Isnin, April 06, 2009

FORUM BICARA AD-DEEN (Radio IKIM FM)


SELAMATKAN BUMI ANBIYA'


Sabtu lalu saya diundang ke Masjid Raja Muda Musa, Semenyih sebagai salah seorang ahli panel rancangan Forum Bicara Ad Deen terbitan Radio IKIM FM. Farum yang dianjurkan bersama dengan Persatuan Belia Sri Al-Ain itu menggandingkan saya bersama Ir Ahmd Jais Alias (Pengarah Radio IKIM) dan Prof Madya Dr. Hafizi Mohd Noor (pensyarah UPM).

Pengacara dan penerbit kanan Radio Ikim yang berasal dari Kuala Lipis, Ustaz Mahathir Shaharuddin bertindak sebagai moderator. Oleh kerana tajuk forum berkenaan, Selamatkan Bumi Anbiya', maka saya diundang atas kapasiti saya sebagai penulis buku Gaza Menangis.

Ketika dihubungi oleh penganjur untuk menjemput saya menjadi salah seorang daripada ahli panel forum ini, saya sangat sukacita. Bukan hanya kerana seronok dapat makan angin ke sebuah pekan yang belum pernah saya kunjungi. Bukan juga hanya kerana glamour dapat masuk radio. Tapi kerana saya rasa bertanggung-jawab untuk berkongsi dengan semua pihak dalam memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang isu Palestin yang sangat penting ini.

Atas rasa tanggung-jawab ini jugalah saya menggerakkan pena saya menulis 3 buah buku berkaitan perjuangan umat Islam Palestin; Nostalgia Syuhada' Palestin (2002), Ahmad Yasin Dan Rantisi Dalam kenangan (2004) dan terkini, Gaza Menangis (Feb 2009).


15 tahun lalu saya telah menulis sebuah buku berjudul Merintis Khilafah Yang Hilang. Ia menceritakan rentetan perjuangan As Syahid Dr Abdullah Azzam. Walaupun beliau terkenal sebagai seorang pejuang di Afghanistan, namun tidak ramai yang ketahui bahawa Dr Abdullah Azzam adalah seorang warga Palestin dan pernah berjihad menentang Zionis di Palestin pada tahun 70an.

Kecintaan saya kepada bumi Palestin telah menggerakkan kaki saya menjenguk ke perbatasan bumi anbiya' itu pada tahun 2003. Bersama beberapa orang rakan dari Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir, kami mengunjungi Taba di Semenanjung Sinai yang menjadi sempadan empat buah negara, Mesir, Arab Saudi, Jordan dan Palestin.

Biarpun terhalang untuk melangkah masuk menjejaki tanah Palestin, namun dari tanah Mesir saya dapat saksikan tentera Zionis yang berkawal di sempadan. Terbakar jiwa rasanya melihat bendera biru dengan gambar bintang Daud berbucu 6 yang menjadi lambang kekejaman Zionis berkibar di pos kawalan mereka.

Saya pulang dari sempadan Palestin dengan satu doa, "Ya Allah, jadikanlah aku sebagai salah seorang mujahid yang berjihad membebaskan Masjidil Aqsa dan kurniakanlah aku 'rezeki' menunaikan solat di dalam Masjidil Aqsa dan seterusnya matikanlah aku sebagai seorang syuhada' di halaman Masjidil Aqsa...."

Dalam forum di Semenyeh baru-baru ini, moderator meminta saya menghuraikan beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada isu Palestin. Saya nyatakan, terlalu banyak pengajaran yang boleh diambil. Antaranya, kita memusuhi Yahudi Zionis bukan kerana mereka berbangsa Yahudi/Bani Israel. Tidak ada sebarang kelebihan dan kemuliaan pada sesuatu bangsa berbanding bangsa lain. Tetapi kita memusuhi mereka kerana mereka adalah kaum yang ingkar kepada Allah dan rasul-Nya, membunuh para rasul, merampas tanah dan harta manusia, menzalimi manusia lain serta tidak pernah berpegang kepada janji.


Justeru, perjuangan kita bukan atas dasar 'bangsa'. Tetapi atas dasar aqidah yang jelas.


Kedua, saya nyatakan bahawa menjadi kewajipan kepada setiap individu Muslim membuat persiapan dengan segenap bentuk kekuatan. Pihak musuh mampu memiliki kelengkapan dan persenjataan yang canggih adalah kerana mereka mempunyai dana yang sebahagiannya datang dari poket umat Islam sendiri. Jadi mengapa tidak umat Islam mempergunakan seluruh tenaga dan harta mereka untuk membantu umat Islam Palestin.

Ketiga, saya menyeru seluruh umat Islam supaya memelihara perpaduan dan mengelakkan perpecahan. Bangsa Arab menjadi begitu hina di mata dunia pada hari ini ketika berhadapan dengan Israel berpunca daripada pertelagahan di kalangan mereka dan sikap saling benci membenci sesama sendiri.


Pada round kedua, Ustaz Mahathir meminta saya memberi komen berkenaan kenyataan Prof Dr Yusuf Al Qardhawi yang mengatakan bahawa isu Palestin tidak akan selesai di meja rundingan, tetapi mesti melalui jalan jihad.


Saya tegaskan bahawa, kenyataan Qardhawi itu bukanlah satu 'fatwa baru' tetapi ia adalah kenyataan yang senada dengan apa yang Nabi SAW sebut di dalam hadith-hadith baginda dan apa yang dijelaskan oleh Allah di dalam Al Qur'an serta apa yang dipraktikkan oleh para Khulafa' ar Rasyidin.

Ketika mereka melaksanakan syariat jihad ini, maka Allah memberikan kemenangan dan kemuliaan kepada mereka. Sebaliknya apabila umat Islam meninggalkan jihad maka mereka dicincang dan diratah oleh pihak musuh.

Memang Islam agama yang sejahtera, agama yang menganjurkan perdamaian. Tetapi perdamaian itu dibina dengan pihak yang memang ingin berdamai. Jika hanya kita yang menghukurkan tangan, di pihak mereka pula menghulurkan senjata api, itu bukan lagi perdamaian yang dikehendaki di dalam Islam.

Ketika seluruh umat Islam dan Arab menganjurkan persidangan dan berbincang kaedah perdamaian dengan pihak musuh, dalam masa yang sama, rejim Zionis terus menerus menangkap dan menyiksa umat Islam, membunuh, membedil dan menembak orang yang tidak berdosa.


Nabi SAW menjelaskan di dalam sebuah hadith yang masyhur, "Tidak akan berlaku kiamat hinggalah orang Islam (berjaya) memerangi orang Yahudi hinggakan Yahudi terpaksa bersembunyi disebalik batu dan pokok kayu. Lalu berkatalah batu dan pokok kayu, Wahai orang Islam, wahai hamba Allah, ini dia Yahudi di belakangku, mari kemari dan bunuhlah dia...."

Hadith ini secara jelas memberikan isyarat bahawa 'klimaks' dan 'ending' drama Islam-Yahudi ini akan berakhir dengan peperangan dan jihad. Biarpun peperangan itu satu perkara yang dibenci dan tidak disukai oleh kebanyakan manusia, namun Allah menjelaskan (Al Baqarah 2:216):

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

Saya menyimpulkan perbincangan dengan memetik sepotong hadith Nabi SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang (berjihad), tidak pernah mempersiapkan diri untuk berperang, maka dia mati sebagai kematian jahiliyah. (Dalam riwayat yang lain) matilah dia atas satu cabang dari sifat munafiq."


Pengarah Radio IKIM FM maklumkan kepada saya bahawa rakaman forum ini akan disiarkan pada hari Jumaat 9 April 2009 jam 9.00 malam.







1 ulasan:

SHURA - CIMMA berkata...

Tahniah atas coretan.Sedikit sebanyak dapat menghayati apa yang berlaku semasa forum tersebut kerana tak berkesempatan untuk mendengarnya tempohari akibat kekangan tertentu.