Malam tadi aku dijemput menyampaikan ceramah Maal Hijrah di Masjid Felda tertua di dunia, Felda Lurah Bilut. Hampir 500 peneroka datang dari serata negara ke tanah rancangan ini setahun selepas merdeka (1958). Mereka ditempatkan di rumah kongsi. Keluarga ditinggalkan dikampung.
Mereka dikerah menebang hutan. Berbulan-bulan mereka menebang dan membelah balak untuk didirikan rumah dgn keringat sendiri. Mereka bergotong royong menanam anak benih getah. Sehinggalah apabila pokok getah membuahkan hasil, maka dengan penuh kesetiaan, mereka serahkan hasil itu kepada Felda.
Tahun berikutnya (1959), Felda dikembangkan lagi ke kawasan lain. Kali ini, Negeri Johor dipilih dengan pembukaan tanah rancangan yang baru dikenali sebagai Felda Endau. Seterusnya 1961, Felda memulakan penanaman kelapa sawit di tanah rancangan baru yang dinamakan Felda Taib Andak (kg Mawi).
Kemudian Felda terus berkembang ke seluruh negara hingga ke Sabah, menjadikan jumlah kesemuanya 317 buah tanah rancangan dengan lebih 112,635 peneroka Felda. Kini warga Felda (dicampur dengan generasi kedua dan ketiga) berjumlah 1.6 juta orang yang terdapat di 54 kawasan parlimen dan 92 kawasan dun di seluruh negara.