Selasa, Januari 31, 2006

SELEPAS MESIR DAN PALESTIN

PARTI ISLAM JORDAN DIJANGKA MENANG
Oleh: Ibnu Ismail

Selepas kemenangan besar Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Hamas di Palestin, kini gerakan Islam di Jordan pula dilihat semakin mendapat hati di kalangan masyarakat Arab. Bahkan Parti Jabhah Amal Islami menjangkakan mereka akan memenangi pilihanraya di negara itu jika ia akan diadakan.

Pilihanraya Mesir yang diadakan penghujung tahun lalu menyaksikan Ikhwan berjaya menambah bilangan anggotanya di parlimen daripada 16 kepada 88 orang. Jumlah itu adalah lebih kurang 20% daripada keseluruhan lebih 400 kerusi parlimen.

Walaupun belum berjaya memerintah, 88 orang itu dilihat mampu memberikan saingan kepada parti pemerintah kerana kemenangan mereka berlaku setelah mereka berhadapan dengan pelbagai sekatan dan halangan daripada pihak berkuasa. Ramai rakyat yang layak mengundi tidak dibenarkan berbuat demikian.

Gambar-gambar yang disiarkan oleh pihak media menunjukkan para pengundi terpaksa memanjat tembuk dan bangunan tinggi untuk sampai ke tempat mengundi akibat dihalang oleh polis.

Tanpa sekatan ini, Ikhwan mungkin boleh memenangi lebih daripada separuh kerusi parlimen.

Di Palestin pula, gerakan Islam Hamas mengejutkan dunia dengan memenangi pilihanraya Palestin yang diadakan minggu lalu. Sekaligus menamatkan kuasa parti kebangsaan Arab, Fatah yang memerintah sejak sekian lama. Hamas yang baru berusia 19 tahun penubuhannya berjaya memikat hati pengundi dengan perjuangan Islam yang dibawanya.

Hamas yang ditubuhkan oleh As Syahid Ahmad Yasin pada Disember 1987, memenangi 74 daripada 132 kerusi berbanding Fatah yang hanya mampu mengekalkan 45 kerusi sahaja.

Kemenangan parti Islam di Mesir dan Palestin memberikan satu semangat baru kepada gerakan-gerakan Islam di negara-negara Arab.

Ketua kumpulan ahli parlimen dari Jabhah Amal Islami di parlimen Jordan, Azam Al Hunaidi berkata, parti yang mewakili gerakan Ikhwanul Muslimin itu kini sedang bersedia untuk mengambil alih pemerintahan negara bagi memenuhi permintaan majoriti rakyat.

Menurutnya kemenangan Harakatul Muqawamatil Islamiyyah (Hamas) di Palestin membuktikan bahawa bangsa Arab kini sedang berada dalam era kecenderungan kepada Islam.

Kenyataan Azam menerusi laman web partinya pada 29/1/06 lalu menyebut bahawa sekiranya pilihanraya dilaksanakan secara telus, beliau yakin kemenangan akan berpihak kepada Parti Amal Islami.

Dalam pilihanraya parlimen pada tahun 2003 lalu, Parti Jabhah Amal Islami memenangi 17 daripada 110 kerusi. Jika Ikhwan Mesir yang hanya mempunyai 16 kerusi daripada 445 kerusi di parlimen berjaya melonjak kepada 88 kerusi, maka parti Islam di Jordan yakin mereka akan dapat menguasai majoriti yang memungkinkan mereka memerintah.

Keyakinan ini adalah berasaskan kepada tindak balas rakyat terhadap amalan pemerintah yang ‘bermain’ politik kotor, berkuku besi, pendakwaan terpilih, penipuan dan pengabaian tuntutan rakyat.

Kerajaan Jordan juga dilihat tidak memberikan sokongan dan bantuan kepada umat Islam di Palestin. Bahkan turut memutuskan hubungan dengan Hamas sejak beberapa tahun lalu serta membekukan kewangan gerakan Islam Palestin itu.

Dalam pada itu juucakap Hamas, Sami Abu Zuhri meminta masyarakat Eropah dan Amerika Syarikat supaya mendesak kerajaan masing-masing supaya menghentikan tekanan ke atas Palestin dan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Beliau juga menyeru rakyat Palestin dari pelbagai latar belakang parti politik supaya memelihara perpaduan dan mengelakkan persengketaan yang hanya akan menguntungkan musuh dan menghilangkan fokus perjuangan sebenar rakyat Palestin.

Tiada ulasan: