Selasa, Januari 03, 2012

DRAMA PEMULAUAN TERHADAP RASULULLAH SAW


DRAMA PEMULAUAN TERHADAP RASULULLAH SAW
Oleh: Aris Hazlan Ismail

Muqataah(مقاطعة) atau pemulauan yang dilakukan oleh kafir Quraisy ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan para sahabat khususnya Bani Hashim dan Bani Al Muttalib bertitik tolak dari beberapa perkembangan drastik yang berlaku hanya dalam tempuh 4 minggu pada awal tahun ke-7 kenabian.

Antaranya, pengIslaman Umar dan Hamzah, penolakan Rasulullah SAW terhadap tawaran Quraisy, persetiaan Bani Hashim dan Bani Al Muttalib sama ada Islam atau kafir untuk membantu dan mempertahankan Rasulullah SAW dan beberapa perkembangan lain yang secara umumnya mengukuhkan lagi kedudukan baginda SAW serta memberi ruang kepada baginda untuk memperluaskan dakwah Islamiah.


Pemuka-pemuka Quraisy sangat bimbang lantas mereka berkumpul di Khaif Bani Kinanah bagi membincangkan secara serius bagaimana seharusnya mereka menghadapi kemaraan dakwah Rasulullah SAW. Akhirnya mereka bersetuju untuk melakukan tindakan yang lebih kejam dari pembunuhan, iaitu muqataah (pemulauan) ke atas seluruh Bani Hashim dan Bani Al Muttalib sama ada yang beragama Islam atau yang bukan beragama Islam selain Abu Lahab.

Mereka lalu menulis surat perisytiharan yang antara lain mengisytiharkan pemulauan sepenuhnya kepada Bani Hashim dan Bani Al Muttalib. Semua qabilah lain tidak dibenarkan melakukan sebarang urusan nikah kahwin dan berjual beli. Bahkan tidak dibenarkan bercakap, duduk, kunjung mengunjung dan bergaul dengan mereka.

Juru tulis yang dikenali sebagai Baghidh bin Amir bin Hashim dengan bangganya menulis isi perjanjian berkenaan lantas menggantungnya pada dinding kaabah. Ia adalah perjanjian pemulauan buat selama-lamanya selagi mereka tidak menyerahkan Muhammad untuk dibunuh. Kedurjanaannya mengundang kemurkaan Rasulullah SAW lantas baginda berdoa kepada Allah mohon kecelakaan ditimpa ke atas juru tulis itu. Allah segera memaqbulkan doa kekasihnya lantas tangan yang menulis itu terus lumpuh!

Pemulauan berlaku dengan begitu sempurna hinggakan kaum musyrikin tidak melepaskan mana-mana peniaga yang cuba menjual makanan kepada Bani Hashim dan Bani Al Muttalib. Jika ada pedagang luar yang tiba dengan barang makanan, mereka akan segera membeli ke semua makanan berkenaan supaya tidak tinggal lagi sebarang sisa buat Muhammad dan keluarganya.

Di pihak Rasulullah SAW, umat Islam dan Bani Hashim serta Bani Al Muttalib, mereka merasa sangat tertekan. Tidak ada yang dapat dimakan melainkan daun-daun kayu dan kulit binatang yang tersisa. Jikapun ada makanan yang sampai ke kampung mereka, ia dibawa masuk secara sembunyi-sembunyi. Tangisan kanak-kanak kelaparan adalah suara tetap yang sentiasa beralun sepanjang malam selama 3 tahun.

Pernah beberapa orang yang mempunyai pertalian dengan kumpulan yang dipulaukan ini cuba membawa makanan untuk diberikan kepada mereka, namun di pertengahan jalan, mereka dihalang oleh kafir Quraisy. Hakim bin Hizam pernah cuba menyeludup gandum buat ibu saudaranya, Khadijah binti Khuwailid, namun di pertengahan jalan, dia dihalang oleh Abu Jahal. Kekecohan antara dua orang itu mengundang seorang pembesar Quraisy, Abul Bakhtari masuk campur. Abul Bakhtari mempunyai sedikit perasaan simpati lantas gandum itu disampaikannya kepada Khadijah.

Bagi Abu Talib, penderitaan kelaparan adalah perkara kedua berbanding kebimbangannya terhadap  keselamatan anak saudaranya, Muhammad SAW. Demi keselamatan, baginda hanya dibenarkan tidur di atas hamparan Abu Talib. Abu Talib mahu setiap saat, baginda mendapat pemerhatiannya kerana bimbang akan dibunuh oleh musuh. Beliau juga memerintahkan anak-anaknya mengawal Rasulullah SAW secara bergilir.

Masa terus berlalu. Setelah 3 tahun dipulau, naluri kemanusiaan penduduk Makkah tidak dapat disembunyikan. Bukan semua penduduk Makkah bersetuju dengan tindakan pemimpin Quraisy memulaukan Rasulullah SAW dan kerabatnya. Sebahagian mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat sama ada dalam pergaulan, perniagaan dan persemendaan.

Orang yang pertama menzahirkan hasrat untuk membatalkan surat perisytiharan pemulauan itu ialah Hisyam bin Amru (dari Bani Amir bin Luaiy). Sebelum itu beliau sememangnya sering menyeludup masuk barang makanan pada waktu tengah malam atau dasar simpati kepada Rasulullah SAW dan kerabatnya.

Hisyam merasa sangat tidak selesa dengan perjanjian pemulauan ini dan sangat berhajat agar perjanjian itu dibatalkan. Senyap-senyap, dia berkunjung ke rumah Zuhair bin Abi Umayyah (dari Bani Makhzum). Ibu Zuhair adalah Atikah, anak Abd Muttalib. Maka  berlakulah dialog antara mereka berdua:

Hisyam    : Wahai Zuhair, Adakah engkau redha makan dan minum sedang bapa-bapa saudara sebelah ibumu sedang menderita?

Zuhair      : Apa yang mampu aku lakukan, aku hanya seorang. Kalaulah ada orang lain bersamaku, nescaya aku akan batalkan perjanjian itu.

Hisyam    : Sebenarnya engkau telah temui orang itu.

Zuhair      : Siapa?

Hisyam    : Aku!

Zuhair      : Kalau begitu, kita perlu mencari seorang lagi.

Hisyam kemudiannya mengunjungi Al Mut’im bin Adi. Dia cuba mengimbau keturunan Al Mat’am yang beruntaian dari Abdu Manaf. Justeru Al
Mut’im juga bersaudara dengan Bani Hashim dan Bani Al Muttalib. Seterusnya dia mencela Al Mat’am kerana bersetuju dengan pemimpin Quraisy dalam isu pemulauan. Lalu berlakulah dialog seterusnya:

Al
Mut’im: Sebenarnya aku juga tidak setuju. Tapi apa yang mampu aku lakukan, aku hanya seorang. Kalaulah ada seorang lagi bersamaku, nescaya aku akan batalkan perjanjian itu.

Hisyam    : Sebenarnya engkau sudah ada dua orang!

Al
Mut’im:  Siapa?

Hisyam    : Aku dan Zuhair.

Al
Mut’im: Kalau begitu, kita perlu mencari seorang lagi, orang keempat.

Hisyam segera bertemu Abul Bakhtari bin Hisham. Dialog yang sama berlaku. Lalu dia mencari orang kelima iaitu Zam’ah bin Al Usud. Akhirnya 5 orang ini bertemu di Hajun lalu bersepakat akan membatalkan perjanjian pemulaun ke atas Bani Hashim dan Bani Al Muttalib. Zuhair berkata, “Biar aku yang memulakan bicara. Kemudian kalian sambung.”

Keesokan harinya mereka masuk ke Masjidil Haram. Selesai menyempurnakan tawaf 7 kali keliling kaabah, Zuhair menuju ke arah kumpulan manusia yang berada di situ lantas berseru:


“Wahai penduduk Makkah, adakah kita rela makan makanan dan memakai pakaian sedangkan Bani Hashim menderita tanpa makanan dan pakaian. Demi Allah, aku tidak boleh biarkan perkara ini selagi surat yang kejam itu tidak dikoyak.”

Mendengar suara tunjuk perasaan itu, Abu Jahal bingkas bangun dan berkata, “Penipu! Tidak sama sekali. Surat itu tidak boleh dikoyak.”

Belum sempat Abu Jahal melanjutkan bicara, bangun pula Zam’ah bin Al Usud dan berteriak, “Demi Allah, kamu lebih penipu. Kami tidak pernah merestui perbuatan kamu menulis surat itu.”

Abu Jahal cuba menjawab, tetapi terus dipintas oleh Abul Bakhtari, “Benar apa yang disebut oleh Zam’ah. Kami tidak pernah merestui dan kami tidak pernah setuju dengan perjanjian itu.”

Abu Jahal bagaikan terkepung apabila Al
Mut’im bin Adi pula berseru, “Ya, benar apa yang kamu berdua perkatakan. Siapa kata sebaliknya, dia adalah menipu. Kami berlepas diri kepada Allah dari apa yang ditulis dalam perjanjian itu.”

Dengan marah, Abu Jahal berkata, “Ini pastinya perancangan jahat yang telah kalian aturkan sejak semalam.”

Drama ini disaksikan oleh Abu Talib yang turut berada dalam Masjidil Haram ketika itu.

Abu Talib lantas bersuara, “Wahai manusia. Aku datang ke sini untuk melihat adakah benar apa yang dikhabarkan oleh anak saudaraku Muhammad. Dia berkata, Allah telah memberitahu bahawa Dia telah mengutuskan anai-anai untuk menggigit dan memusnahkan surat perjanjian kalian. Aku datang untuk melihat adakah ia benar. Jika tidak benar, maka anak saudaraku adalah pembohong dan aku tidak bertanggung-jawab lagi ke atasnya apa yang kalian mahu lakukan. Tetapi jika benar, maka seharusnya kalian membatalkan pemulauan dan kezaliman ini.”

Mendengar kata-kata Abu Talib, mereka serentak berkata, “Itulah yang seadil-adilnya.”

Dengan kata-kata itu, Al
Mut’im segera memanjat dinding kaabah untuk mengoyak surat perjanjian itu. Tiba-tiba dia mendapati keseluruhan surat itu sudah dimakan anai-anai kecuali ruang yang bertulis, “Dengan nama Allah...” (باسمك اللهم)

Dengan itu berakhirlah pemulauan. Rasulullah SAW dan umat Islam keluar beramai-ramai ke Kota Makkah untuk berurusan seperti sediakala. Hari yang penuh bersejarah. Bulan Muharram tahun ke-10 yang menyaksikan orang-orang kafir melihat sendiri mukjizat yang membuktikan kebenaran Rasulullah SAW.

Pun begitu, yang kufur terus dalam kekufuran mereka. Keajaiaban mukjizat hanya dianggap sebagai sihir.







3 ulasan:

Nama pena, Puteri Nur Cahaya @ Cikgu iEta. Suri rumah sepenuh masa. Penulis Lifestyle Blogger berpengalaman Social Media Marketing Coach. berkata...

Terima kasih salin di sini. Hari ni saya rujuk sini untuk bercerita tajuk pemulauan Bani Hashim bagi pelajaran Sirah yang saya ganti. Menarik subjek Sirah Rasulullah S.A.W.

Unknown berkata...

Mohon share

Unknown berkata...

Mohon share