai berkenaan perlu memberikan kefahaman yang jelas tentang konsep Baiul Inah kepada pelanggan. Perlu dijelaskan kenapa harga bayar lebih dari harga pinjam. Perlu diterangkan secara terperinci. Malangnya ini jarang berlaku. Puncanya? Wallahua’lam. Mungkinkah kerana pegawai bank itu sendiri tidak diberikan kefahaman oleh Majlis Pengawasan Syariah mereka, atau…

Persoalan kedua, barang yang diakadkan itu adakah barang yang memenuhi syarat yang digariskan oleh Mazhab Syafie? Atau dengan lebih kritikal lagi, adakah barang itu wujud dengan sebenarnya, atau hanya di atas kertas sahaja? Sebagai contoh:

1. Suatu ketika dahulu ada sebuah bank yang menjadikan mesin ATM sebagai barang untuk dijual belikan… Memanglah mesin itu bermanfaat dan mahal harganya, tetapi ia tidak realistik. Munasabahkah seorang pelanggan bank hendak membeli mesin ATM. Nak buat apa?


2. Ada bank yang menjual sijil yang tertulis note RM tertentu. Benarkah sijil itu bernilai RMXXX? Kalau anda ambil sijil itu untuk digadaikan di mana-mana institusi gadaian, atau bank lain, adakah mereka menerimanya?


3. Ada juga bank yang menjual mata wang asing, nak nampakkan Islamic maka dijual beli matawang riyal Saudi. Jika ini berlaku, maka ia akan menjadi jual beli mata wang dengan tidak mengikut nilai semasa. Qabadh juga tidak berlaku sedangkan ulama’ mengharuskan jual beli matawang ini hanya dengan cara yadan biyadin (unjuk mengunjuk). Mana wangnya?

Pengalaman penulis sendiri ketika berurusan dengan sebuah bank, pihak bank melafazkan akad jual (ijab), “Adalah dengan ini kami menjual kepada anda wang Saudi Riyal dengan nilai RM30,000 (contoh) dengan kaedah bayarannya secara hutang selama 10 tahun.” Kemudian ia membeli kembali wang riyal Saudi itu dengan harga RM15,000 (contoh) dengan bayaran tunai. Persoalannya jual beli matawang hanya diharuskan di dalam Islam jika ia dijual/dibeli dengan nilai semasa. Mana mungkin, nilai 30,000 tiba-tiba dalam masa satu minit turun kepada 15,000. Ia bukan nilai semasa.


Persoalan ketiga, dalam memikirkan keuntungan yang bakal diraih, pihak bank pastinya meletakkan syarat supaya selepas berlaku akad pertama, ia mesti dituruti dengan akad kedua. Meletakkan syarat begini adalah bercanggah dengan syarat keharusan yang digariskan di dalam mazhab Syafie. (Perlu diingatkan sekali lagi, hanya mazhab Syafie yang mengharuskan Baiul Inah, tetapi perlu mamtuhi syarat-syarat keharusannya). Setelah bank menjual, pembeli diwajibkan menjual kembali kepada bank. Ia bukan lagi pilihan kepadanya.

Ini antara hujah kenapa sebahagian pakar ekonomi Islam, terutama ulama’-ulama’ di negara-negara Arab tidak bersetuju, bahkan mengkritik amalan Baiul Inah di Malaysia. Ia bukan sahaja bercanggah dengan pengharamannya dalam mazhab-mazhab lain, bahkan ia tidak menepati syarat di dalam Mazhab Syafie.

Sesuatu yang perlu dipuji, dalam menghadapi kritikan-kritikan, anggota-anggota majlis pengawasan syariah di bank-bank ini sentiasa kreatif dan cuba mencari jalan penyelesaian. Alhamulillah, kini tiada lagi bank yang buat kerja karut menjual mesin ATM. Namun penambahbaikan ini perlu berlaku berterusan. Kita faham usaha untuk mendaulatkan sistem muamalah Islam ini sentiasa menempuh ranjau dan duri. Setiap halangan yang wujud perlu dirempuh. Bak kata ulama’, jika tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua.

Kini, satu revolusi dalam amalan Baiul Inah membabitkan pinjaman peribadi sedang mula digerakkan. Bank Islam yang terbesar di dunia, Al Rajhi Bank yang kini sudah mula bertapak di Malaysia memperkenalkan kaedah yang bebas dari unsur-unsur keraguan yang disebutkan di atas.

Dari segi barang jualan, Al Rajhi memilih untuk menjual susu, satu produk yang sememangnya digunakan oleh manusia. Ia dijual kepada pelanggan dengan aqad Bai' Bithaman Ajil (jual dengan harga hadapan). Kedua, Al Rajhi tidak mensyaratkan supaya dijual balik selepas akad jual beli pertama. Jualan balik dilakukan secara pilihan kepada pihak ketiga. Ertinya ada 3 pihak yang melafazkan akad. Namun ia hanya pilihan.

Penulis difahamkan, seorang usahawan di Johor yang memohon untuk mendapatkan pinjaman peribadi dari Al Rajhi enggan menjual balik barang selepas akad yang pertama. Berikutan itu Al Rajhi menghantar satu kontena susu ke rumah beliau. (Kebetulan pelanggan bank berkenaan memiliki sebuah pasar raya, boleh la dia jual susu tu).

Di samping itu, Ar Rajhi juga tidak mengenakan caj-caj tersembunyi seperti yang diamalkan oleh sesetengah bank lain. Ia meletakkan kadar keuntungan maksima 6.99% dan boleh berkurangan dari tahun ke tahun.

Dari segi pemasaran Al Rajhi telah menyediakan satu pelan untuk meringankan beban bayaran bulanan pelanggan menerusi Al Rajhi Friends And Family 3R. Menerusi program ini, pelanggan yang memperkenalkan produk Ar Rajhi kepada orang lain akan diberi ganjaran tertentu. Ini akan menjadikan bayaran bulanannya semakin mengecil mengikut bilangan orang yang diperkenalkan program ini. Sampai di suatu tahap, anda mungkin mendapat pinjaman seolah-olah percuma, apabila jumlah ganjaran, melebihi kadar bayaran balik pinjaman!

Tanpa perlu mendabik dada siapa yang memulakan pelan ini, bukankah baik jika semua bank turut menawarkan perkhiodmatan seperti ini. Bersih dari amalan riba, gharar dan penipuan. Bahkan menguntungkan kedua-dua pihak, bank dan pelanggan.




Isnin, Januari 11, 2010

BANK ISLAM: ANTARA PRODUK & KEFAHAMAN PELANGGAN

Perkembangan sistem perbankan Islam mutakhir ini agak membanggakan. Hampir kesemua bank di Malaysia mempunyai produk perbankan Islam. Jumlah bank Islam juga meningkat. Dari hanya sebuah bank Islam pada awal 80-an, kini Malaysia sudah ada 11 buah bank yang diberi lesen oleh Bank Negara sebagai bank Islam:

  1. Affin Islamic Bank Berhad
  2. Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Berhad
  3. AmIslamic Bank Berhad
  4. Asian Finance Bank Berhad
  5. Bank Islam Malaysia Berhad
  6. Bank Muamalat Malaysia Berhad
  7. CIMB Islamic Bank Berhad
  8. EONCAP Islamic Bank Berhad
  9. Hong Leong Islamic Bank Berhad
  10. Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad
  11. RHB ISLAMIC Bank Berhad

Beberapa produk perbankan Islam kini turut ditawarkan di bank-bank komersial yang lain seperti:

  1. ABN Amro Bank Berhad
  2. Alliance Bank Malaysia Berhad
  3. Citibank Berhad
  4. HSBC Bank Malaysia Berhad (Bahagian Islam dinamakan HSBC Amanah)
  5. Malayan Banking Berhad
  6. OCBC Bank (Malaysia) Berhad
  7. Public Bank Berhad
  8. Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (Bahagian Islam dinamakan Standard Chartered Sadiq)

Bank-bank ini tidak beroperasi dengan cara Islam 100%, namun mereka mewujudkan ‘jendela perbankan Islam’ bagi memasarkan produk-produk kewangan yang berasaskan Islam.

Selain itu, terdapat beberapa institusi kewangan lain yang turut menawarkan perkhidmatan produk Islam. Ia adalah seperti berikut :-

  1. Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad
  2. Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad
  3. Export-Import Bank of Malaysia Berhad
  4. Bank Pertanian Malaysia
  5. Bank Simpanan Nasional Berhad

Persoalannya, walaupun sudah banyak bank Islam diwujudkan dan sudah banyak bank konvensional yang membuka jendela kewangan Islam, namun berapa ramai di kalangan umat Islam dan seluruh rakyat amnya mengetahui konsep perbankan Islam ini.

Jika anda pergi ke kedai ayam, anda akan pastikan ayam yang hendak dibeli itu halal dimakan. Konsep halal pada ayam itu mudah, ia mesti di sembelih oleh orang Islam, membacakan nama Allah, menggunakan alat sembelihan yang suci dan tajam serta memastikan kematian ayam itu disebabkan sembelih, bukan sebab lemas dalam air panas. Senang difahami biarpun penjual tidak memiliki sijil pengesahan halal dari JAKIM.

Namun bagi produk kewangan berapa ramai yang faham? Paling-paling prihatinpun, bila anda ingin mendapatkan pembiyaan, anda akan bertemu dengan pegawai bank berkenaan dan bertanya, “Pinjaman ni, Islamic tak?” Bila pegawai berkenaan jawab, “Ya, Islamic,” maka habis cerita. Anda akan diberikan satu set borang dan berjela-jela surat perjanjian yang tulisannya bersaiz amat kecil untuk anda tandatangani. Pastinya anda tak ada masa lagi untuk membaca secara terperinci syarat-syarat bertulisan kecil itu.

Dalam pada itu ramai juga yang tidak dapat membezakan antara produk Islam dan produk ribawi. “Nampak macam sama je…” kata seorang Mamat. Mamat seorang lagi mencelah, “Yang Bank Islam punya lagi mahal. Payah nak lulus pulak tu…”

Senario yang berlaku