Selasa, April 07, 2009

KEKELIRUAN ISU PENGGUNAAN NAMA ALLAH



Ramai yang bertanya tentang hukum orang kafir guna nama ‘Allah’ sebagai Tuhan mereka. Persoalan sebenarnya bukan hukum pada orang kafir itu, tapi hukum orang Islam membenarkan penggunaan nama itu oleh mereka.

Saya agak sukar menjawab memandangkan kebimbangan umat Islam terhadap gejala murtad yang dibimbangi kebenaran yang diberikan kepada mereka akan merancakkan lagi usaha mereka menarik umat Islam mendekati agama mereka.

Tetapi setelah membaca ayat Allah dari surah Al Ankabut (29) ayat 46, saya berasa tenang dengan jawapan yang Allah sendiri berikan. Firman Allah:

وَلا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ ۖ وَقُولُوا آمَنَّا بِالَّذِي أُنزِلَ إِلَيْنَا وَأُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Mafhumnya:
"Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan Katakanlah: "Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami Hanya kepada-Nya berserah diri".

Setelah Allah memerintahkan supaya berdebat dengan cara yang baik, Allah terus memberikan contoh cara berhujah dengan golongan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian). Antaranya:

1. Jelaskan kepada mereka bahawa jika kamu percayakan Taurat dan Injil, kami lebih dahulu lagi beriman kepada Taurat dan Injil.

2. Jika kamu kata Allah itu Tuhan kamu, maka kami juga kata Allah itu Tuhan kami. Malangnya kamu turut mengatakan Isa/Uzair itu sebagai anak Allah. Sedangkan Allah itu Tuhan yang Esa lagi Tunggal.

Sebenarnya isu ini perlu dilihat secara lebih kompleks. Lihat secara menyeluruh. Janganlah kerana kita bimbangkan sesuatu perkara, menyebabkan kita rugi dalam banyak perkara lain yang lebih besar.
ADVANTAGE DAKWAH

Dengan mereka menggunakan kalimah Allah, para daie Muslim boleh terus berhujah memperbetulkan fahaman mengenai ketuhanan yang sebenar. Mereka tidak perlu lagi berhujah untuk mengatakan Allah itu Tuhan. Mereka boleh terus berhujah memperbetulkan tanggapan yang mengatakan Allah itu ada anak, ada isteri dan ada sekutu yang lain.

Namun jika mereka menggunakan istilah yang lain, seperti God, Ram, Mambang dan sebagainya, maka para daie perlu turun ke anak tangga paling bawah terlebih dahulu untuk menerangkan siapa tuhan yang sebenar.

Justeru, apabila mereka menggunakan nama Allah sebagai Tuhan, maka ia sebenarnya satu advantage kepada Islam jika dimanfaatkan untuk tujuan dakwah.


Selepas perjanjian Hudaibiyah, Nabi SAW mengutuskan beberapa orang sahabat membawa surat dakwah baginda kepada raja-raja Arab dan sekitarnya. Kepada raja yang tidak beragama, atau menyembah berhala, atau majusi, baginda mengajak mereka menyembah Tuhan yang sebenarnya iaitu Allah. Kepada raja-raja Kristian, nabi SAW mengajak mereka dengan memetik ayat Allah dari Surah Ali Imran (3) ayat 64:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْاْ إِلَى كَلَمَةٍ سَوَاء بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلاَّ نَعْبُدَ إِلاَّ اللّهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضاً أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللّهِ فَإِن تَوَلَّوْاْ فَقُولُواْ اشْهَدُواْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ {3/64}

"Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimah (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah". Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang (Islam) yang berserah diri (kepada Allah)".

BACA AL QURAN

Seterusnya, saya sangat meragukan kenyataan beberapa orang tokoh yang mengatakan istilah Allah hanya khusus untuk orang Islam. Dengan kata lain, Islam melarang orang yang bukan Islam daripada menggunakan nama Allah.

Saya kurang pasti dari mana sumber kenyataan ini. Belum pernah saya terjumpa satu ayat Al Quran yang melarang. Bahkan itulah seruan kita agar semua manusia bertuhankan Allah. Apabila mereka sudah mula menggunakan nama Allah sebagai Tuhan, maka itu satu permulaan yang baik untuk kita perbetulkan aqidah pegangan mereka.

MURTAD

Soal isu murtad dan Kristianisasi pula, bukan ini caranya untuk mengatasinya. Selama inipun, beribu-ribu umat Islam murtad bukan berpunca daripada penggunaan nama Allah. Mereka terpengaruh dengan perangkap cinta dan kasih sayang, kewangan, pemerhatian dan sebagainya.
Islam telahpun mengajar umatnya supaya berhujah dengan ilmu. Bukan dengan paksaan. Sejauh mana kita telah berdialog dengan mereka. Sejauh mana kita telah dedahkan kepada mereka tentang penyelewengan mereka.

Allah berfirman dalam surah An Nahl (16) ayat 125:

ادْعُ إِلِى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ {16/125}

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Setelah berhujah, berdialog dan berdebat, andai ada lagi yang murtad, maka Islam telah menyediakan undang-undang yang perlu dikuat-kuasakan ke atas orang-orang murtad.

Malangnya, di mana undang-undang murtad itu disimpan oleh umat Islam. Ia hanya disimpan di dalam kitab dan disusun rapi dalam maktabah. Ia hanya diajar di sekolah, di pondok dan universiti. Ratusan tesis telah ditulis dan ribuan seminar telah dianjurkan mengenainya. Tetapi di mana pelaksanaan. Tiba-tiba kita mengambil jalan singkat untuk mengekang gejala murtad dengan cara mengharamkan orang bukan Islam menyebut, “Allah tuhanku!” Sekaligus menjauhkan mereka daripada mendengar petunjuk Islam.

Selepas itu timbul pula isu hukum orang bukan Islam membaca ayat Al Quran. Ada yang berkata, apabila orang bukan Islam dibenarkan membaca ayat Al Quran maka itu satu penghinaan kepada Islam. Bahkan bacaan mereka juga dikatakan tidak betul mengikut hukum tajwid.

Tidakkah kita pernah membaca kisah bagaimana Islamnya Saidina Umar yang sebelum itu seorang yang sangat kuat anti kepada Islam. Beliau bertemu dengan hidayah Allah setelah membaca beberapa potong ayat dari surah Taha (طه):

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
طه {20/1} مَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَى {20/2} إِلا تَذْكِرَةً لِّمَن يَخْشَى {20/3} تَنزِيلا مِّمَّنْ خَلَقَ الأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى {20/4} الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى {20/5} لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَمَا تَحْتَ الثَّرَى {20/6}


“Thaahaa (1). Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah (2); tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah) (3). Yaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. (4), (yaitu) Tuhan yang Maha Pemurah yang bersemayam di atas 'Arsy (5). Kepunyaan-Nya-lah semua yang ada di langit, semua yang di bumi, semua yang di antara keduanya dan semua yang di bawah tanah (6).”

Ayat-ayat ini sungguh indah sekali maknanya. Bahkan ayat-ayat Al Quran kesemuanya adalah mukjizat. Hati manusia boleh dilembutkan dengan Al Quran. Saidina Umar yang sedang ‘baran’ nak bunuh Rasulullah SAW dan sedang histeria apabila mendapat tahu adiknya memeluk Islam, tiba-tiba reda kemarahannya, lembut hatinya setelah membaca ayat-ayat di atas.

Berapa ramai di kalangan manusia yang memeluk Islam hanya setelah membaca Al Quran. Cat Steven (Yusuf Islam), Ann Wan Seng, Kamal Koh, Pastor Yohanus (Mohd Farhan) dan ramai lagi yang terbuka hati mereka setelah mereka membaca, mengkaji dan meneliti ayat-ayat Allah yang Maha Agong ini.

Janganlah kita terlalu cepat mengatakan mereka menghina Islam hanya sekadar mereka membaca ayat-ayat berkenaan. Penghinaan berlaku jika mereka membaca dengan mempermain-mainkannya, menafikan kenyataan di dalam ayat berkenaan, meletakkan ayat-ayat berkenaan di tempat-tempat yang kotor dan seumpamanya. Namun jika mereka membacanya untuk mengambil manfaat dari maksud ayat-ayat itu, apa salahnya. Walaupun mereka belum memeluk Islam setelah membacanya, kita berdoalah agar mereka diberi hidayah dengan ayat-ayat berkenaan.
TAJWID

Soal hukum tajwid pula, tidak sepatutnya menjadi isu. Berapa ramai di kalangan orang Islam juga tidak tahu ilmu tajwid. Jadi adakah mereka juga tidak boleh dibenarkan membaca Al Quran? Ini hanyalah secebis fahaman orang Melayu yang rigid dalam mengamalkan tuntutan Islam. Termasuklah isu tak boleh solat kalau tak ada kain pelikat (lelaki) dan telekong (perempuan). baca Yasin hanya malam Jumaat, malam lain tak boleh, pakai serban hanya untuk orang yang telah menunaikan haji dan lain-lain lagi.

Seorang Cina beragama Kristian pernah bertemu saya dan berkata, kalau mereka dihalang menggunakan nama Allah dan tidak dibenarkan membaca Al Quran, maka Islam akan dilihat sebagai agama yang melampau, rigid dan tidak rasional. Islam akan digambarkan sebagai menyekat manusia daripada mendekatinya. Islam akan digambarkan sebagai agama hanya untuk kaum-kaum tertentu sahaja, bukan untuk seluruh manusia.

Katanya lagi, “Kalau memang Islam tidak membenarkan orang bukan Islam membaca Al Quran, maka kerajaan perlu mengeluarkan beribu-ribu naskhah Al Quran yang terdapat di dalam laci-laci bilik hotel terkemuka seluruh negara!”

Fikir-fikirkan....


Tiada ulasan: