Di dalam kitab الولاية على البلدان ada menceritakan kisah yang sangat menakjubkan berkaitan Saidina Umar dengan anak menteri besarnya.
Pada zaman pemerintahannya, Umar melantik Saidina Amru bin Al As menjadi gabenor (menteri besar) bagi negeri Mesir. Suatu hari, seorang anak Amru telah bermain lumba kuda dengan seorang remaja bangsa Qibti. Apabila dia kalah, dia berrtindak memukul Qibti itu kerana kedudukan istimewanya sebagai anak menteri besar.
Dengan perasaan yang sangat sedih dan dukacita, remaja Qibti bersama bapanya bermusafir merentasi padang pasir menuju ke Madinah untuk mengadu hal kepada khalifah (Saidina Umar). Apabila Umar mendapat berita berkenaan, dengan segera beliau memerintahkan Amru dan anaknya datang ke Madinah.
Apabila kedua-duanya tiba di hadapan Umar, beliau menyerahkan rotan kepada anak Qibti dan memerintahkannya memukul anak Amru seperti mana dia memukulnya dahulu. Sesudah qisas itu dilaksanakan, Umar berkata, "Kalau kamu mahu memukul Amru juga aku tidak akan menegahmu kerana dia memukulmu disebabkan kedudukan bapanya."
Umar lalu beralih muka ke arah Amru dan berkata dengan tegas,
مَتَى اسْتَعْبَدْتُمُ النَّاسَ وَقَدْ وَلَدَتْهُمْ أُمَّهَاتُهُمْ
أَحْرَارًا؟
"Sejak bila kamu memperhambakan manusia? Sedangkan mereka dilahirkan oleh ibu mereka sebagai manusia merdeka!"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan