Pendidikan tentang betapa kotornya gejala ini telah diberikan. Undang-undang semakin keras. Badan yang mencegah rasuah (BPR) dinaik taraf kepada suruhanjaya (SPRM). Berdasarkan usaha-usaha yang telah dibuat, sepatutnya gejala ini sudah dapat diminimakan. Setidak-tidaknya berkurangan dari tahun ke tahun.
Malangnya, tahun ini sekali lagi dunia menyaksikan Malaysia jatuh ke tangga 47 Indeks Persepsi Rasuah (IPR) dari 180 negara. Pada 1995, Malaysia berada di tangga ke-23. Turun ke tangga 36 pada tahun 2001, tangga ke 37 (2003), tangga ke-39 (2004). Pada 2004 Malaysia dipandang dunia berada pada tangga lebih bawah, iaitu tangga ke-44 dari 163 buah negara yang dikaji oleh Transparency International (TI) dengan mendapat 5 daripada 10 mata penuh.
Pada tahun 2008, ketika Denmark, Sweden dan New Zealand berkongsi mata tertinggi 9.3, malaysia hanya mampu berbangga dengan 5.1 mata. Jiran Malaysia, Singapura berada pada tangga ke-2 dengan meraih 9.2 mata. Paling rendah, Somalia hanya mampu meraih 1 mata, Iraq dan Myanmar 1.3 mata dan Haiti 1.4 mata.
Tahun ini, TI menerusi webnya, http://www.transparency.org.my/ mengumumkan keputusan pemerhatian gejala rasuah yang lebih teruk bagi Malaysia iaitu jatuh ke tangga 47 dari 180 buah negara. Beberapa negara yang dikira sangat teruk pengurusannya telah berjaya memintas Malaysia, seperti Bhutan (45), Botswana (36) dan Israel (33).
Bukan niat penulis hendak menghina negara sendiri. Tetapi penulis merasa terpanggil untuk bersuara memperbetulkan keadaan. Sampai bila rakyat Malaysia harus dipersendakan oleh warga negara lain terhadap angka-angka yang dipaparkan ini.
Terlalu kerap kita mendengar para kontraktor berkata, "Kalau tak hulur, tak dapat le kita." Sering juga kedengaran suara, "Kalau berniaga lurus sangat, bila nak kayanya..."
Bukankah Islam yang menjadi anutan majoriti rakyat negara ini adalah agama yang paling jelas mengharamkan dan memerangi rasuah. Bukankah Allah menyebut secara jelas di dalam Al Quran (Al Baqarah 188):
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah (batil), dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada penguasa kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)."
Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda: لعن الله الراشى والمرتشى فى الحكم (Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah).
Penulis berpandangan, rasuah tidak akan dapat di atasi hanya dengan ditukar nama BPR-SPRM dan dikeraskan hukuman serta dijadikan satu subjek kursus Induksi sahaja. Tetapi pencegahannya perlulah dibuat dengan ruh Islam. Pendidikannya perlu diterapkan dengan konsep keimanan kepada Allah dan keyakinan kepada dosa-pahala.
Di samping itu slogan Kepimpinan Melalui Teladan yang pernah dipopularkan suatu waktu dahulu perlu dihayati bersama. Semoga tidak ada lagi pegawai rendah yang berkata, "Saya ambil RM50 je. Orang atas ambil lagi banyak, RM50,000."