Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Al-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Al-Qadar itu? Malam Al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Surah Al Qadar ayat 1-5)
SABABUN NUZUL
(Sebab Turun Ayat)
1. Ibnu Abi Hatim dan Al Wahidi meriwayatkan daripada Mujahid bahawa Rasulullah SAW menceritakan kisah seorang lelaki dari kalangan Bani Israel menyandang senjata selama 1000 bulan. Maka para sahabat merasa kagum terhadapnya. Lantas Allah menurunkan ayat-ayat ini.
2. Ibnu Jarir pula meriwayatkan dari Mujahid, katanya, “Dahulu, di kalangan Bani Israel ada seorang lelaki yang beribadat sepanjang malam hingga ke subuh. Kemudiannya berjihad pada jalan Allah pada waktu siang hingga petang. Itulah pekerjaannya selama seribu tahun. Maka Allah menurunkan ayat “Malam Al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan.”
KANDUNGAN SURAH
1. Menjelaskan bahawa Al Quran mula diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Al-Qadar, iaitu digua Hira’. Ayat yang mula-mula diturunkan ialah ayat 1-5 surah Al ‘Alaq (العلق). Kemudian ia diturunkan sedikit demi sedikit berdasarkan situasi dan sebab-sebab tertentu. Penurunan Al Quran keseluruhannya mengambil masa selama lebih kurang 23 tahun.
2. Menjelaskan tentang kelebihan beramal pada malam Al-Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan.
BILA LAILATUL QADAR?
1. Para ulama’ berselisih pendapat tentang tarikh berlakunya Lailatul Qadar. Kesimpulannya Lailatul Qadar berlaku pada salah satu malam dalam bulan Ramadhan, terutamanya di antara 10 akhir Ramadhan (antara malam 21- 30).
2. Kelebihan dan keistimewaan anugerah Allah pada malam berkenaan bermula dari waktu Maghrib hinggalah terbit fajar keesokannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan