Isnin, November 16, 2009

APABILA IMAM DISINGKIR...

Tulisan ini saya rangka beberapa hari lalu (12 Nov 09). Namun oleh kerana network connection tak berapa clear, maka tak boleh nak publish hari tu...

Awal pagi tadi saya membelek-belek akhbar Utusan. Mata saya terhenti pada tajuk berkaitan seorang imam Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya disingkir kerana benarkan khutbah tanpa tauliah.

Masjid Darul Ehsan adalah salah sebuah masjid yang aktif dengan aktiviti keagamaan sejak bertahun-tahun lamanya. Kuliah Maghribnya disampaikan oleh penceramah ternama yang bertaraf profesor, doktor dan sebagainya. Saya (yang bukan professor ini) turut dijemput menyampaikan kuliah bulanan di masjid berkenaan sejak tahun 2003, iaitu ketika masjid diurus oleh Ustaz Khairul Azmi selaku pengurus dan Imam Besar (kini telah bertukar ke JAIS).

Saya segera menghubungi imam besar masjid berkenaan, Ustaz Shukri Awang Kecil. Saya kenal beliau ketika sama-sama menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir. Saya ingin tahu siapa imam yang disingkirkan itu dan kenapa disingkir. Besar sangatkah kesalahannya. Panggilan saya pada jam 7.40 pagi tadi tidak dijawab oleh Imam Shukri. Saya hubungi seorang lagi pegawai masjid, muazzin Daud.

Pegawai berkenaan memberitahu, yang disingkirkan itu ialah Imam Shukri sendiri, selaku pengurus masjid berkenaan. Beliau ditamatkan kontrak kerana membenarkan Ustaz Nik Razi Nik Mat berkhutbah di situ.

Seingat saya, Ustaz Nik Razi ini sudah lama mengajar di masjid berkenaan. Sebelum saya memulakan kuliah 6 tahun lalu, Ustaz Nik Razi sudahpun bertapak di situ. Pengerusi dan pengurus serta imam masjid sudah ramai yang bertukar, namun Ustaz Nik Razi masih berkuliah di situ. Beliau sanggup berulang-alik dari Kota Bharu ke Subang Jaya demi untuk menghidupkan majlis ilmu yang sudah bertahun-tahun diadakan di situ.

"Biasa tak ada apa. Tapi baru ni ada orang report, tu yang kecoh sikit tu," kata Daud.Jam 9.04 pagi, imam Shukri menghantar mesej, "Ada apa ustaz?" Saya jawab dan menceritakan apa yang saya baca menerusi akhbar. Beliau seterusnya memberitahu, bahawa beliau diberi notis 24 jam pada 5 Nov lalu kerana membenarkan Ustaz Nik Razi mengajar dan berkhutbah pada 30 Oktober lalu.

Saya agak tersentuh hati apabila Imam Shukri berkata, "Tak apa, ana dah bersedia dengan hal-hal yang macam ni. Doakan ana agar dimurahkan rezeki dan operasi masjid tak terganggu... Dah la diri sendiri tak aktif, takkan nak halang orang lain dan kawan-kawan nak menyampaikan kebenaran..."

Fikir2kan...

Tiada ulasan: