Selasa, Mac 29, 2011

FITNAH: Antara Maksud Al Quran dan Kefahaman Melayu

Sekali lagi isu fitnah berbangkit. Ia gara-gara insan majhul merakam dan mempublish kepada umum adegan hubungan seks di sebuah hotel.

Dikatakan pelakunya mirip seorang pemimpin pembangkang. Biarpun tidak disebut nama, namun semua mata menjeling ke arah Saudara Anwar, disebabkan bebepara faktor yang penulis tidak berminat untuk mengulas di lembaran ini.

Di satu pihak, Presiden dan Timbalan Presiden Umno segera memberi respons agar tidak mengaitkan parti itu dengan pendedahan video berkenaan. Bahkan menurut Najib seperti dipetik Buletin Awani, yang penting bukan soal konspirasi, tapi yang perlu disiasat ialah isi video berkenaan. Jika ia benar, maka itu satu kemungkaran yang besar.

Manakala di sebelah pihak lagi, menafikan Anwar sebagai 'aktor' dalam rakaman berkenaan. Ianya adalah fitnah dan konspirasi politik yang bertujuan mematikan karea politik Anwar.

Geram dengan ketibaan isu berkenaan, beberapa himpunan dan ceramah diadakan. Biarpun terpaksa berhadapan dengan halangan dan gangguan dari pihak polis, namun mereka tekad meneruskan himpunan. Alasan polis bahawa himpunan itu tidak ada permit tidak boleh diterima. Bagi mereka soal ada permit atau tidak itu adalah dari pihak polis sendiri. Jika mahu, mereka boleh keluarkan permit. Jika tidak, mereka tidak keluarkan permit.

Persetankan gangguan polis, kata mereka. Pemfitnah mesti dikutuk dan diingatkan laknat daripada Allah. Pihak berkuasa agama digesa bertindak menghentikan perbuatan qazaf. Hukum Islam dicungkil. Masing-masing menyebut soal institusi saksi (syahadah) yang sangat dititik beratkan dalam perundangan Islam.

Di masjid, surau, markaz tarbiah dan pentas-pentas ilmu ramai ustaz dan para khatib menjadikan topik kejahatan fitnah sebagai maudhu' kuliah, ceramah dan khutbah mereka. Surah An Nur diulang baca. Dihurai konsep kesaksian dalam Islam. Yang tidak pernah ke sekolah agama dan pondok juga bakal faham hukum qazaf. Dijelas betapa Allah tidak mahu manusia dihukum wewenang atas muka dunia dengan dakwaan mudah angkara si pemfitnah.

Namun sesekali para daie terlajak istidlal dengan dalil yang tiada kena mengena dengan tajuk yang dibincang. Ibarat berceramah di hadapan penagih dadah, oleh kerana tiada ayat Quran yang menyebut secara soreh tentang hukum dadah, lalu dibaca surah Al Humazah kerana di dalamnya diulang dua kali suku kata 'dadah'. Sedangkan ia bukan bermaksud dadah di dalam Bahasa Melayu.

Dalam kes fitnah, ramai ustaz dan para khatib membaca ayat 191 dan 217 surah Al Baqarah sebagai dalil haramnya 'memfitnah'. Kononnya dosa memfitnah orang adalah lebih besar dari membunuh. Ia diterjemah dengan rakus sedemikian rupa hanya kerana di dalam ayat berkenaan ada kalimah 'fitnah'.

Sebenarnya terjemahan berkenaan jauh dari maksud sebenar ayat berkenaan. Kalimah 'al-fitnah' itu bukan bermaksud 'memfitnah'. Bahkan penggunaannya dalam Bahasa Arab juga tidak memberi makna menuduh rang tanpa bukti.

Dari segi bahasa ia bermaksud ujian yang besar. Manakala dalam ayat-ayat yang dinyatakan di atas, ia membawa maksud syirik dan kufur. Dengan kata lain, perbuatan syirik dan amalan kufur itu adalah lebih besar dan lebih dahsyat di sisi Allah dari membunuh dalam bulan haram.

Di dalam Al Quran, sekurang-kurangnya terdapata 22 kali diulang kalimah 'fitnah' dalam format nakirah, 8 kali disebut secara ma'rifah (al-fitnah) dan 30 kali disebut dengan kata terbitan yang lain.

Kalimah-kalimah fitnah di dalam al Quran membawa 11 maksud. Dari 11 maksud berkenaan, tidak ada satupun yang memberi makna 'menuduh orang tanpa bukti' yang difahami dalam Bahasa Melayu.

Makna-makna berkenaan ialah:

1. Bermaksud SYIRIK. Antara ayatnya ialah: Surah Al Baqarah 193, 217.
2. Bermaksud KUFR. Antara ayatnya ialah: Surah Ali 'Imran 7, Surah at Taubah 48,49, Surah an-Nur 63, al Hadid 14.
3. Bermaksud AZAB. Antara ayatnya ialah: Surah al Ankabut 10, anNahl 110.
4. Bermaksud BALA. Antara ayatnya ialah: Surah al Ankabut 1-3, Surah Taha 40, Surah ad Dukhan 17.
5. Bermaksud BAKAR DGN API. Antara ayatnya ialah: Surah al Buruj 10, Surah az-Zariyat 13,14.
6. Bermaksud BUNUH. Antara ayatnya ialah: Surah an-Nisa' 101, Surah Yunus 83.
7. Bermaksud MENGHALANG@ SOD. Antara ayatnya ialah: Surah al Maidah 49, Surah al Isra' 73.
8. Bermaksud SESAT. Antara ayatnya ialah: As Saffat 162, Surah al Maidah 41.
9. Bermaksud PERMOHONAN MAAF@ Ma'zirah. . Antara ayatnya ialah: Surah al An'am 23.
10. Bermaksud DIKUASAI PIHAK LAIN. Antara ayatnya ialah: Surah Yunus 85, Surah al Mumtahanah 5.
11. Bermaksud GILA@ Junun. Antara ayatnya ialah: Surah Al Qalam 5-6.

Adapun kalimah yg mungkin menangdung makna 'tuduh tanpa bukti' yang para asatizah boleh rujuk kalimah:

1. AR-RAMYU @ qazaf (khususnya dlm bab menuduh zina/liwat),
2. IFTIRA' (biasanya digunakan trhdp dakwaan palsu tentang Tuhan).
3. BUHTAN (tuduhan besar/rekaan rambang)...



Tiada ulasan: