Agak menarik tulisan wartawan veteran, Tuan Haji Subki Latif mengenai isu Hassan Ali. Apa katanya? Anda baca sendiri....
Pofesor. Madya Atorry Hussein kata, PAS telah rugi kerana memecat Datuk Hasan Ali.
Saya kata, memang tokoh akademik itu telah berkata betul seperti yang dirakamkan dalam surah al-Asri yang bermaksud, sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian.
Ketika dia dipecat, dia adalah ADUN PAS Gombak Setia. Apabila dia dipecat dari parti, maka PAS sudah tidak ada wakil rakyat di situ.
Siapa pun yang hendak menjaga kepentingan rakyat dan kawasan itu sesuai dengan kepentingan politik PAS di situ? Benar Hasan masih wakil rakyat di situ. Jika dia menjalankan tugasnya, maka dia sudah tentu tidak menjalankannya mengikut kepentingan PAS.
Seorang wakil rakyat PAS telah ditetapkan oleh PAS di zaman Dr. Burhanuddin al-Hilmy dulu mesti mendermakan 20 peratus dari elaunnya kepada parti. Bagi Anggota Parlimen kepada PAS Pusat dan bagi ADUN kepada PAS negeri. Apabila mereka pencen, maka caruman itu tinggal lima peratus saja.
Begitu juga kalau dia Menteri Besar atau Exco. Maka setiap bulan PAS dapat wang masuk 20 peratus dari elaun mereka dan lima peratus setelah pencen hinggalah mereka mati. Jika mereka dipecat peruntukan itu tentu hilang. Tidakkah rugi namanya?
Maka sebagai parti politik, PAS tidak sunyi dari kerugian. Ia juga rugi bila wakil rakyatnya kalah. Kalau ia menang, potongan elaun itu 20 peratus, tetapi bila kalah, PAS dapat lima peratus saja. Rugi juga.
Setelah Ustaz Hassan Shukri tidak jadi senator, dia bagi elaun pencennya setiap enam bulan sekali. Sebelum dia meninggal dia beri elaun untuk enam bulan yang akan datang. Didahulukannya pemberiannya itu. Bila dia mati, PAS tidak lagi dapat duit. Tidakkah PAS juga rugi?
Demikian apabila sekalian bekas wakil rakyat dan bekas senatornya mati. Banyak kerugian yang ditanggung oleh PAS?
Manusia itu begitu. Universiti melabor banyak terhadap profesornya untuk kepentingan kampusnya. Cukup kalau profesor itu lari ke universiti lain atau berhenti. Tidak rugikah universiti. Seperti Atorry Hussein, katakan tiba-tiba mati belum bersara. Tidak rugikah universiti? Tentulah rugi.
Kerajaan mengeluarkan beratus ribu belanja untuk menanggung seorang pelajar perubatan. Setelah tamat tempoh kontreknya berkhidmat dengan kerajaan dia letak jawatan bagi membuka klinik sendiri. Kerajaan telah kerugian dan terpaksa menanggung pelajar perubatan yang baru bagi mengganti doktor yang pergi itu.
Logiknya semua profesor itu diperlukan khidmatnya oleh universiti. Tetapi setengah profesor yang baik itu cenderung pula pada politik. Mereka pun berpolitik bersama pembangkang. Mereka sudah melanggar akta universiti. Universiti terpaksa buang mereka. Tentulah universiti rugi. Walau pun rugi tetapi universiti terpaksa buang juga mereka. Mengapa?
Antara profesor itu amat sayang pada isterinya. Tetapi isterinya sakit tenat. Menderita lama di hospital. Harapan pulih tidak ada. Dari menderita begitu, maka profesor redha, mati adalah lebih baik baginya. Profesor sayang padanya, apabila mati profesor kehilangan orang yang dikasihi. Rugi isteri mati, tetapi di sebaliknya memungkin profesor beristeri lain pula.
Semua manusia sayang akan kakinya. Tetapi apabila dia terkena sakit kencing manis, kakinya terpaksa dipotong. Apabila dipotong rugilah kakinya. Dia juga rugi kerana sudah tidak berkaki. Dia sayang pada kakinya. Tetapi kalau tidak dipotong kaki itu, dia pula akan mati cepat.
Oleh itu biarlah dia tidak berkaki asal dapat meneruskan hidup dalam keadaan cacat tetapi dapat lagi beribadat. Sesayang mana pun dia pada kakinya, tetapi dia terpaksa menerima hakikat membuang kakinya yang sudah tidak berguna dan memudaratkan jiwanya lebih baik.
Membuang kaki yang begitu lebih baik dari berkaki yang tidak berguna lagi.
Bukan PAS tidak sayang pada Hasan Ali. Tetapi politik itu, kata Tok Guru Haji Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya di muktamar lalu, ada fiqahnya. Mufti Perak mahir fiqah lain tetapi tidak mahir fiqah politik.
Yang PAS bertindak terhadap Hasan itu adalah mengikut kehendak fiqah politik. Kalau kaki kencing manis terpaksa dipotong, tidak memotongnya lebih merugikan.
(http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/7611-kalau-kaki-kencing-manis-tidak-potong-merugikan)
(ii) Hasan boleh bebas melayang di angkasa raya
SUDAH tentu PAS rasa amat dukacita memecat keahlian Dato Hasan Ali kerana ia amat jarang memecat ahlinya.
Bukan mudah untuk mendapatkan seorang Islam dan rakyat Malaysia menyertai parti itu dalam negara yang memberi banyak pilihan kepada setiap rakyat, maka tentulah tidak mudah pula ia memecat ahlinya, apa lagi ahli itu ada sedikit sebanyak jasa dan sumbangannya.
Sudah tentu pada PAS setiap yang menyertainya, diharapkan tidak menyertainya untuk satu ketika tetapi sebolah-bolehnya biarlah dia mati dalam parti itu.
Jika boleh kita mahu ada dalam PAS seorang ahli macam Dato Ibrahim Ali bagi UMNO, sesudah dihina dan dipecat dari ahli seumur hidup, dia tidak berubah setia pada UMNO, menunggu untuk diterima semula menjadi ahli UMNO. Ketika UMNO tidak bercadang untuk mengambilnya semula, dia buat macam-macam kegiatan untuk partinya yang membuangnya itu.
Apa pun Hasan tentu tidak dipecat sampai mati. Dia ada peluang untuk merayu kalau mahu, kalau dia rasa parti itu dapat menjadi saluran kepadanya memperjuangkan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan raja. Itu pun kalau dia mahu jadi macam kebanyakan ahli PAS yang bercita-cita untuk mati sebagai ahli PAS.
Tentu ramai yang pilu atas tindakan ke atasnya, bahkan mengeluarkan air mata, tetapi tidaklah air mata itu sampai menjadi sebatang sungai baru di Selangor. Justeru setiap ahli PAS ada juga jasanya disamping ada sebab musabab dia terpaksa dipecat.
PAS pernah memecat keahlian bekas Yang Dipertua Agungnya Dato Asri bersama beberapa orang ahli anggota Jawatankuasa Agung yang lain. Siapa kata Dato Asri tiada jasa dalam PAS? Bahkan besar jasanya kepada parti. Tetapi demi kepentingan parti, jasa-jasa yang besar dan banyak tidak menjadi sebab seseorang tidak boleh dipecat.
Pemecatan tidak dibuat atas kemahuan Mursyidul Am atau Presiden parti, tetapi dibuat oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Tentunya ia tidak dibantah oleh Majlis Syura.
Saya pernah mewakili PAS ke Ijtimak Jamiatee Islami Bangladesh. Jamiatee adalah sama bagi Pakistan dan India. Tiada siapa boleh terus jadi ahli parti Islam itu melainkan setelah sepuluh tahun menjadi Rukun, satu nama bagi pemohon menjadi ahli. Sesudah 10 tahun jadi Rukun pun belum tentu diterima menjadi anggota Jamiatee Islami.
Dalam keadaan demikian berpuluh ribu anggota Rukun menunggu dengan sabar untuk menjadi ahli.
Tetapi PAS tidak seketat rakan-rakan parti Islam di benua kecil India. Hassan Ali tidak perlu menunggu 10 tahun untuk menjadi ahli Jawatankuasa Pusat dan Naib Presiden parti. Dan diberi amanah selama lapan tahun jadi Pesuruhjaya PAS Selangor.
Di Selangor dia jadi orang PAS yang paling bertuah sepanjang sejarah, menjadi Exco kerajaan Negeri Selangor apabila Pakatan memerintah. Orang yang lebih besar dan lama perjuangannya di Selangor tidak sebertuah sepertinya.
Saya tahu sedikit sebanyak masalah dalaman parti. Penggal pertama Hassan menjadi pesuruhjaya, dia telah tidak menjadi calon tunggal untuk menyambung amanah itu. Dia sudah tidak dinamakan, tetapi Jawatankuasa PAS memberi peluang kepadanya untuk menjadi PJ lagi hinggalah ke tahun 2011.
Setakat dia mempertikai dasar terkini PAS secara terbuka, PAS tidak begitu segera untuk bertindak drastik, tetapi apabila dia boleh menserba-salahkan hubungan PAS dengan sekutu-sekutunya dalam Pakatan Rakyat, maka PAS tidak banyak pilihan melainkan.
Sekarang Hasan sudah bebas, seperti burung dia boleh terbang melayang sejauh mana dan setinggi mana pun di angkasa raya. Dia boleh kata apa yang dia rasa perlu kata. Dia boleh hinggap di mana dahan yang ada.
Melepaskannya dari PAS adalah untuk membebaskannya bersuara bebas seperti yang dijamin oleh perlembagaan negara.
(http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/7611-kalau-kaki-kencing-manis-tidak-potong-merugikan)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan