Jumaat, September 18, 2009

SALAH PENGHAYATAN TAKBIR RAYA

Biasanya bila tiba hari raya, umat Islam akan bertakbir. Takbir pula biasanya dialunkan di 3 tempat; masjid, radio dan TV. Jarang dengar (atau mungkin langsung tak kedengaran) orang bertakbir tengah jalan, di pasar raya, stesen bas dan sebagainya. Kalau ada yang melaungkan takbir raya di stesen bas, mungkin orang itu akan digelar orang yang 'tak cukup seposen.' Tapi itulah sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat.

Seterusnya, dalam mengalunkan takbir raya, masing-masing cuba memperelokkan dan memerdukan suara dan bermain dengan lengguk suara masing-masing. Ia bagi mempersonakan pendengar. Memang syok dengar takbir raya kalau yang bertakbir itu orang yang pandai berlagu. Bukan sekadar syok, kadang-kadang naik sayu hingga menitiskan air mata. Lalu tergambarlah di hadapan mata wajah ibu ayah, tok nenek dan sedara mara yang telah meninggal dunia. Bertambah sebak jika di hadapan terdapat hidangan lemak dan rendang...

"Issyk... isyyk... kesian atuk, dah mati dia, tak sempat makan lemang tahun ni." Inilah petikan sebahagian skrip drama takbir raya.

Jika diperhatikan konsep takbir serta makna yang terkandung di dalam bait-bait lafaz yang dilagukan itu, takbir bukanlah lagu sedih yang perlu kita sebak mengingati orang-orang yang telah mati. Sekurang-kurangnya, ada 3 perkara utama dalam takbir raya:

1. Takbir adalah slogan semangat. Membesarkan Allah. Mentauhidkan Allah. Mengajar manusia bahawa hanya Allah sahaja yang berkuasa atas tiap sesuatu.
2. Ia adalah ikrar bahawa kita tidak akan sembah selain Allah. Ikrar untuk ikhlas dalam agama. Ikrar untuk istiqamah atas perjuangan Islam walaupun dibenci oleh orang kafir yang memusuhi.

3. Ia juga slogan jihad. Ia pernyataan benarnya janji Allah untuk menolong hamba-hambanya yang berjuang. Memberikan kekuatan dan kemenangan kepada tentera Islam.
Justeru, wajarkah takbir itu didayu-dayukan seperti yang biasa kita buat. Saya tidak katakan ianya satu bid'ah yang perlu dihapuskan. Saya hanya ingin membuka minda supaya memikirkan dan menghayati pengertian lafaz takbir yang sudah puluhan tahun kita amalkan. Moga kita tidak tersalah faham kepada lafaz takbir.

Tiada ulasan: