Selasa, Mac 29, 2011

FITNAH: Antara Maksud Al Quran dan Kefahaman Melayu

Sekali lagi isu fitnah berbangkit. Ia gara-gara insan majhul merakam dan mempublish kepada umum adegan hubungan seks di sebuah hotel.

Dikatakan pelakunya mirip seorang pemimpin pembangkang. Biarpun tidak disebut nama, namun semua mata menjeling ke arah Saudara Anwar, disebabkan bebepara faktor yang penulis tidak berminat untuk mengulas di lembaran ini.

Di satu pihak, Presiden dan Timbalan Presiden Umno segera memberi respons agar tidak mengaitkan parti itu dengan pendedahan video berkenaan. Bahkan menurut Najib seperti dipetik Buletin Awani, yang penting bukan soal konspirasi, tapi yang perlu disiasat ialah isi video berkenaan. Jika ia benar, maka itu satu kemungkaran yang besar.

Manakala di sebelah pihak lagi, menafikan Anwar sebagai 'aktor' dalam rakaman berkenaan. Ianya adalah fitnah dan konspirasi politik yang bertujuan mematikan karea politik Anwar.

Geram dengan ketibaan isu berkenaan, beberapa himpunan dan ceramah diadakan. Biarpun terpaksa berhadapan dengan halangan dan gangguan dari pihak polis, namun mereka tekad meneruskan himpunan. Alasan polis bahawa himpunan itu tidak ada permit tidak boleh diterima. Bagi mereka soal ada permit atau tidak itu adalah dari pihak polis sendiri. Jika mahu, mereka boleh keluarkan permit. Jika tidak, mereka tidak keluarkan permit.

Persetankan gangguan polis, kata mereka. Pemfitnah mesti dikutuk dan diingatkan laknat daripada Allah. Pihak berkuasa agama digesa bertindak menghentikan perbuatan qazaf. Hukum Islam dicungkil. Masing-masing menyebut soal institusi saksi (syahadah) yang sangat dititik beratkan dalam perundangan Islam.

Di masjid, surau, markaz tarbiah dan pentas-pentas ilmu ramai ustaz dan para khatib menjadikan topik kejahatan fitnah sebagai maudhu' kuliah, ceramah dan khutbah mereka. Surah An Nur diulang baca. Dihurai konsep kesaksian dalam Islam. Yang tidak pernah ke sekolah agama dan pondok juga bakal faham hukum qazaf. Dijelas betapa Allah tidak mahu manusia dihukum wewenang atas muka dunia dengan dakwaan mudah angkara si pemfitnah.

Namun sesekali para daie terlajak istidlal dengan dalil yang tiada kena mengena dengan tajuk yang dibincang. Ibarat berceramah di hadapan penagih dadah, oleh kerana tiada ayat Quran yang menyebut secara soreh tentang hukum dadah, lalu dibaca surah Al Humazah kerana di dalamnya diulang dua kali suku kata 'dadah'. Sedangkan ia bukan bermaksud dadah di dalam Bahasa Melayu.

Dalam kes fitnah, ramai ustaz dan para khatib membaca ayat 191 dan 217 surah Al Baqarah sebagai dalil haramnya 'memfitnah'. Kononnya dosa memfitnah orang adalah lebih besar dari membunuh. Ia diterjemah dengan rakus sedemikian rupa hanya kerana di dalam ayat berkenaan ada kalimah 'fitnah'.

Sebenarnya terjemahan berkenaan jauh dari maksud sebenar ayat berkenaan. Kalimah 'al-fitnah' itu bukan bermaksud 'memfitnah'. Bahkan penggunaannya dalam Bahasa Arab juga tidak memberi makna menuduh rang tanpa bukti.

Dari segi bahasa ia bermaksud ujian yang besar. Manakala dalam ayat-ayat yang dinyatakan di atas, ia membawa maksud syirik dan kufur. Dengan kata lain, perbuatan syirik dan amalan kufur itu adalah lebih besar dan lebih dahsyat di sisi Allah dari membunuh dalam bulan haram.

Di dalam Al Quran, sekurang-kurangnya terdapata 22 kali diulang kalimah 'fitnah' dalam format nakirah, 8 kali disebut secara ma'rifah (al-fitnah) dan 30 kali disebut dengan kata terbitan yang lain.

Kalimah-kalimah fitnah di dalam al Quran membawa 11 maksud. Dari 11 maksud berkenaan, tidak ada satupun yang memberi makna 'menuduh orang tanpa bukti' yang difahami dalam Bahasa Melayu.

Makna-makna berkenaan ialah:

1. Bermaksud SYIRIK. Antara ayatnya ialah: Surah Al Baqarah 193, 217.
2. Bermaksud KUFR. Antara ayatnya ialah: Surah Ali 'Imran 7, Surah at Taubah 48,49, Surah an-Nur 63, al Hadid 14.
3. Bermaksud AZAB. Antara ayatnya ialah: Surah al Ankabut 10, anNahl 110.
4. Bermaksud BALA. Antara ayatnya ialah: Surah al Ankabut 1-3, Surah Taha 40, Surah ad Dukhan 17.
5. Bermaksud BAKAR DGN API. Antara ayatnya ialah: Surah al Buruj 10, Surah az-Zariyat 13,14.
6. Bermaksud BUNUH. Antara ayatnya ialah: Surah an-Nisa' 101, Surah Yunus 83.
7. Bermaksud MENGHALANG@ SOD. Antara ayatnya ialah: Surah al Maidah 49, Surah al Isra' 73.
8. Bermaksud SESAT. Antara ayatnya ialah: As Saffat 162, Surah al Maidah 41.
9. Bermaksud PERMOHONAN MAAF@ Ma'zirah. . Antara ayatnya ialah: Surah al An'am 23.
10. Bermaksud DIKUASAI PIHAK LAIN. Antara ayatnya ialah: Surah Yunus 85, Surah al Mumtahanah 5.
11. Bermaksud GILA@ Junun. Antara ayatnya ialah: Surah Al Qalam 5-6.

Adapun kalimah yg mungkin menangdung makna 'tuduh tanpa bukti' yang para asatizah boleh rujuk kalimah:

1. AR-RAMYU @ qazaf (khususnya dlm bab menuduh zina/liwat),
2. IFTIRA' (biasanya digunakan trhdp dakwaan palsu tentang Tuhan).
3. BUHTAN (tuduhan besar/rekaan rambang)...



Sabtu, Mac 26, 2011

HUKUM BERJUAL BELI HARI JUMAAT

FATWA MUFTI BRUNEI

Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Sembahyang fardhu Jumaat diwajibkan (fardhu ‘ain) ke atas setiap lelaki Islam yang merdeka, baliqh, berakal, bermuqim dan tidak ada keuzuran. Sembahyang fardhu Jumaat itu adalah sembahyang yang paling afdhal dan harinya pula adalah hari yang paling afdhal.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari yang paling agung di sisi Allah iaitu hari yang paling agung di sisi Allah daripada Hari Raya Adha dan Hari Raya Fitrah.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Hadits ini jelas menyatakan bahawa hari Jumaat itu adalah penghulu segala hari dan ia lebih agung di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala berbanding dengan dua Hari Raya. Oleh itu, perbesarkanlah hari Jumaat itu dengan memperbanyakkan bacaan al-Qur’an, selawat, doa dan zikir.

Di Negara Brunei Darussalam hari Jumaat merupakan hari kelepasan awam di kebanyakan sekolah, universiti, institusi dan jabatan-jabatan kerajaan. Setentunya pada hari tersebut ibu bapa tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama keluarga bagi mengisi waktu lapang dengan bermacam-macam aktiviti. Ada sebahagiannya melancong ke negara jiran, mengunjungi sanak saudara, berehat di rumah dan ada juga sebahagiannya pergi membeli belah.

Aktiviti-aktiviti tersebut tidaklah bertentangan dengan hukum syara‘ akan tetapi ada beberapa perkara yang perlu diketahui khususnya pada hari Jumaat, antaranya ialah berjual beli ketika sembahyang fardhu Jumaat.

Hukum Berjual Beli Pada Hari Jumaat

Berjual beli pada hari Jumaat mempunyai hukumnya tersendiri. Sungguhpun asal hukum berjual beli itu harus di dalam Islam, namun hukumnya berbeza pada hari Jumaat.

Sebagaimana yang pernah terjadi bahawa sebahagian jemaah sembahyang fardhu Jumaat meninggalkan Rasulullah Shallallahu ‘alalihi wasallam yang sedang berkhutbah kerana mereka pergi ke tempat kafilah yang datang membawa barang dagangan. Maka
dengan itu turunlah ayat yang melarang perbuatan sedemikian.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barangbarang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) suatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah).

Katakanlah (wahai Muhammad: “Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.”(Surah al-Jumu‘ah: 11)

Oleh itu, berjual beli ketika sembahyang fardhu Jumaat adalah dilarang. Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan supaya bersegera untuk pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat dan meninggalkan jual beli dan kerja-kerja yang lain. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat) dan
tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah: 9)

Jelasnya, hukum berjual beli pada hari Jumaat itu boleh dibahagikan kepada berikut:

(1) Selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat sehingga selesai sembahyang fardhu Jumaat

Haram ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat dan khatib
duduk di atas mimbar.

Maksud haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat itu adalah bagi mereka yang belum berada di Masjid. Adapun mereka yang sudah berada di Masjid dan melakukan jual beli di dalamnya adalah makruh.

(2) Selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang fardhu Jumaat

Makruh ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua
sembahyang fardhu Jumaat. Ini kerana waktu itu sudah masuk waktu wajib dan perbuatannya leka dengan urusan jual beli itu seumpama perbuatan melengah-lengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.

(3) Sebelum tergelincir matahari

Harus ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli sebelum tergelincir matahari.

(4) Selepas sembahyang fardhu Jumaat

Harus ke atas orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat leka dengan urusan jual beli setelah selesai mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.

Perkara Yang Melekakan Selain Berjual Beli

Hukum haram dan makruh itu tidak hanya terbatas pada jual beli sahaja malahan termasuk juga perkara-perkara lain yang melekakannya dari bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat.

Orang Yang Dikecualikan Daripada Larangan Berjual Beli

Hukum haram berjual beli selepas azan kedua sembahyang fardhu Jumaat atau hukum makruh berjual beli selepas tergelincir matahari sehingga sebelum azan kedua sembahyang fardhu Jumaat itu ialah ke atas orang yang diwajibkan sembahyang fardhu
Jumaat.

Perempuan, kanak-kanak yang belum baligh atau lelaki dewasa yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat seperti dalam pelayaran atau ada keuzuran, terkecuali daripada hukum haram atau makruh tersebut.

Demikian juga dikecualikan daripada hukum tersebut, orang yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat yang terpaksa berjual beli ketika waktu-waktu larangan tersebut kerana dharurat seperti membeli kain kafan si mati yang ditakuti berubah apabila dilambatkan atau membeli air kerana untuk bersuci atau membeli pakaian untuk menutup aurat atau seumpamanya.

Haram Berjual Beli Bersama Orang Yang Diwajibkan Sembahyang Fardhu Jumaat

Walaupun orang yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat harus berjual beli pada waktu-waktu yang dilarang, namun jika dia berjual beli bersama orang yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat, maka kedua-dua mereka berdosa. Ini kerana dia telah bersubahat pada melakukan yang haram.

Adakah Sah Jual Beli?

Akad Jual beli yang dilakukan pada waktu-waktu yang dilarang pada hari Jumaat itu adalah sah. Ini kerana larangan itu tidak ada kaitannya dengan kesahihan akad akan tetapi disebabkan kelekaannya berurusan jual beli dan perbuatan melengahkan untuk bersegera pergi mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat. Ini sama keadaannya seperti sah sembahyang orang yang mengerjakannya dalam rumah yang dirampas.

Sebagai kesimpulannya, orang yang diwajibkan mengerjakan sembahyang fardhu Jumaat hendaklah bersegera pergi ke masjid dan janganlah melengah-lengahkannya seperti melakukan jual beli terutama apabila azan kedua sembahyang fardhu Jumaat.

Sungguhpun jual beli itu sah namun perbuatan sedemikian adalah dilarang, malah mereka yang tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat pun berdosa apabila dia bermuamalat bersama mereka yang diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat.

(http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2010/bill25-2010.pdf)

Khamis, Mac 10, 2011

ANTARA MAT KULIM DAN MAT KAMAL


Dosa Kamal Ataturk Yang Dilupakan Oleh Mat Kulim...

Terkejut juga aku tengok gambar Mat Kulim di Turkey baru-baru ni. Dia mengiringi seorang pemimpin tertinggi Malaysia menziarahi dan mengalungkan bunga di pusara Kamal Ataturk.

Lalu aku tertanya-tanya benarkah insan dalam gambar itu Mat Kulim. Mat Kulim yang aku kenali sebelum ini. Mat kulim yang begitu lantang berceramah denganku di Nilai dan di Seremban beberapa belas tahun lalu. Mat Kulim yang berjaya meremangkan bulu roma pendengar dengan isu-isu murtad yang dilemparkan menerusi ceramahnya. Mat Kulim yang menggemparkan negara dengan memimpin demonstrasi anti murtad di Masjid Jamek KL apabila meletup isu murtadnya anak gadis Melayu.

Mat Kulim yang tidak ketinggalan berceramah di pentas politik menghentam Dr.M dengan menggelarnya, 'Mamak Gamang,' satu gelaran bersifat perkauman yang sangat aku tak setuju. Mat Kulim yang suatu waktu dahulu begitu lantang mahukan undang-undang Islam dan sistem pemerintahan Islam.

Hari ini Mat Kulim menajiskan perjuangannya dengan mengiringi orang yg jahil tentang perjuangan Islam menziarahi kubur orang yang menentang Islam, menentang undang-undang Islam, bahkan meruntuhkan Khilafah Islam yang diasaskan oleh Rasulullah SAW. Mat Kulim menyaksikan kubur pengasas fahaman sekular di negara umat Islam dikalungkan bunga dengan penuh penghormatan rasmi.

Mat Kulim sudah lupa kepada perjuangannya. Mat Kulim lupa siapa Kamal. Kamallah yang didoktrin oleh negara Barat untuk meruntuhkamn khilafah Islamiyyah terakhir di Turkey (1924) dan mendirikan negara sekular pertama dalam dunia Islam.

Mustafa Kamal Ataturk (1881-1938) sebenarnya bukan berbangsa Turkey. Bapanya Albania dan ibunya Mekadonia. Setelah diberi taraf yang tinggi di dalam tentera kerajaan Islam Othmaniyyah, dia kkemudiannya berpaling dan menghasut rakyat supaya meruntuhkan pemerintahan Islam ini.

1924, episod malang dalam sejarah umat Islam. Runtuh, lenyap dan tiada lagi pemerintahan dan sistem politik berlandaskan Islam. Othmaniyyah tumbang. Ataturk berdiri gagah di atas runtuhan Islam, melaungkan slogan sekularisme.

Dia menyerang Islam secara terbuka dan terang-terangan. Dia berucap di bandar Belikesir, "Agama harus dipisahkan dengan urusan harian dan perlu dihapuskan untuk kemajuan."

Ingatkah Mat Kulim, perkara pertama yang dibuat oleh Ataturk sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan Turkey ialah menukar agama rasmi dari agama Islam kepada agama sekular! Menghapuskan undang-undang Islam dan diganti dengan undang-undang sivil yang berkiblatkan Barat. Mat Kulim mesti faham perkara ini, kerana aku dengar dia lama belajar undang-undang di New Zealand.


Ataturk gubal undang-undang perkahwinan berdaftar berdasarkan undang-undang barat. Undang-undang Faraidh dihapuskan.

Dia tukar Masjid Ayasophia kepada muzium, ada sesetengah masjid dijadikan gereja. Tidak kurang juga yang ditutup terus serta melarang dari didirikan sembahyang berjemaah.

Kementerian Wakaf yang menguruskan hal ehwal Islam dihapuskan. Maka terbiarlah anak-anak yatim dan fakir miskin.

Ataturk turut menghapuskan syiar yang berunsurkan Islam dan Arab. Antaranya menghapus penggunaan kalendar Islam dan menukarkan huruf Arab kepada huruf Latin. Menggalakkan wanita memakai pakaian yang mendedahkan kaki mereka. Tudung kepala hanya dibenarkan jika mereka memakai skirt.

Lelaki dibenarkan memakai seluar panjang dengan syarat pakai tali leher dan topi untuk disesuaikan dengan budaya barat.

Ataturk menggalakkan wanita dan lelaki menari di khalayak ramai, satu amalan yang tidak dibenarkan ketika Othmaniyyah berkuasa. Dia sendiri pernah menari dengan seorang wanita di sebuah parti umum yang pertama di Ankara.

Al Quran dicetak menggunakan tulisan latin. Dia tukar azan ke dalam bahasa Turki. Bahasa Turki sendiri diubah dengan membuang unsur-unsur Arab dan Parsi.

Lupakah Mat Kulim kata-kata Ataturk yang masyhur, “Negara tidak akan maju kalau rakyatnya tidak cenderung kepada pakaian moden.” Mat Kulim mungkin lupa auat ini lantas dia masuk ke pusara Ataturk dengan memakai kopiah.

Ataturk juga menghidupkan budaya minum arak secara terbuka.

Dia menjemput arkitek-arkitek dari luar negara kononnya untuk memodenkan Turki. Tetai hakikatnya mereka diarah mengukir patung-patung dan tugu-tugunya diseluruh bandar Turki.

Paling berat, Ataturk pernah mengaku dirinya tuhan sama seperti Firaun. Dikatakan, seorang askarnya ditanya “Siapa tuhan dan di mana Tuhan tinggal?” Oleh kerana takut, askar tersebut menjawab, "Kamal Ataturk adalah tuhan!” Ataturk tersenyum bangga dengan jawapan itu.

Lupakah semua ini wahai Mat Kulim? Kembalilah ke pangkal jalan.

Ahad, Mac 06, 2011

WARGA FELDA DAPAT DURIAN RUNTUH?

PRK Kerdau dah habis. Peneroka Felda Jengka 22, 23 dan 25 dijanjikan wang sehingga RM13,000 dari peruntukan tanam semula. Maka masing-masing gembira. Media menganggap peneroka dapat durian runtuh. Setengah parti politik menyifatkan ia sebagai bukti kemurahan Perdana Menteri yang sentiasa peka dengan kehendak rakyat.

Tetapi sedarkah mereka:

1. Sumber wang itu adalah potongan dari hasil peneroka yang dibuat sejak 20-30 tahun lalu.

2. Kenapa hanya beri kepada peneroka Jengka 22, 23 dan 25 sahaja? Rancangan Felda yang lain.

3. Mahkamah telah pun mengisytiharkan Felda bersalah tidak menyerahkan wang berkenaan kepada peneroka (rujuk kes peneroka felda Sg Koyan vs Felda). Justeru kenapa tunggu PRK baru nak beri.

4. Kenapa ia dijadikan hutang yang perlu dibayar kembali antara RM400-650 sebulan.

Untuk lebih memahami, cuba baca keterangan yg dikeluarkan oleh ANAK:




ISU WANG TANAM SEMULA

Sejak tahun 1970, Felda telah menubuhkan satu Tabung Tanam Semula yang dikutip setiap bulan daripada peneroka dengan kadar RM3.34 seekar(sehingga tahun 1984) dan RM4.00 seekar mulai Januari 1985 bagi membiayai kerja-kerja penanaman semula kelapa sawit di kebun peneroka.

Meskipun untuk tempoh 20 tahun caruman tersebut, peneroka hanya memperolehi sekitar RM9,600 sahaja, Felda telah mengisytiharkan bahawa setiap peneroka mendapat RM17,000 yang semestinya diserahkan kepada peneroka. Ianya sangat wajar jika mengambil kira wang tersebut dilaburkan dalam tempoh yang sama; tentulah jumlahnya jauh lebih banyak. Mungkin sekitar RM30,000.

Pada tahun 2002, Lembaga Minyak Sawit Malaysia(MPOB) telah memperkenalkan insentif Tanam Semula Kelapa Sawit sebanyak RM1000 bagi setiap hektar. Dalam tempoh tiga tahun semasa tempoh tanam semula dan mengeluarkan hasil, insentif tersebut dibayar 3 pusingan dengan anggaran 10 ekar, peneroka memperolehi tidak kurang RM12,000. Malangnya insentif ini tidak dimasukkan dalam penyata pendapatan peneroka, sebaliknya disalur terus kepada Felda. Walhal MPOB memberi insentif ini berdasarkan potongan ses yang diambil pada setiap tan sawit yang dihantar ke kilang.

Apa yang ingin didedahkan ialah dengan caruman RM17,000 dicampur RM12,000; tabungan tanam semula milik peneroka tidak kurang daripada RM29,000!

Suatu jumlah yang mencukupi untuk kerja tanam semula bagi tempoh 3 tahun sebelum menuai hasil. Inilah yang dilakukan peneroka yang buat tanam semula secara persendirian.

Sangat memeranjatkan, hutang Tanam Semula Felda Pengeli Timur, Johor dari tahun 2005 hingga 31 Dis 2009 adalah RM62,740.32 setiap seorang peneroka.

Ini belum lagi didedahkan Bantuan Tanam Semula Getah melalui Risda yang peneroka tidak dimaklumkan apa-apa walhal setiap kg getah; SES juga dikenakan.

Dalam suasana kemarahan peneroka yang menanam secara persendirian dinafikan caruman RM17,000; tau-tau Felda buat potongan Tanam Semula kali ke 2 dengan kadar kira-kira RM120.00 sebulan setiap peneroka. Tiga kali ganda daripada yang asal!

Alasannya caruman RM40.00 yang dicarum ketika ini oleh peneroka tidak mencukupi.
Buat potongan tanpa makluman peneroka; bila dibantah, baru dikeluarkan borang. Bila bantahan memuncak di sana sini, baru nak ajak berbincang.

Sebenarnya berapa yang Felda mahu daripada kos tanam semula? RM100,000?

Sampai bila peneroka nak bebas daripada belenggu hutang?

SAMPAI BILA FELDA NAK JADI PENYAMUN WANG PENEROKA?

(http://ngo-anak.blogspot.com/2010/08/isu-wang-tanam-semulasiri-1.html)

Khamis, Mac 03, 2011

Rahsia tarikh lahir: Ajaran Tok Nujum Moden

“Zaman dah berubah, Dunia dah maju”. Teringat satu slogan yang diiklankan di televisyen pada suatu ketika dahulu memperkenalkan perubahan saiz satu surat khabar popular di Malaysia.

“Maklumat di Hujung Jari Anda”. Satu lagi slogan yang disebarkan bagi menggambarkan peredaran zaman kepada satu tahap yang lebih canggih.

Walaupun sekadar slogan pendek, namun semua itu cukup untuk menerangkan perihal dunia yang serba canggih pada hari ini. Maklumat terkini diperolehi tidak lagi perlu mengambil masa yang lama, yang perlu ada hanya satu komputer disambungkan ke capaian internet, tekan sahaja, terus dapat apa yang diingini.



Oleh hal yang demikian, jika dilihat melalui sudut agama, semua ini pasti memberikan satu cabaran dan ancaman yang terkini lagi canggih kepada Islam dan penganutnya sendiri. Sebagai contoh; jika dahulu sesuatu yang mengancam aqidah umat Islam boleh ditafsirkan dan diceritakan dengan mudah ciri-cirinya, namun sekarang perkara ini tidak lagi semudah yang disangka. Hasil kemunculan pelbagai ilmu pengetahuan yang baru melalui penyelidikan terkini, timbul pelbagai bentuk baru yang mengancam aqidah umat Islam, antaranya yang akan dibahaskan di sini ialah AHLI NUJUM MODEN.

Apakah AHLI NUJUM MODEN itu? Ia adalah aplikasi-aplikasi yang banyak mengutarakan berkenaan ramalan-ramalan yang sepatutnya di luar ilmu kita, kerana Yang Maha Mengetahui Hal Ghaib, hanyalah Allah SWT.

FirmanNYA (Surah Al-Hasyr, 22):‫‬

هُوَ اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ

Dialah Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, Yang Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dia-lah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Pelbagai aplikasi diwujudkan di dalam laman sosial (terutama; Facebook) yang bersembunyi di sebalik istilah, menggunakan istilah yang dirasakan lebih selamat, namun ciri-cirinya adalah sama dan yang pasti ramai akan membantah hal ini, namun yang benar tetap benar.

Semoga pembaca dapat menilai terlebih dahulu hujjah dan perbandingan yang akan dibentangkan sebelum membuat keputusan sama ada menerima atau menolak artikel perbincangan ini. Antara yang paling popular di Facebook ialah; Rahsia Bulan Kelahiran, menyesuaikan pasangan (jodoh) melalui nama, menilik rahsia tahi lalat (sama seolah-olah menilik tapak tngan) dan macam-macam lagi yang tidak mampu disenaraikan semua di sini.

Penekanan di sini adalah berkenaan Rahsia Bulan Kelahiran kerana ramai dari kalangan sahabat terlibat secara langsung mempromosikan penggunaan aplikasi ini secara meluas. Mungkin akan ada yang mengatakan “Apa salahnya aplikasi tersebut, sedangkan ciri-ciri yang disebut adalah berdasarkan kajian orang yang bergelar Dato’ Dr., siapakah anda untuk mempertikaikannya!”

Betul, penulis tidaklah sehebat yang membuat kajian berkenaan ciri-ciri tersebut, tetapi segala-galanya melalui rujukan dan penyelidikan secara ilmiah serta perbincangan di sini juga berbentuk ilmiah, bukan untuk menjatuhkan mana-mana individu, atau jauh sekali untuk memperlekehkannya. Percambahan ilmu adalah melalui perbincangan secara ilmiah dengan sudut-sudut yang berbeza-beza.

Sebelum berbicara lebih terperinci, satu persoalan ditimbulkan “Adakah Rahsia Kelahiran Mengikut Zodiak diterima?”

Mengikut rujukan kepada Kamus Dewan (Edisi Ke-4), Zodiak mempunyai dua makna, iaitu;

Pertama: “Garisan melengkung khayalan di langit yg terbahagi kpd 12 bahagian, dan tiap-tiap satunya dinamakan mengikut nama gugusan bintang dua belas, mintakulburuj”.

Kedua: “Gambar rajah mintakulburuj yang digunakan dalam ILMU NUJUM”.

Oleh itu, jelas Zodiak adalah bersalahan dengan syari’at Islam kerana melibatkan ilmu nujum yang mana ditakrifkan sebagai menta’bir sesuatu yang belum terjadi berdasarkan bintang-bintang sebagaimana dilakukan oleh masyarakat Arab jahiliyyah, akhirnya diharamkan oleh Islam. Dalil-dalil pengharamannya akan dibentangkan di bawah.

Apakah kaitan Zodiak dengan Rahsia Bulan Kelahiran?

Kaitannya sangat jelas, jika ada yang pernah membandingkannya, namun akibat dikaburi dengan perkataan ilmu psikologi, maka kita tidak pernah cuba untuk membandingkan kedua-dua ilmu tersebut. Hanya mengambil langkah berlapang dada, tambahan pula kebanyakan yang disenaraikan mempunyai persamaan hampir 99% dengan diri kita.

Berikut adalah bukti jelas persamaan yang ada di antara Ilmu Nujum Zodiak dan Rahsia Bulan Kelahiran (Kajian Kekerapan):

RAMALAN AHLI NUJUM ZODIAK
(UNTUK MEREKA YANG LAHIR PADA BULAN JULAI):

sukakan rumah tangga, keluarga, kesihatan, makanan, ada rasa simpati, memberi perlindungan, agak sensitif, punya kesabaran, kejujuran, dan kepintaran.

RAMALAN MELALUI KAJIAN PSIKOLOGI
(UNTUK YANG LAHIR PADA BULAN JULAI):

terlalu mengambil berat, emosi sangat mendalam tapi mudah terluka hatinya, berjiwa sentimental, tinggi daya simpati, pemerhatian yang tajam, suka menilai orang lain dengan pemerhatian, mudah dan rajin belajar, jarang berdendam, mudah memaafkan tapi sukar melupakan, mudah dipujuk dan bercakap lurus.


Apakah pandangan kita? Ada persamaan?

Mungkin didapati ciri-ciri psikologi lebih kemas tersusun dengan ayat-ayat yang lebih menarik; alasannya mudah, kerana telah melalui satu proses kajian ilmiah dan dengan kata lain proses tambah baik dari yg lama (iaitu dari ciri-ciri yang ditampilkan oleh Zodiak pada asalnya).

Untuk lebih difahami, sesiapa sahaja yang pernah terlibat dalam proses penyelidikan pasti akan mempelajari satu subjek dipanggil “Kaedah Penyelidikan/Research Methodology” yang mana akan menerangkan beberapa kaedah bagi memperoleh keputusan penyelidikan yang tepat dan kemas, antara kaedah terpenting sebelum memulakan sesuatu kajian adalah Kajian Literal (Literature Review). Dalam kaedah ini, seseorang penyelidik mesti merujuk satu kajian yang telah dijalankan sebelumnya atau apa sahaja sumber yang boleh dikaitkan dengan kajian terbarunya itu. Penyelidik tersebut akan mengolah tajuk kajian lama atau sumber tersebut untuk menghasilkan satu keputusan yang terbaik bagi tajuk terbarunya.

Oleh itu, sebagai satu perkara normal jika dianggap penyelidik Rahsia Bulan Kelahiran ini melakukan Kajian Literal terlebih dahulu dengan merujuk sumber lama seperti; Ramalan Zodiak, dan seterusnya men”eksprimen” pemerhatian tersebut bagi menghasilkan satu keputusan yang lebih baik, tersusun dan kemas jika dibandingkan dengan keputusan yang lama. Wallahu'alam..


Kita boleh perhatikan sendiri hasil keputusan kedua-duanya dan kalau dirasakan mempunyai persamaan, tanya iman kita, hendak diteruskan dengan hal ini atau perlu ditinggalkan.

Sesuatu yang berkaitan dengan alam semula jadi adalah tanda kekuasaan Allah semata-mata, kita digalakkan memerhatikannya untuk menambahkan keimanan, tetapi adalah salah jika mengaitkan sesuatu kejadian alam dengan kejadian Qadha dan Qadar. Ini jelas diceritakan dalam satu Hadis Nabi SAW yang mana orang ramai mula berkata-kata sesuatu apabila anak Nabi SAW yang bernama Ibrahim (daripada isteri Baginda, Mariah Al-Qibtiyyah) meninggal dunia dan dalam pada masa yang sama, telah berlaku gerhana. Mereka berkata bahawa gerhana tersebut terjadi bersempena kematian Ibrahim. Nabi SAW yang mendengar hal tersebut, lantas bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ فَصَلُّوا وَادْعُوا اللهَ.‪‬

“Sesungguhnya Matahari dan Bulan, kedua-duanya adalah daripada tanda-tanda Allah (kekuasaan dan kewujudanNYA), tidak berlaku gerhana untuk kedua-duanya kerana kematiaan atau kehidupan sesiapa pun, jika kamu semua mendapatinya (dalam gerhana) maka solatlah (sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah.”

(Hadis Sahih Riwayat Al-Bukhari 1043, Muslim 2078, Ahmad 18362 dan lain-lain)

Malah disebut dalam hadis lain berkenaan satu sikap Jahiliyyah yang diharamkan selepas kedatangan Islam, iaitu التطير‪‬‪‬ (memikirkan sesuatu yang negatif akan berlaku disebabkan sesuatu perkara terjadi), perkara ini juga terjadi dalam masyarakat kita, seperti “biawak melintas jalan” dikatakan akan berlaku kecelakaan jika diteruskan perjalanan, “gelas pecah” dikatakan ada sesuatu buruk akan berlaku.

الطِّيَرَةُ شِرْكٌ، وَمَا مِنَّا إِلاَّ، وَلَكِنِ اللَّهُ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ

‪‬‪‬“At-Tiyaratu (berfikiran negatif kepada sesuatu yang terjadi, dan mempercayai akan berlaku kejadian buruk dari kejadian tersebut) adalah syirik (dari segi perbuatannya), dan tiadalah daripada kami kecuali (pernah terlintas di fikiran hal ini), akan tetapi Allah menghapuskannya dengan tawakkal”

(Riwayat Al-Bukhari, Sahih Adab Al-Mufrad 407, Ahmad 3687, Abu Dawud 3910)

Jelas berdasarkan dua hadis ini, kejadian Alam Semula Jadi, mahupun kejadian di sekeliling kita, adalah tiada kaitan sama sekali dengan hal akan datang, bahkan mempercayainya (secara negatif) adalah sesuatu yang boleh merosakkan keimanan kita.

Bagi menguatkan lagi apa yang telah diterangakn di atas, di sini disenaraikan dalil-dalil yang mengharamkan mempercayai, atau terlibat dengan hal yang berkaitan ilmu kenujuman (asal perkataan nujum adalah bahasa arab kata jamak yang bermaksud “bintang”) atau dengan istilah modennya aplikasi ramalan ini.

Nabi SAW bersabda (daripada sebahagian isteri-isteri Nabi SAW):

مَنْ أتَى عَرَّافًا فَسَالَهُ عَنْ شَيْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاةُ أرْبَعِينَ لَيْلَةٍ
“Sesiapa yang mendatangi nujum (tukang tilik) dan bertanya kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam.”

(Hadis Sahih Riwayat Muslim No. Hadis: 4137)

Nabi SAW bersabda lagi (daripada Abu Hurairah R.A):

مَن أَتَى عَرَّافًا أَوْ كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أَنْزَلَ عَلى مُحَمَّد

‪‬‪‬“Sesiapa‫‬‫‬ yg mendatangi tukang tilik/ahli nujum dan mempercayainya, maka sesungguhnya dia‫‬‫‬ telah mengingkari apa yang telah diturunkan kpd‫‬‫‬ Muhammad”

(Sahih At-Targhib wa At-Tarhib, No Hadis 3047, Sahih Al-Jami’, No Hadis 5939)

Kedua-dua dalil ini jelas menunjukkan, hanya sekadar mendatangi dan bertanya sahaja, dosanya begitu besar iaitu tidak diterima solat selama 40 malam (hadis riwayat Muslim), dan jika mempercayainya pula, dosanya lebih besar.

Justeru, amat disarankan kepada semua, tinggalkanlah segala aplikasi yang melibatkan ramalan atau apa-apa sama erti dengannya, kerana dibimbangi itu juga adalah salah satu senjata musuh Islam dalam menggoyahkan aqidah penganutnya, supaya lebih mudah dipengaruhi, bukankah Nabi SAW pernah bersabda:

‫‬‫‬(( لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ

حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِى جُحْرِ ضَبٍّ لاَتَّبَعْتُمُوهُمْ ))

قُلْنَا: (يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى). قَالَ: (( فَمَنْ )).

“Kamu semua akan mengikut (secara melampaui batas) jalan-jalan orang-orang sebelum kamu dari sejengkal ke sejengkal, dari sehasta ke sehasta, sehingga kalau mereka masuk ke lubang dhob sekalipun, nescaya kamu akan mengikuti mereka”.

Kami semua berkata: Ya Rasulallah, Yahudi dan Nasrani?!.

Nabi SAW bersabda: “(Habis) siapa lagi?!”

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari, No Hadis 3269, dan Muslim, No Hadis 6952)

Sedar atau tidak (walaupun ada yang mengatakan hanya niat untuk main-main), semua ini secara langsung melibatkan akidah dan mempunyai unsur-unsur syirik! Dosa-dosa lain, Allah boleh ampunkan, namun DOSA SYIRIK tidak sama sekali. Adakah masih sanggup bermain permainan yang melibatkan dosa besar dan neraka?!

Firman Allah (Surah An-Nisa’, 48):

إِنَّ اللّهَ لا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاءُ وَمَن يُشْرِكْ بِاللهِ

فَقَدِ افْتَرَى إِثْماً عَظِيماً‫‬

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.

HARGA SEKELUMIT TAUHID DAN AQIDAH LEBIH MAHAL DAN BERGUNA DARI SEBESAR ZARAH DOSA SYIRIK !!


(Petikan dari: http://www.kiemiftah.com/2011/02/zaman-dah-berubah-bahaya-ahli-nujum.html)

Rabu, Mac 02, 2011

HUKUM HISAP SYISYA ATAU HOGAH

Ramai bertanya tentang hukum syisya atau hoqah. Jawapan saya mudah, jika rokokpun sudah difatwakan haram oleh para ulama', maka syisya adalah lebih haram kerana mudharatnya lebih besar.

Dalilnya jelas, لا ضرر ولا ضرار. Maka setiap yang memudharatkan adalah haram. Membazir juga haram.


Jika ada yang mengatakan, "Kita kena meraikan khilaf," maka saya akan menjawab seperti jawapan Dr Yusuf Al Qardhawi, "Dahulu, ulama berkhilaf pandangan tentang hukum rokok kerana tiada kajian terperinci mengenai mudharatnya. Jika ulama' dahulu bertemu kajian saintifik tentang mudharatnya rokok, saya percaya semua mereka akan mengatakan rokok adalah haram."


Bagaimanapun, saya tertarik dengan sebuah artikal yang saya temui dalam sebuah blog berkenaan dengan kemudharatan syisya dan hukumnya. Berikut kita kongsikan bersama:

_____________________________________________________________


Syisya; satu kajian

Gabungan pena:

Amli bin Asenar

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah

Nik Abdullah Afif bin Nik Mohamed

Kuliah Perubatan Universiti Ain Shams

Mohd Nurul Hisyam Mohamed

Kuliah al-Quran Tanta Universiti al-Azhar

Etymology (asal-usul perkataan)

Syisya (juga dikenali dengan pelbagai nama yang lain) adalah sejenis alat yang digunakan untuk mengeluarkan asap (smoking) menggunakan penuras air dan haba tak langsung. Ia boleh digunakan bagi menghisap berbagai bahan seperti herba buah, tembakau, dan ganja.

Syisya turut dikenali dengan nama yang berbagai seperti paip panjang, nargeela, nargile, narghile, nargileh, argeela, arghileh, shisha, sheesha, okka, kalyan, atau ghelyoon, ghelyan. Bergantung kepada perbezaan geografi. Nama-nama ini berasal dari perkataan Arab, India, Turki, Uzbekistan, dan juga Parsi. Narghile (نارجيله) berasal dari perkataan Parsi ‘nargil’ bermakna kelapa dan dalam bahasa sanskrit; paip yang asal, datang dari India dan diperbuat daripada kulit kelapa.

Manakala syisya ( شيشة )pula berasal dari perkataan Parsi (maknanya gelas, bukan botol). Hashish(( حشيش pula adalah perkataan arab yang membawa makna ‘rumput’, yang diistilahkan sebagai satu panggilan kepada tembakau.

Terdapat sumber lain menyatakan, dalam teks awal Arab, perkataan ‘hashish’ tidak hanya merujuk kepada cannabis resin (damar ganja) tetapi juga bermakna daun kering atau bunga dan manisan yang dicampur dengannya.

Hookah (Arab = حقة, Urdu = حقه ) pula pada dasarnya adalah perkataan Arab yang bererti kotak kecil, pasu ataupun jag. Perkataan narghile banyak digunakan di Turki, Lubnan, Syria, Iraq, Jordan, Greece, Cyprus, Albania, Palestine, Israel dan Romania. Namun kita akan dapati huruf pertama ‘n’ dalam perkataan narghile selalunya tidak dibunyikan di negara-negara Arab. Seterusnya syisya pula lebih diguna pakai di Egypt, Morocco, Tunisia, Arab Saudi dan Somalia. Di Iran ia dikenali sebagai ghalyoun atau qalyan ( قليان ) dan di Pakistan juga India ia dipanggil ‘huqqa’. Walaubagaimanapun, perkataan hookah lebih banyak digunakan dalam Bahasa Inggeris memandangkan India sebagai negara asal aktiviti ini mempunyai ramai penduduk yang boleh berbahasa Inggeris.

Bentuk dan Fungsi

Terdapat empat komponen syisya yang asas :

1) Ruang asap : separuh ruangnya diisi dangan air.

2) Mangkuk atau kepala : mengandungi tembakau, alat yang digunakan untuk memanas, diletak di bahagian atas.

3) Paip dasar : menghubungkan mangkuk ke dasar

4) Paip : menghubungkan mangkuk ke dasar

Bahagian-bahagian asas ini tidak mempunyai fungsi yang bervariasi, namun mungkin terdapat perbezaan dari segi bentuk, seperti alat pemanas yang digunakan untuk membakar. Bahan yang selalu digunakan adalah arang, tetapi di Arab Saudi dan negara Teluk Parsi, pemanas elektrik adalah lebih popular.

Apabila seseorang menyedut udara dari tiub, satu tekanan berbeza akan memaksa udara dalam ruang asap arang, memanaskan tembakau, dan menghasilkan asap. Asap itu kemudiannya ditarik ke bawah dari tembakau, menyebabkan proses pembuihan dalam air (seperti menggelegak) dan keluar ke permukaan udara dalam ruang asap. Seterusnya ditarik melalui paip penyedut dan masuk ke tubuh penyedut. Tembakau yang digunakan (dikenali juga dengan tobamel atau ma’asal) diperbuat daripada siatan tembakau dan dicampur dengan pemanis seperti madu dan halwa atau buah separuh kering.

Pada asalnya tembakau yang dicampur dengan bahan pemanis tadi adalah untuk membentuk jurak; sejenis lembapan tembakau yang tidak berasa. Perasa tembakau buah yang popular pada hari ini bermula pada akhir 1980, apabila syarikat tembakau Mesir mencubanya sebagai satu cara untuk menjual produk mereka kepada golongan wanita. Pembuatan kontemporari pula telah mula menggunakan gliserin (sejenis cecair likat dan manis yang digunakan dalam perubatan) sebagai bahan utama pemanis memandangkan faktor kualiti pelembap dan pemanis, menjadikan tembakau mempunyai perisa yang pelbagai.

Pada hari ini tembakau syisya boleh didapati dalam perisa buah, ekstrat bahan neutral, dan perasa-perasa yang dibenarkan. Antara perisa tersebut: epal, strawberi, ros, mangga, cappucino, vanilla, kelapa, cherry, anggur, pisang, kiwi, blueberry, kopi arab, campuran buah-buahan, tembikai, oren, dan banyak lagi.

Keluasan Aktiviti

Aktiviti menghisap syisya pada hari ini boleh didapati tidak hanya di negara-negara Arab dan Timur Tengah, bahkan ia telah pun sampai ke Eropah, Asia, dan negara Afrika. Di Amerika terdapat ‘bar’ yang khusus menyediakan khidmat syisya ini. Kebanyakannya adalah berdekatan dengan kampus dan kolej-kolej pengajian. Aktiviti ini begitu popular di kalangan pelajar kolej muslim yang mencari alternatif lain untuk tidak minum arak. Di Sepanyol, aktiviti ini menjadi semakin popular. Syisya dan hookah ini boleh didapati di kedai-kedai kopi yang diusahakan oleh imigran muslim. Di Moscow dan bandar-bandar di Russia, khidmat ini tedapat di bar-bar yang menyediakan bahagian khas untuknya.

Jarang sekali dapat ditemui khidmat ini di restoren India di Britain. Ia banyak diusahakan oleh restoran Lubnan dan bar Mesir di sana.

Manakala di Jerman pula, aktiviti ini secara khususnya di Berlin, boleh didapati di kawasan-kawasan yang populasi penduduknya berasal dari Turki. Selain itu, Pakistan dan Afghanistan, dua negara Asia ini juga tidak terlepas dari terkena bahang hookah dan syisya. Di sini kita boleh lihat anak-anak muda boleh menghisap syisya secara meluas. Malaysia juga telah memperlihatkan peningkatan dalam penggunaan syisya dan kafe-kafe yang menyediakan perkhidmatan paip syisya.*

Dari sudut kesihatan

Apakah kandungannya?

  1. Tembakau
  2. Sirap pekat dari buah-buahan
  3. Arang

Adakah sama dengan rokok? Jika tidak, apa bezanya?

Kandungan asas bagi rokok dan sheesha adalah sama – tembakau. Perbezaan rokok dan sheesha ialah pada cara penyediaan(rawatan). Tembakau yg digunakan untuk rokok diasapkan terlebih dahulu sementara tembakau yang digunakan untuk sheesha diperam.

Apakah ia memberi kesan negatif kepada tubuh?

Soalan ini sudah diketahui umum jawapannya. Sesetengah jenis tembakau mempunyai kandungan nitrat serendah 0.9%(Neurath & Ehmke, 1964; Wynder & Hoffmann, 1967). Asap yang dihasilkan dari pembakaran menghasilkan nitrogen oksida yang bertindakbalas dengan arang dan lain-lain kandungan menghasilkan aromatic amines. Perokok menyedut aromatic amines seperti contoh N-nitrosodimethylamine, N-nitrosodiethyl-amine antara carcinogens (bahan yang menyebabkan kanser) dalam kuantiti yang banyak. Ini dapat menerangkan mengapa perokok (rokok, sheesha dll) mempunya risiko yang lebih tinggi untuk mendapat barah. Selain dari barah, perokok juga berisiko tinggi untuk mendapat penyakit-penyakit seperti sakit jantung, asthma,darah tinggi, katarak,sakit paru-paru, penyakit gusi dan 1001 penyakit lagi. Bagi lelaki, merokok dapat menjurus kearah kemandulan dan kegagalan alat kelamin untuk berfungsi.
 
Apakah simptomnya?
Secara ringkas perokok akan mengalami sesak nafas, mudah letih, berdebar-debar dan banyak lagi.
 
 
Adakah ia memberi kesan kepada psikofisiologi
Nikotin adalah sejenis perangsang sistem saraf yang digunakan secara meluas, kedua paling banyak digunakan selepas caffeine- kandungan dalam kopi. Dan kedua paling banyak disalahgunakan selepas alkohol.
 
Adakah kandungan syisya digunakan dalah perubatan?
 
Kandungan aktif tembakau- nikotin tidak digunakan di dalam perubatan kecuali dalam terapi bagi perokok untuk berhenti merokok.
 
Sesuaikah ia menjadi alternatif rokok?
Tidak. Cara terbaik untuk menggantikan rokok ialah tidak merokok.

Kesan negatif terhadap tubuh

Sebagaimana yang telah diterangkan, tembakau mengandungi nikotin. Nikotin ialah sejenis bahan yang boleh menyebabkan ketagihan (seperti heroin dan kokain). Ini dapat dibuktikan dengan 3 bukti kukuh:

· bila ia diambil dalam amaun yang sedikit, ia memberi rasa yang menyenangkan dan menyebabkan perokok mahu merokok lagi

· lama kelamaan perokok akan menjadi ketagihan dan bergantung kepada nikotin dan mengalami simptom (withdrawal symptom) seperti resah apabila tidak dapat merokok, sakit kepala, susah tidur

· disebabkan nikotin adalah sejenis dadah kepada sistem saraf, ia akan menjejaskan mood perokok

Dalam dos yang besar, nikotin adalah racun yang membunuh seseorang dengan menghentikan otot pernafasan. Bezanya, perokok biasanya mengambil nikotin dalam amaun yang sedikit dan tubuh masih mampu menyahkan nikotin dari tubuh.

Nikotin membuatkan seseorang yang baru mula merokok atau perokok yang merokok terlalu banyak menjadi loya dan pening. Degupan jantung bagi perokok yang muda akan meningkat sebanyak 2-3 degupan per minit. Nikotin juga menjadikan kulit menjadi sejuk dan mengurangkan pengaliran darah ke kaki. Ia juga dapat meningkatkan risiko sakit jantung dan strok. Nikotin ialah sejenis dadah yang menjadikan salur darah mengecut. Kebanyakan pakar bedah tidak mahu membedah pesakit yang mempunyai masalah pada salur darah periferi kecuali mereka berhenti merokok.

Pembakaran tembakau juga menghasilkan gas beracun seperti nitrogen oksida dan karbon monoksida.

Bagaimana kesan sheesha atau rokok kepada paru-paru?

Kerosakan paru-paru adalah antara perkara yang mula-mula terjadi kepada perokok, dan kesemua paru-paru perokok berfungsi dengan kurang baik berbanding orang yang tidak merokok. Merokok dapat menyebabkan beberapa penyakit paru-paru sebagai penambahan kepada kanser paru-paru. Radang paru-paru kronik– satu penyakit di mana salur udara menghasilkan mucus (kahak) yang berlebihan, menyebabkan perokok batuk lebih kerap – perkara yang biasa terjadi kepada perokok.

Merokok, tidak kira sheesha atau rokok biasa adalah sebab utama sejenis penyakit yang dinamakan emphysema – sejenis penyakit yang secara perlahan-lahan memusnahkan kebolehan seseorang untuk bernafas. Oksigen perlu melalui permukaan dalam paru-paru yang luas. Secara normal, terdapat beribu-ribu ‘pundi’ atau ‘kantung’ dalam paru-paru seseorang. Dalam pesakit yang menghidapi emphysema, ‘kantung’ ini akan bersatu – menjadikan kantung itu semakin besar, tetapi mungurangkan bilangan ‘kantung’ yang ada. Lama kelamaan luas permukaan dalam paru-paru menjadi semakin kecil dan menyebabkan seseorang itu tercungap-cungap semasa bernafas.

Simpton awal emphysema ialah sukar bernafas (terutamanya bila berbaring), batuk ringan yang kronik, cepat berasa letih, dan turun berat badan bagi sesetengah orang. Seseorang yang menghidap emphysema mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat pelbagai komplikasi, kesan dari paru-paru yang gagal berfungsi dengan baik. Sebagai contoh – Pneumonia. Lama kelamaan, pesakit yang mendapat emphysema perlu bernafas menggunakan tiub yang dipasang pada hidung. Proses ini tidak dapat diubati kembali kepada normal, tetapi dapat diperlahankan dengan berhenti merokok. Berhentilah merokok dari sekarang.

Bagi mereka yang menghisap sheesha dirumah, merokok dapat memberi kesan kepada isteri dan anak-anak mereka. Isteri dan anak-anak yang tidak merokok secara terus dikenali sebagai perokok pasif. Kesan asap sheesha atau rokok ini amat berbahaya kepada wanita terutamanya wanita mengandung. Kesan asap rokok terhadap wanita mengandung dapat menyebabkan keguguran, lahir tidak cukup bulan, bayi tidak cukup berat dan sindrom kematian bayi mengejut (sudden infant death syndrome).

Bila wanita mengandung terdedah kepada asap rokok, bahaya ini bukan sahaja kepada si ibu, bahkan memberi kesan kepada bayi. Nikotin dan karbon monoksida masuk ke dalam darah si ibu, memberi kesan secara terus kepada bayi, menghalang bayi dari mendapat zat dan oksigen yang mencukupi yang diperlukan dalam proses pembesaran.

Susu badan ibu adalah pilihan terbaik untuk bayi. Namun bagi wanita yang menyusukan bayi, yang terdedah kepada asap rokok, susu badan yang dihasilkan oleh mereka turut mengandungi racun. Nikotin dalam susu badan ibu boleh menyebabkan pelbagai simptom kepada bayi seperti gelisah, degupan jantung yang laju, muntah, atau cirit birit.

Sheesha dapat memberi kesan jangkamasa pendek dan jangkamasa panjang. Antara kesan jangkamasa panjang, merokok adalah punca utama bagi penyakit-pemyakit seperti: Jantung, aneurysms, emphysema, radang paru-paru, strok, menjadikan asthma dan pneumonia lebih teruk. Kesan jangkamasa pendek pula ialah kegagalan paru-paru untuk berfungsi dengan baik. Maka dapat diperhatikan perokok sering menghadapi masalah semput, batuk dan mudah letih bila melakukan aktiviti fizikal. Selain itu, juga dapat diperhatikan dari perokok, mereka mengalami masalah-masalah lain seperti kurang deria rasa dan bau, kulit berkedut pada usia muda, nafas berbau, gigi kuning, dan yang paling penting bagi lelaki, dapat menyebabkan kemandulan dan kegagalan alat kelamin untuk berfungsi dengan baik.

Ada yang mengatakan sheesha lebih selamat berbanding rokok. Ini tidak benar, malahan sheesha lebih bahaya berbanding rokok dari pelbagai segi termasuk dari segi penyediaannya. Air dalam sheesha tidak dapat menapis banyak jenis toksin yang terkandung dalam asap sheesha. Sheesha juga mengandungi nikotin, karbon monoksida dan lain-lain bahan seperti rokok biasa. Bahkan arang yang digunakan mendap dalam salur pernafasan dan meningkatkan masalah paru-paru kepada lebih teruk berbanding rokok biasa yang juga berbahaya dari segi bahan pengawet yang digunakan untuk mengawet dan merawat tembakau dalam rokok. Bagi mereka yang menghisap sheesha dikedai kopi, perkongsian paip sheesha juga mendedahkan mereka kepada bahaya lain. Mereka akan terdedah kepada pelbagai jenis penyakit yang merebak melalui air liur. Penyakit yang biasa kita dengar, berjangkit akibat berkongsi sheesha adalah TB. Tidak hairanlah jika kes TB di Mesir menjadi satu kebiasaan di semua hospital.

Adakah dengan berhenti merokok dapat membantu anda? Ya. Dan ia masih belum terlambat. Kesan-kesan berhenti merokok:

  • 20 minit selepas berhenti: kadar degupan jantung dan tekanan darah turun kembali. (“Effect of Smoking on Arterial Stiffness and Pulse Pressure Amplification”, Mahmud, A, Feely, J. 2003. Hypertension:41:183.)
  • 12 jam selepas berhenti : kadar karbon monoksida dalam darah turun ke paras normal. (US Surgeon General’s Report, 1988, p. 202)
  • 2 minggu ke 3 bulan selepas berhenti : kitaran darah dan fungsi paru-paru meningkat. (US Surgeon General’s Report, 1990, pp.193, 194,196, 285, 323)
  • 1 hingga 9 bulan selepas berhenti : batuk dan semput berkurangan; cilia (struktur seperti rambut halus dalam salur pernafasan yang menolak kahak keluar dari paru-paru) kembali berfungsi secara normal, meningkatkan keupayaan untuk mengawal kahak, membersihkan paru-paru, dan mengurangkan risiko jangkitan pada paru-paru. (US Surgeon General’s Report, 1990, pp. 285-287, 304)
  • 1 tahun selepas berhenti : risiko sakit jantung separuh berbanding mereka yang masih merokok. (US Surgeon General’s Report, 1990, p. vi)
  • 5 tahun selepas berhenti : risiko mendapat strok berkurang kepada kadar yg sama seperti mereka yg tidak merokok selepas 5 hingga 15 tahun berhenti merokok. (US Surgeon General’s Report, 1990, p. vi)
  • 10 tahun selepas berhenti : kadar kematian akibat kanser paru² berkurang kepada separuh berbanding mereka yg masih lagi merokok. Risiko kanser mulut, tekak, esofagus, pundi, serviks dan pancreas menurun. (US Surgeon General’s Report, 1990, pp. vi, 131, 148, 152, 155, 164,166)
  • 15 tahun selepas berhenti : risiko seseorang itu mendapat sakit jantung sama seperti mereka yang tidak merokok. (US Surgeon General’s Report, 1990, p. vi)

Terdapat juga kesan yang dapat dilihat dan kesan segera. Berhenti merokok membantu menghentikan kesan tembakau ke atas penampilan kita termasuk:

  • Kedutan kulit pada usia muda
  • Nafas berbau
  • Gigi kuning
  • Penyakit gusi
  • Rambut dan pakaian berbau
  • Kuning pada kuku

Dengan membuang tabiat merokok, anda dapat melihat kesan ketara dalam hidup anda seharian :

  • Makanan dirasakan lebih enak
  • Deria bau kembali kepada normal
  • Aktiviti seharian tidak lagi menyebabkan anda semput (seperti contoh, naik tangga, atau kerja ringan di rumah)

Terdapat mitos mengatakan bahawa menghisap sheesha dapat menjadikan suara lebih merdu. Ini tidak benar sama sekali. Kebanyakan penyakit pita suara berpunca dari merokok. Selain dari kanser, merokok dapat menyebabkan pita suara membengkak. Bengkak pada pita suara ini dikenali sebagai Reinke’s oedema. Ia juga dapat menyebabkan tompokan putih pada pita suara (leukoplakia). Suara menjadi garau, serak, dan pastinya tidak merdu.

Sheesha ; Suatu Pengenalan Hukum

Pengamalan merokok oleh masyarakat dunia hari ini bukanlah lagi suatu perkara yang baru seperti mana ketika ia mula-mula diperkenalkan di penghujung kurun ke 10. Budaya menghisap asap ini telah dipelbagaikan dengan aneka bentuk dan cara bagi memenuhi citarasa golongan penghisap asap ini. Antara bentuk yang tidak asing lagi adalah dengan menggulung. Bentuk lain lagi adalah dengan menggunakan paip penyedut bersama dengan makanisma air yang dikenali dengan Sheesha atau Narjilah dalam masyarakat Arab. Di sesetengah negara lain terkenal dengan penggunaan ‘pipe’ dan curut.

Apapun bentuk dan cara yang diperkenal dan diamalkan oleh golongan merokok ini namun perbahasan kepada hukum perbuatan ini bukanlah kepada bentuknya tetapi kepada kesannya. Oleh itu kita mendapati bahawa perbuatan menghisap sheesha seolah-olahtidak sama dengan perbuatan menghisap rokok gulung yang biasa kedapatan. Lantaran kemungkinan ada yang menyangka bahawa tidak ada masalah menghisap sheesha tersebut.

Perlulah diketahui bahawa sheesha ini sudah menjadi pengamalan dan budaya yang tidak baik bagi masyarakat di Mesir yang sukar dikikis. Budaya ini menjalar dan membiak dengan subur dengan pembukaan terlalu banyak kedai-kedai kopi yang menyediakan perkhidmatan menghisap sheesha ini kepada pelanggan. Tidak cukup dengan kedai kopi, kegiatan menghisap sheesha ini diamalkan di rumah-rumah oleh si suami yang menghisap di hadapan ahli keluarga mereka tanpa memikirkan kesan baik dan buruknya.

Oleh itu, apakah hukum menghisap sheesha ini?

Hukum menghisap sheesha ini adalah sama dengan hukum merokok yang telah dibahaskan oleh para ulama’ secara panjang lebar dalam masalah merokok ini. Ini kerana perbezaan hanyalah kepada rupa tetapi kemudaratan yang dibawa menatijahkan hukum yang sama yang telah dipastikan oleh kajian perubatan pada hari ini.

Kajian yang telah dibuat berkenaan sheesha menurut Dr, Husam dalam artikelnya di dalam web Islamonline menyatakan bahawa kesemua penggunaan sheesha membawa kemudaratan kepada kesihatan sama ada menggunakan tembakau atau yang menggunakan bahan-bahan daripada buah-buahan yang telah dirawat dengan cara-cara tertentu.

Selain itu banyak kajian telah dilakukan seperti kajian yang telah dilakukan di Kuliah Pergigian di Universiti Al Azhar, kajian di Geneva 2001, kajian di Kuliah Kesihatan di Universiti Amerika di Beirut. Kemudaratan yang dinatijahkan oleh pengamalan sheesha ini juga diperakui oleh Dr. Abdul Hakim Mahmud Ketua Bahagian Sakit Dada di Perubatan Qasrul Ain, Dr. Toriq Ketua Bahagian Sakit Dada di Perubatan Ain Syams dan Dr. Maisah di Bahagian Sakit Dada di Perubatan Qasrul Ain.

Setelah jelas bahawa kedudukan menghisap sheesha adalah sama dengan merokok secara menggulung yang telah menjadi kebiasaan maka hukum sheesha ini adalah sama dengan hukum golongan perokok biasa.

Perbahasan merokok telah diketahui umum bahawa terdapat perselisihan pendapat di kalangan ulama’. Pendapat yang diterima oleh Dr. Yusuf Qaradawi di dalam fatwanya adalah haram hukumnya dan Bekas Mufti Mesir iaitu Dr. Nasr Farid juga telah mewartakan bahawa hukum menghisap rokok ini adalah haram. Fatwa ini telah ditampal di semua masjid dan tempat diseluruh Mesir dan telah diketahui umum akan perkara ini. Fatwa ini juga telah disokong oleh Mufti selepas itu seperti Dr. Ahmad Toyyib dan Mufti hari ini Dr. Ali Jum’ah. Pandangan mengatakan bahawa menghisap rokok itu haram adalah pandangan yang amat kuat berdasarkan dalil, kajian perubatan kesihatan hari ini dan kemudaratan lain seperti harta dan sebagainya.

Adakah sewajarnya kita masih berkhilaf?

Dr. Yusuf Qaradawi menyatakan bahawa khilaf di kalangan ulama’ dalam masalah rokok ini pada suatu ketika dahulu adalah kerana tiada kajian yang kukuh kepada akibat merokok ini. Tambah beliau lagi jika ulama’ dahulu mendapati kajian yang kukuh berkenaan ‘darar’ atau mudarat yang ada sudah pasti mereka tidak khilaf dalam masalah ini.

Beliau berkata :

” Dalam zaman kita hari ini, para ulama’ sewajarnya bersepakat dalam hukum kerana hukum yang dikeluarkan seorang faqih adalah berdasarkan kepada pandangan doktor. Jika doktor mendapati merokok ini membahayakan manusia maka seorang faqih semestinya mengatakan ianya haram kerana apa yang memudaratkan kesihatan manusia semestinya diharamkan oleh syara’”.

Dengan ini jelaslah bagi kita bahawa perbuatan merokok ini dengan apa bentuk dan caranya mesti ditolak oleh seorang muslim kerana perbuatan ini hanyalah sia-sia dan hanya mendatangkan kemudaratan kepada agama, diri, akal, keturunan dan harta.

Berkenaan dengan alat Sheesha yang beraneka bentuk dan warna yang dijual hari ini jika ada yang hanya hendak membeli sekadar dijadikan perhiasan maka sewajarnya juga dihindarkan kerana alat seperti sheesha ini bukanlah sesuatu yang dijadikan perhiasan dan menyimpannya adalah sia-sia. Berdasarkan kepada sabda Rasulullah :

عن أبى هريرة رضى الله عنه عن النبى صلى الله عليه و سلم قال : من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه

رواه الترميذى وغيره

Maksudnya : ” Daripada kebaikan Islam seseorang itu dia meninggalkan perkara yang tidak ada kaitan dengan dirinya sebagai seorang muslim daripada perkataannya dan perbuatannya”.

Berdasarkan kepada perkara di atas, pengamalan merokok mesti dibenteras agar tidak terus melalaikan generasi Islam yang ada pada hari ini dan yang akan datang. Merokok ini merupakan senjata halus yang memakan diri secara perlahan-lahan yang akhirnya melumpuhkan jatidiri dan pembinaan peribadi seorang muslim yang sepatutnya. Umat Islam sewajarnya menumpukan diri kepada kerja amal Islami yang terlalu banyak pada hari ini. Para ulama’ hari ini tidak sewajarnya lagi berkhilaf pada hukum merokok sekadar menurut pendapat ulama’ terdahulu yang khilaf dalam perkara ini tetapi lebih melihat kepada kesannya kepada umat Islam pada hari ini berdasarkan dalil dan kajian-kajian terbaru yang ada.


(Sumber: http://bicara4negara.wordpress.com/2007/03/26/syisya-satu-kajian/)