Jumaat, November 25, 2011

Nostalgia Hijrah

Abu Salamah adalah sahabat pertama berhijrah ke Madinah. Beliau terpaksa meninggalkan Makkah seorang diri setelah keluarga isterinya menghalangnya membawa bersama isteri dan anaknya. Bersama linangan air mata, Abu Salamah bergerak menuju Madinah.

Di Makkah, sang isteri Ummu Salamah menangis siang dan malam mengenangkan dirinya yang dihalang mengikuti suami berhijrah ke Madinah. Semakin hari, keadaannya semakin kritikal. Bimbang keselamatan Ummu Salamah, akhirnya keluarga yang masih belum beriman kepada Allah melepaskannya menjejaki suami di madinah.



Ummu Salamah bersama anak yang masih kecil bertekad berhijrah mengharungi 500km padang pasir bersendirian. Namun ketika tiba di Tan'im, beliau bertemu dengan Uthman bin Talhah yang kemudiannya menghantarnya hingga ke Quba'.

Apabila perkampungan Quba' sudah berada di hadapan mata, Uthman berkata, "Di desa itulah suamimu menetap. Pergilah dengan barakat Allah." Uthman kembali ke Makkah. Ummu Salamah segera mempercepatkan langkah untuk mendapatkan suami tercinta.

Drama yang tidak pernah dimimpikan oleh Abu Salamah. Kini isteri tercinta bersama anak sudah tercegat di depan mata. Allahlah yang menemukan mereka dalam cinta sejati.

Beberapa tahun kemudian, keluarga ini diuji dengan syahidnya Abu Salamah. Sekali lagi air mata Ummu Salamah bercucuran. Beliau gembira suaminya terbunuh syahid. Syurga Allah pasti menyambutnya. Namun jiwa seorang wanita yang dahagakan kasih sayang suami tidak dapat disembunyikan.

Mendengar rintihan kesedihan Ummu Salamah, menyebabkan Rasulullah SAW memujuknya dengan berkata, "Semoga Allah menggantikanmu dengan suami yang lebih baik."

Mendengar ucapan itu, Ummu Salamah kehairanan dan bertanya, "Siapakah yang lebih baik dari suamiku? Setahuku dialah suami yang terbaik." Rasulullah SAW tidak menjawab.

Beberapa bulan kemudian, setelah habis iddah, Rasulullah SAW menghantar wakil meminang Ummuu Salamah. Kini fahamlah Ummu Salamah siapa yang dimaksudkan baginda sebagai suami yang lebih baik itu.

Tiada ulasan: