30 tahun memerintah, 8 orang silih berganti menjadi perdana menteri, tetapi jawatan timbalan presiden yang biasanya akan menggantikan presiden tidak pernah diisi. Sekonyong-konyong, bila Maidan Tahrir dipenuhi jutaan manusia yang mendesak presiden supaya berundur, tiba-tiba Mubarak menamakan Omar Sulaiman sebagai penggantinya yang kini diberi jawatan timbalan presiden Mesir.
Omar, tokoh yang tidak begitu dikenali, tidak semasyhur Amru Musa dan tidak seglamour Ahmad Baradei. Tetapi rupa-rupanya tokoh ini sangat hebat di sisi Mubarak dan sangat 'mulia' kepada Amerika dan Israel.
Omar Sulaiman lahir pada 2/7/1936, seorang yang bertubuh tinggi lampai, tegap, tiada siapa menyangka dia sudah berusia 75 tahun. Hanya 8 tahun beza usia dengan bossnya, Mubarak yang lahir pada 4/5/1928.
Omar mula menerima pendidikan ketenteraan pada 1954 di Akedemi Tentera di Kaherah dan seterusnya menuruti jejak langkah idolanya, Mubarak melanjutkan latihan di Akedemi Ketenteraan Frunze, Moskow. Dia memiliki dua ijazah sarjana, satu dalam bidang sains politik dari Universiti Kaherah dan satu lagi sains ketenteraan.
Dalam tentera dia naik dari satu tangga ke satu tangga hingga memegang jawatan ketua perisikan tentera dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Agensi Perisikan Awam Mesir. Ketika memegang jawatan inilah, dia disifatkan oleh Daily Telegraph sebagai ketua perisik paling berkuasa di dunia 2009.
Omar sangat sinonim dengan Amerika dan Israel. Bagi menggambarkan kenyataan ini, Wikipedia menyebut: "Suleiman has been implicated as directly involved in the controversial CIA "rendition" program. Journalist Stephen Grey in his work, "Ghost Plane", states that after taking over as intelligence director, Suleiman oversaw an agreement with the US in 1995 that allowed for suspected militants to be secretly transferred to Egypt for questioning."
Dalam isu Palestin, presiden Mubarak memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi pengantara dalam usaha membebaskan tentera Zionis Gilad Shalit yang ditawan oleh Hamas.
Omar juga dikatakan orang yang bertanggung jawab ke atas penyiksaan tahanan khususnya kumpulan yang ditawan oleh Amerika Syarikat di Afghanistan dan kemudiannya dihantar ke Mesir.
Penyiksaan ke atas tahanan bukan lagi suatu rahsia. Sejak puluhan tahun, penjara Mesir dikenali sebagai antara penjara paling azab di dunia.
Apabila anda berjalan di kota Kaherah dan menyusuri taman-taman bunganya, anda pasti tidak menyangka, di bawah taman bunga itu terdapat penjara yang luas yang menyaksikan tahanannya disiksa saban hari.
Justeru jika Mubarak seorang pemimpin yang dilabel sebagai zalim dan jahat, maka adakah Omar seorang yang layak menggantikan penjahat ini? Adakah pencuri wajar digantikan dengan penyamun dan perompak?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan