Khamis, Jun 16, 2011

Akan berkumandang lagikah isu 'Kafir Mengkafir'?


Tahun 80-an menyaksikan arena politik Melayu diwarnai isu 'kafir mengkafir' khususnya antara 2 gergasi politik Melayu, PAS dan umno.

Segala-galanya berpunca daripada konflik aqidah dan iman yang masih belum begitu difahami oleh sebahagian umat Islam. Bahkan amalan se'simple' bertudungpun masih terlalu baru. Pendakwah yang lantang membawa isu aurat, ditangkap di bawah akta ISA.

Justeru para ulama' memberi peringatan kepada umat Islam supaya berhati-hati sewaktu berbicara tentang politik. Umum mengetahui, PAS ketika itu lantang menuntut supaya sistem dan undang-undang Islam dilaksanakan dalam pemerintahan negara.

Manakala umno pula waktu itu sangat tidak bersetuju dengan saranan PAS. Maka berlaku pertembungan ideologi yang dahsyat.
Bagi mengikis dakwah PAS dan memastikan rakyat tidak 'terpengaruh' dengan kesahaman itu, umno berusaha sedaya upaya berhujah dan mempergunakan segala saluran yang ada.

Ketika itulah keluarnya kenyataan-kenyataan dan ucapan pemimpin umno yang memberikan gambaran yang buruk kepada undang-undang Islam termasuk antaranya apa yang dikenali sebagai Hukum Hudud.

Mereka mula mengkritik apa yang disifatkan kelemahan dalam undang-undang Hudud contohnya kesukaran untuk mendapat 4 orang saksi yang adil, ketiadaan peruntukan dalam kes rogol, penolakan kesaksian wanita, pengasingan perbicaraan antara pesalah Islam dan bukan Islam dan lain-lain.

Para ulama' mengambil tindakan pro-aktif memberikan penjelasan terhadap kekeliruan dan tasykik yang ditimbulkan. Namun ia menjadi rumit apabila kritikan itu bertukar menjadi kecaman, penghinaan dan bahan gurauan yang menjijikkan.

Terpantul keluar dari mulut pemimpin umno, "Kalau nak makan sup tangan, pergilah ke Kelantan," "Hukum Islam ni dah tak sesuai zaman sekarang dan layak diletak dalam muzium," "Kalau laksanakan Hukum Hudud, negara akan mundur, pelabur akan lari," "Kalau laksanakan hukum Islam, umat Islam akan dihina sebab kudung tangan belaka...." dan berbagai-bagai lagi ayat yang diucap dan disiarkan secara berleluasa oleh media massa.

Ayat-ayat ini tidak boleh dijawab secara ilmiah, kerana ia lebih berbentuk kecaman dan penghinaan. Justeru para ulama' mengambil reaksi yang lebih tegas dengan memberi amaran supaya jangan berkata begitu kerana dibimbangi akan merosakkan aqidah. Lebih membahayakan, ada antara ucapan-ucapan itu yang boleh membatalkan iman dan Islam pengucapnya sekali gus menyebabkannya murtad dan terkeluar dari Islam.

Bagi mengautoritikan amaran itu, para ulama' banyak menggunakan kitab Mustika Hadith yang diterbitkan oleh BHEIS Jabatan Perdana Menteri.

Namun penjelasan-penjelasan ulama' itu dianggap sebagai tindakan 'mengkafirkan' mereka. Maka merekapun membalas dengan mengatakan, "Kamulah kafir." Terdapat rakaman CD yang dibuat terhadap Ali Rustam dan beberapa pemimpin umno yang mengganggu ceramah Haji Hadi Awang di Melaka di mana salah seorang yang berucap pada malam itu berkata, "Tuan-tuan tengok ini gambar Hadi Awak berpeluk dengan Kit Siang. Siapa kafir?" Lalu orang ramai menjawab, "Hadi Awang kafir!" Penceramah itu lalu mengiakan, "Ya Hadi Awang yang kafir."

Suasana begitu teruk. Tetapi Allah yang menentukan segala-galanya. Para ulama' yang berceramah di masjid dan surau terus dengan tugas mereka menyampaikan dakwah kepada umat manusia. Mereka berkuliah tanpa bermusim seperti ahli politik.

Hasilnya, masyarakat semakin faham tentang undang Islam. Pemimpin-pemimpin bawahan umno juga sudah mula faham tentang kemulian dan kehebatan hukum Islam. Hinggakan pernah seorang perwakilan mencadangkan di dalam Perhimpunan Agong parti itu supaya kerajaan melaksanakan Hudud.

Abad melineum baru ini kita sudah jarang mendengar penghinaan seperti dahulu kerana ramai yang sudah faham.

Malangnya sejak awal 2011, media pula bertindak undur ke belakang dengan menyiarkan kembali penghinaan yang telah berkubur. Mungkinkah ini yang dikatakan operasi membangkitkan hantu kubur?

Selain tulisan, para kartunis yang berkhidmat kepada media perdana menggunakan kemahiran anugerah Allah kepada mereka untuk menghina hukum Allah. Terkini, Utusan menyiarkan kartun dua sessi, pertama menggambarkan seorang ulama' yang kejam dan tidak mahu membela wanita yang dirogol hanya kerana mempertahankan hukum Islam. Kedua gambar polis yang baik dan membela wanita berkenaan.

Penyiaran ini mendapat bantahan banyak pihak termasuk Persatuan Ulama' Malaysia. Justeru perlukah ulama' kembali melaungkan dengan pembesar suara bahawa ia perbuatan yang merosakkan aqidah?

Perlukah para mufti memfatwakan murtad terhadap kartunis biadap ini? Dan akan berulangkah isu kafir mengkafir yang pernah menggawatkan gelanggang politik negara suatu waktu dahulu!

Tiada ulasan: