Mutakhir ini perkataan al-Wasatiyyah diwarwarkan, menggantikan slogan
Islam Hadari yang ditenggelamkan entah di mana dan tidak diketahui
sampai ke mana. Jangan terjebak dengan apa yang disebut oleh ucapan
Sayyidina Ali K.W.
كلمة حق أريد بها باطل
(Kata-kata yang benar dijadikan tujuannya kebatilan)
Kebenaran yang mutlak tanpa dipertikaikan ialah kenyataan daripada Allah. Marilah kita berpegang kepadanya.
Firman Allah bermaksud:
143. Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat
Islam), umat yang wasatun, agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan)
manusia dan agar Rasul (Muhammad S.A.W) menjadi saksi atas (perbuatan)
kamu.
Dari sini bertolaknya konsep al-Wasatiyyah. Perkataan al-Wasatiyyah
(الوسطية) dalam bahasa Arab adalah daripada perkataan al-Wasat(الوسط)
yang diterjemahkan dari segi bahasa dengan makna pertengahan.
Seterusnya diistilahkan dari segi Islam dengan maksud adil, sederhana
dan terbaik.
Apabila menafsirkan al-Quran dan menghuraikan hadith daripada
perkataan al-Wasat adalah tidak tepat dengan makna zahir bahasanya
sahaja, sehingga membawa maksud pertengahan di antara baik dan buruk
secara bercampur aduk atau adil dan zalim sama-sama dilakukan, dengan
maksud boleh dikumpulkan benar dan salah, makruf dan munkar, buat baik
dan buat maksiat kerana mesej Islam yang bersumberkan al-Quran dan
ditafsirkan oleh sunnah Rasulullah S.A.W membawa mesej pelaksanaan
kebaikan yang terbaik dengan betul dan istiqamah serta meninggalkan
segala kemunkaran dan mencegahnya secara hikmah.
Ramai yang mengambil kesempatan meninggalkan syariat Allah dengan
sengaja, berselindung di sebalik menafsirkan al-Wasatiyyah dengan
hujjah, kononnya mengikut kehendak semasa, dengan cara tidak istiqamah
mengikut perintah Allah dan sunnah Rasulullah S.A.W dengan bergantung
kepada terjemahan dari segi zahir bahasanya sahaja yang bermakna
pertengahan di antara baik dan buruk, adil dan zalim, makruf dan munkar
dalam keadaan mencampur adukkan kebaikan dan keburukan atau melaksanakan
Islam secara terpilih, bukan keseluruhannya kerana mengikut langkah-langkah syaitan atau
beramal dengan sebahagian dan meninggalkan sebahagian lagi, laksana
kaum Yahudi yang dimurka Allah (al-maghdub alaihim), atau mengikut
kemahuan sendiri laksana penganut ajaran sesat (al-dallin), tanpa usaha
yang bersungguh-sungguh melaksanakan mesej umat terpilih dengan
menegakkan makruf dan menentang kemunkaran atau tidak bercita-cita
melaksanakan Islam sepenuhnya, dibuktikan dengan lebih setengah abad
berpeluang mendapat kuasa politik memegang amanah.
Sederhana bukan beramal dengan Islam tanpa kesungguhan atau tidak
melampau sehingga menyerah kalah, tanpa perhitungan sempadan nilai yang
sebenar daripada hukum Allah dan matlamat kejadian manusia dan fitrahnya
mengikut penciptanya sendiri iaitu Allah S.W.T, sehingga meninggalkan
syariat Allah yang asasi, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang
halal, meninggalkan kewajipan beramal dengan syariat Allah serta tidak
sempurna melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Munkar. Allah memberi amaran
kapada kaum Bani Israil yang dimurka sehingga hari kiamat, supaya
menjadi pengajaran kepada umat Islam. Firman Allah bermaksud:
42. Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil
dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu mengetahui.
Apabila Islam keseluruhannya adalah panduan dan petunjuk jalan serta
batas sempadan perjalanan kehidupan manusia, jika meninggalkannya atau
pelaksanaannya tidak sempurna, menyebabkan berlakunya banyak
perkara-perkara yang merosakkan kehidupan manusia dan alam
sekelilingnya, maka Islam pula yang dipersalahkan.
Perlu difahami bahawa setiap aspek ajaran Islam yang berkait dengan
akidah dengan setiap rukun dan cabangnya, syariat dalam segala
urusannya, akhlak dalam segala hubungannya dan sistem pelaksanaannya
secara menyeluruh adalah mata rantai yang tidak boleh dipisahkan atau
dikurangkan.
Zahir ayat Ummat Wasatiyyah tersebut menegaskan bahawa umat Islam
dijadikan contoh di kalangan seluruh manusia dan layak menjadi saksi
bagi pihak Rasul terhadap manusia pada hari kiamat kelak, bahawa para
Rasul telah menyampaikan petunjuk Allah yang bernama Islam dengan amanah
dan sempurna, sehingga mengharungi perjuangan bersama Rasul atau
meneruskan perjuangannya yang penuh pengorbanan harta dan jiwa raga,
bagi mengislamkan manusia dalam seluruh cara kehidupannya dari dunia dan
berwawasan hari akhirat, bukan sekadar wawasan 2020.
Mengikut kaedah ilmu tafasir, al-Quran hendaklah ditafsirkan mengikut
keutamaan. Sekiranya ada ayat-ayat al-Quran sendiri yang menafsirkan
al-Quran hendaklah didahulukan, kemudian diikuti dengan sunnah
Rasulullah S.A.W yang menafsirkan al-Quran, seterusnya diikuti dengan
tafsir para ulama sahabat yang menerima secara berdepan dan menyaksikan
tafsiran Rasulullah S.A.W secara menghayatinya, kemudian tafsir para
ulama salaf dan khalaf (generasi awal dan mutakhir) yang menafsirkan
al-Quran mengikut Ulum al- Quran (Ilmu-Ilmu alat bagi memahami
al-Quran). Begitulah caranya al-Quran ditafsirkan dengan tepat,
mengikut perintah Allah dan petunjuknya melalui Rasulullah S.A.W supaya
diamalkan dengan berdasarkan iman. Kalau tidak maka tafsirnya salah dan
berdosa besar atau menyeleweng sehingga sesat dan menyesatkan.
Kalangan ulama yang mengambil pendekatan begitu adalah mengambil contoh
golongan ahli kitab yang dimurka Allah (al-Maghdub alaihim dalam surah
al-Fatihah) atau ulama jahat. Firman Allah menunjukkan adanya kalangan
ulama seperti ini :
175. Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami
berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi al-Kitab),
kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti
oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang
yang sesat.
176. Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan
(derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan
menurut hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing
jika kamu menghalaunya dihulurkannya lidahnya dan jika kamu
membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah
perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka
ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.
177. Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan
ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim.
Para ulama tafsir menceritakan ayat-ayat ini berkait dengan ulama
yang disuap dengan kesenangan dunia sehingga sanggup memutar belit
ayat-ayat Allah.
Al-Quran tidak boleh diseleweng dan dipermainkan kerana tetap
dipelihara oleh Allah. Al-Quran itu hendaklah ditafsirkan mengikut
ilmu-ilmu yang berkait dengannya iaitu ilmu-ilmu bahasa Arab seperti
nahu, saraf, balaghah, sastera Arab kerana al-Quran itu diturunkan dalam
bahasa Arab. Ilmu asbab al-nuzul (sebab-sebab turunnya ayat), nasikh
dan mansukh dan juga ilmu riwayat dan dirayat.
Maka tafsiran Wasatiyyah yang tepat hendaklah mengikut
hakikat kerasulan dan ajaran Islam seluruhnya. Ia adalah daripada
petunjuk al- Quran supaya umat Islam menjadi umat yang adil dan pilihan
dengan beriman, beramal dan berakhlak dengan Islam, sehingga menjadi
contoh kepada umat manusia seluruhnya. Mereka juga layak menjadi saksi
atas perbuatan orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dan menentang
para Rasul, apabila semuanya menghadapi pembicaraan dalam mahkamah di
akhirat.
Hakikat umat Islam yang menjadi contoh ditengah masyarakat manusia
itu dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain bagi memenuhi ciri
Ummah Wasatan yang layak menjadi contoh kepada seluruh umat manusia dan
saksi pada hari kiamat, antaranya firman Allah bermaksud:
110. Kamu adalah umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk
manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan
beriman kepada Allah.
Firman Allah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ
بِالْقِسْطِ وَلا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلا تَعْدِلُوا
اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ
لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ (8) المائدة
8. (Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang
bangun menegakkan agama Allah kerananya (dengan ikhlas), supaya menjadi
para saksi dengan adil, dan janganlah dengan sebab kamu bermusuh
terhadap sesuatu kaum lalu kamu tidak berlaku adil Berlaku adillah,
kerana lebih hampir kepada sifat taqwa dan bertaqwalah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah itu Maha teliti pengetahuannya terhadap apa-apa yang
kamu lakukan).
Rasulullah S.A.W memulakan pembangunan insan generasi awal yang
pertama menjadi contohUmmatan Wasatan dengan menegakkan iman, amal soleh
dan akhlak yang mulia, bersumberkan ilmu daripada Allah. Apabila
ditawarkan melalui Abu Talib yang paling disegani menjadi Raja atau
Ketua dengan harta kekayaan dikumpulkan untuknya, tawaran yang mahal ini
ditolak dengan tegas, sabdanya :
يا عم والله لو وضعوا الشمس في يمينى، والقمر في يسارى على أن أترك هذا الامر حتى يظهره الله، أو
أهلك فيه ما تركته .
السيرة النبوية لابن كثير - (ج 1 / ص 474)
(Wahai bapa saudara kesayanganku, sekiranya diletakkan matahari
di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini
(menegakkan Islam) sehingga dimenangkan oleh Allah atau aku mati
kerananya nescaya aku tidak meninggalkannya).
AL-WASATIYYAH DALAM AGAMA DAN SISTEM CARA HIDUP
Kedatangan Rasulullah S.A.W membawa Islam agama Allah adalah
kesinambungan risalah para Rasul sebelumnya, setelah ajaran Rasul
terdahulu dipesong menjadi sesat. Dua agama samawi, Yahudi dan Kristian
yang terserlah sudah dipinda dan diubah oleh para pendeta dan paderi
yang bersekongkol dengan kerajaan yang zalim di zaman masing-masing,
sehingga berlaku penindasan agama terhadap masyarakat dengan mengadakan
hukum yang tidak diizin oleh Allah.
Agama yang tidak samawi pula lebih sesat, sehingga menjadikan manusia
memuja makhluk seperti batu dan binatang yang tidak berakal, serta
menyanjung para sami seperti Tuhan. Islam berada ditengah-tengah
penyelewengan agama, membawa Aqidah Tauhid mengesakan Allah dalam ibadah
dan cara hidup, menentang penyelewengan agama samawi dan tidak samawi.
Menentang agama yang menjadikan manusia seperti malaikat dan meletakkan
manusia seperti binatang dan lebih rendah daripada binatang dan makhluk
yang lain. Berdasarkan firman Allah bermaksud:
70. Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam
(manusia), Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka
rezki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan
yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.
Islam meletakkan manusia mengikut konsep Wasatiyyah, ada ruh
berhubung dengan Tuhan tidak seperti malaikat, ada jasad dan hawa nafsu
tidak seperti binatang dan boleh bergerak tidak seperti batu dan kayu.
Islam juga tidak melampau seperti Kristian yang memuja Rasul sehingga
diletakkan setaraf ketuhanan dan tidak seperti Yahudi yang menolak
Rasul dengan keras sehingga membunuhnya dan meminda ajarannya mengikut
hawa nafsu.
Maka Islam adalah wasatiyyah di kalangan agama, kerana meletakkan
manusia mengikut fitrahnya dengan tepat dan terbaik mengikut ketentuan
Allah, sekiranya manusia itu berpegang dengan Islam dan beramal
sepenuhnya dalam cara beragama, bukan dengan makna agama secara
sekularisme.
Dalam aspek politik, wujudnya pemerintahan diktatur (kuku besi) yang
memberi kuasa mutlak kepada seseorang atau kumpulan. Kemudiannya lahir
amalan teokrasi yang memberi kuasa mutlak kepada ahli agama, dan
demokrasi Barat yang dikatakan hak kepada rakyat secara mutlak. Maka
Islam berbeza dengan semua teori tersebut dengan menyerlahkan wasatiyyah
menentang diktatur dan teokrasi serta menentang penipuan terhadap
rakyat di atas nama hak rakyat tanpa mengira jahil dan terdesak,
dengan menyatakan batas sempadan ketaatan kepada pemimpin dan para
ulama dan hak rakyat dengan tidak memberi kuasa mutlak kepada sesiapa.
Meletakkan batas sempadan perkara-perkara kemampuan manusia dan di
luar kemampuan manusia. Islam menegaskan syarat iman, ilmu dan akhlak
mengikut perhitungan agama yang adanya muhasabah halal dan haram, serta
dosa dan pahala dalam amalan politik, bukan sahaja dalam perkara ibadat,
kerana Islam tidak memisahkan politik daripada agama. Menerima apa yang
baik dan bijaksana walaupun datang daripada mana tanpa mengira timur
dan barat, dan menolak yang buruk dan jahat walaupun dilahirkan di bumi
Makkah.
Dalam aspek ekonomi pula Islam menentang teori kapitalisme yang
membebaskan hak individu sehingga mengorbankan hak masyarakat dan
menentang komunisme dan sosialisme yang merampas hak individu di atas
nama keadilan terhadap masyarakat, dan semua teori tersebut berteraskan
kebendaan samada memisahkan kewajipan agama dalam ekonomi atau menafikan
adanya peranan agama dalam kehidupan manusia.
Islam mengizinkan miliki harta dan mengurusnya, tetapi wajib
menunaikan kewajipan bermasyarakat dengan zakat dan lain-lain . Firman
Allah bermaksud:
19. Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bahagian.
Islam juga memerintahkan supaya membelanjakan harta secara sederhana, tidak boros dan tidak bakhil. Firman Allah bermaksud:
29. Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu
(bakhil) dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya (boros) kerana itu
kamu menjadi tercela dan menyesal.
Dalam kehidupan berkeluarga Islam tidak seperti agama yang
mengharamkan paderi dan saminya berkahwin seperti malaikat dan ajaran
yang membebaskan pergaulan seperti binatang, kerana kedua-duanya
bertentangan dengan fitrah manusia. Maka Islam menetapkan hukum
berkeluarga bermula daripada pertunangan, sehinggalah perkahwinan,
nafkah dan perceraian.
Islam juga menetapkan ajaran yang berkait dengan adab pergaulan dalam
keluarga dan masyarakat yang luas, daripada hukum berpakaian sehingga
hukum bergaul dan bermuamalat, bagi menjaga akhlak manusia dan
keharmonian kehidupan mereka.
Bagi menjaga agama, nyawa, akal, keluarga, maruah dan harta yang
menjadi rukun kehidupan manusia maka Allah mewajibkan undang-undang
jenayah, qisas dan hudud secara nas dalam hanya beberapa perkara yang
tidak boleh dicapai oleh akal manusia yang tetap bersifat makhluk yang
lemah. Bagi perkara-perkara yang boleh dicapai dengan ilmu dan
pengalaman, maka Islam mengizinkan kebijaksanaan akal dan pengalaman
dengan panduannya.
Islam juga berkonsepkan al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa,
perdamaian adalah konsep pertama yang wajib didahulukan, dalam masa yang
sama mengakui bahawa adanya peperangan yang menjadi fitrah manusia,
kerana adanya perbezaan yang membawa pergeseran dan wujudnya manusia
yang menjadi pengikut syaitan yang wajib ditentang dengan cara
peperangan apabila diceroboh dengan zalim, tetapi diharamkan melampau
menggunakan senjata, ketika berperang dan selepasnya walaupun mencapai
kemenangan ,Firman Allah bermaksud:
190. Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi
kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah
tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.
Islam mendahulukan perdamaian. Firman Allah bermaksud:
61. Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah
kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan yang
Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.
62. Dan jika mereka bermaksud menipumu, Maka sesungguhnya
cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan
pertolonganNya dan dengan para mukmin.
Al-Wasatiyyah dalam hubungan antarabangsa bermakna wajib berlaku adil
di masa damai dan perang, tidak menyerah kalah terhadap kezaliman dan
tidak melampau apabila bertindak.
Al-Wasatiyyah mengikut al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W menjadi
ikutan adalah tetap, teguh dan istiqamah, bukan slogan politik sementara
seperti Islam hadari, bersih cekap dan amanah, kepimpinan melalui
teladan, yang pelaksanaannya tidak cukup dan tidak berpijak di bumi
nyata, tenggelam dalam gejala keruntuhan yang tidak mampu dibaiki dengan
islah kerana prinsip yang salah dan konsep yang tempang dan didatangi
masalah baru yang bertalu-talu.
Makna wasatiyyah bukan melaksanakan Islam tidak sempurna atau secara
terpilih atau campur aduk. Bukan sekadar mendirikan masjid tanpa
sempurna mendirikan sembahyang, mengadakan Bank Islam tanpa kuasa
mencegah kemunkaran riba, mengadakan musabaqah sekadar mendengar suara
tanpa menjadikan petunjuk dalam amalan dan akhlak, kehilangan harta
dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan salah urus lebih besar
daripada bantuan kepada yang berhak dan kesimpulannya menegakkan
kebaikan yang tidak sempurna membiakkan kemunkaran yang meningkat. Maka
tidak layak bersifat al- Wasatiyyah untuk menunjukkan model Islam dan
tidak layak menjadi saksi di dunia dan akhirat.
------------------------------------------------------------------------------
Penulis adalah Presiden PAS yang juga anggota Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang, Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan