Malam tadi aku dijemput menyampaikan ceramah Maal Hijrah di Masjid Felda tertua di dunia, Felda Lurah Bilut. Hampir 500 peneroka datang dari serata negara ke tanah rancangan ini setahun selepas merdeka (1958). Mereka ditempatkan di rumah kongsi. Keluarga ditinggalkan dikampung.
Mereka dikerah menebang hutan. Berbulan-bulan mereka menebang dan membelah balak untuk didirikan rumah dgn keringat sendiri. Mereka bergotong royong menanam anak benih getah. Sehinggalah apabila pokok getah membuahkan hasil, maka dengan penuh kesetiaan, mereka serahkan hasil itu kepada Felda.
Tahun berikutnya (1959), Felda dikembangkan lagi ke kawasan lain. Kali ini, Negeri Johor dipilih dengan pembukaan tanah rancangan yang baru dikenali sebagai Felda Endau. Seterusnya 1961, Felda memulakan penanaman kelapa sawit di tanah rancangan baru yang dinamakan Felda Taib Andak (kg Mawi).
Kemudian Felda terus berkembang ke seluruh negara hingga ke Sabah, menjadikan jumlah kesemuanya 317 buah tanah rancangan dengan lebih 112,635 peneroka Felda. Kini warga Felda (dicampur dengan generasi kedua dan ketiga) berjumlah 1.6 juta orang yang terdapat di 54 kawasan parlimen dan 92 kawasan dun di seluruh negara.
Sebagai seorang anak Felda, aku turut merasai pengalaman dan keperitan hidup di tanah rancangan Felda. Kami berpindah ke Felda Sena Jengka 16 pada tahun 1977. Ketika tiba di rumah baru itu, kami dapati yang disediakan hanyalah rumah semata-mata. Tiada bekalan air dan api. Bekalan api hanya tiba pada tahun 1989. Tiada bekalan air paip ke setiap rumah. Sebatang paip dikongsi hampir 10 buah rumah. Menjadi kebiasaan, air paip terputus bekalan hingga dua tiga bulan.
Beginilah lebih kurang rupa rumah kami |
Abah hanya memiliki sebuah basikal tua yang entah dari mana diperolehnya. Felda memberikan pinjaman sara hidup RM2.90 sehari. RM2.90 itulah digunakan oleh abah dengan penuh berhemah untuk membesarkan kami 3 beradik (dan seterusnya 8 beradik). Sebelum turun ke ladang, ibu sempat menggoreng jemput pisang lalu dibahagikan ke dalam 3 mangkuk, 4-5 biji semangkuk. Itulah sarapan paling enak buat kami.
Setiap pagi pegawai Felda mengetuk tong drum, mengejutkan peneroka untuk roll call. Ada peneroka yang bergegas ke tapak perhimpunan roll call tanpa sempat menunaikan solat subuh kerana bimbang wang pinjaman sara hidup (RM2.90) dipotong.
Felda mengerah peneroka menanam pokok getah di kawasan yang masih belum ditanam. Aku masih ingat, saat aku belum bersekolah, ibu membawaku ke ladang untuk menanam pokok getah.
Tetapi setelah persempadanan semula dibuat, pokok getah yang sudah membesar dengan ukuran lilit sebesar paha, termasuk ke kawasan orang lain. Ibu menangis teresak-esak mengenangkan kesukaran yang dihadapi ketika menanam pokok itu dahulu. Kini apabila pokok itu besar, Felda serahkannya kepada orang lain.
Abah akur dengan apa yang berlaku. Tanah itu kami usahakan. Sebagai anak Felda, tiada istilah cuti bagi kami. Isnin hingga Jumaat kami ke sekolah kebangsan sebelah pagi dan sekolah agama sebelah petang. Sabtu dan Ahad kami ke ladang membantu ibu bapa. Kami berjalan kaki sejauh 3 km. Mengharungi jalan raya yang bertanah merah dan berdebu. Sampai di ladang, kami terus membantu mengutip getah sekerap atau apa sahaja kerja yang boleh dilakukan.
Untuk masuk ke ladang, kami terpaksa berjalan kaki menelusuri tebing bukit (ladang orang lain) kerana Felda tidak menyediakan jalan ladang (walaupun kos senggara jalan dipotong setiap bulan RM10). Ada kala setelah penat menoreh, mengutip dan mengumpulkan getah ke dalam tong, apabila getah hendak dihantar ke pusat pemulihan, abah gagal mengawal basikal/motor menyebabkan ia terbalik dan getah yang diusahakan seharian itu tumpah ke atas tanah.
Suasana yang sama, barangkali turut dirasai oleh anak-anak peneroka di tanah-tanah rancangan yang lain. Dengan pendapatan yang kecil, mereka terpaksa berhutang di kedai PNF (kini D-Mart). Cukup bulan, hasil getah dan sawit dipotong. Potong hutang PNF, hutang tanah, kos senggara jalan ladang, kos baja, tabung tanam semula dan pelbagai jenis potongan lagi yang setengahnya tidak difahami oleh peneroka Felda.
Natijahnya, baki yang diterima hanya beberapa belas ringgit sahaja. Pucuk ubi dan ikan masin menjadi menu harian mereka.
Namun mereka diajar supaya bersyukur kepada Felda, dulu masa di kampung mereka tiada apa-apa, kini 'Felda' bagi mereka tanah. Syukurlah kepada Felda, kata mereka!
Mereka terus setia menghantar hasil kepada Felda. Felda terus membina kekayaan dengan keringat peneroka. Ditubuhkan pula koperasi (KPF) untuk mengumpul modal dari peneroka.
Bagi yang mempunyai anak yang sudah ke sekolah menengah, mereka sangat
tertekan dengan kos yuran sekolah dan asrama anak-anak. Ada yang
terpaksa mengambil jalan singkat, berhutang beras dari kedai PNF, dan
kemudiannya menjualnya kepada jiran dengan harga yang lebih rendah, demi
untuk mendapatkan wang tunai buat membayar yuran sekolah anak.
Ada
juga yang 'menonjol' atau 'mengombet' hasil getah ke pasaran luar.
Mereka membawa getah buku dengan motosikal menerusi jalan hutan untuk
dijual di luar yang menjanjikan harga lebih tinggi daripada Felda dan
bayarannya pula dibuat secara tunai.
Seringkali 'penonjol' dan 'pengombet' ini bertembung dengan polisko (Felsco)
lalu mereka dihambat sampai ke tengah hutan. Ada yang terbalik
motosikal, getah terpelanting. Ada yang getah mereka dirampas. Ini semua
mereka lalui untuk mendapaikan wang tunai buat belanja sekolah
anak-anak.
Kini Felda kaya raya. Felda sudah ada bangunan-bangunan besar dan tinggi. Felda ada lebih 40 anak syarikat. Ada Felda Angkut, Felda Trading, Felda Plantation, Felda Travel, D-Saji, Felda Global Venture dan lain-lain. Bahkan Felda ada restoren di Makkah. Kesemuanya ini adalah bermula dengan keringat dan air mata para peneroka dan penerokawati. Syarikat-syarikat Felda itu hakikatnya adalah milik peneroka.
Ketika berceramah di Lurah Bilut, saya bertanya kepada jemaah masjid kalau-kalau ada yang baru pulang dari Makkah. Seorang pakcik mengangkat tangan. Saya tanya adakah beliu berkunjung ke restoren Felda di makkah, beliau jawab ya ada.
Saya tanya berapa harga roti canai sekeping. Beliau kata 5 riyal. Saya kata kenapa tidak mintak diskaun? Katakan kepada pekerja restoren itu, saya orang Felda. Saya peneroka Felda pertama di dunia (Lurah Bilut). Restoren ini saya yang punya!
Kini, setelah Isa Samad dinobatkan sebagai pengerusi Felda, Felda cuba hendak dilelong. Isa tidak ada kena mengena dengan Felda. Isa tidak pernah merasai keperitan hidup yang kami lalui di tanah rancangan.
Bahkan Isa pernah mengkhianati peneroka. Ketika menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, Isa telah memperdaya peneroka Felda Sendayan supaya menjual tanah ladang mereka dengan menjanjikan bayarn antara RM1juta hingga RM1.3juta seorang. Isa kemudiannya hanya membayar 10%. Selebihnya, peneroka Sendayan hanya ternganga! Pengkhianat ini tiba-tiba dinobat sebagai pengerusi Felda!
Kini dengan menggunakan istilah 'transformasi', Isa cuba mengapungkan aset-aset Felda, KPF dan tanah-tanah Felda Plantation. Sejumlah lebih 300,000 hektar tanah ladang itu yang sepatutnya dibelah dan diracik serta diagih-agih kepada generasi kedua Felda, cuba dirampas dan dilelong oleh Isa.
Terlalu jahat perancangan orang luar ini. Anak-anak Felda mesti bertindak segera menghalang rancangan jahat Isa yang khabarnya turut mempergunakan Nazir Razak, Ahmad Maslan, Ahmad Sabri, Zahid Mat Arif, Roslan Kasim dan lain-lain kapitalis yang tiada kena mengena dengan Felda.
5 ulasan:
Sedih aku baca , bukan sebab sedih dgn citer awak, tp sedih dgn sikap jenis org mcm awak.
-bekas pemangkah bulan ,felda medoi-
Sedih aku baca , bukan sebab sedih dgn citer awak, tp sedih dgn sikap jenis org mcm awak.
-bekas pemangkah bulan ,felda medoi-
Sedih aku baca , bukan sebab sedih dgn citer awak, tp sedih dgn sikap jenis org mcm awak.
-bekas pemangkah bulan ,felda medoi-
Sedih aku baca , bukan sebab sedih dgn citer awak, tp sedih dgn sikap jenis org mcm awak.
-bekas pemangkah bulan ,felda medoi-
Sedih aku baca , bukan sebab sedih dgn citer awak, tp sedih dgn sikap jenis org mcm awak.
-bekas pemangkah bulan ,felda medoi-
Catat Ulasan