Khamis, April 30, 2009

400,000 BABI MESIR DIBURU


Lebih dua tahun saya tinggal di bumi Mesir. Saya pernah tinggal di bandar Tanta, dalam daerah yang kuat berpegang kepada agama, yang ahli parlimennya ketika itu dari Ikhwanul Muslimin. Saya juga pernah tinggal di Iskandariah (Alexandaria), kawasan pelancongan yang dibina di pinggir Laut Mediterranian.

Saya tinggal berjiran dengan bangsa Arab yang beragama Islam dan juga beragama Kristian. Anak saya yang masih kecil, ketika itu sering berulang alik ke sebuah kedai penganut Kristian yang terletak bersebelahan rumah saya.

Kaum Kristian Mesir dikenali sebagai Aqbat (kata jamak daripada Qibti). Orang putih kata Coptic. Mereka tinggal di tengah-tengah masyarakat Islam. Justeru budaya hidup mereka juga tidak jauh bezanya dengan masyarakat Islam. Salam diberi, salam juga dijawab.

Mereka hidup aman damai. Bahkan rancangan tv Mesir memperuntukkan waktu tertentu untuk siaran bersama antara ulama' Islam dan paderi Kristian. Namun kehidupan yang harmonis ini ada juga dicemari dengan pertembungan dan pergaduhan antara kedua-dua kaum ini di sesetengah daerah.

Namun sesuatu yang saya langsung tidak tahu, rupa-rupanya orang Kristian di Mesir ini suka memelihara babi. Bahkan dianggarkan babi yang dipelihara oleh mereka berjumlah 400,000 ekor.

Saya tidak ada maklumat mengenai babi Mesir ini hinggalah didedahkan oleh www.islamonline.net hari ini. "Rupa-rupanya Mesir juga ada babi!" Getus hati kecil saya.

Saya mula teringat kembali kisa kaum Bani Israel. Apabila mereka engkar dan enggan menuruti perintah rasul mereka, maka Allah menjatuhkan hukuman ke atas mereka di atas muka bumi ini sebelum akhirat. Sebahagian mereka ditukar menjadi kera dan sebahagian lagi ditukar menjadi babi!

وَجَعَلَ مِنْهُمُ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ وَعَبَدَ الطَّاغُوتَ

(Al Maidah 5:60)

Persoalannya, adakah 400,000 ekor babi Mesir ini merupakan salasilah keturunan Bani Israel zaman lampau? Saya lontarkan soalan ini untuk dijawab oleh anda. Kajilah secara ilmiah.

Perkara ini terdedah apabila pihak kerajaan Mesir mengeluarkan arahan untuk membunuh 400,000 ekor babi di seluruh Mesir bagi mengelak tersebarnya penyakit influenza selsema babi.

Dalam kenyataan berasingan, pihak gereja Mesir mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak ada apa-apa halangan jika pihak kerajaan ingin membunuh semua babi yang kebanyakannya diternak oleh orang Kristian itu dengan syarat dibayar ganti rugi yang berpatutan.

Seorang paderi di Syubra, Marcos berkata, babi bukanlah haiwan yang suci di sisi agama Kristian. Jika ianya disahkan membawa mudarat, maka membunuhnya adalah diharuskan.

________________________________________

Dalam kehidupan sesetengah masyarakat, mereka boleh hidup dan menjadi rakan kongsi kepada babi. Fikir-fikirkan...

Sabtu, April 25, 2009

GURUKU MENINGGAL DUNIA

BELASUNGKAWA SIBAWAIH MELAYU
USTAZ HAJI ISHAK ARIFIN
(4.7.1942 - 23.4.2009)


Tanggal 2 Januari 1985, saya secara rasmi mendaftar diri sebagai seorang pelajar di SMA Chenor, Pahang. Sistem sekolah agama di Pahang ketika itu mewajibkan pelajar memasuki kelas peralihan terlebih dahulu sebelum naik ke tingkatan 1. Ia bertujuan untuk membiasakan pelajar dengan Bahasa Arab sebelum bertemu dengan pelajaran yang lebih berat seperti Tafsir, Hadith, Fiqh, Usul Fiqh dan sebagainya.

Ketika di tingkatan peralihan, pengajian Bahasa Arab dibahagikan kepada beberapa pelajaran iaitu Qawa'ed (Nahu Saraf), Mutala'ah dan Muhadathah. Qawaed yang merupakan ilmu asas tatabahasa Arab diajar oleh Ustaz Mohd Piah. Mutala'ah, pelajaran yang berorientasikan pemahaman artikel Bahasa Arab di ajar oleh Ustaz Yahya. Manakala Muhadathah (dialog dan perbualan Bahasa Arab) diajar oleh Ustaz Sabaruddin.

Ustaz Mohd Piah mengajar tidak lama. Beliau jatuh sakit. Sakitnya berpanjangan dan akhirnya beliau pulang ke rahmatullah. Ustaz Yahya mengajar hingga tingkatan 2. Selepas itu beliau berpindah ke Perak khabarnya dan hingga kini saya tidak tahu di mana beliau dan isterinya Ustazah Hasinah berada.

Ustaz Sabaruddin pula bertukar ke SMA Al Wusto, Berhala Gantang, Temerloh ketika saya di tingkatan 1. Beliau kemudiannya naik pangkat jadi pengetua Al Wusto. Beberapa tahun yang lalu, beliau juga pulang ke rahmatullah.

Mereka adalah antara guru-guru saya yang awal mengajar dan memperkenalkan saya asas Bahasa Arab. Jasa mereka sangat besar. Moga Allah memberikan mereka pahala yang berpanjangan. Saya berdoa agar pahala saya menyampaikan ceramah, kuliah tafsir dan hadith dapat dikongsikan bersama mereka. Dengan sebab merekalah, Allah memberi saya sedikit ilmu dan kemampuan untuk memahami bahasa Al Quran. Dengan sebab mereka, hari saya diizinkan Allah duduk di kerusi kuliah agama di masjid dan surau. Rahimahumullah.

Namun antara ramai-ramai guru yang mengajar, saya sangat berbangga, beruntung dan berterima kasih kepada ayahanda Ustaz Ishak Arifin. Seluruh sekolah menengah agama di negeri Pahang menggunakan kitab tulisannya dalam mempelajari Nahu tingkatan 2 dan 3.

Ketika di tingkatan 2, saya masih agak kabur dengan ilmu Nahu. Masih kurang jelas. Ketika itu beliau dipindahkan ke sekolah saya setelah sekian lama berbakti di SMU Al Khairiyah Temerloh. Raut wajahnya menggerunkan semua murid. Langkahnya menggegarkan koridor SMUC. Disiplinnya dalam mengajar sangat membanggakan. Bunyi sahaja loceng, beliau terus melangkah ke kelas.

Sebaik sahaja masuk ke kelas, beliau akan terus menulis Bismillahirrahmanirrahim dengan khatnya yang cantik di bahagian tengah atas papan hitam. Kemudian diikuti dengan nama matapelajaran (di bawah bismillah), hari di sebelah kanan (dalam bahasa Arab) dan tarikh di sebelah kiri mengikut taqwim hijriah. Itulah rutinnya, itulah disiplinnya dalam pengajaran yang dikekalkan sepanjang tempuh perkhidmatannya.

Suaranya yang lantang memulakan pengajaran dengan dalam Bahasa Arab. Kecut perut kami dibuatnya. Sedikit demi sedikit ilmu nahu semakin jelas diminda saya. Namun belum begitu mantap, kerana rasa takut mengatasi hormat.

Tahun 1988, ketika kami melangkah ke tingkatan 3, Ustaz Ishak terus diamanahkan mengajar kami matapelajaran Qawaed Lughah Arabiah. Alhamdulillah, ilmu yang diperturunkan kepada kami begitu mudah kami fahami. Beliau sangat mengambil berat tentang i'rab dan baris hujung setiap kalimah. Setiap hari, sebelum memulakan pelajaran beliau akan menyuruh kami meng'i'rab ayat-ayat yang diberikan. Beliau mahu kami mahir dalam membezakan antara Mansub, Majrur, Majzum dan Marfu'. Hingga beliau dikenali di kalangan pelajar sebagai "Ustaz Marfu'..."

Andai ada yang membaca sesuatu kalimah dengan mematikan baris akhirnya, pasti akan disergah oleh beliau. "Awak ni lagha..." Itulah ungkapan dari mulutnya yang sangat kami ingati.

Pernah seorang di antara kami ponteng kelas. Beliau memanggilnya dan bertanya, "Ke mana awak?" Pelajar itu menjawab bahawa dia sakit. Secara spontan, Ustaz Ishak bermadah dalam Bahasa Arab: "La tatamarradh. Fatamradh. Fatamut." Yang bermaksud, "Jangan kamu buat-buat sakit. Nanti kamu sakit. Lalu kamu mati."

Subhanallah. Kata-katanya ilmu. Cakapnya ilmu. Marahnya juga ilmu.

Alhamdulillah, dengan hadirnya beliau ke SMAC, kami dapat menguasai ilmu Qawaed (Nahu dan Saraf) Bahasa Arab. Kehadiran beliau juga menjadikan kami mencintai pelajaran Qawaed/Nahu lebih daripada pelajaran lain. Paling utama, kami merasa bangga dapat belajar ilmu berkenaan dengan pengarang kitab itu sendiri.

Naik tingkatan 4, beliau masih mengajar Nahu dan Saraf. Tetapi untuk tingkatan 4 dan 5 kami menggunakan kitab Nahu Wadhih. Lebih cantik, beliau juga diminta mengajar kami ilmu Feqah. Saya masih ingat bab yang diajar oleh beliau untuk tingkatan 4 iaitu bab zakat dan haji. Pengajaran beliau sangat jelas dan mantap. Mudah difahami.

Ketika saya meninggalkan SMAC 1990, beliau menjawat jawatan GPK. Sedikit menyedihkan saya apabila mendapat berita bahawa Jabatan Agama Islam Pahang telah menukar kitab untuk pelajar sekolah menengah agama seluruh Pahang. Kitab Ustaz Ishak kini tidak digunakan lagi. Mereka menggunakan kitab dari Universiti Al Azhar.

Selepas saya jauh merantau ke beberapa buah negara dan mendirikan rumah tangga, saya pulang ke Malaysia dan mencari beliau. Rupa-rupanya beliau sudah bersara dan dilantik menjadi imam Masjid Kg Batu 1, Temerloh. Saya berkunjung ke rumahnya sebagai tanda hormat saya kepada beliau. Selepas kunjungan pertama bersama isteri dan anak-anak, saya bertemu lagi beberapa kali di Masjid Batu 1.

Namun pada minggu lalu (17/4/2009) saya menerima panggilan daripada anak beliau bernama Syakirah. Syakirah meminta saya dan isteri datang segera ke Hospital Temerloh kerana katanya, ayah masuk ICU. Walaupun agak letih dengan tugas harian, saya segera menjemput isteri saya yang sedang bertugas di sekolahnya untuk pergi ke Hospital Temerloh.

Sampai di sana, kami saksikan suasana yang sangat memilukan. Ustaz Ishak yang dahulunya gagah dan digeruni oleh murid-muridnya terbaring kaku di atas katil dengan kawalan 24 jam. Berbagai-bagai jenis wayar dan paip dimasukkan ke dalam mulut, di cucuk pada tangan dan sebagainya. Kakinya baru dibedah, memerlukan rawatan rapi. Darahnya disalirkan ke mesin Hoemodialisis untuk dicuci. Matanya tertutup rapat.

Doktor terpaksa terus menerus memberikannya ubat tidur memandangkan degupan jantungnya yang kencang yang menandakan beliau sedang berhadapan dengan kesakitan yang amat sangat. Saya hanya mampu menyaksikan dan berdoa. Tak mampu untuk memberikan apa-apa pertolongan.

Setelah pulang, saya sentiasa teringatkan beliau. Hinggalah pada pagi Khamis lalu (23/4/09) saya menerima satu sms memberitahu doktor terpaksa memotong kaki Ustaz Ishak yang sudah dijangkiti kuman. Hati mula merasa tidak berapa tenang.

Malam itu, selepas menunaikan solat Fardhu Maghrib, saya menerima sms bertalu-talu dari beberapa orang sahabat menyatakan, "Ustaz Ishak Arifin meninggal dunia. Solat jenazah esok sebelum solat Jumaat." Bagaikan tidak percaya, saya meminta isteri menelefon anaknya, Syakirah untuk mengesahkan berita yang saya terima. Ternyata, innalillah... berita yang saya terima adalah benar.

Esoknya, saya sudah kurang 'berselera' untuk mengajar. Hati saya teringat kepada Ustaz Ishak. Bimbang tidak sempat menunaikan solat jenazah. Setelah habis kelas, saya segera bertolak ke Temerloh. Di pertengahan jalan saya menghubungi Syakirah dan beliau mengatakan semua urusan sudah selesai. Hanya tinggal solat dan kebumi sahaja yang belum. Sah, saya tidak sempat untuk sama-sama menunaikan solat jenazah.

Keluar dari LPT, saya terus membeluk ke Kampong Bangau mencari kawasan Tanah Perkuburan Islam. Sampai di situ saya lihat ada sekitar 15 ke 20 orang ahli keluarga Ustaz Ishak sedang menunggu jenazah. Apabila van jenazah tiba, saya menerpa ke arah van berkenaan untuk berkongsi pahala mengusung jenazah.

Saya merasa bangga dapat mengusung dan seterusnya menurunkan jasad guru saya ke dalam kubur serta mengaut tanah untuk mengambus kubur. Cuma rasa agak sedih, tidak ada seorangpun rakan sepengajian dahulu yang kelihatan di tanah perkuburan itu. Mungkin mereka sudah pergi menziarahi di rumah atau di masjid.

Selepas solat Jumaat saya menunaikan solat jenazah ghaib, kerana tidak sempat menunaikannya sebelum pengebumian.

Kini, selamatlah seorang pejuang Bahasa Arab, seorang ulama dan seorang imam bersemadi di alam barzakh. Moga ruhnya dicucuri rahmat oleh Allah. Moga pahala anak-anak muridnya yang kini giat berdakwah di seluruh negara akan mengalir ke kamarnya di sana....
____________________________________________________


Kitab Nahu Wadhih ini diajar oleh Ustaz Ishak ketika kami di tingkatan 4 dan 5 dahulu.
Harimau mati meninggalkan belang
Ulama' mati meninggalkan ilmu

Selasa, April 21, 2009

SARAH OBAMA CUBA DIMURTADKAN



Semua orang kenal Presiden Amerika Syarikat, Barak Obama. Tapi tidak ramai yang menenali neneknya, Sarah Obama.

Beliau sedang berada di pinggir jurang aqidah yang sangat membimbangkan. Lahir sebagai seorang muslimah 87 tahun yang lalu, kini sedang cuba diKristiankan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab.

Pendakyah Kristian tidak putus-putus mengunjungi rumahnya di Kenya. Terkini, usaha mereka untuk menjemput Sarah menghadiri satu majlis keagamaan Kristian Sabtu lalu (17/4/09) di Kisumu, Barat Kenya menemui kegagalan. Majalah Daily Nation melaporkan, ketika paderi Tom Obia tiba di rumah Sarah di Kampung Kogilo, ahli keluarganya memberitahu bahawa Sarah enggan mengikutinya.

Sebelum ini Sarah adalah seorang yang kuat berpegang kepada agama Islam. Namun berikutan tuduhan terhadap cucunya, Barak Obama dalam pilihanraya lalu bahawa beliau seorang Muslim yang menyembunyikan keIslamannya, maka Sarah mengisytiharkan dirinya sebagai seorang Kristian "seperti cucunya".

Manakala ahli keluarganya pula melahirkan rasa kesal di atas cubaan mengkristiankan Sarah. Anaknya, Saidi Obama berkata, seluruh ahli keluarga bertegas tidak membenarkan Sarah menghadiri majlis keagamaan yang dianjurkan oleh pihak gereja.




Dalam pada itu, Majlis Imam-imam Kenya mengutuk keras usaha Kristianisasi terhadap Sarah. Majlis memohon pihak kerajaan supaya campur tangan bagi menghalang usaha memurtadkan nenek tua itu.

Imam Khalifu mempersoalkan, "Mengapa baru sekarang mereka berani cuba mengkristiankan Sarah iaitu setelah cucunya menjadi presiden Amerika Syarikat? Mengapa sebelum ini mereka tidak melakukannya."

Kata-kata ini memberikan gambaran bahawa pihak Kristian merasa sangat selesa dengan kejayaan Obama menduduki kerusi tertinggi di Amerika Syarikat itu.

Sejak akhir-akhir ini gerakan Kristianisasi bergerak aktif di negara-negara Afrika dan negara-negara yang ditimpa bala bencana. Mereka masuk dengan dakyah 'kemanusian' dan menggunakan NGO yang kononnya bertujuan untuk menyampaikan bantuan dan sumbangan.

Untuk rekod, Kenya adalah sebuah negara yang sentiasa bergolak di Benua Afrika. 45% penduduknya beragama Kristian Protestant dan 33% Roman Katholik. Penduduk Islam hanya mewakili 10% daripada jumlah keseluruhan penduduk negara itu.

Dari segi etnik pula, suku
Kikuyu merupakan suku terbesar (22%), diikuti suku Luhya 14%, Luo 13%, Kalenjin 12%, Kamba 11%, Kisii 6%, Meru 6%, other African 15%, non-African (Asian, European, and Arab) 1%.

Sebagai kaum minoriti, umat Islam menjadi sasaran golongan Kristian untuk dimurtadkan.














Selasa, April 07, 2009

KEKELIRUAN ISU PENGGUNAAN NAMA ALLAH



Ramai yang bertanya tentang hukum orang kafir guna nama ‘Allah’ sebagai Tuhan mereka. Persoalan sebenarnya bukan hukum pada orang kafir itu, tapi hukum orang Islam membenarkan penggunaan nama itu oleh mereka.

Saya agak sukar menjawab memandangkan kebimbangan umat Islam terhadap gejala murtad yang dibimbangi kebenaran yang diberikan kepada mereka akan merancakkan lagi usaha mereka menarik umat Islam mendekati agama mereka.

Tetapi setelah membaca ayat Allah dari surah Al Ankabut (29) ayat 46, saya berasa tenang dengan jawapan yang Allah sendiri berikan. Firman Allah:

وَلا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ ۖ وَقُولُوا آمَنَّا بِالَّذِي أُنزِلَ إِلَيْنَا وَأُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Mafhumnya:
"Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan Katakanlah: "Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami Hanya kepada-Nya berserah diri".

Setelah Allah memerintahkan supaya berdebat dengan cara yang baik, Allah terus memberikan contoh cara berhujah dengan golongan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian). Antaranya:

1. Jelaskan kepada mereka bahawa jika kamu percayakan Taurat dan Injil, kami lebih dahulu lagi beriman kepada Taurat dan Injil.

2. Jika kamu kata Allah itu Tuhan kamu, maka kami juga kata Allah itu Tuhan kami. Malangnya kamu turut mengatakan Isa/Uzair itu sebagai anak Allah. Sedangkan Allah itu Tuhan yang Esa lagi Tunggal.

Sebenarnya isu ini perlu dilihat secara lebih kompleks. Lihat secara menyeluruh. Janganlah kerana kita bimbangkan sesuatu perkara, menyebabkan kita rugi dalam banyak perkara lain yang lebih besar.
ADVANTAGE DAKWAH

Dengan mereka menggunakan kalimah Allah, para daie Muslim boleh terus berhujah memperbetulkan fahaman mengenai ketuhanan yang sebenar. Mereka tidak perlu lagi berhujah untuk mengatakan Allah itu Tuhan. Mereka boleh terus berhujah memperbetulkan tanggapan yang mengatakan Allah itu ada anak, ada isteri dan ada sekutu yang lain.

Namun jika mereka menggunakan istilah yang lain, seperti God, Ram, Mambang dan sebagainya, maka para daie perlu turun ke anak tangga paling bawah terlebih dahulu untuk menerangkan siapa tuhan yang sebenar.

Justeru, apabila mereka menggunakan nama Allah sebagai Tuhan, maka ia sebenarnya satu advantage kepada Islam jika dimanfaatkan untuk tujuan dakwah.


Selepas perjanjian Hudaibiyah, Nabi SAW mengutuskan beberapa orang sahabat membawa surat dakwah baginda kepada raja-raja Arab dan sekitarnya. Kepada raja yang tidak beragama, atau menyembah berhala, atau majusi, baginda mengajak mereka menyembah Tuhan yang sebenarnya iaitu Allah. Kepada raja-raja Kristian, nabi SAW mengajak mereka dengan memetik ayat Allah dari Surah Ali Imran (3) ayat 64:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْاْ إِلَى كَلَمَةٍ سَوَاء بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلاَّ نَعْبُدَ إِلاَّ اللّهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضاً أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللّهِ فَإِن تَوَلَّوْاْ فَقُولُواْ اشْهَدُواْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ {3/64}

"Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimah (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah". Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang (Islam) yang berserah diri (kepada Allah)".

BACA AL QURAN

Seterusnya, saya sangat meragukan kenyataan beberapa orang tokoh yang mengatakan istilah Allah hanya khusus untuk orang Islam. Dengan kata lain, Islam melarang orang yang bukan Islam daripada menggunakan nama Allah.

Saya kurang pasti dari mana sumber kenyataan ini. Belum pernah saya terjumpa satu ayat Al Quran yang melarang. Bahkan itulah seruan kita agar semua manusia bertuhankan Allah. Apabila mereka sudah mula menggunakan nama Allah sebagai Tuhan, maka itu satu permulaan yang baik untuk kita perbetulkan aqidah pegangan mereka.

MURTAD

Soal isu murtad dan Kristianisasi pula, bukan ini caranya untuk mengatasinya. Selama inipun, beribu-ribu umat Islam murtad bukan berpunca daripada penggunaan nama Allah. Mereka terpengaruh dengan perangkap cinta dan kasih sayang, kewangan, pemerhatian dan sebagainya.
Islam telahpun mengajar umatnya supaya berhujah dengan ilmu. Bukan dengan paksaan. Sejauh mana kita telah berdialog dengan mereka. Sejauh mana kita telah dedahkan kepada mereka tentang penyelewengan mereka.

Allah berfirman dalam surah An Nahl (16) ayat 125:

ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ {16/125}

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Setelah berhujah, berdialog dan berdebat, andai ada lagi yang murtad, maka Islam telah menyediakan undang-undang yang perlu dikuat-kuasakan ke atas orang-orang murtad.

Malangnya, di mana undang-undang murtad itu disimpan oleh umat Islam. Ia hanya disimpan di dalam kitab dan disusun rapi dalam maktabah. Ia hanya diajar di sekolah, di pondok dan universiti. Ratusan tesis telah ditulis dan ribuan seminar telah dianjurkan mengenainya. Tetapi di mana pelaksanaan. Tiba-tiba kita mengambil jalan singkat untuk mengekang gejala murtad dengan cara mengharamkan orang bukan Islam menyebut, “Allah tuhanku!” Sekaligus menjauhkan mereka daripada mendengar petunjuk Islam.

Selepas itu timbul pula isu hukum orang bukan Islam membaca ayat Al Quran. Ada yang berkata, apabila orang bukan Islam dibenarkan membaca ayat Al Quran maka itu satu penghinaan kepada Islam. Bahkan bacaan mereka juga dikatakan tidak betul mengikut hukum tajwid.

Tidakkah kita pernah membaca kisah bagaimana Islamnya Saidina Umar yang sebelum itu seorang yang sangat kuat anti kepada Islam. Beliau bertemu dengan hidayah Allah setelah membaca beberapa potong ayat dari surah Taha (طه):

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
طه {20/1} مَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَى {20/2} إِلا تَذْكِرَةً لِّمَن يَخْشَى {20/3} تَنزِيلا مِّمَّنْ خَلَقَ الأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى {20/4} الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى {20/5} لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَمَا تَحْتَ الثَّرَى {20/6}


“Thaahaa (1). Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah (2); tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah) (3). Yaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. (4), (yaitu) Tuhan yang Maha Pemurah yang bersemayam di atas 'Arsy (5). Kepunyaan-Nya-lah semua yang ada di langit, semua yang di bumi, semua yang di antara keduanya dan semua yang di bawah tanah (6).”

Ayat-ayat ini sungguh indah sekali maknanya. Bahkan ayat-ayat Al Quran kesemuanya adalah mukjizat. Hati manusia boleh dilembutkan dengan Al Quran. Saidina Umar yang sedang ‘baran’ nak bunuh Rasulullah SAW dan sedang histeria apabila mendapat tahu adiknya memeluk Islam, tiba-tiba reda kemarahannya, lembut hatinya setelah membaca ayat-ayat di atas.

Berapa ramai di kalangan manusia yang memeluk Islam hanya setelah membaca Al Quran. Cat Steven (Yusuf Islam), Ann Wan Seng, Kamal Koh, Pastor Yohanus (Mohd Farhan) dan ramai lagi yang terbuka hati mereka setelah mereka membaca, mengkaji dan meneliti ayat-ayat Allah yang Maha Agong ini.

Janganlah kita terlalu cepat mengatakan mereka menghina Islam hanya sekadar mereka membaca ayat-ayat berkenaan. Penghinaan berlaku jika mereka membaca dengan mempermain-mainkannya, menafikan kenyataan di dalam ayat berkenaan, meletakkan ayat-ayat berkenaan di tempat-tempat yang kotor dan seumpamanya. Namun jika mereka membacanya untuk mengambil manfaat dari maksud ayat-ayat itu, apa salahnya. Walaupun mereka belum memeluk Islam setelah membacanya, kita berdoalah agar mereka diberi hidayah dengan ayat-ayat berkenaan.
TAJWID

Soal hukum tajwid pula, tidak sepatutnya menjadi isu. Berapa ramai di kalangan orang Islam juga tidak tahu ilmu tajwid. Jadi adakah mereka juga tidak boleh dibenarkan membaca Al Quran? Ini hanyalah secebis fahaman orang Melayu yang rigid dalam mengamalkan tuntutan Islam. Termasuklah isu tak boleh solat kalau tak ada kain pelikat (lelaki) dan telekong (perempuan). baca Yasin hanya malam Jumaat, malam lain tak boleh, pakai serban hanya untuk orang yang telah menunaikan haji dan lain-lain lagi.

Seorang Cina beragama Kristian pernah bertemu saya dan berkata, kalau mereka dihalang menggunakan nama Allah dan tidak dibenarkan membaca Al Quran, maka Islam akan dilihat sebagai agama yang melampau, rigid dan tidak rasional. Islam akan digambarkan sebagai menyekat manusia daripada mendekatinya. Islam akan digambarkan sebagai agama hanya untuk kaum-kaum tertentu sahaja, bukan untuk seluruh manusia.

Katanya lagi, “Kalau memang Islam tidak membenarkan orang bukan Islam membaca Al Quran, maka kerajaan perlu mengeluarkan beribu-ribu naskhah Al Quran yang terdapat di dalam laci-laci bilik hotel terkemuka seluruh negara!”

Fikir-fikirkan....


Isnin, April 06, 2009

FORUM BICARA AD-DEEN (Radio IKIM FM)


SELAMATKAN BUMI ANBIYA'


Sabtu lalu saya diundang ke Masjid Raja Muda Musa, Semenyih sebagai salah seorang ahli panel rancangan Forum Bicara Ad Deen terbitan Radio IKIM FM. Farum yang dianjurkan bersama dengan Persatuan Belia Sri Al-Ain itu menggandingkan saya bersama Ir Ahmd Jais Alias (Pengarah Radio IKIM) dan Prof Madya Dr. Hafizi Mohd Noor (pensyarah UPM).

Pengacara dan penerbit kanan Radio Ikim yang berasal dari Kuala Lipis, Ustaz Mahathir Shaharuddin bertindak sebagai moderator. Oleh kerana tajuk forum berkenaan, Selamatkan Bumi Anbiya', maka saya diundang atas kapasiti saya sebagai penulis buku Gaza Menangis.

Ketika dihubungi oleh penganjur untuk menjemput saya menjadi salah seorang daripada ahli panel forum ini, saya sangat sukacita. Bukan hanya kerana seronok dapat makan angin ke sebuah pekan yang belum pernah saya kunjungi. Bukan juga hanya kerana glamour dapat masuk radio. Tapi kerana saya rasa bertanggung-jawab untuk berkongsi dengan semua pihak dalam memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang isu Palestin yang sangat penting ini.

Atas rasa tanggung-jawab ini jugalah saya menggerakkan pena saya menulis 3 buah buku berkaitan perjuangan umat Islam Palestin; Nostalgia Syuhada' Palestin (2002), Ahmad Yasin Dan Rantisi Dalam kenangan (2004) dan terkini, Gaza Menangis (Feb 2009).


15 tahun lalu saya telah menulis sebuah buku berjudul Merintis Khilafah Yang Hilang. Ia menceritakan rentetan perjuangan As Syahid Dr Abdullah Azzam. Walaupun beliau terkenal sebagai seorang pejuang di Afghanistan, namun tidak ramai yang ketahui bahawa Dr Abdullah Azzam adalah seorang warga Palestin dan pernah berjihad menentang Zionis di Palestin pada tahun 70an.

Kecintaan saya kepada bumi Palestin telah menggerakkan kaki saya menjenguk ke perbatasan bumi anbiya' itu pada tahun 2003. Bersama beberapa orang rakan dari Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir, kami mengunjungi Taba di Semenanjung Sinai yang menjadi sempadan empat buah negara, Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Palestin.

Biarpun terhalang untuk melangkah masuk menjejaki tanah Palestin, namun dari tanah Mesir saya dapat saksikan tentera Zionis yang berkawal di sempadan. Terbakar jiwa rasanya melihat bendera biru dengan gambar bintang Daud berbucu 6 yang menjadi lambang kekejaman Zionis berkibar di pos kawalan mereka.

Saya pulang dari sempadan Palestin dengan satu doa, "Ya Allah, jadikanlah aku sebagai salah seorang mujahid yang berjihad membebaskan Masjidil Aqsa dan kurniakanlah aku 'rezeki' menunaikan solat di dalam Masjidil Aqsa dan seterusnya matikanlah aku sebagai seorang syuhada' di halaman Masjidil Aqsa...."

Dalam forum di Semenyeh baru-baru ini, moderator meminta saya menghuraikan beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada isu Palestin. Saya nyatakan, terlalu banyak pengajaran yang boleh diambil. Antaranya, kita memusuhi Yahudi Zionis bukan kerana mereka berbangsa Yahudi/Bani Israel. Tidak ada sebarang kelebihan dan kemuliaan pada sesuatu bangsa berbanding bangsa lain. Tetapi kita memusuhi mereka kerana mereka adalah kaum yang ingkar kepada Allah dan rasul-Nya, membunuh para rasul, merampas tanah dan harta manusia, menzalimi manusia lain serta tidak pernah berpegang kepada janji.


Justeru, perjuangan kita bukan atas dasar 'bangsa'. Tetapi atas dasar aqidah yang jelas.


Kedua, saya nyatakan bahawa menjadi kewajipan kepada setiap individu Muslim membuat persiapan dengan segenap bentuk kekuatan. Pihak musuh mampu memiliki kelengkapan dan persenjataan yang canggih adalah kerana mereka mempunyai dana yang sebahagiannya datang dari poket umat Islam sendiri. Jadi mengapa tidak umat Islam mempergunakan seluruh tenaga dan harta mereka untuk membantu umat Islam Palestin.

Ketiga, saya menyeru seluruh umat Islam supaya memelihara perpaduan dan mengelakkan perpecahan. Bangsa Arab menjadi begitu hina di mata dunia pada hari ini ketika berhadapan dengan Israel berpunca daripada pertelagahan di kalangan mereka dan sikap saling benci membenci sesama sendiri.


Pada round kedua, Ustaz Mahathir meminta saya memberi komen berkenaan kenyataan Prof Dr Yusuf Al Qardhawi yang mengatakan bahawa isu Palestin tidak akan selesai di meja rundingan, tetapi mesti melalui jalan jihad.


Saya tegaskan bahawa, kenyataan Qardhawi itu bukanlah satu 'fatwa baru' tetapi ia adalah kenyataan yang senada dengan apa yang Nabi SAW sebut di dalam hadith-hadith baginda dan apa yang dijelaskan oleh Allah di dalam Al Qur'an serta apa yang dipraktikkan oleh para Khulafa' ar Rasyidin.

Ketika mereka melaksanakan syariat jihad ini, maka Allah memberikan kemenangan dan kemuliaan kepada mereka. Sebaliknya apabila umat Islam meninggalkan jihad maka mereka dicincang dan diratah oleh pihak musuh.

Memang Islam agama yang sejahtera, agama yang menganjurkan perdamaian. Tetapi perdamaian itu dibina dengan pihak yang memang ingin berdamai. Jika hanya kita yang menghukurkan tangan, di pihak mereka pula menghulurkan senjata api, itu bukan lagi perdamaian yang dikehendaki di dalam Islam.

Ketika seluruh umat Islam dan Arab menganjurkan persidangan dan berbincang kaedah perdamaian dengan pihak musuh, dalam masa yang sama, rejim Zionis terus menerus menangkap dan menyiksa umat Islam, membunuh, membedil dan menembak orang yang tidak berdosa.


Nabi SAW menjelaskan di dalam sebuah hadith yang masyhur, "Tidak akan berlaku kiamat hinggalah orang Islam (berjaya) memerangi orang Yahudi hinggakan Yahudi terpaksa bersembunyi disebalik batu dan pokok kayu. Lalu berkatalah batu dan pokok kayu, Wahai orang Islam, wahai hamba Allah, ini dia Yahudi di belakangku, mari kemari dan bunuhlah dia...."

Hadith ini secara jelas memberikan isyarat bahawa 'klimaks' dan 'ending' drama Islam-Yahudi ini akan berakhir dengan peperangan dan jihad. Biarpun peperangan itu satu perkara yang dibenci dan tidak disukai oleh kebanyakan manusia, namun Allah menjelaskan (Al Baqarah 2:216):

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Saya menyimpulkan perbincangan dengan memetik sepotong hadith Nabi SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang (berjihad), tidak pernah mempersiapkan diri untuk berperang, maka dia mati sebagai kematian jahiliyah. (Dalam riwayat yang lain) matilah dia atas satu cabang dari sifat munafiq."


Pengarah Radio IKIM FM maklumkan kepada saya bahawa rakaman forum ini akan disiarkan pada hari Jumaat 9 April 2009 jam 9.00 malam.