Ahad, Februari 05, 2006

HINA NABI: EKONOMI DENMARK TERGUGAT

Arla Foods Rugi RM 6.84 JUTA sehari
Oleh: Ibnu Ismail

Arla Foods, syarikat gergasi Denmark yang mengeluarkan produk berasaskan susu mengumumkan kerugian satu juta pound sterling (USD 1.8 juta) atau RM 6.84 juta sehari akibat kempen boikot barangan Denmark di negara-negara Arab dan umat Islam.

Kempen berkenaan adalah sebagai respons kepada tindakan biadab Jyllands-Posten menyiarkan karikatur menghina Rasulullah SAW. Seluruh dunia digegarkan dengan demonstrasi umat Islam yang marah dengan penyiaran kartun berkenaan.

Selain berdemonstrasi, umat Islam diseru supaya memboikot barangan Denmark bagi mengajar mereka supaya pandai 'berbahasa' dengan umat Islam.

Mereka tidak boleh menerima permohonan maaf Jyllands-Posten. Daripada 77,139 responden dalam pungutan suara oleh Al Jazeerah, 88.9% mengatakan 'tidak' kepada soalan, "Adakah permohonan maaf akhbar Denmark sudah cukup untuk meredakan kemarahan dan menghentikan boikot?"

Dalam pungutan suara berikutnya, 90.7% daripada 38,920 responden menyokong kemben memboikot barangan Denmark. Hanya 9.3% menentang.

Arla Foods yang dilaporkan menandatangani perjanjian penggabungan dengan syarikat Holland's Campina pada 2004 dijangka menjadi syarikat pengeluar hasil tunusu kedua terbesar di dunia.

Arla mendakwa, barangan keluarannya telah 'diangkat' daripada rak-rak pasaraya di Arab Saudi, Qatar dan Kuwait. Keadaan yang sama dilaporkan berlaku di Mesir, Lubnan dan Yaman.Kempen boikot barangan Denmark dilihat terlalu cepat memberi kesan kepada ekonomi negara berkenaan berbanding dengan kempen boikot barangan Amerika Syarikat dan Israel yang dilancar sejak beberapa tahun lalu.

"Baru seminggu kempen dilancarkan, syarikat Arla telah kerugian 1.8 juta dolar sehari. Itu belum dikira kerugian syarikat lain lagi," kata seorang pemerhati.

Negara-negara Timur Tengah adalah pasaran utama syarikat berkenaan yang mewakili urus niaga tahunan bernilai USD 500 juta setahun. Arab Saudi mengimport 60% daripada jumlah itu.

Arla mengeksport yogout, susu tepung dan keju dengan jenama Lurpak, Dano, Vita dan sebagainya ke negara-negara Arab.

Selain produk berasaskan susu, negara-negara Arab turut memboikot barangan kesihatan dan ubat-ubatan dari negara itu. Daripada 3 bilion riyal dagangan ubat dan barangan kesihatan di Arab Saudi, Denmark menguasai 150 juta riyal (USD 40 juta).

Seruan memboikot barangan kesihatan mendapat sambutan menggalakkan daripada pengusaha-pengusaha farmasi dan kedai ubat. Mereka mula menaikkan papan tidak yang mengumumkan tidak menjual ubat buatan Denmark kecuali yang sangat diperlukan.

Wartawan Islamonline melaporkan selain pengusaha farmasi, pelanggan juga berpusu-pusu mengunjungi farmasi untuk mengetahui ubat alternatif menggantikan ubat yang biasa mereka beli dari negara Denmark.

Selain memboikot barangan Denmark, sebuah pertubuhan Islam di Britain menyeru umat Islam supaya mendesak kerajaan masing-masing supaya bertindak menyelesaikan perkara ini. Ia juga menyeru umat Islam supaya menghantar surat amaran atau email (jp@jp.dk ) kepada penerbit akhbar Jyllands-Posten.

Tiada ulasan: