Isnin, November 03, 2008

DARI PENUR KE AMERIKA SYARIKAT


Minggu lalu saya berkesempatan mengunjungi Pondok An Nur, Kuala Penur, Kuantan. Ia merupakan sebuah institusi pendidikan Islam yang diasaskan oleh Ustaz Mokhtar Senik. Kali terakhir saya berkunjung ke sana ialah pada tahun 1995.

Setelah 13 tahun, saya pergi sekali lagi dan... sangat mengkagumkan. Very fantastic... Pondok An Nur bagaikan sekolah dalam taman. Pemandangan yang indah. Lanskap yang cantik dan suasana yang tenang memberikan keselesaan kepada pelajar-pelajarnya.

Bagi yang ingin melihat keindahan An Nur, sila kunjungi:
www.nuuratiq.org/v2/hijau.htm

Dalam kunjungan kali ini saya kebetulan bertemu dengan sahabat yang sudah lama tak bertemu, saudara Mohamed Hanifa Maidin. Dia juga dalam kunjungan ke rumah Ustaz Mokhtar. Oleh kerana lama tak bertemu, maka panjanglah jadinya perbualan kami. Bermula dari kes-kes mahkamah yang kami pernah handle di Seremban dahulu hinggalah ke isu ekonomi Amerika Syarikat.


Menurut Hanifa, para ustaz perlu mengambil kesempatan dalam isu kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat. Para ustaz perlu menjelaskan kepada masyarakat bahawa penolakan terhadap hukum Allah menjadi penyebab berlakunya pelbagai kegawatan, termasuklah kegawatan ekonomi.


Menurutnya lagi, ekonomi Amerika merudum dalam sebulan dua ini berikutan amalan kewangan berasaskan riba terlalu berleluasa dalam pasaran negara itu. Para ustaz perlu jelaskan betapa penyelesaian yang Allah sediakan adalah penyelesaian yang paling baik.


Untuk penjelasan lanjut, berikut adalah petikan terjemahan sebahagian tulisan Hanifa dalam laman blognya berjudul "IS CAPITALISM SENTENCED TO DEATH?"


EKONOMI AS MERUDUM KERANA RIBA'


Krisis ekonomi kali ini memang mewujudkan satu krisis keyakinan masyarakat dunia kepada sistem kapitalisme laissez-faire dan pasaran bebas ( free markets ). Sebenarnya sepertimana yang dikatakan oleh editor Newsweek, Fareed Zakaria sejarah sistem Kapitalisme penuh dengan krisis kredit, panik, kecairan sistem kewangan ,kemelesetan dan kegawatan ekonomi. Fareed juga bersetuju bahawa krisis ekonomi ini membawa makna bahawa era dominasi global Amerika kini mula berakhir.


Dari perspektif Islam , kita tidak perlu merasa hairan dengan apa yang yang berlaku ini. Sejak dari awal ramai pakar ekonomi Islam yang bertaraf antarabangsa seperti Dr. Muhammad Umer Chapra ( Penasihat Senior Ekonomi Agensi Kewangan Arab Saudi ( yang juga ahli ekonomi yang amat saya minat dan kagum ) menyatakan baik sistem ekonomi kapitalisme atau sistem ekonomi sosialisme akan menemui ajalnya.Sistem kapitalisme yang berasaskan fahaman sekularisme membawa manusia mengejar kepentingan diri yang tidak terhad yang diterjemahkan melalui sistem pasaran terbuka /kebebasan pasaran.


Sistem yang walaupun tidak menafikan kewujudan Allah tetapi menganggap kewujudanNya tidak membawa sebarang signifikan kepada kehidupan manusia.Urusan dunia termasuk urusan dunia ditadbir berasaskan anggapan tiada lagi kehidupan selepas mati dan tiada akauntabiliti di hadapan Allah. Pengasasnya Adam Smith menganggap dengan memenuhi kepentingan diri akan akhirnya membawa faedah kepada kepentingan awam. Atas dasar itulah mana-mana individu patut diberikan kebebasan yang maksimum untuk memenuhi kehendak dirinya.


Kapitalisme mewujudkan “manusia ekonomi” yang mana tujuan besar kehidupan manusia hanyalah penggunaan ( consumption ) semata-mata sekaligus mewujudkan budaya consumerism. Riba juga asas utama sistem kapitalisme. Jelas doktrin kebebasan mutlak menggunakan harta dan pendapatannya berlaku dalam krisis ekonomi Amerika ini apabila Kerajaan Republikan memberikan ruang kebebasan yang seluas-luasnya untuk rakyatnya, termasuk yang tidak mampu, untuk memiliki rumah kediaman dengan pelbagai insentif yang menarik seperti membeli rumah tanpa wang deposit, tidak perlu membayar ansuran bulanan sehingga tempoh 24 bula malahan boleh meminjam tanpa sebarang dokumentasi.


Malahan diberitakan purata setiap isi rumah di Amerika memiliki 13 kad kredit . Hutang Negara kini meningkat dari 5,75 trilion pada tahun 2000 kepada 10.2 trilion .Sistem ekonomi kapitalisme kini diakui gagal. Sosalisme juga sebelum ini telah gagal. Inilah peluang keemasan untuk dunia global mencari alternatif sistem ekonomi yang baru. Tidak seperti agama lain, Islam sudah terbukti mempunyai sistem ekonomi yang hebat dan mampu jadi alternatif yang terbaik, jika diberi peluang.Malangnya negara-negara dunia Islam gagal mengambil peluang terbaik ini. Amat malang sistem ekonomi Islam hanya diyakini hebat oleh gerakan Islam yang sehingga kini masih belum mampu menguasai kepimpinan utama negara-negara umat Islam.



Tiada ulasan: