Khamis, Ogos 25, 2011

NASIHATKU BUAT RAKAN-RAKAN DI PEJABAT AGAMA





Terkejut satu Malaysia bila orang nombor wahid dalam Majlis Agama Pahang, Dato' Wan Wahid membuat pengumuman yang disiarkan berita jam 1.30 TV3 22/8 lalu bahawa tazkirah diharamkan di semua masjid dan surau seluruh negeri Pahang. Aku antara orang yang tak berapa perasan dengan berita tu kerana amat jarang berpeluang menoleh berita-berita siaran TV3.

Hinggalah sahabatku dari
Pulau Pinang, Asri Gazi menghantar mesej bertanyakan hal itu; dan aku jawab ringkas, tak tahu. Memang aku tak tahu adanya larangan itu.

Aku cuba mendapatkan kepastian kebenaran khabar berkenaan. Rupa-rupanya sebaik sahaja ditaip 'pahang haramkan tazkirah' dalam ruang injin pencari google, 40,200 result dikeluarkan dalam masa 0.11 saat. Ertinya dah heboh satu dunia. Aku je yang ketinggalan.

Bila rujuk dalam facebook pula, sudah ada rakan-rakan yang menghebahkan perkara sama. Bahkan siap dibekalkan dengan no telefon Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pahang itu untuk tujuan bertanya jika ada yang keliru dengan larangan berkenaan.

Antaranya Tukul Besi menulis di muka facebooknya, "Jom pakat hubungi TYDP MUIP minta dia jawab kenapa tazkirah haram.Hubungi sekarang 0199313756 Dato Wan Wahid,tel pejabat 094222313."

Akibatnya ada yang memberanikan diri menghubungi Dato' yang dah puluhan tahun berpengalaman dalam jabatan dan majlis agama itu. Seorang pemanggil memberitahu hasil panggilannya, "K
ecewa sungguh. Saya bertanya dengan baik pada Dato Wan Wahid, dia jawab dua sebab diharamkan, pertama nak tazkirah mesti ada tauliah, kedua tak perlulah tazkirah sebab mengganggu orang nak solat. Saya tanya di mana nak katakan tazkirah itu mengganggu, kalau yang diajar itu Al Quran, hadis dan sirah. Dia jawab, senang ginilah, kalau tak setuju peraturan kita, letak jawatan. Saya kata nak letak jwtn apa, saya hanya ahli jemaah masjid. Dia matikan HP..."

Aku tak berminat nak ulas adakah wajar atau tidak buat tazk
irah bulan Ramadhan, biarpun dalam Al Quran dan hadith banyak menceritakan kepentingan tazkirah. Aku juga tak mahu berceloteh tentang wajar atau tidaknya larangan berkenaan walaupun banyak nas memberi amaran azab Allah yang maha dahsyat di akhirat kelak yang disediakan untuk manusia yng menghalang kerja dakwah. Aku juga tidak mahu tiru orang lain yang mendesak Dato' Wan supaya bertaubat atau letak jawatan walaupun jelas, arahannya kali ini sangat bercanggah dengan tuntutan agama.

Cuma aku nak ingatkan sahabat-sahabat yang memegang pelbagai potfolio di institusi agama Islam, khususnya jabatan agama, majlis agama, pejabat qadhi dan sebagainya supaya kalian tahu dan sedar kalian sebenarnya bekerja dengan siapa. Kalian bukan orang lain. Kalian sama dengan aku juga, asalnya belajar di sekolah agama. Belajar Al Quran, belajar hadith. Kalian juga keluaran universiti Islam dalam dan luar negara. Kalian juga ambil kursus yang sama denganku, di fakulti syariah, usuluddin, pengajian Islam, Bahasa Arab dan lain-lain.

Kalian juga biasa dengan istilah tazkirah, usrah, ta'lim, tamrin, qiam, mukhayyam, jaulah dan sebagainya. Bahkan sebahagian kalian merupakan naqib yang sangat 'syadid' ketika di kampus. Kita dahulu sama-sama dipanggil ke hadapan perbarisan pagi, dirotan pengetua hanya kerana lompat pagar untuk mendengar ceramah tok-tok guru yang datang dari Kelantan dan Terengganu. Kita sama-sama merasa tertekan dengan politiking pengetua kolej yang benci melihat siswa berkopiah dan siswi bertudung labuh.

Bahkan ketika pulang ke kampung halaman, kalian masih syadid, lantang dan berdegar-degar waktu menyampaikan tazkirah, kuliah dan ceramah. Ungkapan awak, engkau, aku dan saya, hampir tak kedengaran dek penangan anta dan ana. Frasa 'zaujah ana' lebih manis dimulut daripada 'bini aku' atau 'isteri saya'.

Namun apabila menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam, langkah sebahagian
kalian mula berbeza. Bila dah pandai pakai net tai, maka cara berjalanpun lain macam. Bila dah reti isi borang claim dan kira miles, maka mulalah berat nak penuhi jemputan kuliah di surau kecil yang tak sediakan sampul besar. Bila tangga gaji makin besar, mulalah sebahagiannya tanpa segan bertanya penganjur, ada sampul ke tidak. Ke'syadid'an kalian suatu ketika dahulu, kini tenggelam lemas dalam blazer dan songkok tinggi yang dipakai. Menyebabkan kalian menjadi manusia yang begitu takut kepada manusia. Takut kehilangan pangkat, bimbang ditukar ke hulu penghujung negeri. Bahkan kalian turut merasa sangat terhutang budi kepada mereka yang memberi kerja dan yang kalian anggap memberi rezeki dan pendapatan kepada kalian.

Kalian mula menganggap kor-bisnes kalian adalah tugas yang diberi oleh pihak yang kononnya membayar gajii kepada kalian. Kalian lupa kepada hadith Nabi SAW:
لا طاعة لمخلوق فى معصية الخالق

Keyakinan kepada Allah sebagai pemberi rezeki mula luntur, biarpun ceramahnya masih berdegar-degar. Tauhid Rububiyah disorok bawah kipatan samping berkilat.

Sahabatku,
Masih ingatkah lagi bait-bait kalimah Al Marhum Ustaz Fathi Yakan di dalam bukunya ماذا يعنى انتمائى للإسلام dan المتساقطون فى طريق الدعوة yang kita usrahkan dahulu?
Lupakah kalian kepada ayat-ayat tegas Al Marhum Sayyid Qutub di dalam الحاكمية لله yang kita hadhamkan dahulu? Lupakah kalian kepada perjuangan Al Banna yang membawa kepada pembunuhan ke atasnya oleh talibarut munafiqin. Lupakah kalian rentetan hidup Sayyid Qutub yang berakhir di tali gantung. Atau kalian sudah tidak dapat mengingati kisah perjuangan Dr Abdullah Azzam dan Syeikh Ahmad Yasin yang mengorbankan sebahagian besar usia mereka di medan jihad.

Ayuh sahabatku, refleksi diri. Dengan siapa sebenarnya kalian bekerja? Dengan siapa, manusiakah? atau Allah? Kalian memegang potfolio paling mulia, agama Islam. Sama ada jabatan atau majlis sama saja. Agama ini bukan milik orang yang meluluskan permohonan kerja kalian. Kalian tidak perlu merasa terhutang budi dengan manusia yang menentang Allah. Kalian tidak perlu ada sekelumit simpati kepada mereka yang menentang dakwah.

Ingatlah kisah Imam Ahmad (yang kalian sendiri lebih arif), apabila beliau disiksa oleh 'jallad hukumi' di dalam penjara, beliau membaca sepotong hadith yang menceritakan nasib yang bakal diterima oleh orang zalim dan pembantu orang zalim di dalam neraka kelak. Si tukang pukul bertanya kepada Imam, "Adakah saya juga termasuk di kalangan pembantu orang zalim?" Imam menjawab, "Tidak, kamu bukan pembantu orang zalim. Tapi kamulah sebenarnya orang yang zalim."

Kalimah 'saya yang menurut perintah' atau 'kami hanya ikut arahan' pastinya tidak akan dapat menyelamatkan kalian dari azab Allah wahai sahabatku. Kalian perlu sedar, sewaktu kalian menandatangani surat pemecatan, penggantungan atau penukaran imam hanya kerana imam itu berjuang pada jalan Allah, raqib dan atid juga mencatat perbuatan kalian dengan dakwat yang tidak mungkin padam hingga hari perhitungan di hadapan Allah. Di kala itu, mampukah kalian mengangkat lidah di hadapan Allah, disaksikan seluruh manusia sejak adam hingga akhir zaman, untuk kalian memberi alasan, "Ya Allah saya terpaksa ambil tindakan kepada imam itu kerana saya didesak oleh Ketua Bahagian." Adakah kalian mampu berkata demikian yang secara tidak langsung meletakkan Allah di tempat ke belakang dalam senarai pihak yang patut kalian takut.

Sahabatku, kalian jangan sangka ketika kalian menyekat elaun imam dan guru ta'mir, kalian boleh mendapat keamanan dari orang atas. Ingatlah, (dan kalian lebih mengetahuinya) sesungguhnya orang yang dizalimi itu, apabila dia mendongak ke langit menandah tangan memohon kepada Allah, maka Allah Maha Malu untuk tidak memperkenankan doanya.

Sahabatku, jangan kalian menjadi Haman kepada Firaun. Pemimpin mungkin berlaku zalim, jahat ataupun fasiq. Tetapi mereka akan jadi lebih zalim dan jahat apabila ada pegawai seperti Haman. Justeru, bantulah pemimpin kalian dengan tidak mentaati mereka dalam perkara mungkar.

Sedarkah kalian, di luar sana gerakan Islam didokong oleh rakyat marahaen, orang kampung, pemuda yang jahil, yang tidak berpeluang mendalami ilmu Islam ke puncak Al Azhar dan ke menara UIA. Namun mereka thabat, mereka berada di saf hadapan dalam solat dan dalam jihad. Mereka rela bermandikan asap dan asid demi mempertahankan kesucian Islam. Infaq bulanan yang sekadar RM10 dari mereka sungguh tinggi nilainya berbanding derma kalian berjumlah RM1000. Mereka memerah otak, berbincang, merancang, memerah keringat mencari di mana para ustaz untuk memimpin mereka dalam menggerakkan perjuangan memartabatkan Islam.

Cukuplah dosa kalian yang tidak membantu gerakan Islam. Jangan ditambah lagi dengan 'dosa extra' menghalang manusia dari jalan Allah.

Sahabatku, hentikanlah kerja najis kalian menghantar wakil merakam tazkirah, ceramah, kuliah dan khutbah untuk dipersembahkan kepada pemimpin yang sememangnya memusuhi pejuang-pejuang Islam. Hentikanlah bersikap samseng terhadap mimbar, kerana di luar sana ada kedai judi yang kalian perlu bertindak lebih samseng.

Hentikanlah mengganggu aktiviti dakwah kerana di luar sana ada couple yang perlu kalian ganggu. Hentikanlah perbuatan menyekat tauliah kerana di luar sana terlalu banyak pesta berlesen yang perlu kalian sekat.

Sahabatku, kita semua akan mati. Aku akan mati, kalian juga mati. Tiada diketahui siapa yang akan pergi dahulu. Namun yakinlah, perjalanan selepas itu adalah lebih panjang, sangat panjang. Panjang yang tiada berpenghujung.

اللهم هل بلّغت



Tiada ulasan: