ANTARA FATWA MUFTI MESIR
DAN KEGANASAN POLIS
Oleh: Ibnu Ismail
Sejak seminggu lalu, kerajaan Mesir dikecam hebat oleh pelbagai pertubuhan dan organisasi tempatan dan antarabangsa. Ini berikutan tindakan ganas pasukan polis Mesir yang cuba menghalau pelarian Sudan yang cuba mendapatkan perlindungan di pejabat PBB, Muhandisin, Kaherah.
Dalam tragedi yang berlaku pada awal pagi 30 Disember lalu, 25 rakyat Sudan terkorban apabila beribu-ribu polis Mesir yang lengkap bersenjata menyerbu sebuah taman di Dataran Mustafa Mahmud, Muhandisin yang dijadikan tempat perlindungan 3,000 rakyat negara jiran berkenaan sejak tiga bulan lalu.
Operasi berkenaan adalah sebahagian usaha kerajaan Mesir untuk memaksa pendatang Sudan supaya keluar daripada Mesir dan menghantar mereka ke beberapa buah negara Eropah. Islamonline melaporkan, Mesir terpaksa berhadapan dengan berbagai masalah, khususnya yang melibatkan ekonomi dengan kewujudan 4 juta pendatang dari Sudan.
Pendatang mendakwa, 400 orang cedera akibat tindakan ganas pihak polis, manakala 500 orang lagi dilaporkan berada dalam tahanan.
Dalam masa yang sama, Majlis Fatwa Mesir yang diketuai oleh mufti Dr Ali Jum'ah mengeluarkan fatwa mengharuskan pengagihan daging korban kepada pelarian sama ada mereka beragama Islam ataupun tidak. Beliau turut menyeru umat Islam supaya mengeluarkan zakat kepada pelarian yang beragama Islam.
Walaupun fatwa berkenaan tidak menyentuh secara langsung isu keganasan polis Mesir itu, namun pemerhati berpendapat ia adalah satu ‘protes beradab’ para ulama’ dan mufti negara berkenaan terhadap tindakan kerajaan.
Andaian mengaitkan fatwa dengan isu yang berlaku dikuatkan lagi dengan nas fatwa bilangan 37/2006 itu yang mengharuskan ‘penubuhan tabung waqaf untuk membantu para pelarian di negara umat Islam di sudut pendidikan, tempat tinggal, rawatan kesihatan dan perhubungan’.
Mengulas fatwa berkenaan, Mas’ud Sobri, seorang pemikir Islam terkenal berkata, negara Islam berkewajipan membantu mana-mana pelarian yang datang untuk meminta perlindungan, sama ada mereka beragama Islam ataupun bukan beragama Islam. Segala keperluan asas mereka seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal perlu disediakan oleh negara Islam berkenaan demi kemanusiaan.
Menurut Mas’ud lagi, perkara ini adalah salah satu syariat yang diajar oleh Islam dan ia boleh dilaksanakan dengan dua cara. Pertama, dengan perancangan kerajaan dan kedua bantuan daripada rakyat yang berkemampuan.
Berkaitan dengan daging korban, Mas’ud berkata adalah lebih afdhal daging itu diberikan kepada pelarian daripada rakyat sendiri kerana pelarian lebih memerlukannya. Bagaimanapun beliau menyokong fatwa yang menghadkan zakat hanya untuk yang beragama Islam sahaja kerana zakat berbeza dengan korban.
Beliau seterusnya menyeru negara-negara umat Islam supaya memperbetulkan keadaan dan memperbaiki tindakan dan layanan mereka terhadap pelarian di negara masing-masing.
“Kita tidak tahu perubahan yang bakal berlaku. Namun bala Allah boleh jadi akan diangkat dengan perhubungan baik antara bangsa-bangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan