خطبة فرتام
BERWASPADA MENGHADAPI ANCAMAN DAN UJIAN ALLAH
اوليه: حاج اريس حزلان بن حاج إسماعيل
إن الحمدَ للهِ نَحمَدُهُ وَنَستَعِينُهُ ونَستَهدِيهِ وَنَستَغفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللهِ مِن شُرُورِ أَنفُسِنَا وَمِن سَيِّئَاتِ أَعمَالِنَامَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا. نََشهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ, لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ. وَنَشْهَدُ أَنَّ محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا وَحَبِيْبِنَا وَشَفِيْعِنَا وَقُدْوَتِنَا محمدٍ أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ, وَعَلَى آَلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ. فَيَا عِبَادَ اللهِ اتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ, وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Wahai hamba-hamba Allah, BERTAQWALAH kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang Islam.
Saudaraku kaum Muslimin sekalian,
Hari ini adalah hari terakhir bagi tahun 1427H. Besok adalah 1 Muharram 1428H. Berbagai-bagai peristiwa suka dan duka telah kita lalui sepanjang setahun yang lalu. Tahun 1427 juga telah merakamkan berbagai-bagai kenangan dan peristiwa. Sejak setahun lalu, dunia digemparkan dengan beberapa peristiwa yang mencemaskan. 1427 mengejutkan dunia dengan kejadian gempa bumi di Indonesia dan Taiwan sehingga menyebabkan berbagai-bagai kemusnahan nyawa dan harta benda. Ia juga telah menyebabkan talian internet di beberapa negara terganggu. Di ambang kedatangan tahun 1428 ini pula, kita digemparkan dengan fenomena banjir besar yang melanda seluruh negeri Johor dan sebahagian negeri Melaka, Pahang dan Sabah.
Sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Apa yang tersirat dan apa rahsia sebenar di sebalik kejadian-kejadian ini, hanya Allah sahajalah yang Maha Mengetahui. Tetapi Allah mengajar kita supaya sentiasa mengambil iktibar dan pengajaran di sebalik setiap peristiwa yang berlaku. Allah berfirman di dalam سورة النازعات ayat 26:
إِنَّ فِي ذَلِكَ لَعِبْرَةً لِّمَن يَخْشَى {26}
“Sesungguhnya pada yang demikian itu ada pengajaran bagi orang-orang yang takut (kepada Allah).”
Allah juga berfirman di dalam سورة الحشر ayat 2:
فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الأَبْصَارِ {2}
“Maka ambillah iktibar dan pengajaran wahai orang yang menggunakan akal fikiran.”
Sidang Jumaat sekalian,
Walau apapun sebab musabbab yang mencetuskan bencana-bencana ini, sedarlah kita bahawa bumi dan alam ini bergerak dengan perintah daripada Allah. Awan berarak dengan perintah Allah. Api membakar dengan peraturan Allah. Angin bertiup dengan wahyu Allah. Laut bergelora dengan kehendak Allah. Bumi bergegar dengan arahan Allah.
Dr Yusuf Al Qardhawi ketika mengulas isu tsunami di dalam khutbahnya pada 8 Januari 2005 berkata, sesungguhnya setiap bala yang ditimpa ke atas manusia mengandungi 3 mesej.
Pertama: Ia adalah untuk mengangkat darjat orang-orang yang beriman... Ini kerana orang-orang yang beriman akan mengembalikan segala yang berlaku ini kepada Allah, maka bertambahlah darjat mereka di sisi Allah.
Kedua : Ia adalah ujian Allah ke atas manusia... Allah ingin menguji sejauh mana manusia sabar menghadapi dugaan dan cabaran.
Ketiga : Ia adalah hukuman Allah ke atas manusia yang kufur dan ingkar. Disebabkan tindakan mereka yang melampau dalam melanggar perintah Allah, maka Allah menghukum mereka dengan hukuman di dunia sebelum hukuman di akhirat.
Ada di kalangan manusia bertanya, “Jika ini satu hukuman Allah, mengapa ada di kalangan umat Islam dan orang-orang yang baik juga menjadi mangsa bencana ini?”
Saudaraku kaum muslimin sekalian,
Sesungguhnya apabila Allah berkehendak menurunkan bala ke atas sesebuah negeri, maka ia tidak hanya terkena ke atas orang-orang yang melakukan kemungkaran sahaja. Bahkan bala Allah diturunkan secara umum. Ia terkena kepada orang yang jahat dan orang yang baik. Firman Allah di dalam سورة الأنفال ayat 25:
وَاتَّقُواْ فِتْنَةً لاَّ تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمْ خَآصَّةً وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ {25}
“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (bahkan ia menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah sangat dahsyat balasannya.”
Diriwayatkan bahawa suatu ketika Allah berkehendak menurunkan bala ke atas satu kaum kerana kedegilan dan maksiat yang dilakukan oleh mereka. Lantas malaikat azab bersegera turun ke kampung berkenaan untuk mengazab penduduknya dengan suatu bencana. Apabila tiba di sana, malaikat azab mendapati di tengah-tengah kampong itu terdapat sebuah rumah yang didiami oleh seorang abid yang sedang khusyu’ beribadah. Malaikat berkenaan lantas mengadu kepada Allah, “Bagaimana mungkin saya mengazab penduduk kampung ini sedangkan di kalangan mereka ada seorang abid sedang beribadah?” Allah menjawab, “Mulakan azabKu terhadap orang itu dahulu kerana dia hanya sibuk beribadah dan tidak mempedulikan kemungkaran yang berlaku di sekelilingnya.”
Kisah ini dan ayat yang dibacakan sebelumnya mengajar kita bahawa, walaupun yang melakukan kemungkaran itu adalah orang lain dan kita tidak melakukannya, ada kemungkinan kita juga akan terkena tempias bala bencana yang diturunkan kerana kita tidak mempedulinya dan membiarkan sahaja kemungkaran itu berlaku. Perkara ini turut diingatkan menerusi kitab Tafsir Pimpinan Ar Rahman terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) muka surat 328, nota 267 menyatakan:
“Membiarkan perbuatan-perbuatan maksiat berkembang dalam masyarakat akan membawa bala bencana bukan sahaja kepada orang-orang yang berdosa itu, bahkan juga kepada masyarakat umumnya. Oleh itu tiap-tiap seorang bukan sahaja diwajibkan menjauhkan dirinya dari perbuatan yang dilarang oleh Allah Taala, tetapi juga berkewajipan mencegah perbuatan itu daripada merebak dalam masyarakatnya.”
Kaum Muslimin sekalian,
Pada hari ini kita manyaksikan manusia terbahagi kepada tiga golongan dalam menerima bencana-bencana yang menimpa.
Golongan pertama : Ialah manusia yang insaf dan kembali ke jalan Allah. Mereka sedar jika Allah mampu menjadikan bala bencana di muka bumi, maka Allah lebih mampu untuk mengazab manusia di dalam neraka. Golongan ini adalah golongan yang beruntung kerana mereka sentiasa insaf dan bertaubat kepada Allah.
Golongan kedua : Iaitu golongan materialis yang melihat kejadian tersebut melalui akal semata-mata. Mereka membuat kesimpulan berdasarkan apa yang dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan dirasai oleh pancaindera sahaja tanpa berpandukan wahyu Ilahi dan petunjuk Rasulullah SAW. Mereka langsung tidak mengaitkannya dengan dosa dan kejahatan yang dilakukan manusia. Bahkan mereka menganggap ia hanyalah sekadar kejadian biasa atau fenomena alam. Sedangkan mereka lupa bahawa fenomena alam itu juga adalah makhluk Allah yang bergerak dan bertindak mengikut arahan Allah.
Adapun golongan yang ketiga: Iaitu golongan yang langsung tidak mempedulikan apa yang berlaku. Mereka sibuk dengan hiburan, hidup berfoya-foya, hanya memikirkan makan, minum, tidur, bangun dan bersuka-ria sahaja. Mereka tidak mempedulikan apa yang menimpa ke atas saudara seagama mereka. Mereka menganggap, apa yang berlaku tidak ada kena mengena dengan mereka.
Tentang perkara ini, Allah SWT mengingatkan kita menerusi firman-Nya di dalam سورة الإسراء ayat 16:
وَإِذَا أَرَدْنَا أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُواْ فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا {17/16}
“Dan apabila sampai tempuh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya mentaati Allah), tiba-tiba mereka menderhaka dan melakukan maksiat dalam negeri itu. Maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lantas kami menghancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”
Saudaraku kaum Muslimin sekalian,
Marilah sama-sama kita menginsafi dan mengambil iktibar di atas semua perkara yang berlaku. Marilah sama-sama kita berwaspada terhadap ancaman dan amaran Allah. Sesungguhnya Allah Taala telahpun mengajar kita bagaimana cara untuk mengelak daripada menerima bala bencana dan azab di dunia ini.
Pertama: Tingkatkan keimanan, ketaqwaan dan amal soleh.
Patuhilah setiap hukum Allah, hindarilah segala larangan Allah. Bersembahyanglah, berpuasalah, tutuplah aurat, tuntutlah ilmu pengetahuan, imarahkanlah masjid-masjid Allah, hindarilah perbuatan mungkar, jauhkanlah diri daripada tempat-tempat maksiat dan janganlah melibatkan diri menghadiri, menaja, menganjurkan dan menyokong program-program mungkar. Sesungguhnya iman, taqwa dan amal soleh adalah senjata yang sangat kuat untuk mendapat pertolongan Allah. Ini dinyatakan oleh Allah di dalam surah سورة الأعراف ayat 96:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ
وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ {7/96}
“Dan kalaulah penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, tentulah Kami membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul Kami), lalu Kami hukum mereka dengan sebab apa yang mereka usahakan.”
Kedua: Ingatlah amaran Allah.
Untuk menyelamatkan diri daripada hukuman Allah ini hendaklah kita sentiasa berwaspada dan sentiasa ingat amaran Allah. Janganlah kita mewarisi sikap kaum terdahulu yang ingkar dan tidak mempedulikan peringatan Allah. Dengan bahasa yang mudah, ‘mereka buat tak tahu sahaja’ dengan amaran-amaran Allah bahkah langsung tidak menghormati ayat-ayat suci Al Qur’an. Sehingga ada di kalangan remaja pada hari ini sanggup mengoyak-ngoyakkan mushaf Al Quran dan membakarnya serta melakukan maksiat di atas Al Quran, seperti mana yang dilaporkan oleh pihak media.
Ingatlah amaran Allah di dalam سورة طه ayat 124:
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى {124}
“Dan barangsiapa berpaling ingkar daripada peringatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya dia akan beroleh kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.”
Ketiga: Jalankanlah tugas amar ma’ruf dan nahi mungkar.
Sesungguhnya tugas mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran ini adalah tugas semua umat Islam. Apabila tugas ini diabaikan, maka manusia akan hidup di dalam kucar kacir. Maksiat dan kemungkaran akan berleluasa dan manusia seterusnya akan terdedah kepada hukuman Allah di dunia sebelum azab di hari akhirat. Mengenai perkara ini, Rasulullah SAW mengingatkan kita menerusi sepotong hadith:
وَالَّذِي نَفْسِى بِيَدِهِ، لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوْفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ
أَوْ لَيُوْشِكَنَّ اللهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَاباً مِنْ عِنْدِهِ، ثُمَّ لَتَدْعُنَّهُ فَلاَ يَسْتَجِيْبُ لَكُمْ .
“Demi Tuhan yang diriku berada di dalam (kekuasaan) tanganNya, suruhlah manusia melakukan kebaikan dan cegahlah mereka daripada kemungkaran, (jika kamu tidak melakukan tugas ini) dibimbangi Allah akan menghantar hukuman dari sisi-Nya. Kemudian di kala itu kamu bersungguh-sungguh berdoa memohon kepada Allah, tetapi Allah sudah tidak maqbulkan lagi doa kamu.”
Kaum Muslimin sekalian,
Beberapa hari lagi kita akan menyambut kedatangan hari Raya Haji. Berjuta-juta umat Islam akan mengunjungi Baitullah dan tawaf di sekeliling kaabah yang menjadi lambang kebesaran Allah. Sesungguhnya ini mengingatkan kita kepada peristiwa tentera bergajah yang cuba menyerang dan meruntuhkan kaabah. Tentera pimpinan Abrahah yang lengkap bersenjata dan dibekalkan dengan gajah-gajah yang sangat perkasa telah dimusnahkan oleh Allah dengan hanya lontaran batu dari burung-burung Ababil. Mereka musnah sama sekali bagaikan daun di makan ulat.
Dengan kekuasaan Allah yang begitu hebat, marilah sama-sama kita insaf dan kembali kepada Allah. Jika Allah mampu menghancurkan tentera bergajah, maka Allah juga Maha Mampu untuk menghancurkan manusia yang degil di zaman ini. Justeru, bersegeralah bertaubat kepada Allah. Hindarilah sebarang bentuk kemungkaran. Didiklah isteri dan anak-anak dengan didikan Islam. Pastikan mereka menunaikan sembahyang, menutup aurat, hormat kepada orang tua, beradab di dalam muamalah seharian. Galakkan mereka menuntut ilmu agama dan mengimarahkan masjid Allah dengan ibadah dan solah. Semoga kita dilindungi Allah daripada sebarang bala bencana di dunia dan seterusnya diselamatkan daripada azab di hari akhirat kelak.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
l
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الْفِيلِ {1} أَلَمْ يَجْعَلْ كَيْدَهُمْ فِي تَضْلِيلٍ {2} وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ {3} تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ مِّن سِجِّيلٍ {4} فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍ {5}
بَارَكَ اللهُ لِي وَلَكُمْ بِالقُرْاَنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِى وَإِيَّاكُمْ بِما فيه من الآَيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهَ , إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمَ . أَقُوْلُ قَوْلِى هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ لِى وَلَكُمْ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
خطبة كدوا
إن الحمدَ للهِ نَحمَدُهُ وَنَستَعِينُهُ ونَستَهدِيهِ وَنَستَغفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللهِ مِن شُرُورِ أَنفُسِنَا وَمِن سَيِّئَاتِ أَعمَالِنَا, مَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِي وَمَن يُضْلِلْ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا محمدٍ وَعَلَى آَلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ. أَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ اللهِ, أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّاىَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى.
Muslimin dan muslimat sekalian,
Marilah pada hari Jumaat yang penuh barakah ini kita merasakan betapa besarnya nikmat iman dan Islam yang dikurniakan kepada kita oleh Allah Taala. Hanya kematian di dalam iman dan Islam sahajalah yang diredhai oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آَمَنُوا اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ, وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
“Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan beragama Islam.”
Kaum Muslimin sekalian,
Pada hari ini juga marilah kita memperbanyakkan ucapan salawat dan salam ke atas nabi Muhammad SAW yang telah menyampaikan Islam kepada kita melalui berbagai-bagai bentuk jihad dan pengorbanan. Tanda kasih kita kepada baginda hendaklah dirakamkan dalam bentuk ucapan salawat dan salam sebagai mematuhi perintah Allah di dalam Al Quran:
إِنَّ اللهَ وَمَلآَئِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلَى النَّبِىِّ يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَ آَمَنُوْا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا { الأحزاب 56}
“Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya sentiasa bersalawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
Oleh itu marilah kita mengucapkan salawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW bersama-sama dengan lafaz:
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى محمدٍ وَعَلَى آَلِ محمدٍ, كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آَلِ إِبْرَاهِيمَ. وَبَارِكْ عَلَى محمدٍ وَعَلَى آَلِ محمدٍ, كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبرَاهيمَ وَعَلَى آَلِ إِبرَاهِيمَ فِى العَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ الأَحْيَآءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوْبَنَا وَذُنُوْبَ وَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا. رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاَّ لِلَّذِيْنَ آَمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَّحِيْمٌ.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ, وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ, وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ وَالظُّلْمَ وَالظَّالِمِيْنَ. اَللَّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِى نُحُوْرِ أَعْدَآئِنَا وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ. اَللَّهُمَّ رُدَّ كَيْدَهُمْ عَلَى نُحُوْرِهِمْ. اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ, وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا الْمُجَاهِدِيْنَ وَالْمُسْتَضْعَفِيْنَ فِى فَلَسْطِيْنَ, وَفِى شِيْشَانْ, وَفِى العِرَاقِ, وَفِى كَشْمِيْر, وَفِى جَنُوْبِ تَايْلَنْد وَفِى كُلِّ مَكَانٍ وزمان. اَللَّهُمَّ قَوِّ عَزَائِمَهُمْ, وَاجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ, وَثَبِّتْ أَقْدَامَهُمْ, وَانْصُرْهُمْ عَلَى أَعْدَآئِهِمْ.
اَللَّهُمَّ آَتِ أَنْفُسَنَا تَقْوَاهَا, وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا, أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهاَ. اَللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ, وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ. اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا, وَأَئِمَّتَنَا وَوُلاَةَ أُمُوْرِنَا, وَاجْعَلْ وِلاَيَتَنَا فِى مَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ. رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ . رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا. رَبَّنَا آَتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عباد الله, إن الله يأمر بالعدل والإحسان وإيتاء ذي القربى وينهى عن الفحشاء والمنكر والبغي يعظكم لعلكم تذكرون فاذكروا الله العظيم يذكركم واشكروه على نعمه يزدكم واسألوه من فضله يعطكم ولذكرُ اللهِ أكبر والله يعلم ما تصنعون.
وقوموا إلى صلاتكم يرحمكم الله و اَللهُ أكبرُ
___________________________________________________________________________________
MANA BUKTI USTAZ MINTA BAYARAN TINGGI?
[Mohd. Said turut mengkritik guru agama atau ustaz yang menuntut bayaran tinggi untuk memberi ceramah agama sedangkan ia sepatutnya diberi secara sukarela atas nama mengembangkan agama Islam.]
["Nampaknya ustaz kita dah jadi macam Siti Nurhaliza, (yang) harus dibayar ribuan ringgit untuk mendapatkan perkhidmatan yang murni iaitu menyebarkan pengetahuan agama."]
Demikian lapor Utusan hari ini mengenai ucapan Dato' Mohd Said Yusof (BN-Jasin) di Parlimen semalam.
Mohd Said yang pernah menggemparkan negara kerana menyeludup kayu dari Indonesia dan memeras ugut pegawai kastam mempertikaikan ustaz dan penceramah agama yang kononnya meminta bayaran tinggi untuk menyampaikan ceramah agama.
Isu ini pernah ditimbulkan oleh pihak tertentu pada tahun 1993. Ketika itu mereka memfitnah Dato' Harun Din, Ishak Baharum, Ismail Kamus dan lain-lain tokoh ulamak yang hebat kononnya mereka menuntut bayaran hingga RM 3,000.00 untuk satu sessi Forum Perdana Ehal Islam (FPEI) anjuran Jakim yang disiarkan di TV1. (Untuk pengetahuan: Saya difahamkan bahawa JAKIM membayar saguhati RM 250 seorang kepada setiap ahli panel forum waktu itu).
Hakikatnya apabila tokoh-tokoh ulamak ini mencabar supaya mereka mengemukakan bukti, mereka senyap tak menjawab. Rupa-rupanya tuduhan itu hanyalah rekaan semata-mata dan bertujuan untuk meng'gam' mereka daripada Forum Perdana.
Kepada mereka yang biasa menganjurkan ceramah agama di masjid dan surau, saya ingin bertanya, pernahkah anda bertemu dengan seorang ustaz atau ulamak yang menetapkan harga bayaran tertentu untuk menyampaikan ceramah agama?
Mungkin ada. Tetapi barangkali bilangannya hanya seorang daripada lima ratus orang (1/500). Pengalaman saya, tidak pernah saya bertemu dengan ustaz yang menetapkan bayaran. Apatah lagi hendak menetapkan bayaran yang tinggi. Yang biasa kita dengar menuntut bayaran tinggi ni ialah artis dan motivator. Para ulamak kita belum jumpa lagi, walaupun sebenarnya mereka berhak mendapat bayaran tinggi.
Sepatutnya kita yang menganjur ini perlu ada kesedaran untuk memberikan saguhati yang berpatutan kepada penceramah. Mengapa program konsert artis disediakan bayaran yang lumayan sedangkan mereka datang hanya untuk menyanyi yang barangkali kalau tak kena gaya boleh mendatangkan dosa kepada penonton. Kita pergi ambil dosa dengan bayaran yang tinggi.
Para ulamak ini datang ke tempat kita, kita bagi RM20. Ada ke patut. Ulamak ini memberi panduan yang berguna untuk menyelamatkan kita dari azab Allah. Nilainya bukan RM 20, bukan RM 200, bukan RM 2000 dan bukan RM 2juta. Tetapi nilainya lebih tinggi daripada dunia dan isinya.
Maka tidak salah jika kita sediakan bayaran yang tinggi (mengikut kemampuan penganjur). Mereka sememangnya berhak menerima.
Dalam pada itupun mereka tidak meminta. Orang jemput, mereka datang. Orang bagi, mereka ambil. Orang tak bagi, mereka tak merungut..... Yang bising hanyalah orang yang macam Mohd Said, yang entah pergi dengar kuliah Maghrib atau tidak. Lepas tu buat fitnah. Fitnah kepada orang yang mulia pulak tu, bukan fitnah kepada orang jahat. Tak tahulah macam mana nak jawab dalam kubur nanti.... Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan