Siapa penjajah, siapa pejuang? Apa erti perjuangan menuntut kemerdekaan? Ini antara persoalan yang sering dikupas oleh orang-orang cerdik di Malaysia. Semua manusia nak merdeka. Tiada siapa yang mahu dirinya dibelenggu, negara dijajah.
Semua bangsa ada catatan sejarah berkaitan perjuangan mereka menuntut kebebasan. Masing-masing ada kefahaman tentang siapa yang mereka anggapp penjajah, siapa pejuang dan apa maksud kemerdekaan.
Sebagai orang Islam, kita merasa bangga apabila mendapati Islam telah terkehadapan dalam memperjuangkan kemerdekaan. Tetapi perjuangan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh Islam bukan sekadar untuk menghalau 'orang luar' yang menguasai politik dan ekonomi negara, bahkan untuk membebaskan negara dari sebarang unsur yang membelenggu manusia daripada mentaati Allah. Konsep kemerdekaan ini jelas dinyatakan oleh Rib'i bin Amir yang diutus panglima Saad bin Abi Waqas kepada panglima Rustom, "Kami datang untuk membebaskan manusia dari menyembah sesama manusia, kepada menyembah Allah...."
Apabila umat Islam dihalang dan dilarang daripada melaksanakan perintah Allah, mendaulatkan hukum Allah dan mengangkat syiar Islam, maka mereka sebenarnya sedang dijajah. Siapa penjajahnya? Ia mungkin datang dari luar yang tidak sebangsa dan seagama dengan mereka.
Adakalanya penjajah itu datangnya dari bangsa sendiri. Nabi Muhammad SAW dalam usaha memerdekakan kota Makkah, baginda berhadapan dengan penguasa yang merupakan anak watan kelahiran Makkah, membesar di Makkah dan memerintah kota Makkah. Namun anak watan inilah yang menjadi penghalang utama penyebaran agama Islam. Maka mereka dianggap penjajah. Justeru perjuangan membebaskan kota Makkah dari penguasaan kafir Quraisy adalah satu bentuk perjuangan menuntut kemerdekaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan