Isnin, Februari 21, 2011

CATATAN KEINSAFAN BOB LOKMAN


Assalamualaikum.

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI PENYAYANG.

Maha Suci Engkau, tiadalah kami berilmu, melainkan dengan apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau Maha mengetahui dan Maha Bijaksana. Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan kehendak ALLAH yang Maha Berkuasa.

ALHAMDULILLAH. Aku amat bersyukur kepada ALLAH kerana memberikan aku peluang untuk kembali ke ruangan ini setelah 2 tahun aku tercari-cari jawapan untuk sebuah kebenaran. Hampir sekali aku membenarkan kebatilan menjadi sebuah haq dalam aliran pemikiran. Hanya ALLAH yang berkuasa memberikan petunjuk diatas jalannya yang lurus.

Setelah aku melalui takabbur demi takabbur, ujub demi ujub, sum'ah demi sum'ah begitu juga kesenangan demi kesenangan, ketakutan demi ketakutan dan setelah 2 kali menghampiri sempadan kematian, akhirnya aku sedar segala yg aku lalui itu sepatutnya ia berlaku dengan penuh kesedaran bahawasa itu semua DEMI ALLAH.

Maka aku kembali mencari jalan yang benar bermula dengan TAUBAT NASUHA kepada setiap perlakuan yang SYIRIK kepada ALLAH. Betapa terlalu lama aku bertuhankan dunia demi menyelamatkan kehidupan dunia dari soal kelaparan hinggalah kepada kemewahan yang melupakan aku kepada tujuan ALLAH menjadikan manusia dan jin di muka bumi ini.

Mengapa aku terpengaruh untuk mengejar dunia yang memang telah diberitahu oleh Almarhum Ayah semasa aku kecil, bahawa dunia ini adalah bala, setan, iblis, yahudi dan nasara, adalah kerana dunia ini telah dibentuk acuannya oleh mereka yang bernafsu besar untuk menjadi hebat pada mata dunia.

Bermulanya Malaysia ini dengan nafsu Tunku Abdul Rahman untuk membuktikan bahawa dia boleh melakukan lebih baik dari orang inggeris hinggalah sampai kezaman Mahathir yang bernafsu besar untuk menyatakan kepada bangsa lain di dunia bahawa orang melayu lebih hebat dari mereka.

Maka aku pun terperangkap di dalam kehendak nafsu besar pemimpin yang berbuat sesuatu kerana sesuatu yang aku kurang faham tetapi yang pastinya bukan KERANA ALLAH.

Disambung pula oleh pemimpin selepasnya dengan niat "kerana mu Malaysia", "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" maka kita telah menyimpang jauh dari kehendak ALLAH menjadikan kita sebagai hambanya yang sepatutnya berbuat sesuatu "KERANA MU ALLAH" & 'ALLAH DIDAHULUKAN, TAQWA DIUTAMAKAN".

Kalau dahulu aku bersama-sama membenarkan kemungkaran dan aku berstatuskan munafiq, hari ini ALLAH telah memberikan aku hidayah dan menguasakan aku untuk beriktikad dengan AKIDAH "LA ILA HA ILLALLAH, MUHAMMADURASULULALLAH".

Bersama dengan Ahlussunnahwaljamaah aku akan meneruskan sisa perjalanan mencari dan menyampaikan kebenaran kerana aku insaf ramai manusia tidak mahu menjadi jahat, tetapi kerana mahalnya harga nafsu yang perlu dibayar untuk dipuaskan, maka mereka terpaksa memilih jalan yang telah disediakan oleh yahudi dan nasara.

Langkah demi langkah aku akan meninggalkan yang haram dan syubhat hingga aku dipertemukan dengan jalan yang benar sebagaimana permohonan aku ketika aku membacakan "IH DINAS SIRA TAL MUSTAQIM" didalam surah ALFATIHAH.

Semoga langkah awal ini akan dipermudahkan oleh ALLAH untuk aku mencari teman yang sealiran dan mengajak seramai mungkin umat manusia kembali kepada ALLAH.

Kepada Ibu Bapa, Guru-Guru dan para sahabat, doakan semoga aku sentiasa beristiqamah diatas jalan yang benar dan sentiasa bermujahadah DEMI ALLAH.

Kepada Umat Malaysia, marilah kita sama-sama mencari perubahan kearah kebenaran dengan menyatakan "TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH" dengan menegah perkara yang boleh menjadikan kita SYIRIK kepada ALLAH


(Dari blog: boblokman.blogspot.com)

Rabu, Februari 09, 2011

KENALI PENGGANTI MUBARAK


30 tahun memerintah, 8 orang silih berganti menjadi perdana menteri, tetapi jawatan timbalan presiden yang biasanya akan menggantikan presiden tidak pernah diisi. Sekonyong-konyong, bila Maidan Tahrir dipenuhi jutaan manusia yang mendesak presiden supaya berundur, tiba-tiba Mubarak menamakan Omar Sulaiman sebagai penggantinya yang kini diberi jawatan timbalan presiden Mesir.

Omar, tokoh yang tidak begitu dikenali, tidak semasyhur Amru Musa dan tidak seglamour Ahmad Baradei. Tetapi rupa-rupanya tokoh ini sangat hebat di sisi Mubarak dan sangat 'mulia' kepada Amerika dan Israel.

Omar Sulaiman lahir pada 2/7/1936, seorang yang bertubuh tinggi lampai, tegap, tiada siapa menyangka dia sudah berusia 75 tahun. Hanya 8 tahun beza usia dengan bossnya, Mubarak yang lahir pada 4/5/1928.

Omar mula menerima pendidikan ketenteraan pada 1954 di Akedemi Tentera di Kaherah dan seterusnya menuruti jejak langkah idolanya, Mubarak melanjutkan latihan di Akedemi Ketenteraan Frunze, Moskow. Dia memiliki dua ijazah sarjana, satu dalam bidang sains politik dari Universiti Kaherah dan satu lagi sains ketenteraan.

Dalam tentera dia naik dari satu tangga ke satu tangga hingga memegang jawatan ketua perisikan tentera dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Agensi Perisikan Awam Mesir. Ketika memegang jawatan inilah, dia disifatkan oleh Daily Telegraph sebagai ketua perisik paling berkuasa di dunia 2009.

Omar sangat sinonim dengan Amerika dan Israel. Bagi menggambarkan kenyataan ini, Wikipedia menyebut: "Suleiman has been implicated as directly involved in the controversial CIA "rendition" program. Journalist Stephen Grey in his work, "Ghost Plane", states that after taking over as intelligence director, Suleiman oversaw an agreement with the US in 1995 that allowed for suspected militants to be secretly transferred to Egypt for questioning."

Dalam isu Palestin, presiden Mubarak memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi pengantara dalam usaha membebaskan tentera Zionis Gilad Shalit yang ditawan oleh Hamas.

Omar juga dikatakan orang yang bertanggung jawab ke atas penyiksaan tahanan khususnya kumpulan yang ditawan oleh Amerika Syarikat di Afghanistan dan kemudiannya dihantar ke Mesir.

Penyiksaan ke atas tahanan bukan lagi suatu rahsia. Sejak puluhan tahun, penjara Mesir dikenali sebagai antara penjara paling azab di dunia.

Apabila anda berjalan di kota Kaherah dan menyusuri taman-taman bunganya, anda pasti tidak menyangka, di bawah taman bunga itu terdapat penjara yang luas yang menyaksikan tahanannya disiksa saban hari.

Justeru jika Mubarak seorang pemimpin yang dilabel sebagai zalim dan jahat, maka adakah Omar seorang yang layak menggantikan penjahat ini? Adakah pencuri wajar digantikan dengan penyamun dan perompak?


Isnin, Februari 07, 2011

SUCI DALAM DEBU INTIFADHAH

SUCI DALAM DEBU INTIFADHAH

Bumi itu bumi perjuangan
Sekebal Firaun, menggelupur kelemasan...
Apa lah sgt seangkuh Mubarak.
Dengan hidayah
ahli sihirnya berubah menjadi syuhada'
Ketika Tatar merebah khilafah Abbasiyyah
di bumi itu Mamalik bangkit..
namun Islam padam, tidak sekali!
Allahuakbar!!!

Bumi itu bumi perjuangan.
Debu-debu suci berterbangan
Pengganti alir air hidayah
Buat mengangkat hadas ummah
Najis sekularisme jahiliyyah
Suci dalam debu...

(Petikan dari FB Ustaz Hazmi Dibok)

Ahad, Februari 06, 2011

Tokoh Islam: USTAZ MUSTAFA MASYHUR


(Artikel ini saya tulis di Mesir beberapa hari selepas kematian tokoh ini 2002 lalu)

Bulan November menyaksikan ramai tokoh gerakan Islam meninggal dunia. Lebih kurang 70 tahun yang lalu, bumi Palestin menyaksikan Syeikh Izzuddin Al Qassam dibunuh syahid oleh penjajah Britain.

Pada 1985, Ustaz Ibrahim Libya dan 13 anak muridnya dibunuh di Kampung Memali. Empat tahun kemudian (1989) Dr Abdullah Azzam pula di bunuh syahid di Peshawar, Pakistan. Semua ini berlaku pada bulan November.

Tetapi kematian tokoh Islam ini agak berbeza dengan tokoh-tokoh sebelumnya. Ini kerana tokoh ini menghembuskan nafasnya dalam bulan November yang juga bulan Ramadhan yang penuh barakah. Lebih dari itu, tokoh ini meninggal dunia ketika umat Islam sedang bersiap-siap untuk mempertingkatkan ibadat di malam Jumaat.

Jika orang lain meninggalkan wasiat berkaitan harta kepada anak-anak, maka tokoh ini sempat menulis wasiat kepada seluruh umat Islam supaya berjuang membebaskan Baitul Maqdis dan Palestin daripada penjajahan Yahudi.

Tokoh yang dimaksudkan ini ialah Ustaz Mustafa Masyhur, Mursyidul-Am Ikhwanul Muslimin yang kelima.

Setelah enam tahun memimpin gerakan Islam yang tertua dan terbesar di dunia ini, beliau dipanggil ilahi dengan penuh kemuliaan.
Ustaz Mustafa, 81, dilahirkan pada 15 September 1921 di Kampung Saadiyyin, Muhafazah Syarqiyyah, Mesir. Beliau terdidik di dalam suasana keluarga yang berpegang teguh dengan agama.

SERTAI IKHWANUL MUSLIMIN

Al-Marhum menyertai jamaah Ikhwanul Muslimin lapan tahun selepas penubuhannya iaitu pada tahun 1936. Kisah penyertaannya ke dalam jamaah berkenaan agak menarik. Ketika berhijrah ke Kaherah, beliau sering mengunjungi sebuah masjid berhampiran kediamannya. Suatu hari, ketika di masjid, beliau melihat seorang lelaki sedang menyebarkan risalah yang mengiklankan ceramah agama di sebuah masjid.

Atas sifatnya yang sangat cintakan ilmu dan majlis pengajian agama, beliau menghadirkan diri ke majlis berkenaan. Di penghujung pengajian, penceramah berkenaan mengumumkan bahawa seorang tokoh ulamak ternama, Ustaz Hasan Al Banna akan berkunjung ke situ untuk menyampaikan ceramah. Sekali lagi timbul perasaan di hati Ustaz Mustafa untuk menghadiri majlis berkenaan.

Di pendekkan cerita, disebabkan kagum dengan kedua-dua ceramah inilah beliau membuat keputusan untuk menyertai gerakan Ikhwanul Muslimin.

Ikhwan Muslimin ditubuhkan oleh Mursyidul Amnya yang pertama, Hasan Al Bana empat tahun selepas kejatuhan Khilafah Othmaniyyah Turki (1924) iaitu pada tahun 1928.

Pengaruh Ikhwan tersebar ke seluruh dunia Arab dan sebahagian negara umat Islam.

Matlamat perjuangan Ikhwan ialah berjuang untuk menegakkan negara Islam tanpa kekerasan. Di samping itu mereka berjuang untuk melakukan perubahan dan pembaikan politik dan ekonomi secara berperingkat. Ikhwan turut mementingkan sudut tarbiyyah bagi memastikan ahli-ahlinya berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar.

Pengaruh Ikhwan sangat besar. Bahkan penubuhan jamaah, parti dan gerakan Islam di seluruh dunia adalah rentetan daripada penubuhan Ikhwan. Kini Ikhwan Muslimin menguasai 17 daripada 454 kerusi parlimen Mesir di samping banyak kerusi lain di beberapa negara Arab.

Ustaz Mustafa sangat kagum dengan perjuangan Islam yang dibawa oleh Ikhwan. Daripada sebagai ahli biasa, hinggalah akhirnya dipilih sebagai pemimpin tertinggi. Beliau menjalankan amanah memegang jawatan Mursyidul Am yang disandangnya sejak 1996 hinggalah keadaannya yang sudah tidak berdaya lagi pada 29 Oktober lalu. Sejak itu, jawatan berkenaan dipangku oleh Ustaz Makmun Hudhaibi. Berkemungkinan beliau akan dipilih sebagai Mursyidul Am dalam pemilihan yang akan diadakan beberapa hari lagi.

Makmun, 83, ialah anak kepada Mursyidul Am Kedua selepas Hasan AlBanna, Hasan Hudhaibi (1950-1973). Makmun pernah menjadi ketua hakim di Kaherah serta pernah mengetuai 37 calon Ikhwanul Muslimin menyertai pilihanraya Dewan Rakyat (Parlimen) pada tahun 1973.

UJIAN

Dalam menjalankan amanah jamaah dan amanah agama, Ustaz Mustafa pernah dipenjarakan beberapa kali pada zaman pemerintahan Jamal Abdun Nasir dan kali terakhir ialah pada tahun 1965 hingga 1971 (enam tahun). Sebaik sahaja Anwar Sadat mengambil-alih pemerintahan, beliau memberikan keampunan kepada ramai anggota Ikhwan yang dipenjara. Mustafa termasuk di kalangan mereka yang dibebaskan.

Walaubagaimanapun, Sadat cuba menangkapnya kembali. Untuk menyelamatkan diri, beliau berhijrah ke Kuwait beberapa ketika sebelum operasi penangkapan beramai-ramai dilakukan pada tahun 1971. Beliau kemudian tinggal di Jermen selama lima tahun dan di sana beliau mengatur gerakan menyebarkan pengaruh Ikhwan ke seluruh dunia.

Beliau pulang ke Mesir beberapa ketika sebelum Mursyidul Am ketika itu, Syeikh Umar Tilmisani meninggal dunia. Jawatan Mursyidul Am kemudiannya diambil-alih oleh Syeikh Hamid Abun Nasr dan Mustafa menjadi timbalannya.

Setelah Syeikh Hamid meninggal dunia pada tahun 1996, Syeikh Mustafa Masyhur dilantik sebagai penggantinya. Februari lalu (2002) beliau sekali lagi dipilih untuk meneruskan khidmatnya sebagai Mursyidul Am. Pemilihan tersebut dibuat selepas Ikhwan membuat pindaan tempuh khidmat Mursyidul Am kepada enam tahun.

Ustaz Mustafa turut diundang menyampaikan ceramah di serata dunia. Bahkan ketika permulaan krisis selepas kemenangan mujahidin di Afghanistan, beliau mengetuai delegasi pemimpin-pemimpin gerakan Islam seluruh dunia pergi kek Kabul untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan mujahidin.

Turut serta dalam rombongan berkenaan ialah Al Marhum Ustaz Fadhil Noor dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Beberapa tahun lalu, PAS pernah menjemputnya menghadiri satu majlis di Malaysia dan beliau menyatakan persetujuan untuk menghadirkan diri. Malangnya sebelum berlepas ke Malaysia, pasportnya dirampas dan dikoyak.

Walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan, Ustaz Mustafa tetap berada di dalam saf perjuangannya dan tidak meninggalkan jamaah sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

KISAH KEMATIAN

Pada 29 Oktober 2002, selepas pulang dari pejabatnya, beliau berehat seketika. Apabila azan Asar dilaungkan, anak perempuannya cuba mengejutkannya daripada tidur. Sebaik terjaga daripada tidur, didapati dirinya begitu tidak bermaya sekali. Beliau diserang sakit yang melibatkan otaknya.

Melihatkan keadaan bapanya, si anak menasihati Ustaz Mustafa supaya menunaikan solat di rumah sahaja. Namun tarbiyyah mantap yang diterimanya menghalang beliau untuk menunaikan sembahyang di tempat selain daripada masjid. Apatah lagi beliau adalah pemimpin tertinggi bagi jamaah Islam yang tertua dan terbesar. Beliau terus mempersiapkan diri dan pergi menunaikan sembahyang di masjid berdekatan kediamannya. Selepas menunaikan sembahyang, beliau sudah tidak mampu melakukan apa-apa lagi. Orang ramai menghantarkannya ke hospital dan beliau berada di sana selama lebih kurang dua minggu. Pada petang Khamis lalu, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Keesokan harinya, orang ramai berkumpul di Masjid Rabaah Adawiyyah di Madinat Nasr untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum beliau dikebumikan. Jalan-jalan sekitar menjadi sesak. Setelah jenazah disembahyangkan, orang ramai berarak menuju ke tanah perkuburan yang terletak 10 km dari masjid berkenaan.

Suasana sepi, sedih dan pilu menyelubungi perjalanan ke tanah perkuburan. Tidak ada sebarang laungan atau slogan-slogan seperti perhimpunan yang biasa di anjurkan oleh Ikhwan. Masing-masing hanya berdoa di dalam hati memohon kesejahteraan ke atas pemimpin yang pergi. Sebahagian daripada mereka mengangkat mashaf Al Quran sebagai lambang kepada syiar perjuangan mereka.

Perarakan yang dianggarkan disertai oleh 20,000 orang itu turut disertai oleh pemimpin-pemimpin politik termasuk ketua Parti Buruh (pembangkang), Ibrahim Shukri. Walau bagaimanapun Al Jazeerah melaporkan bahawa tidak kelihatan seorangpun pemimpin kerajaan dan pemimpin parti yang memerintah, Parti Negara.

Dari Allah kita datang, kepadanya jua kita kembali....

Sabtu, Februari 05, 2011

10 WASIAT HASAN AL-BANNA


1. Apabila kamu mendengar azan, segeralah bangun sembahyang serta-merta walau bagaimana keadaan kamu sekalipun.

2. Bacalah Al-Quran atau tatapilah ilmu atau pergilah mendengar perkara yang baik atau berzikir. Janganlah sama sekali membuang masa dalam perkara sia-sia.

3. Berusahalah sedaya-upaya untuk bertutur dengan Bahasa Arab Fushohah kerana ia merupakan satu satu syiar islam.

4. Janganlah banyak berdebat dalam apa perkara pun kerana pertengkaran kosong tidak membawa kepada sebarang kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Jangan banyak bergurau kerana umat yang berjihad sentiasa bersungguh dan serius dalam setiap perkara.

7. Jangan bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar.

8. Jauhi daripada mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan dan jangan bercakap melainkan perkara yang mendatang kebaikan.

9. Berkenalanlah dengan setiap rakan yang saudara tidak di minta berbuat demikian kerana asas-asas dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenalan.

10. Kewajipan lebih banyak dari waktu, oleh itu bantulah rakanmu untuk memanfaatkan waktunya dan jika saudara berurusan, maka singkatkanlah masa perlaksanaannya.

Jumaat, Februari 04, 2011

Nik Aziz Jawab Dr M

Selepas 2 hari, tulisan Dr Mahathir dijawab oleh Nik Aziz dalam laman facebooknya:

1. Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.
           
2. Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya. Firman Allah SWT :
يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24
 
3. Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

4. Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaa n tujuan hidup seorang manusia di muka bumi. Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.
 
            Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.  Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. Firman Allah SWT :
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
Yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)
 
            Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW.

5. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya. Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh? Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

6. Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46. Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.
 
7. Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. Allah SWT berfirman :
وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ
Yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)
 
8. Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya :
فرقت به جماعتهم!
Yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!
Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
 
            Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang? Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas  wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO? Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama  jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.
 
Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?  Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?
 
Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar. Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta  menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!
            Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.  Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan.  Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?
 
            Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : اللهم قد بلغت (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)
 
Sekian.
 
HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.
 
Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011

Dr M Attack Nik Aziz

Berikut tulisan Tun Dr Mahathir pada 31/1/2011 dlm blognya:

1. Kata Nik Aziz, "Melayu (di Malaysia) tolak Islam lebih teruk daripada Kwan Yew". Ternampak Nik Aziz lebih utamakan peluang untuk memburuk musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh Lee Kwan Yew. Nik Aziz anggap nasionalis Melayu lebih teruk ke-Islaman mereka.

2. Di zaman British ramai pembesar Melayu minum arak dan ada pekerja Melayu yang minum toddy. Masjid pun tidak banyak dan ramai yang tidak sembahyang. Hasil perjuangan nasionalis Melayu negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam. Mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi Kerajaan, menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, membekalkan wang Kerajaan untuk kegiatan-kegiatan agama Islam, memudahkan orang Islam buat kerja haji, mendirikan masjid-masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah, mengharamkan loteri nasional dan berbagai-bagai lagi yang disuruh oleh agama Islam. Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?

3. Sebaliknya apakah yang dilakukan oleh PAS dan Nik Aziz? Hasil yang terbesar ialah memecahbelahkan orang Islam di negara ini. Penubuhan PAS itu sendiri berjaya memecahbelahkan orang Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa yang beragama Islam.


4. PAS turut memecahbelahkan orang Melayu Islam di Malaysia sekali lagi apabila PAS mengadakan sembahyang Jumaat dua Imam, larangan terhadap perkahwinan orang PAS dengan orang UMNO, larangan ahli PAS menghadiri kenduri orang UMNO dan pengasingan kubur orang PAS dari orang UMNO, seolah-olah di Akhirat juga PAS ingin pecah belah orang Melayu Islam terus berlaku.

5. Apabila PAS bertanding dalam Pilihanraya 1955 dan seterusnya hingga 1986 ia mendakwa bahawa UMNO yang bekerjasama dengan orang bukan Islam, mereka menjadi kafir. Ini juga memecahkan perpaduan orang Islam di Malaysia.

6. Kemudian PAS bergabung tenaga dengan Semangat 46 dan DAP dalam Pilihanraya 1990 dan 1995. Dengan ini Semangat 46, serpihan dari UMNO mendapat nafas dan orang Melayu Islam terbahagi kepada tiga kumpulan.

7. Alhamdulillah Semangat 46 kembali semula kepada UMNO dan perpaduan orang Melayu Islam dalam UMNO dipulih semula. Tetapi apabila Timbalan Presiden UMNO di keluarkan dari parti, Nik Aziz dengan cepat memberi sokongan kuat kepadanya supaya parti serpihan yang ditubuh boleh menarik keluar sebahagian daripada ahli UMNO dan penyokongnya supaya parti orang Melayu Islam yang terbesar ini menjadi lemah.

8. Hasil daripada sokongan Nik Aziz orang Melayu sekali lagi berpecah tiga. Tidak cukup dengan ini Nik Aziz sanggup bekerja keras dengan DAP untuk menubuh Pakatan. Bahawa dahulu PAS mendakwa kerjasama oleh UMNO dengan orang bukan Islam menjadikan mereka kafir dilupakan sahaja kerana ingin menjadi Pakatan musuh UMNO yang kuat. Dengan cara ini Nik Aziz menentukan kali ini perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal.

9. Inilah sumbangan Nik Aziz kepada Islam di Malaysia ini. Bahawa satu dari ajaran Islam yang penting ialah orang Islam itu bersaudara tidak dihirau oleh Nik Aziz.

10. Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis. Beliau rela mempertahankan Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan Lee Kuan Yew supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu.

11. Cadangan Lee Kuan Yew ini dianggap oleh Nik Aziz sebagai lebih baik dari segala-gala yang dilakukan oleh nasionalis Melayu di Malaysia. Bayangkan sahaja Islam di bawah pemerintahan Nik Aziz dengan Karpal, Kit Siang, Guan Eng. Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju kerana Islam nasionalis lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

Khamis, Februari 03, 2011

SERUAN QARDHAWI Kepada Mubarak

Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, meminta Presiden Mesir Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau akan pergi secara paksaan. Beliau perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali. Sheikh Yusuf al-Qaradawi menggambarkan sistem pemerintahan Mesir sebagai tidak mengerti dan tidak berfikir. Ianya buta tidak melihat, tuli tidak mendengar, serta bodoh tidak memahami.

Al-Qardhawi menyeru Mubarak melalui al-Jazeera katanya, “Pergilah, wahai Mubarak, jika ada di hatimu sedikit rasa belas kasih, atau ada dalam kepalamu sedikit akal yang berfikir”. Beliau meminta Mubarak agar merasa belas kasihan terhadap dirinya sendiri serta ahli keluarganya. Kuasa kerajaan itu jika dianggap sebagai peluang keemasan maka cukuplah tempoh tiga puluh tahun itu, dan jika dianggap sebagai hukuman denda pula, maka cukuplah juga tempoh tiga puluh tahun itu.

Al-Qaradhawi menyarankan Mubarak agar melepaskan kepimpinan dan meninggalkan Mesir yang sudah kehilangan berbilion-bilion wang. “Jangan kamu hancurkannya dan duduk di atas kehancuran tersebut. Pergilah, wahai Mubarak”. Beliau menambah bahawa puluhan pemuda telah gugur dalam tempoh satu hari dalam menuntut hak mereka, “Tapi kamu dan askar kamu pula telah membalas mereka dengan peluru hidup.”

Al-Qaradawi menambah, “Tidak ada lagi tempat untukmu, wahai Mubarak. Saya minta kamu untuk keluar mengangkat kaki”, untuk diadili dan dibicara sesudah itu oleh mahkamah awam dan bukannya oleh mahkamah tentera, “yang kamu bina untuk mendakwa pihak lawanmu, lalu kamu menghukum mereka dengan hukuman yang zalim”, di bawah undang-undang darurat, dan sesungguhnya “bagi orang zalim itu ada kesudahnnya, dan tidak ada seorang pun yang mampu untuk melawan sejarah. “

Sheikh al-Qaradawi menganggap bahawa Mubarak tidak memahami mesej dari rakyat, malah keluar dengan ucapan yang menunjukkan bahawa ia tidak merasakan apa yang terjadi. Dia berada “dalam dunia yang bukan dunia kita, tidak merasa kelaparan orang yang lapar, atau kesakitan orang yang terluka,” dan mempersoalkan pula faedah untuk membubarkan kerajaan, sementara ia tidak mengatakan apa yang seharusnya dikatakan iaitu membubarkan Dewan Syura dan Dewan Rakyat serta menghapuskan undang-undang darurat.

Rakyat dan Tentera
Dalam ucapannya, al-Qaradhawi mengalu-alukan rakyat Mesir atas kebangkitan mereka melawan situasi korup yang telah banyak mereka bersabar terhadapnya, seperti kesabaran mereka melihat ramai orang mengaut kekayaan negara serta menikmati keuntungannya, sedangkan mereka tidak mampu mencari makanan harian mereka.

Beliau menggambarkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai pemberontakan secara aman, tidak ada kayu mahupun senjata, bagi menuntut kehidupan yang lebih baik serta rezeki yang halal, akan tetapi mereka dikejutkan pula dengan peluru hidup dari pihak pengawal keamanan, menyebabkan puluhan orang terbunuh.

Beliau menekankan bahawa para penunjuk perasaan yang sebenar tidak bertanggungjawab menyertai sebarang kes pencurian dan penjarahan. Beliau menasihati mereka, “Janganlah kamu sekali-kali memanjangkan tangan pada mana-mana harta milik institusi awam ataupun swasta, kerana itu adalah haram.”

Beliau turut menyatakan rasa bangga dan hormat terhadap tentera Mesir serta menyeru mereka untuk melindungi negara Mesir di masa mendatang tanpa campur tangan dalam hal pemerintahan. Beliau menuntut pihak tentera agar menyerahkan hal kuasa pemerintahan kepada rakyat dan pemilihan presiden dibuat sesuai dengan dasar-dasar syura dan juga demokrasi.

Sumber: al-Jazeera
Dipetik dari: http://www.facebook.com/note.php?note_id=191086070920117&id=100000233925661