Selasa, November 29, 2011

NOSTALGIA HIJRAH II: Kisah Ahli Parlimen Bernama IBLIS


Setelah hampir semua para sahabat berhijrah ke Madinah, maka tinggallah Saidina Ali dan Saidina Abu Bakar serta beberapa orang sahabat yang menunggu Rasulullah SAW yang masih belum berhijrah. Baginda masih perlu menunggu keizinan dari Allah untuk berhijrah.

Di pihak kafir Quraisy, penghijrahan umat Islam dan Rasulullah SAW merupakan satu malapetaka bagi mereka. Madinah berkedudukan antara Makkah dan Syam. Ini akan memberi impak secara langsung kepada perdagangan kaum Quraisy di Makkah. Ini kerana jumlah dagangan penduduk Makkah ke negeri Syam ialah sebanyak 4 juta dinar (RM3.3 bilion) setahun. Mereka juga bimbang Rasulullah SAW akan membina kekuatan di Madinah dan membentuk satu kuasa politik baru yang lebih kuat dan berpengaruh mengatasi kekuasaan Quraisy.

Justeru satu sidang tergempar dipanggil ke Darun Nadwah. Mereka berbincang dengan serius apa tindakan sewajarnya untuk menghentikan dakwah dan hijrah Rasulullah SAW. Sidang ini dihadiri oleh semua ketua qabilah yang bertindak sebagai ‘wakil rakyat’ atau ‘ahli parlimen’ Makkah pada waktu itu. Antara mereka yang hadir:


1. Bani Makhzum : Abu Jahal (betindak sebagai speaker parlimen)
2. Bani Naufal : Jubair b Mut’im
3. Bani Abdi Syams: Abu Sufyan dan Syaibah serta Utbah bin Rabi’ah
4. Bani Abdid Dar : An Nadhr bin Al Harith
5. Bani Asad : Abul Bakhtari, Zam’ah b Al Aswad dan Hamim b Hizam
6. Bani Sahm : Nubih dan Munabbih bin Al Hajjaj
7. Bani Jum’ah : Umayyah bin Khalaf
8. Iblis laknatullah

Iblis hadir dengan rupa seorang tua yang disangka datang dari Nejad bertindak bagaikan seorang senator yang turut serta membincangkan apa tindakan paling layak dikenakan ke atas Muhammad SAW.

Seorang anggota parlimen dikenali sebagai Abul Aswad mencadangkan agar Muhammad diusir sahaja keluar dari Makkah, “Setelah itu kita jangan pedulikan ke mana dia pergi dan apa nasibnya. Kita terus kukuhkan kedudukan kita di Makkah.”

Cadangan ini dibantah oleh ‘orang tua dari Nejad’ itu dengan katanya, “Aku tidak setuju. Tahukah kamu bahawa kata-kata Muhammad sangat manis. Dia mudah menguasai orang ramai. Dalam waktu yang singkat dia akan Berjaya kumpulkan pengikut baru yang akan datang menyerang kamu.”

Abul Bakhtari pula member pandangan, “Kita kurung dia di dalam kandang besi. Tutup pintunya dan kita biarkan dia mati seperti penyair yang pernah dikurung sebelum ini.”
Pendapat kedua ini juga disanggah oleh Iblis. “Belum sempat kamu lihat kematian Muhammad, sahabat-sahabatnya akan datang menyerang kamu dan membebaskannya.”

Akhirnya Abu Jahal memberi cadangan supaya dikumpul orang yang gagah perkasa dari setiap qabilah. Mereka ditugaskan untuk membunuh Nabi secara serentak dengan satu tetakan. Tujuannya supaya Bani Abdi Manaf tidak akan mampu untuk menuntut bela ke atas semua qabilah terlibat.

Cadangan Abu Jahal dipersetujui oleh semua wakil rakyat termasuk Iblis. Semua yang hadir berpuas hati dengan keputusan mesyuarat dan mereka sudah tidak sabar lagi hendak mendengar berita kematian Muhammad SAW.

2 ulasan:

Nama: Khairul Azmi Ismail Al-Muqry berkata...

Salam. Kisah Iblis berada dlm mesyuarat adalah palsu setelah dibuat tahqiq.

ibnuismail berkata...

Terima kasih atas respons... Boleh beri sumber tahkik tu ust?