Mungkin ada yang terkejut atau hairan dengan tajuk di atas sedangkan ketika itu aku baru berusia 10 tahun. Apa perananku selaku budak darjah 4 dalam pilihanraya itu?
Tiada lain, aku hanya penjual kuih di pintu masuk sekolahku, SK (LKTP) Jengka 16. Ia menjadi santapan istimewa bagi perayu undi di bawah terik mentari.
Aku tak peduli siapa yang bertanding, parti mana yang lawan. Yang penting bagiku kuih seraga buatan ibuku yang ku bimbit dari rumah seawal pagi perlu dihabiskan. Aku hanya menjual dua jenis kuih di pintu pagar itu. Polis tak halau. Mereka tahu, ini budak miskin nak cari duit sempena pilihanraya.
Setiap orang yang lalu lalang keluar masuk aku perhatikan. Aku perhatikan kereta mengangkut pengundi mundar mandir. Hampir kesemuanya mengusung bendera dacing biru bertulis jawi. Sesetengahnya melekatkan gambar lelaki comel yang baru setahun menjadi Perdana Menteri.
Dalam banyak-banyak kereta itu, aku lihat ada sebuah kereta mengusung bendera lain. Benderanya berwarna hijau, di tengahnya ada bentuk bulat berwarna putih. Kereta itu gayanya, tidak mengenal penat dari pagi hingga petang. Pemandunya bagaikan buta istilah letih ke hulu dan ke hilir mengangkut pengundi.
Aku amat mengenali pemandu itu. Dialah yang menghidupkan aktiviti masjid. Dialah yang sama-sama dengan para guru menyinsing lengan memasak jamuan berbuka puasa. Dia memperkenalkan kalimah usrah kepada >800 peneroka dan penerokawati Felda itu. Akhirnya ia menjadi budaya, setiap minggu usrah untuk kaum ibu diadakan di setiap blok. Setiap malam khamis usrah tafsir diadakan di masjid utk kaum bapa.
Jasa pemandu itulah juga yang mendorong ibu bapa memakaikan tudung kepala anak-anak ke sekolah. Dalam ucapannya di hadapan ibu bapa, beliau berkata, "Walaupun tiada dalam peraturan sekolah, saya mohon tuan-tuan pakaikanlah tudung kepala kepada anak-anak perempuan tuan-tuan."
Pemandu ini jugalah yg menyedarkan wanita-wanita supaya menutup aurat. Seingat aku ketika mula pindah ke Jengka (1977) tiada seorangpun isteri peneroka yg memakai tudung. Dengan hidayah Allah menerusi usaha lelaki ini, akhirnya hari ini, hampir tiada penerokawati yang tidak bertudung.
Anda tahu siapa pemandu itu? Dialah guru besar sekolahku, al marhum Cikgu Muhammad Daud.
Setelah beberapa tahun menabur bakti kepada Sekolah Kebangsaan LKTP Jengka 16 dan memberikan kesedaran Islam kepada penduduk Jengka 16, akhirnya beliau diturunkan pangkat menjadi guru biasa dan ditukarkan ke SK Felda Purun.
Beliau meninggal dunia 'dalam buangan'. Aku sempat menziarahi keluarganya di Temin selepas kematian tragis itu.
Beliau meninggal dunia setelah diturunkan pangkat. Tiada nilai Cikgu Daud pada mata 'mereka'. Tetapi beliau meninggalkan zuriat yg berjasa kepada agama. Anak sulungnya Hj Halidan menjadi orang penting dalam penubuhan Pusat Kutipan Zakat Pahang. Ustaz Zuridan yang bertugas di UMP kini seorang pendakwah tersohor di negeri ini. Suaranya sering berkumandang dalam ruangan ceramah pilihan Pahang.FM.
Yang paling penting, Cikgu Daud telah meninggalkan jasa membuka pintu kefahaman Islam kepada penduduk Jengka 16.
Balik kepada cerita pilihanraya 1982. Alhamdulillah, semua kuih yang aku bawa habis licin. Aku tak tahu orang mana yang paling banyak membeli. Rasa aku orang umnolah sebab masa tu berapa kerat sangatlah orang PAS di Jengka. Hanya guru besar, tok imam dan beberapa orang yang bergerak secara sirr.
Gembira dengan keuntungan besar perniagaan siang hari itu aku pulang dan meminta ibu menyediakan lagi juadah untuk aku jual pada malam hari berkenaan. Seperti semua maklum, hiburan adalah gula-gula dan umpan kekal dulu kini dan selamanya bagi umno dan bn. Maka malam itu aku terlibat dengan aktiviti politik umno. Aku menjual kacang kuda rebus untuk hadirin yang menyaksikan 'pentas bergerak' (sekarang dipanggil konsert).
Aku tak pasti adakah umno minta izin dengan guru besar untuk menggunakan padang sekolah bagi aktiviti hiburan itu.
Tapi malam itu agak malang bagiku. Aku hanya menjual kacang kuda yang sudah dimasak di rumah dan sudah dibungkus. Sedangkan di sebelahku ada seorang peniaga menjaulnya dengan memasak di situ. Yang dia lagi fresh. So, aku punya kacang kuda tak laku daa....
Esoknya, di dalam kelas, seorang cikguku, kalau tak silap Cikgu Sani Abdullah, seorang India Muslim membuka bual bicara berkaitan pilihanraya.
Katanya, semalam sekolah ini menjadi pusat mengundi. Tahukah kamu, apa itu mengundi? Masing-masing kamu menjawab bahawa kami tidak tahu.
Lantas cikgu Sanipun menjelaskan apa maksud politik, pilihanraya dan parti politik.
Katanya, dalam Malaysia ini banyak parti politik. Ada parti MCA yang memperjuangkan kebajikan kaum Cina. Ada parti MIC, parti bagi kaum India. Dan ada parti umno, yang memperjuangkan bangsa Melayu.
Sebaik saja beliau sebut tentang umno yang memperjuangkan bangsa Melayu, rakan-rakan sekelasku serentak berkata, "OK, kita sokong parti umno!"
Cikgu Sani meneruskan penerangannya. "Ada satu lagi parti, namanya parti PAS. Parti ini memperjuangkan Islam."
Sekali lagi kelas bergema dengan suara murid-murid yang mula beralih 'sokongan' kepada parti PAS.
Walaupun ia hanya sorakan-sorakan nakal rakan-rakanku, namun penerangan cikgu Sani sangat memberi kesan kepadaku. Itulah saat mula aku mengenali parti politik. Bagiku, perjuangan Islamlah seagong-agong perjuangan di atas muka bumi ini.
Dalam diam aku mengelamun, aku berfikir, kenapa manusia perlu berjuang menegak bangsa, sedangkan bangsa telah ditetapkan Allah sejak lahir. Bangsa tidak menentukan nasib seseorang sesudah mati. Bangsa bukan jaminan ke syurga.
Yang menguntungkan ialah agama. Apa bangsa sekalipun, jika beragama Islam ia akan beruntung. Itulah kesimpulanku di dalam kelas itu.
Bermula dari saat itu aku hanya menyokong perjuangan Islam dan aku tidak pernah memadamkan sokonganku ini. Terima kasih Cikgu Sani, biarpun aku tak tahu dia sokong parti apa. Terima kasih Cikgu Daud. Selamat Hari Guru.
1 ulasan:
Tkasih kerana menghidangkan sejarah jasa Cg Muhammad Daud, baru ku kenali almarhum dgn lebih dekat
Catat Ulasan