Oleh: Ibnu Ismail
Ali Laban, ahli Parlimen Ikhwanul Muslimin di Parlimen Mesir menyifatkan tindakan Syeikhul Azhar, Dr Sayyid Tantawi memaksa seorang pelajar Al Azhar menanggalkan niqabnya sebagai satu penghinaan yang menjatuhkan maruah manusia. Tindakan Tantawi disifatkan sebagai bercanggah dengan hukum Islam, undang-undang, perlembagaan negara dan keputusan Mahkamah Tinggi.
Beberapa hari lalu, Syeikh Tantawi dilaporkan mengarahkan seorang pelajar perempuan agar membuka niqab yang dipakainya apabila terlihat pelajar itu semasa melawat sebuah sekolah gabungan Universiti Al-Azhar.
Insiden itu menjadi lebih hangat apabila beliau dikatakan mengeluarkan kata-kata yang kurang baik terhadap pelajar berkenaan:
“Niqab tidak ada kaitan dengan Islam... saya lebih arif tentang agama daripada kamu dan ibu bapa kamu,” kata Tantawi kepada pelajar berkenaan.
Jurucakap Al-Azhar, Ahmed Tawfiq mengesahkan perkara tersebut, namun menegaskan bahawa Tantawi berbicara dengan baik kepada pelajar itu.
Ketika berucap dalam parlimen, Ali Laban memetik kaedah asas dalam ilmu fiqh yang mengatakan bahawa pihak berkuasa tidak boleh menghalang sesuatu perbuatan yang tidak disepakati (ijma’) sebagai suatu mungkar. Memakai niqab/furdah bukan sekadar tidak diijma’kan sebagai mungkar, bahkan tidak ada langsung ulama’ yang menghukumkannya sebagai mungkar yang perlu dihalang.
Lebih dari itu, katanya, setengah ulama’ menghukumkannya sebagai wajib seperti pendapat ulama’-ulama’ di Arab Saudi, setengahnya pula mengatakan sunat dan sebahagian yang lain menyifatkannya sebagai perbuatan yang mempunyai kelebihan. Tidak ada pandangan dan fatwa ulama’ yang mengatakan haram mahupun makruh.
Ali turut mengecam perbuatan Tantawi itu sebagai melanggar keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Universiti Amerika Kaherah yang mengeluarkan arahan melarang pelajar memakai niqab. Keputusan mahkamah bil 3219/48 menyebut, “Niqab bukan suatu yang wajib. Ia adalah sunat atau harus. Oleh itu sesiapapun tidak boleh menghalang sesuatu yang hukumnya harus. Universiti hendaklah member ruang kepada pelajar yang berniqab untuk membentuk keperibadian mereka sendiri.”
Tindakan Tantawi juga bercanggah dengan Perkara 40 Perlembagaan Negara Mesir berkaitan hak persamaan.
Ali Laban juga mengkritik Tantawi yang banyak membuat sesuatu keputusan dengan membelakangkan Mujamma’ Buhuth Islamiah. Ini termasuklah keputusannya megharamkan pemakaian niqab di Ma’had-ma’had Al Azhar dan penghapusan pengajian kitab Fiqh 4 Mazhab dan menggantikannya dengan kitab Fiqh Muyassar karangannya sendiri.
Tantawi juga turut menerima kritikan daripada seorang lagi Ahli Parlimen, Hamdi Hasan. Menurutnya, Tantawi sewajarnya melepaskan jawatan sebagai Syeikhul Azhar kerana tindakannya seolah-olah menjadikan Al Azhar sebagai sebuah akademi tarian gelek dan bukannya institusi agama.
Sementara itu, berpuluh-puluh pelajar berfurdah berdemonstrasi di Universiti Qaherah disebabkan larangan memakai niqab yang dikuat-kuasakan di universiti berkenaan baru-baru ini.
Ali Laban, Ahli Parlimen Mesir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan